Ahad, 13 September 2009

Diari Aneesa

Judul buku : Diari Aneesa
Penulis : Norehan M. Nooh
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM 18.00
~~~~~~~~~~~~~~
Banyak peristiwa menarik, sedih dan gembira yang berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari. Untuk merakamkan catatan perjalanan hidup kita pastilah ada sebahagian yang suka menulis diari atau jurnal. Teringat saya saranan pensyarah Bahasa Inggeris ketika di Kolej Matrikulasi Melaka dan juga di kampus sekarang yang mengesyorkan supaya menulis jurnal untuk memantapkan lagi penulisan bahasa Inggeris. Tapi, saya tidak begitu tekun. Hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hahah… awal-awal itu masih boleh tahan. Tetapi, apabila kerja sudah semakin banyak penulisan diari atau jurnal terbengkalai begitu sahaja ;)

Diari Aneesa menarik hati saya untuk membacanya. Walaupun novel ini sebenarnya ditujukan untuk golongan awal remaja tetapi boleh juga dibaca oleh peringkat umur yang lain.

Aneesa seorang murid tingkatan dua, hidup dalam keluarga yang harmoni dan bahagia. Dia seorang murid yang rajin, kakak yang baik, dan rakan yang bersikap terbuka. Tetapi saya rasa Aneesa kadang kala cepat marah apabila ada perkara yang tidak disukainya terjadi :) Tetapi dia selalu ditenangkan oleh kawan baiknya, Ika.

Dia mendapat hadiah sebuah diari daipada Mak Su dan bermulalah minatnya untuk mencatat perkara dalam kehidupannya sehari-hari. Namun begitu, rupa-rupanya tidak semua perkara yang sanggup ditulis oleh Aneesa di dalam diarinya. Masih lagi ada rasa 'takut' orang lain terbaca diari tersebut. Nanti habislah rahsianya! ;)

Di sekolah, ada seorang rakan sekelasnya yang agak nakal dan suka mengusik Aneesa. Aneesa cukup tidak suka dengan perangai Hanafi itu. Sehingga satu ketika Hanafi mengambil album setem Aneesa dengan sengaja (baca: curi). Tetapi ibu Aneesa pasti mungkin Hanafi ambil album tersebut kerana malu untuk meminjam dengan Aneesa. Aneesa yang marah ketika itu mendoakan supaya Hanafi dilanggar lori.

Opsss… dan peristiwa itu benar-benar terjadi! Hanafi dimasukkan ke hospital beberapa lama dan tidak sedarkan diri. Timbul rasa bersalah dalam diri Aneesa. Ini pengajaran buatnya supaya bercakap perkara yang baik-baik sahaja dan juga mendoakan sesuatu yang elok sahaja.

Rakan baiknya, Ika selalu sahaja sakit-sakit dan rupanya dia menghidap sejenis penyakit kulit. Seorang lagi pula selalu sahaja ponteng sekolah. Sehingga pada satu ketika Aneesa tersangka buruk terhadap kawan yang satu ini. Mengapa tidak. Aneesa sudah beberapa kali terserempak dengan kawannya yang keluar dengan seorang lelaki. Musykil juga. Kenapa ya dia menimbulkan masalah?

Ada banyak lagi peristiwa di dalam buku ini. Sesuai dihadiahkan kepada anak-anak remaja kerana penulis menggarap cerita yang dekat dengan awal remaja dan terdapat penerapan nilai murni dan akhlak Islam :)
Wallahualam.

1 ulasan:

  1. qashrina farisha abd halim17 Oktober 2012 pada 7:13 PTG

    saya sungguh gembira apabila membeca buku
    ini....

    BalasPadam