Bismillahirrahmanirrahim.
PRIHATIN.
Perkataan sesuai menggambarkan keseluruhan buku ini.
Perkongsian 20 bab merangkumi 17 tahun pengalaman penulis sebagai seorang pendidik. Penulis berkongsi kisah kehidupan, masalah murid yang dihadapi, tip dan cara menangani.
Tanggungjawab berdakwah bukan terletak pada Jabatan Agama Islam mahupun ustaz ustazah sahaja. Namun pada kita semua. Meskipun kita kurang mahir dalam pengetahuan agama Islam namun kita boleh memberi bantuan dari sudut tenaga dan kewangan. Sangat setuju dengan kenyataan ini.
Dalam menghadapi cabaran pengaruh hiburan yang kuat di luar sana guru-guru agama di sekolah boleh membuat penjenamaan semula program agama di sekolah. Daripada ceramah agama mungkin ditukar bentuk kepada karnival, pertunjukan busana muslimah, pencarian pengacara muda dengan kerjasama BTPN dan lain-lain.
Penekanan terhadap solat turut dititikberatkan kepada anak-anak murid kita kerana solat yang terjaga akan sekaligus mengawal akhlak dan memberi kesan baik kepada kehidupan seseorang. Subhanallah. Bukan mudah tugas seorang guru.
Sehari-hari menghadap pelbagai kerenah murid, ibu bapa dan masyarakat. Barangkali mencecah ratusan perangai namun harus ditangani dengan bijaksana oleh pihak sekolah. Tip dari penulis ialah memberi salam, berjabat tangan, senyum, bersikap lemah-lembut dan menjadi pendengar yang baik tatkala menghadapi ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sekolah.
Pesan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :
Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman dan tidak sempurnalah iman kamu sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang apabila kamu lakukan boleh mencetuskan kasih sayang di antara satu sama lain? Iaitu sebarkan salam di antara kamu sesama muslim . (Hadis Riwayat Muslim).
Antara masalah murid-murid ialah datang lewat ke sekolah. Alasan popular yang diberi ialah bangun lambat. 5 tip bangun awal oleh penulis :
1. Tidur awal
2. Berdoa sebelum tidur
3. Berniat (bangun awal) sebelum tidur
4. Berwuduk sebelum tidur
5. Amalkan berzikir
Hmm..apabila berdepan dengan masalah fikirkan cara penyelesaian dan bukan mencari siapa dan punca penyebab masalah. Adakalanya betul juga cara ini :) Hal ini saya kira berkait rapat dengan pengurusan masa seseorang guru. Tugasan utama guru adalah mengajar namun hakikatnya guru mempunyai banyak tugasan sampingan yang perlu ditunaikan. Maka, perkongsian pintar oleh penulis dalam menyelesaikan tugasan harian dilihat sangat menarik dan membantu.
Penulis memberi contoh jadual tugasan yang disertakan nama guru, tugasan yang perlu dibuat minggu ini, tugasan yang perlu dilakukan hari ini (disusun ikut keutamaan) dan ruang catatan. Letakkan di atas meja atau ditampal pada dinding. Semoga dengan cara ini pengurusan cara kerja kita dapat dipertingkatkan lagi.
Satu lagi perkara yang tidak boleh diambil endah.
Remaja bercinta.
Penulis menyatakan kebimbangan lantaran beberapa fakta menunjukkan kadar pelajar sekolah yang hamil luar nikah meningkat saban tahun. Peringatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :
"Kedua-dua mata dapat berzina dan zina kedua-duanya adalah melihat. Kedua-dua telinga dapat berzina dan zina kedua-duanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan berbicara. Tangan zinanya dengan menyentuh. Kaki zinanya dengan melangkah. Hati zinanya dengan berhasrat dan mengingini. Dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Kita tidak mampu menyekat murid bercinta tetapi kita mampu membimbing dan mendidik hati mereka agar kenal dengan cinta sejati dan tulus ikhlas.
Daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya : Sesiapa yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan, dia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya. (Hadis Riwayat Muslim)
Masya Allah. Melalui 20 bab pengalaman mendidik penulis banyak sungguh yang dapat dikutip. Tidak lupa juga panduan berkeluarga oleh Imam Hassan al-Banna yang dititip oleh penulis wajar dijadikan contoh teladan agar institusi kekeluargaan terpelihara baik dan menjadikan anak-anak kita tenang emosi dan berakhlak baik.
Imam Hassan al-Banna mewujudkan perkara berikut di dalam rumah tangganya :
1. Persekitaran yang baik
2. Makan bersama
3. Tidak meninggikan suara
4. Memberikan cinta dan kasih sayang
5. Didikan melalui teladan
6. Formula tersendiri dalam menghukum
Hukuman paling berat dikenakan terhadap anaknya ialah tarik telinga. T_T "Seberat" itu sahaja. Masya Allah.
Ya Allah kurniakan kami ilmu yang bermanfaat. Barakallahufik Ustaz Wan Zayuhisyam.
P/s : ini sudah jadi catatan pembacaan. Terlalu panjang untuk jadi ulasan buku. Hee..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan