Jumaat, 24 Januari 2014

Buku 3 : Teristimewa Untukmu oleh Cikgu Hasmah Hitam

Bismillah walhamdulillah.

Air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa saat membaca buku ini. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana keikhlasan penulisnya atau kerana pengalamannya begitu dekat dengan diri saya sebagai guru Pendidikan Khas.

Cikgu Hasmah Hitam ini sememangnya dikenali lantaran beliau merupakan perintis program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) di SKUP, Melaka.

Beliau berkongsi pengalaman mengajar anak-anak istimewa kategori masalah pembelajaran dari sudut pandang seorang guru pendidikan khas, sebagai warga kerja sesebuah sekolah, pendamping anak istimewa dan sebagai insan yang banyak berurusan dengan ibu bapa anak istimewa.

Sepanjang catatan, beliau tidak putus-putus mengungkapkan rasa kedekatan dengan Allah sangat penting dalam meniti kejayaan dalam kerjaya dan berurusan dengan anak-anak istimewa ini. Memang letih, penat dan lelah melayani kerenah mereka namun perlu diingatkan bahawa mereka tidak pernah meminta untuk dijadikan  sedemikian. Malah, jika direnungkan kembali aturan Allah itu sangat baik. DIA memilih insan terpilih sahaja menjadi anak istimewa, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa malah guru yang mendidik anak istimewa! Subhanallah.

Penulis banyak menekankan keikhlasan dalam mendidik insan istimewa seperti menitikberatkan pengurusan  tingkah laku bagi membantu anak-anak ini menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang dihadapi.

Teguran, nasihat dan iktibar yang dipaparkan penulis sangat membantu guru-guru lain khususnya dalam bidang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bagi memandu semua menjadi insan guru yang terbaik dan diredhai Allah.

Terima kasih Cikgu. Jazakallahu khaira. Barakallahufik.

Wallahualam.

1 ulasan:

  1. Terima kasih cikgu...hanya manusia terpilih saja yg boleh sabar dgn kerjaya guru apatah lg guru pendidikan khas

    BalasPadam