Rabu, 30 September 2009

Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul

Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul
Fatimah Syarha Mohd Noordin
RM 12
MPH Mahkota Parade, Melaka

~~~~~~~~~~~~~~~

Buku ini diolah ceritanya seperti diari atau luahan hati seorang isteri bernama Qani'ah yang sangat menyayangi suaminya. Ceritanya dimulai dengan kisah perempuan ini sejak dari zaman sekolah sehinggalah menjejakkan kaki ke matrikulasi dan universiti. Bagaimana caranya dia bermujahadah menepis semua dugaan dan godaan yang menggugat hati sebelum benar-benar dia menemui kekasih hati yang halal lagi diredai Allah atas ikatan yang sah bernama suami-isteri.

Berbekalkan keyakinan dan tawakal kepada Allah, Qani'ah tidak menghiraukan surat dan rayuan dari peminatnya sebaliknya terus menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti islamik serta mempertingkatkan ibadahnya bagi menutup ruang-ruang godaan syaitan.

Setelah usia menginjak awal dewasa, lamaran demi lamaran pula diterima ibu bapa di kampung. Beliau berpegang tegas kepada prinsip diri dan menilai setiap lamaran dengan teliti. Jangan salah sangka ya. Bukannya Qani'ah seorang yang memilih membabi buta. Pastinya dilakukan terlebih dahulu solat istikharah dan melihat peribadi calon suami. Namun semuanya tidak dapat diterima kerana istikharahnya tidak cenderung kepada mereka. Susah. Memang sukar ingin memilih jodoh. Sudah pastinya setiap orang menginginkan kebahagiaan rumah tangga maka ia bermula sejak memilih pasangan hidup.

Di sini, secara jelas Qani'ah berkongsi cara, pemikiran, dan amalannya dengan para pembaca. Kagum dengan peribadinya yang begitu kuat menghadapi ujian. Begitulah sekiranya kita mendapatkan cinta Allah sebelum cinta manusia. Manisnya apabila sudah mendapat cinta Allah. Dan pasti jalan mencari cinta-Nya bukan mudah. Syaitan dan nafsu seringkali menduga-duga kita dari terus bermujahadah.

Akhirnya, tibalah satu lamaran yang tidak dapat ditolak oleh Qani'ah. Dr Muslih, seorang doktor perubatan yang tinggal berhampiran dengan kampungnya menghulurkan lamaran. Tetapi dia berbeza dengan lelaki-lelaki terdahulu. Dr Muslih terus menyatakan hasrat kepada kedua ibu bapa Qani'ah dan tidak pernah mengambil kesempatan untuk menghubunginya walaupun dia mempunyai nombor telefon Qani'ah. Setelah istikharah, hatinya lapang dan yakin inilah bakal pasangan hidupnya yang telah Allah tetapkan.

Apabila ikatan pertunangan telah secara rasminya diterima, kedua-duanya masih tidak berhubung seperti pasangan yang bertunang ataupun kekasih pada zaman sekarang. Seorang berada di luar negara menyambung pelajaran, seorang lagi berada di Sarawak menghabiskan baki semester dalam bidang perubatan. Mereka hanya berhubung dengan pengetahuan ibu bapa atau orang perantaraan dan tidak pernah melencong mengenai hal-hal lain.

Selepas pernikahan, bermulalah kehidupan baru bagi Qani'ah dan suami. Ha,,,hanya orang yang benar-benar menjaga diri dan cintanya sebelum kahwin sahaja dapat merasai betapa nikmatnya anugerah yang Allah beri bernama 'cinta' dan 'kasih sayang'. Tiada batas lagi yang perlu dijaga. Antara suami dan isteri mereka bebas berkongsi apa saja. Yang pasti ketenangan dan kebahagiaan datang serentak.

Kala membaca buku ini, tersenyum juga dibuatnya. Terutama bahagian mula bertunang sehingga perkahwinan. Saya dan suami turut mengambil masa untuk mengenali diri masing-masing selepas berkahwin kerana sebelum itu kurang tahu tentang pasangan. Yang pasti, pertama niatkan kerana Allah, kedua, menerima kelemahan dan kekurangan pasangan selain tahu kelebihannya, dan ketiga komunikasi berkesan.

Ini kisah benar penulis. Kisah ini bagi saya tidak menggambarkan perasaan riak si penulis. Beliau ingin menyampaikan nasihat dan panduan buat pembaca. Namun terpulang pada pembaca sendiri. Kita ambil mana yang baik dan jadikan panduan. Soal hati atau riak atau buruk bukan hak kita untuk menentukan. Hanya Allah yang mengetahui.

Semoga kita semua beroleh keluarga yang mawaddah wa rahmah!

Selasa, 29 September 2009

Catatan Hati Nik Nur Madihah



Judul buku : Catatan Hati Nik Nur Madihah

Penulis : Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal & Ummu Hani Abu Hassan

Terbitan : Hijjaz Records Publishing

Harga : RM25.90


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Peperiksaan-peperiksaan utama di negara kita semakin menghampiri. Para pelajar tentu bertungkus lumus memperbanyakkan latihan dan mengulangkaji pelajaran. Jangan lupa solat dan doa kepada Allah. Teringat saya kepada buku mengenai Nik Nur Madihah yang saya baca awal Mei lalu. Semoga kita semua dapat mengambil contoh dan teladan dari pelajar terbaik SPM 2008 ini.


......................................................


Insaf membaca kisah hidup Nik Nur Madihah. Beberapa perkara dapat saya pelajari iaitu rezeki yang berkat, usaha yang bersungguh-sungguh, kekuatan doa dan sifat tawakal yang tinggi kepada ALLAH SWT. Selain itu sifat patuh kepada ibu bapa dan menghormati guru dan rakan-rakan turut penting.Kesusahan hidup bukanlah penghalang kejayaan seseorang. Terkadang rasa malu dengan kegigihan Nik Nur Madihah yang pernah menyalin kamus bahasa Arab semata-mata kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya. Kemampuannya menjaga solat malam juga wajar dicontohi.


Saya juga kagum dengan bapa Nik Nur Madihah. Seorang yang berpandangan jauh dan mempunyai visi yang jarang dimiliki oleh orang lain. Saya begitu terkesan dengan kata-katanya : "Yang pertama, jangan bercita-cita nak jadi doktor, peguam, jurutera, dan sebagainya. Itu adalah cita-cita nak makan gaji. Tapi tanamlah azam untuk jadi orang yang cerdik, insya Allah kerja akan datang sendiri pada kita."


Semoga Nik Nur Madihah berjaya mencapai apa yang dicitanya dan sikapnya menjadi ikutan tauladan anak-anak kita di bangku sekolah. Elok juga dijadikan ikon remaja yang solehah. Tidaklah anak-anak kita terlalu mengikut budaya hedonisme yang banyak disogokkan oleh media massa dewasa ini.

Jumaat, 25 September 2009

101 Kisah Benar Umar Bin Abdul Aziz

Judul buku : 101 Kisah Benar Umar bin Abdul Aziz
Penulis : Muhammad Shadiq Al-Minsyawi
Penerbit : Jasmin Publisher
Bilangan muka surat : 132
Harga : RM 8.00
Sumber (beli di) : MPH Taman Maluri
Baca pada : 24 September 2009

~~~~~~~~~~~~~~~~

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah insan yang sangat warak dan adil dalam pemerintahannya. Ketokohan beliau begitu terbilang sehingga diangkat sebagai Khalifah al-Rasyidin kelima selepas Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, dan Saidina Ali bin Abu Talib.

Saya memang mengkagumi beliau sejak mula pertama kali saya membaca kisah mengenai beliau. Seingat saya ketika saya masih sekolah menengah. Sejak itu tidak jemu saya membaca biografi dan kisah hidupnya yang ditulis oleh ramai penulis. Banyak pengajaran dan ilmu yang dapat saya kutip. Keinsafan turut mengetuk pintu hati apabila melihat kezuhudan dan kewarakannya.

Saya tertarik sekali dengan sebuah cerita di dalam buku ini yang mengatakan aktiviti ritual rakyat mengikut sama dengan aktiviti ritual pemimpin. Saya ‘quote’ cerita ini daripada muka surat 36 dari buku ini :

Pada masa pemerintahan Walid bin Abdul Malik kemajuan banyak terfokus kepada pembangunan fisik, dia mendirikan masjid Damaskus dan masjid Rasul SAW, penggalian tambang dan memperlancarkan aliran sungai. Masyarakat pada masa pemerintahannya saling berbicara : “Apalagi yang masih tersisa dari pembangunan kamu? Apakah sudah terhenti pembangunan taman kamu?”.

Ketika Sulaiman bin Abdul Malik berkuasa dia sangat gemar dengan huru-hara, hiburan dan pesta. Pada masa pemerintahannya masyarakat saling berbicara, “Bagaimana keadaan hamba perempuan kamu?, Bila kamu menikah?, seterusnya pertanyaan-pertanyaan yang menyenangkan.

Pada masa pemerintahan Umar, masyarakat saling berbicara antara satu sama lain : “Berapa halaman lagi yang tertinggal agar kamu boleh khatam al-Quran? Berapa bacaan-bacaan wirid yang kamu terapkan? Bila kamu melakukan solat malam? Berapa kali kamu berpuasa dalam sebulan? Dan pertanyaan-pertanyaan lain yang berhubung dengan zuhud dan taqwa.

Masya Allah. Subhanallah.

Alangkah bagusnya jika zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini kembali mewarnai dunia Islam kita. Marilah sama-sama kita mulakan kebaikan dengan diri kita dahulu, diikuti keluarga, kaum kerabat, masyarakat dan seterusnya negara kita. Islam pasti kembali gemilang!

Khamis, 24 September 2009

Adab Bergaul - Agar Dicintai Allah Kemudian Dicintai Manusia

Judul buku :
Adab Bergaul - Agar Dicintai Allah Kemudian Dicintai Manusia
Penulis :
Fariq bin Gasim Anuz
Penerbit :
Darul Falah, Jakarta (Cetakan Pertama Februari 2004, Cetakan kedua Jun 2004)
Bilangan Muka surat :
156
Sumber (beli di) :
Mekah

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya sukakan buku ini. Banyak yang dapat saya perolehi sebagai panduan di dalam adab bergaul. Memang banyak buku yang memperkatakan tentang adab bergaul tetapi buku ini adalah salah satu buku yang saya kira dapat menjelaskan lagi adab-adab dengan lebih jelas dan mudah difahami.

Adab-adab bergaul ini diterangkan dengan panjang lebar buat tatapan kita. Semoga sama-sama mendapat manfaat daripada isi-isi yang saya kutip daripada buku ini.

Cita-cita tertinggi seorang muslim ialah agar dirinya dicintai Allah dan menjadi orang yang bertakwa. Di antara sifat-sifat muslim yang dicintai oleh orang soleh di dunia ini ialah :

1) Mencintai mereka kerana Allah.
2) Berakhlak kepada manusia dengan akhlak yang baik.
3) Memberi manfaat.
4) Melakukan hal-hal yang disukai oleh manusia.
5) Menghindari sikap-sikap yang tidak disukai oleh manusia.

Di dalam buku ini penulis mengutarakan kebaikan dan kekurangan bergaul dan beruzlah (mengasingkan diri) daripada bergaul.

Manfaat uzlah

1) Dapat memfokuskan diri kepada ibadah kepada Allah.

2) Dapat menghindarkan diri daripada maksiat yang secara umumnya tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah :

(a) Ghibah (mengumpat).
(b) Tidak mengajak orang berbuat amar ma’ruf nahi mungkar.
(c) Riak.
(d) Terpengaruh dengan akhlak buruk.

3) Terhindar daripada fitnah dan permusuhan.

4) Terhindar daripada kejahatan manusia kepada diri kita.

5) Terhindar daripada orang yang tamak terhadap kita.

6) Terhindar daripada orang-orang yang jahil dan berakhlak buruk.

Manfaat bergaul

1) Belajar dan mengajar.

2) Memberi dan mengambil manfaat daripada manusia dengan cara bekerja dan bermuamalah.

3) Membina diri dan orang lain.
- Bermaksud melatih diri daripada gangguan, nafsu dan sebagainya.
- Melatih orang lain seperti menjadi baik.

4) Mententeramkan diri daripada kesepian.
- Apabila bercampur dengan orang, kita akan mendapat satu keadaan refreshning jika terlibat dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang alim.

5) Mendapat pahala dan menjadi sebab orang lain mendapat pahala.
- Hal ini boleh terjadi sekiranya kita solat berjemaah di masjid dan mengajak kawan-kawan turut menunaikan solat di situ. Sekiranya ada yang mengikut, kita akan mendapat pahala di atas kebaikan yang dilakukan itu.

6) Tawaduk.
- Sifat ini akan terbentuk sekiranya manusia bersosialisasi.
- “Ada tiga perkara yang apabila terdapat pada diri seseorang perkara tersebut, maka ia akan merasakan manisnya iman iaitu menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain, mencintai orang lain semata-mata kerana Allah dan benci kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya seperti mana ia benci bila dimasukkan ke dalam neraka.” (Hadith riwayat Bukhari).

Sikap-sikap yang disukai oleh manusia

1) Manusia suka kepada orang yang memberi perhatian kepada orang lain.

- Mengucapkan salam.
- Memuji.
- Beri hadiah.
- Mengucapkan takziah.
- Bertanya khabar.
- Mendoakan mereka yang telah tiada.

2) Manusia suka kepada orang yang mahu mendengar ucapan mereka.

- Memberi peluang dia bercakap dan jangan kita mendominasi perbualan.
- Beberapa saranan supaya ucapan kita didengari :
(i) Membicarakan hal-hal yang bermanfaat.
(ii) Memilih waktu yang tepat dan suasana yang kondusif.
(iii) Ucapan yang singkat.
(iv) Jika berada bersama orang tua, kita harus lebih banyak mendengar.

3) Manusia suka kepada orang yang menjauhi debat.

4) Manusia suka kepada orang yang memberi penghargaan dan penghormatan kepada orang lain.

- Contoh mudah : apabila kita bersalam kita memandang wajah orang tersebut. Hal ini sudah menyenangkan.
- Ibn Qayyim mengatakan manusia ini berkumpul disebabkan dua tujuan. Pertama kerana hiburan. Dan hal ini mensia-siakan waktu kita. Kedua, berkumpul di dalam majlis nasihat-menasihati.

5) Manusia suka kepada orang yang memberi kesempatan kepada orang lain untuk maju.
- Iaitu senang melihat saudaranya berjaya dan senang.

6) Manusia suka kepada orang yang tahu berterima kasih atau suka balas kebaikan.
- Sungguh pun kita tidak seharusnya mengharapkan balasan tetapi pernyataan terima kasih atau penghargaan dari orang yang diberi itu menyenangkan hati pemberi.
- Sebagaimana sabda Nabi SAW : “Barangsiapa tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia maka ia tidak bersyukur kepada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

7) Manusia suka kepada orang yang menjaga perasaan orang lain.
- Saya tertarik dengan kisah Imam Ahmad bin Hanbal dalam hal menegur sahabatnya, Harun bin Abdullah rahimahullah. Satu malam Imam Ahmad bin Hanbal ke rumah Harun bin Abdullah rahimahullah. “Aku resah hari ini memikirkanmu”, kata Imam Ahmad. “Mengapa?,” soal Harun bin Abdullah. Lantas dijawab oleh Imam Ahmad, “Saya melewatimu hari ini. Anda duduk menyampaikan pelajaran kepada orang-orang di tempat yang teduh, sedangkan mereka duduk di bawah terik matahari memegang buku dan pen. Jangan anda lakukan hal itu sekali lagi. Jika anda duduk, duduklah bersama manusia.“
- "Aku resah hari ini memikirkanmu" menunjukkan betapa lembutnya Imam Ahmad dalam menegur dan menjaga perasaan sahabatnya.

Sikap yang tidak disukai oleh manusia

1) Manusia tidak suka diberi nasihat di hadapan orang lain.

2) Manusia tidak suka diberi nasihat secara langsung.

3) Manusia tidak suka kepada orang yang selalu membangkit-bangkitkan kesalahan.
- Ada 4 perkara yang merosakkan dakwah ahli sunnah wal jamaah menurut Sheikh Salih bin Abdul Aziz Alus Syaikh iaitu :
(i) Ijtihadiyah iaitu hanya pendapatnya sahaja yang betul.
(ii) Isti’jal (terburu-buru).
(iii) Ta’ashub (fanatik) – biasanya orang yang fanatik terhadap mazhab, guru atau lain-lain.
(iv) Thalabul Kamal (menuntut kesempurnaan).
- Al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam kitabnya Mukhtashar Minhajul Qashidin mengatakan beberapa kriteria untuk memilih teman :
a) Aqidahnya benar.
b) Akhlaknya baik.
c) Bukan dengan orang yang bodoh dan tolol dalam kelakuannya sehingga menimbulkan mudarat.
d) Bukan seorang hamba dunia.

4) Manusia tidak suka kepada orang yang tak pernah melupakan kesalahan orang lain.
- Sebagai orang muslim kita harus memaafkan kesalahan orang lain seperti yang terkandung di dalam Surah as-Syura ayat 39 hingga 43.

5) Manusia tidak suka kepada orang yang sombong.
- Ada beberapa faktor manusia bersikap sombong. Pertama disebabkan oleh harta. Kedua, merasakan ilmunya lebih hebat daripada orang lain dan ketiga, merasa keturunannya lebih baik daripada orang lain.


6) Manusia tidak suka kepada orang yang suka memvonis orang lain.
- Kita perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu apabila melihat seseorang melakukan kesilapan. Jangan terus mengherdik atau melabel mereka.
- Sebagai contoh, ada satu ketika setelah solat berjemaah di masjid, Rasulullah SAW keluar masjid dan menjumpai dua orang yang tidak ikut berjemaah. Rasulullah SAW bertanya dengan baik dan tidak mengherdik kedua mereka.

7) Manusia tidak suka kepada orang yang mempertahankan kesalahannya atau orang yang berat merujuk kepada kebenaran setelah dia meyakini kebenaran itu.

8) Manusia tidak suka kepada orang yang menisbatkan kebaikan pada dirinya dan menisbatkan kejelekan pada orang lain.

~~~~

Itulah secara umum isi kandungan buku ini. Bab-bab seterusnya membincangkan adab secara khusus iaitu dengan Allah, Rasul, Guru, Teman dan lain-lain. Bab yang akhir di dalam buku ini melampirkan soalan yang popular berkaitan adab bergaul dan diberi jawapan yang bernas oleh penulis. Dengan bacaan buku ini, semoga adab kita sentiasa terpelihara baik di samping mendapat pahala kerana aturan tingkah laku kita yang menyenangkan pihak yang berurusan dengan kita. Wallahualam.

Rabu, 23 September 2009

Syawal 1430


TAQABBALALLAH MINNA WAMINKUM
Selamat hari raya buat semua teman dan anda yang mengunjungi blog ini.

Maaf zahir dan batin.

~~~~~~~~~~~~~~~

Aidilfitri kali ini mengundang 1001 rasa.
Ada suka, ada duka.
Tapi alhamdulillah, banyak nikmat yang Allah beri.
Terasa amat kasih sayang-Nya.
Kita selaku hamba-Nya sudah semestinya layak diuji.
Bersabar dan berdoa moga Allah memberkati :)

~~~~~~~~~~~~~~~~

Sekitar gambar-gambar pada hari raya pertama tahun ini :)

Pertambahan 2 ahli baru. Eh, silap '3'. Lagi seorang belum keluar.
Hehe..tahun depan dapat anak buah! Insya Allah.



Jumpa lagi! ^_^

Rabu, 16 September 2009

Sekudus Nur Ilahi


Judul buku : Sekudus Nur Ilahi
Penulis : A. Ubaidillah Alias
Penerbit : PTS
Beli di : MPH Mid Valley
Harga : RM 14.00
Muka surat : 208

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Buku ini lain sedikit dari novel yang lain. Ianya 100% dilukis dalam bentuk kartun dan bertemakan cinta antara dua insan yang berlainan agama. Zakry atau Zack seorang yang suka berfoya-foya sehinggalah dia terjumpa Natalya, seorang gadis Kristian yang berjaya mengubah dirinya menjadi seorang yang pemikir dan ingin kembali ke pangkal jalan. Aminurrashid, sahabat Zack adalah antara orang yang banyak membantu Zack mendalami agama semula setelah Zack insaf. Dalam masa yang sama, Zack yang jatuh hati pada Natalya berusaha memahamkan Natalya akan agama Islam tetapi sesuatu berlaku kepada Natalya selepas perjumpaan Zack dengan ayah Natalya yang sememangnya penganut agama Kristian yang sangat menitikberatkan kepercayaan yang benar.

Semasa pertemuan dan perbincangan dengan ayah Natalya, saya banyak belajar mengenai ajaran di dalam Bible dan perbandingan agama antara agama Islam dan juga Kristian. Zack berjaya mengemukakan hujah-hujah yang bernas di samping adanya Aminurrashid yang turut sama di dalam diskusi ilmu itu.

Bagaimana kesudahan cerita ini? Apakah Natalya masih ragu dengan agama Islam atau masihkah dia menolak cinta Zack?

Ahad, 13 September 2009

Diari Aneesa

Judul buku : Diari Aneesa
Penulis : Norehan M. Nooh
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM 18.00
~~~~~~~~~~~~~~
Banyak peristiwa menarik, sedih dan gembira yang berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari. Untuk merakamkan catatan perjalanan hidup kita pastilah ada sebahagian yang suka menulis diari atau jurnal. Teringat saya saranan pensyarah Bahasa Inggeris ketika di Kolej Matrikulasi Melaka dan juga di kampus sekarang yang mengesyorkan supaya menulis jurnal untuk memantapkan lagi penulisan bahasa Inggeris. Tapi, saya tidak begitu tekun. Hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hahah… awal-awal itu masih boleh tahan. Tetapi, apabila kerja sudah semakin banyak penulisan diari atau jurnal terbengkalai begitu sahaja ;)

Diari Aneesa menarik hati saya untuk membacanya. Walaupun novel ini sebenarnya ditujukan untuk golongan awal remaja tetapi boleh juga dibaca oleh peringkat umur yang lain.

Aneesa seorang murid tingkatan dua, hidup dalam keluarga yang harmoni dan bahagia. Dia seorang murid yang rajin, kakak yang baik, dan rakan yang bersikap terbuka. Tetapi saya rasa Aneesa kadang kala cepat marah apabila ada perkara yang tidak disukainya terjadi :) Tetapi dia selalu ditenangkan oleh kawan baiknya, Ika.

Dia mendapat hadiah sebuah diari daipada Mak Su dan bermulalah minatnya untuk mencatat perkara dalam kehidupannya sehari-hari. Namun begitu, rupa-rupanya tidak semua perkara yang sanggup ditulis oleh Aneesa di dalam diarinya. Masih lagi ada rasa 'takut' orang lain terbaca diari tersebut. Nanti habislah rahsianya! ;)

Di sekolah, ada seorang rakan sekelasnya yang agak nakal dan suka mengusik Aneesa. Aneesa cukup tidak suka dengan perangai Hanafi itu. Sehingga satu ketika Hanafi mengambil album setem Aneesa dengan sengaja (baca: curi). Tetapi ibu Aneesa pasti mungkin Hanafi ambil album tersebut kerana malu untuk meminjam dengan Aneesa. Aneesa yang marah ketika itu mendoakan supaya Hanafi dilanggar lori.

Opsss… dan peristiwa itu benar-benar terjadi! Hanafi dimasukkan ke hospital beberapa lama dan tidak sedarkan diri. Timbul rasa bersalah dalam diri Aneesa. Ini pengajaran buatnya supaya bercakap perkara yang baik-baik sahaja dan juga mendoakan sesuatu yang elok sahaja.

Rakan baiknya, Ika selalu sahaja sakit-sakit dan rupanya dia menghidap sejenis penyakit kulit. Seorang lagi pula selalu sahaja ponteng sekolah. Sehingga pada satu ketika Aneesa tersangka buruk terhadap kawan yang satu ini. Mengapa tidak. Aneesa sudah beberapa kali terserempak dengan kawannya yang keluar dengan seorang lelaki. Musykil juga. Kenapa ya dia menimbulkan masalah?

Ada banyak lagi peristiwa di dalam buku ini. Sesuai dihadiahkan kepada anak-anak remaja kerana penulis menggarap cerita yang dekat dengan awal remaja dan terdapat penerapan nilai murni dan akhlak Islam :)
Wallahualam.