Bismillahirrahmanirrahim.
Buku ini saya pinjam dari Perpustam, Melaka.
Membaca buku ini sememangnya membuka mata dan minda saya akan kesusahan yang dialami oleh saudara baru apatah lagi Islam di Malaysia sinonim dengan orang Melayu. Penulis turut menyedarkan saya bahawa saudara sesama Islam patut membantu saudara baru memahami hukum-hakam yang perlu dipelajari kerana hampir semua yang dilalui adalah asing dengan cara hidup sebelum ini. Meskipun soalan yang remeh perlulah dijawab dengan baik dan berhemah.
Saya kagum dengan sikap positif beliau di saat rakan-rakan Islam tidak begitu mempedulikannya dan tanpa sedar menyinggung perasaannya. Hmm..Memang sukar jika berada dalam situasinya.
Sebelum itu ujian getir yang dihadapi apabila pengislaman beliau ditentang oleh ayah sendiri sehingga ayahnya jatuh sakit. Sehingga ayahnya menghembuskan nafas terakhir tetap tidak menerima pengislamannya. Tabahnya hati penulis.
Membaca buku ini pembaca dapat merasai pengalaman suka duka beliau dalam menghadapi ranjau ujian sebagai seorang Islam. Semoga penulis tabah dan dapat menyebarluaskan dakwah islamiah ke seluruh pelosok dunia :-)
++++++++++++++
Lembaran awal Kisah Saya Saudara Baru ini mengingatkan saya kepada seorang rakan saudara baru ketika menuntut di tahun pertama UTeM dahulu (sekitar tahun 2003-2004. Allahu. Tiba-tiba sebak mengingatkannya. Saya tidak mengenalinya secara rapat kerana jurusan berbeza. Dia mengambil bidang kejuruteraan manakala saya di bidang teknologi maklumat.
Dia berbangsa Cina dan memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga. Bahagia dan tenang kehidupannya. Namun, di penghujung semester 1, keluarganya tahu dan mengugut dengan pelbagai cara. Sehinggalah dia menghilangkan diri pada semester kedua dan tidak meneruskan pengajian. Sayang sekali kerana keputusan semester 1 nya amat memberangsangkan - tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan.
Kemudian kami semua hilang khabar beritanya. Ada yang mengatakan dia sudah kembali ke pangkuan keluarga dan ada yang mengatakan dia bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Wallahualam. Semoga Allah memelihara dan memudahkan urusannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan