Judul buku : Asam Pedas Gula Melaka
Penulis : Norbi Husin
Penerbit : Utusan Publications & Distributors (2005)
Harga : RM43.00
Bilangan muka surat : 588
Sumber : Beli di Popular Jaya Jusco Bandaraya Melaka
Tamat baca pada : 20 Ogos 2010
Sumber gambar : Ujana Ilmu
Buku setebal 588 muka surat ini merakamkan perjalanan seorang guru yang cukup komited dan dedikasi terhadap tugas yang dipikulnya. Kagum. Itulah antara pandangan pertama saya mengenai penulis. Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian.
Bermula sebagai guru biasa kemudian dilantik menjadi pengetua sehinggalah dilantik berkhidmat di jabatan pelajaran, banyak pengalaman yang dikongsi bersama pembaca. Ada suka, ada duka. Ada pahit dan ada manis. Mungkin kerana itulah tajuk Asam Pedas Gula Melaka ini dipilih. Unik.
Saya terfikir-fikir akan kekuatan beliau dan nyata prinsip yang dipegangnya adalah jitu dan tegas. Tanpa mengenal jemu dan sentiasa melakukan yang terbaik adalah formula kejayaan yang selalu memacu visi dan misi beliau sepanjang perkhidmatan.
Saya banyak belajar dari pengalaman beliau. Nyata, jangan membuat kerja seperti melepaskan batuk di tangga. Harus sentiasa rajin dan berusaha sebaik mungkin apabila melakukan sesuatu. Komunikasi yang baik antara rakan sejawat serta seluruh warga sekolah secara umumnya perlu ada pada setiap orang.
Saya terkesan dengan salah satu kisahnya yang ingin menjadi guru jadual waktu. Pada masa dahulu penyusunan jadual waktu guru adalah menggunakan cip berwarna-warni. Disebabkan beliau belum pernah diberi tugas guru jadual waktu, beliau sangat ingin menjawat jawatan tersebut. Malangnya tidak diberi peluang oleh pengetua.
Apakah tindakan beliau? Saya tidak menyangka beliau akan menukar cip-cip tersebut (sewaktu ketiadaan GPK yang bertanggungjawab) dengan harapan akan berlaku pertindihan waktu mengajar guru-guru. Benar seperti yang dijangkakan, keesokan harinya ramai guru datang ke pejabat mengadu masalah yang dihadapi. Peninglah kepala GPK mendengarnya.
Beliau dengan sengaja lalu di pejabat dan menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah tersebut. Wah, sukar juga untuk menyusun semula. Hal ini kerana beliau telah terlupa sebahagian 'pertukaran' yang telah dilakukannya sehari sebelum itu. Beliau mengambil masa selama 1 jam untuk menjadikan jadual waktu itu kembali seperti asal. Hasilnya, tahun berikut beliau dilantik memegang jawatan tersebut!
Wah, jarang sekali ada guru yang menawarkan diri secara sukarela untuk memegang jawatan kerana kerja sedia ada juga sudah banyak. Tetapi jika minat sudah ada apa yangdilakukan tidak akan rasa penat malah akan rasa puas dan seronok :) Saya juga berharap dapat menjadi seorang yang dedikasi terhadap tugas. Insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan