Selasa, 19 Mac 2013

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Aturan kehidupan kita sangat menarik sebenarnya.  Ada ketikanya kita gembira, ada ketikanya kita dilanda duka, di waktu lainnya kita diuji, tidak kurang juga terselit kisah kejayaan. Itulah yang dinamakan warna-warni kehidupan. Begitu jugalah cara Allah ingin mendidik kita. Sama ada kita mahu berfikir dan menerimanya atau tidak perasan langsung akan hikmah disebaliknya.

Buku ini mengisahkan kisah benar yang dialami oleh penulis sendiri. Pertama kali menatap novel grafik ini membuatkan saya sedikit teruja. Penggunaan kertas glossy dan blurb cerita yang mewujudkan rasa ingin tahu sangat membuak-buak.

Latar belakang cerita mengambil tempat di luar negara, tempat penulis menyambung pengajian dalam ijazah kedoktoran. Dapat difahami penulis seorang yang pendiam dan mungkin juga pemalu. Awalnya, buku ini berkisar pengajian beliau yang banyak menghabiskan masa di makmal membuat eksperimen. Namun keadaan ini mengalami sedikit perubahan apabila beliau mula rapat dengan seorang junior perempuan yang mengambil kursus perubatan di situ.

Perkenalan biasa tanpa disedari memupuk perasaan lain dalam diri penulis.  Ya, siapa yang tidak tertarik dengan gadis yang lembut, cantik dan periang. Namun silapnya apabila tidak berterus-terang, hubungan itu hanya pada 'anggapan' sahaja.

Sungguh berat perasaan yang dialami oleh penulis di saat mengetahui kenyataan sebenar. Besar juga dugaan yang dilalui. Pada masa yang sama eksperimen yang dijalankan belum berjaya sedangkan masa sudah semakin suntuk.

Saya puji kesungguhan beliau bangkit dari 'kegagalan' itu walaupun mengambil masa berbulan-bulan namun ianya berbaloi apabila beliau mampu menghabiskan pengajian dengan cemerlang. Masya Allah.

Mahu tahu kesudahan cerita? Saya pun tidak tahu :) Semoga penulis bertemu bahagia. (Saya tertanya-tanya andainya buku ini sampai ke tangan si gadis, adakah dia dapat.mengenal pasti kisah ini mengenai dirinya?)

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan