Rabu, 4 November 2009

Selagi Masih Muda - Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Berharga

Judul buku : Selagi Masih Muda – Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna
Penulis : Dr A'idh al-Qarni
Penerbit : AQWAM Jembatan Ilmu
Harga : RM 15.80
Bilangan muka surat : 192
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Firdaus)
Tarikh baca : 28 – 30 Oktober 2009
Terbitan tahun : 2009

"Jika ingin melihat generasi akan datang, lihatlah para pemuda zaman ini".
Inilah kata-kata hikmat yang seringkali kita dengar..

Bagaimana keadaan pemuda-pemudi di zaman ini? Saya tidak menuding jari kepada orang lain, diri saya sendiri sudah cukup terkesan dengan kata-kata di atas. Ya Allah, betapa saya rasakan banyak kesalahan yang telah saya lakukan dan hanya rahmat dan keampunan dari Allah yang sangat didambakan.

Bertepatan dengan itu, saya terjumpa buku ini melalui seorang rakan saya. Jazakallah kerana meminjamkan buku ini. Sangat bertepatan dengan waktunya. Sejak akhir-akhir ini saya sering didatangi berita insan-insan yang dikenali dan disayangi kembali ke negeri yang kekal abadi. Terima kasih ya Allah kerana memberi peringatan buat hamba-Mu yang hina ini. Sungguh saya terasa kerdil dan tersentak. Seolah-olah diberi peringatan terus kepada saya. Semakin saya merasakan kekuasaan Allah yang Maha Hebat. Benarlah, "Mati adalah sebaik-baik peringatan!".

Dunia ini hanya sementara. Dunia ini hanya persinggahan sebelum kita menuju ke negeri yang kekal abadi. "Jagalah lima perkara sebelum datangnya lima perkara : Masa mudamu sebelum masa tuamu; masa sihatmu sebelum masa sakitmu; masa kayamu sebelum masa miskinmu; masa hidupmu sebelum kematianmu; dan masa luangmu sebelum masa sempitmu." (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih).

Selagi Masih Muda – Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Berharga karangan Dr A'idh al-Qarni ini mempunyai 7 bahagian ; Perhatikan Masa Mudamu, Begini Seharusnya Generasi Muda, Kembalilah Seperti Mereka Kembali, Gelorakan Semangatmu, Waspadai Rintangan-rintanganmu, Sebuah Hikmah dari Pemuda Kahfi, dan Sebaiknya Singkirkan Musik-musik Itu.

Terdapat empat unsur penting yang dilihat penyumbang terbesar kepada kelemahan para pemuda di zaman ini. Pertama ialah ketidakpercayaan kepada Tuhan (Atheisme dan kafir zindik). Dahulu kaum kafir begitu lelah dalam hal memerangi umat Islam kerana kekuatan umat Islam yang tidak dapat disangkal lagi. Tentera Islam berperang kerana Allah dan matlamatnya adalah mati syahid, mereka pula berperang kerana ingin menang. Sungguh jauh perbezaan tersebut!

Maka, golongan ini mula melancarkan perang secara senyap. Yang berjaya melemahkan umat Islam. Sedangkan Firaun sendiri sebenarnya mengetahui bahawa tiada Tuhan selain Allah. Nabi Musa Alaihissalam berkata kepada Firaun : "Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Rabb yang Memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Firaun seorang yang akan binasa." (Surah al-Isra' ayat 102).

Maka, "Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta Alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)." (Surah al-An'aam ayat 162).

Penyakit kedua yang melanda pemuda-pemudi ialah menuruti nafsu syahwat. Minuman keras, perempuan penggoda syahwat (pelacur), majalah lucah, dan nyanyian. Apabila hilang kewarasan akal akibat minuman keras, tiada apa lagi yang dapat dipercayai dari seseorang individu. Arak merupakan ibu segala maksiat namun orang tidak memandangnya sebagai suatu dosa besar.

Para penggoda syahwat (perempuan pelacur) juga merupakan agen perosak yang 'berjaya' di dalam menghancurkan muda-mudi sekarang. Dr A'idh membawa contoh pelakon dan penari perempuan di dalam filem Hindustan yang seringkali menari di khalayak ramai dan para penonton turut sama menyanyikan lagu dan beraksi mengikut pelakon / penari tersebut. Sedangkan para muslimah di Palestin turut sibuk menyertai mujahidin mempertahankan tanah air mereka. Inikan pula kita yang ikut bergelak ketawa menonton filem yang tidak menyumbang faedah kepada kita. Astaghfirullah….

Seterusnya ialah perang maknawi dan lemah semangat. Bangsa penjajah berjaya menanamkan rasa keputusasaan, lemah semangat dan perang urat saraf kepada kita. Akibatnya, kita masih tidak lagi berani mengubah apa jua tinggalan penjajah yang bertentangan dengan syariat Islam. Mengapa terjadinya hal begini?

Ibadah yang paling besar dan agung dalam memelihara waktu ialah solat lima waktu. Bahkan ilmu merupakan nadi bagi kemajuan kita. Tidak semua buku harus kita baca tetapi apa yang dibaca itu harus membuahkan hasil, bermanfaat dan berguna.

Mendidik pemuda bukanlah tugas yang mudah. Mari kita lihat contoh-contoh Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam dalam usaha mentarbiah (mendidik). Di dalam sebuah hadis, ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam. Ada yang berpendapat mengatakan lelaki ini datang dari Tsaqif. Dia mengatakan, "Wahai Rasulullah, aku ingin Islam tetapi aku tidak dapat meninggalkan zina."

Para sahabat yang ada terpancing emosi mereka. Mereka meminta pemuda itu menerangkan kenyataannya. Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam berkata, "Biarkan dia!". Baginda Solallahu Alaihi Wasallam tidak mengutuk pemuda itu malahan duduk berbincang dengannya. "Relakah kamu bila ibumu dizinai?," Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bertanya. "Tidak," jawab pemuda itu. Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bertanya lagi, "Relakah bila puterimu dizinai?". Lelaki itu menjawab, "Tidak." Baginda Solallahu Alaihi Wasallam bertanya lagi, "Relakah kamu ibu saudaramu (dari sebelah ayah) dizinai?". "Tidak," jawab pemuda itu. "Relakah kamu ibu saudaramu (dari sebelah ibu) dizinai?". "Tidak," jawab pemuda itu lagi.

Nabi Muhammad Solallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Bagaimana orang lain akan rela sedangkan kamu sendiri tidak rela akan hal itu." lelaki itu kemudiannya mempunyai semangat keislaman yang tinggi. Dia membayangkan sikap orang-orang ketika kerabat wanita mereka dizinainya, seperti sikapnya ketika kerabat wanitanya dizinai. Lalu lelaki itu berkata, "Aku bertaubat kepada Allah dari perbuatan zina."

Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Ya Allah, jagalah pendengaran, penglihatan, dan kemaluannya." (Hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya 5/256-257; At –Tabrani dalam al-Kabir (7679) dan dalam "Musnad Al-Syamiyyin (1066); disahihkan Al-Albani dalam "Al-Silsilah Al-Sahihah" nombor 370).

Subhanallah, begitu mudah bimbingan Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam!.

Lalu, bagaimanakah cara yang dapat membuatkan masa muda kita begitu berharga?

1. Memperhatikan amalan fardu

Allah berfirman, "Tidak ada usaha hamba-Ku untuk mendapatkan redha-Ku yang lebih Kucintai daripada hal-hal yang kuwajibkan kepadanya. Hamba-Ku senantiasa berusaha mendapatkan keredhaan-Ku hingga Aku mencitainya. Maka, apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dipakainya untuk mendengar…………….." (Hadis riwayat Bukhari (6502)).

Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam menumpukan kepada mendidik umat mengerjakan perkara yang wajib dahulu.

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah Solallahu 'Alaihi Wasallam tentang Islam. Lalu dijawab oleh Baginda :"Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah." Orang itu bertanya, "Kemudian apa lagi?", Baginda Solallahu 'Alaihi Wasallam menjawab, "Lima kali solat sehari semalam." Orang itu bertanya lagi, "Adakah kewajiban lain terhadapku selain itu?", Rasulullah Solallahu 'Alaihi Wasallam menjawab, " Kecuali jika kamu ingin melakukan ibadah sunah secara sukarela." (Hadith riwayat Bukhari (46) dan Muslim (11)).

Malah tercatat dalam Sahih Muslim, seorang Badwi bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, apa pendapatmu bila aku telah mengerjakan solat lima waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan, menunaikan zakat, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, apakah aku akan masuk syurga?". Nabi menjawab, "Ya."

Doa yang diajar oleh Rasulullah kepada Saidina Ali ketika Saidina Ali meminta diajarkan satu doa;

اللهم اهدني و سد د ني

"Ya Allah berilah aku petunjuk , dan istiqamahkanlah diriku." (HR An-Nasaie)

2. Menghidupkan semangat keteladanan

Pendek kata, "Walk Your Talk". Pemuda-pemudi zaman ini amat memerlukan contoh teladan yang baik. Orang lebih mudah mengikut sekiranya dapat dilihat dengan mata dan kesannya lebih terasa lagi berbanding mendengar atau bercakap.

Contoh yang dibawakan oleh penulis ialah salah seorang ulama salaf berkata, "Dulu ketika aku lemah dalam beribadah, malas beribadah, aku pun menjumpai Muhammad bin Wasi' Al-Asadi. Lalu kulihat wajahnya. Maka aku pun jadi rajin beribadah dalam beberapa minggu…."
Subhanallah, hanya dengan melihat!

Para ulama mengatakan, "Muhammad bin Wasi' itu apabila dipandang, wajahnya mengingatkan orang-orang akan Allah."

Sedangkan Nabi Solallahu Alaihi Wasallam sendiri apabila ditanya akhlaknya kepada Saidatina Aisyah, isterinya ini menjawab, "Akhlak baginda ialah al-Quran."

3. Menanam makna ukhwah

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali-Imran ayat 103).

Diantara cara yang dapat kita lakukan dalam mengukuhkan ukhwah ialah memberi salam ketika bertemu dengan saudara kita (atau dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa sama ada sengaja atau tidak) dan berwajah ceria ketika bertemu. Sudah pasti teman kita atau individu tersebut berasa senang dengan kita.

Saling nasihat-menasihatilah antara satu sama lain dan wajib menghadiri majlis dan memenuhi undangannya. Hanya ada beberapa keadaan sahaja seseorang itu tidak dapat menghadirkan diri :

(i) Memiliki halangan yang dibenarkan oleh syariat. Contohnya sakit, bermusafir, terikat waktu, atau sudah ada janji lain sebelumnya.
(ii) Memberi alasan kerana adanya bid'ah atau kemungkaran orang yang mengundang.

Di antara hak kewajiban dalam ukhwah islamiyah itu juga ialah anda mendoakan tanpa diketahui oleh orang yang kita doakan. Doa ini paling cepat dikabulkan. Jangan lupa juga menziarahi ketika sakit. 70 000 malaikat akan turut mengiringi kita apabila pergi menziarahi orang sakit.

Bacakanlah doa ketika menziarahi orang sakit :

(rujuk entri doa ketika sakit sebelum ini)

4. Menjauhi perbuatan mencela

Janganlah kita mencela orang lain sedangkan kita sendiri tidak tahu kelemahan diri kita. Sekiranya ingin menegur seseorang, janganlah sampai mencelanya di hadapan orang ramai kerana itu akan menjatuhkan maruah dirinya dan mengaibkannya. Allah berfirman,

و لو كنت فظا غليظ القلب لا نفضوا من حو لك

"Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Surah Ali Imran ayat 159).

5. Menerima perbezaan

Sekiranya terdapat perbezaan pendapat, haruslah didengari terlebih dahulu semua pendapat yang ada. Kemudian, barulah berbincang dan menyelesaikan masalah. Jika tidak, masing-masing menerima perbezaan pendapat masing-masing dan amalkanlah pendapat tersebut mengikut kesesuaian pendapatnya.

Buruk benar akibatnya sekiranya kedua-dua belah pihak bertelagah kerana ingin menegakkan pendapat masing-masing yang tidak semestinya benar.

6. Menyikapi fatwa

Kebanyakan orang berfatwa atas sebab ingin mencari nama. Sehingga ramai di kalangan kita yang baru belajar 1-2 hadis sudah mahu mengeluarkan 'fatwa' sendiri. Nyatanya, para ulama yang telah menuntut ilmu berlipat kali ganda lamanya dari kita pun masih sulit untuk mengeluarkan fatwa. Terdapat dua kesalahan dalam berfatwa iaitu :

Pertama, berfatwa tanpa ilmu.

Kedua, mengharamkan seseorang berfatwa dalam permasalahan-permasalahan yang sudah jelas seperti rukun iman dan islam. Orang ini termasuk dalam orang yang beragama kaku menurut penulis.

12 rintangan yang dialami oleh generasi muda kini


1. Lemahnya hubungan dengan Allah

Solat wajib yang diperintahkan oleh Allah kadang-kala dilakukan secara sambil lewa. Dilakukan dengan pantas, tanpa sempat memahami maksud, mengejar masa, dan tidak sempurna rukun dan bacaannya. Ramai yang mengambil mudah. Sedangkan solat adalah pencegah kepada kemungkaran namun berapa ramai yang solat tetapi tetap melakukan maksiat? Subhanallah… banyak yang perlu diperbaiki dan diperhalusi..

Sebahagian besarnya meninggalkan solat tahajud dan kurang berdoa. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :

"Dan, apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Banyakkan juga berzikir, bertasbih dan membaca al-Quran. Amalkanlah mathurat atau Hisnul Muslim secara konsisten pagi dan petang. Semoga Allah merahmati.

2. Syirik kerana takut dan lemah tawakal.

Kita lihat kebanyakan orang merasa takut dengan manusia. Perkataan, tingkah laku, dan kecantikan rupa paras diperhatikan baik-baik agar tidak mendapat apa-apa teguran dari orang lain. Sedangkan di hadapan Allah jarang sekali begitu.

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab menyebutkan, "Di antara hal-hal yang membatalkan La ilaha illallah ialah syirik kerana rasa takut, bila rasa takut kepada selain Allah lebih besar daripada rasa takut kepada Allah."

Antara ayat-ayat Allah yang menyatakan hal ini ialah ;

"Dan hanya kepada-Ku lah kamu harus takut (tunduk)". (Al-Baqarah : 40)

"Kerana itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Ali Imran : 175)

Ya Allah, bukan sedikit rasanya saya melakukan perbuatan ini. Kadang kala hal ini dilakukan tanpa sedar. Misalnya, merapikan pakaian kerana takut dikata orang.. Astaghfirullahal azim…baru kini saya tahu..insya Allah akan lebih saya perhatikan baik-baik kelakuan saya selepas ini.

3. Tiada perhatian di dalam memahami agama.

Ramai di kalangan kita yang tidak minat membaca dan kurang membaca. Pernah seorang yahudi,Mosyi Dayyan berkata, "Arab adalah bangsa yang tidak membaca." Cuba bayangkan, Israel telah secara tidak sengaja memberitahu banyak rahsia senjata nuklearnya di wilayah Timur Tengah, rahsia pasukan berserta jumlahnya tetapi bangsa Arab tidak mengetahuinya.

Mengapa bangsa Jepun dan orang barat begitu menyuburkan minat membaca dikalangan mereka? Jika kita perhatikan, di mana-mana sahaja mereka akan membaca buku. Tidak kiralah semasa menunggu bas, di dalam bas, ketika duduk di taman, dan semasa menunggu makanan di restoran. Mengapa kita tidak?

4. Lemah cita-cita.

Kebanyakan di antara kita tidak merasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang hakiki. Semuanya menganggap beban itu sepatutnya dipikul oleh orang lain. "Maaf, saya tidak layak memegang jawatan ini kerana saya bukan dari sekolah agama." "Dia lebih layak kerana dia pandai bercakap berbanding saya." "Saya kurang ilmu agama, tidak layak untuk menegur silap kawan saya tu."

Lalu di posisi mana anda berada?

Sedarilah bahawa setiap daripada kita merupakan khalifah Allah. Setiap dari kita juga mempunyai potensi diri yang perlu kita sendiri cungkil. Ayuh kawan, bersama kita memperbaiki diri dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain!

5. Inferiority complex

Ramai di antara kita yang mendapat hidayah Allah setelah berbuat maksiat. Lalu mereka memohon taubat dan diterima oleh Allah. Namun perasaan rendah diri dan bersalah menyebabkan ramai di kalangan mereka yang menolak untuk menasihati (atau berdakwah) kepada orang lain. Tiada manusia yang sempurna dari melakukan kesilapan. Dan tiada manusia yang sempurna ibadah, quran, dan amalannya sehingga menyebabkan dia tidak mahu melakukan dakwah atau menyeru orang kepada kebaikan.

6. Tidak sabar menahan godaan.

"Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan mereka adalah orang yang meyakini ayat-ayat Kami." (Surah as-Sajadah : 24)

Saya baru sahaja mengikuti seminar mengenai dadah di kampus saya. Ketua unit pencegahan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengatakan banyak punca yang menyebabkan seseorang itu menagih. Akan tetapi, cubalah bertanya kepada penagih-penagih ini, apakah punca mereka menagih?

Sudah pasti jawapan pertama mereka ialah menyalahkan ibu bapa, kedua menyalahkan guru, ketiga menyalahkan rakan sebaya dan seterusnya namun tidak ada pun yang menyatakan punca adalah dari diri sendiri!

7. Pengaruh hiburan moden terhadap kerjaya dan kesungguhan.


Pengaruh hiburan berhasil melalaikan kita dari melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Seringkali kualiti kerja tidak sehebat mana kerana kita lalai dengan hiburan, bergaul dengan rakan yang tidak baik, dan malas.

8. Merasa gagal dan putus asa.

Sebahagian orang merasa putus asa dan gagal apabila ajakannya tidak diterima oleh orang yang didakwahi. Sehingga ada di antara mereka meninggalkan terus kegiatan dakwah. Janganlah kita berasa putus asa kerana hidayah itu milik Allah. Tugas kita hanyalah menyampaikan dan mengajak orang kea rah kebaikan. Sama ada mereka mahu mengikut atau pun tidak terpulang kepada pilihan individu. Yang penting kita telah berusaha dan terus menasihati mereka.

Sedangkan Nabi Nuh a.s sendiri berdakwah selama 950 tahun kepada kaumnya namun hanya sebilangan kecil sahaja yang menyahut seruan dakwahnya. Bapa saudara Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam juga sehingga ke akhir hayat masih berpegang kepada agamanya.

9. Optimis yang berlebihan.

Ada sebahagian orang yang persekitarannya baik, rakan bergaulnya baik, juga ahli keluarganya sehinggakan dia menganggap semua manusia adalah baik dan tidak dapat menerima senadainya mereka melakukan sedikit kesilapan. Jangan beranggapan semua orang adalah baik. Jika tidak neraka dan syurga, dosa dan pahala tidak akan wujud. Semua ini adalah untuk menguji manusia. Adakah mereka benar-benar memanfaatkan nikmat akal yang diberikan atau tidak.

10. Waktu terbuang kerana hiburan dan menangguh kerja.

Kata bijak pandai, "Barangsiapa yang menanam benih 'nanti' akan tumbuh sebuah tanaman yang bernama 'mudah-mudahan', yang memiliki buah namanya 'seandainya', yang rasanya adalah "kegagalan dan penyesalan'."

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hijr ayat 3 :

"Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka)."

Saya sendiri secara jujur selalu juga menunda-nuda kerja. Masya Allah. Perlu ditinggalkan perangai buruk yang satu ini. Tidak jarang tugasan disiapkan saat akhir. Ini semua bahana perbuatan 'nanti'. Inilah juga salah satu faktor kemunduran.

Saya begitu terkesan dengan dua hadis di bawah ini…..

نعمتا ن مغبو ن فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

"Ada dua nikmat yang kebanyakan orang tertipu kerananya; kesihatan dan masa lapang." (Hadis riwayat Bukhari).

لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسال عن عمره فيما افناه وعن علمه فيم فعل وعن ماله من اين اكتسبه وفيم انفقه وعن جسمه فيم ابلاه

"Pada hari kiamat, kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser, sebelum ia ditanyai: tentang umur, untuk apa dihabiskan; tentang ilmu, untuk apa ia gunakan; tentang harta, dari mana ia peroleh dan untuk apa ia belanjakan; dan tentang badannya, untuk apa ia gunakan." (Hadis riwayat At-Tirmizi).

11. Tidak tahu potensi diri.

Di dalam satu hadis sahih, Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan ia diciptakan." (Hadis riwayat Muslim).

Koreksilah diri dan perhatikan apakah bakat anda dan gunakanlah ia ke saluran yang baik.

12. Lemah hubungan antara dai (pendakwah) dan ulama.


"Allah selalu membantu seorang hamba selama hamba itu selalu membantu saudaranya." (Hadis riwayat Muslim).

Kolaborasi antara dua pihak ini mampu menjana idea yang lebih mantap dan dapat membantu perkongsian ilmu dan kepakaran yang ada bagi memantapkan usaha dakwah.


Sesungguhnya apa yang saya kongsikan di sini adalah untuk peringatan diri saya sendiri dan anda semua. Saya berdoa agar diampunkan dosa dan diberi keistiqamahan dalam membuat kebajikan dan dakwah. Tiada daya dan upaya melainkan kuasa-Mu ya Allah..ampuni dan rahmatilah kami semua….amin….


~ Four things come not back. The spoken word, the sped arrow, the past life and the neglected opportunity ~ Arabian Proverb



Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan