Ahad, 17 Oktober 2010

Tertangguh..

Banyak benar rasanya buku yang telah selesai dibaca namun tidak sempat dibuat ulasan. Tidak mengapalah saya hanya sentuh sedikit-sedikit sahaja :)

Antara buku yang telah selesai dibaca ialah 8 Tokoh Wanita Pencetus Turunnya Wahyu karangan Dr Abd Rahman Umayrah terbitan Mustread. Buku ini saya beli kerana tertarik dengan tajuknya. Saya tidak terfikir akan tokoh-tokoh wanita yang menjadi penyebab turunnya wahyu. Sungguh, mereka ini memiliki akhlak yang mulia serta terpuji malah Allah mendengar permintaan dan rintihan mereka berkenaan sesuatu masalah yang berkaitan dengan mereka tetapi masih belum ada hukum berkenaannya ketika itu.

Antara tokoh tersebut ialah Saidatina Aisyah r.a, Khaulah binti Tha'labah, anakanda puteri Rasulullah SAW ; Fatimah dan 5 lagi tokoh. Saidatina Aisyah dengan kisah fitnah yang melanda dirinya manakala Khaulah binti Tha'labah berkenaan hukum zihar.

Diceritakan suaminya marah kepadanya sehingga mengatakan "punggungmu seperti punggung ibuku!". Lalu suaminya keluar rumah dan apabila kembali beliau mahu bersama dengan isterinya. Tetapi dengan tegasnya Khaulah menolak "sehingga adanya ketetapan". Hal ini kerana, ayat dituturkan oleh suaminya itu adalah ucapan yang biasa digunakan ketika zaman jahiliah dahulu apabila seorang suami ingin menyeksa isterinya. Apabila terjadi perkara itu, si isteri tidak akan mendapat hak setaraf isteri tetapi statusnya tidaklah juga diceraikan. Hal inilah yang menunjukkan kezaliman kepada pihak isteri.

Khaulah mengadu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW tidak dapat memutuskan sehinggalah Allah menurunkan wahyu melalui surah al-Mujadalah ayat 1. Inilah asbabun nuzul ayat berkenaan hukum zihar diturunkan.




Novel Weil China karya Emine Syenlikoglu ini baru sahaja selesai dibaca. Masya Allah saya tidak
dapat menggambarkan betapa kejamnya komunis. Kisah benar yang diceritakan dalam bentuk novel ini bagai merobek hati dan perasaan ketika membacanya.

Kisah sedih ini bermula apabila si bapa menghantar dua orang anak lelakinya belajar di bandar. Sungguhpun bimbang dengan akidah kedua anaknya terpengaruh dengan komunis namun apakan daya, mereka perlu dihantar juga untuk belajar. Seminggu, dua minggu, sebulan berlalu tanpa ada masalah. Namun lama-kelamaan kebimbangan si bapa nampak semakin jelas apabila kedua anaknya terutama si abang mula mempersoalkan ritual agama yang selama ini dipegang kukuh oleh mereka sekeluarga.

Daripada seorang muslim, mereka berdua beransur-ansur menjadi ateis. Semuanya gara-gara komunis. Sakit sungguh hati melihat dakyah komunis itu berjaya memurtadkan mereka adik-beradik. Malah mereka berdua begitu komited dengan komunis sehingga menjawat jawatan penting.

Namun timbul jua kesedaran dalam diri si adik apabila melihat beberapa perkara yang tidak enak dirasakan. Syukurlah hidayah Allah masih lagi bersinar. Sejak itu si abang memusuhi adiknya sehinggalah berlaku musibah besar terhadap keluarga mereka. Bermulalah episod kekejaman dan sejarah hitam dalam hidup si adik. Bapa mereka dibunuh, anak buahnya yang masih bayi dicabut kepala dari badan, kakak iparnya yang gila ditembak mati, ibu dan kakaknya dipisahkan dan dihantar ke luar negara. Manakala dirinya sendiri dipenjarakan berpuluh-puluh tahun lamanya. Diseksa dengan pelbagai cara namun dia masih bernyawa sehinggalah hari dia dibebaskan... Buku ini dicadangkan kepada anda untuk membacanya. Recommended!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan