Ahad, 31 Ogos 2014

Buku 47 : Bahagia dan Membahagiakan oleh Prof Dr Muhaya Hj Mohamad



Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang 'stress' sebenarnya pergantungan kepada Allah tidak kuat.

Oh! Ayat ini membuatkan saya tersentak @_@ hee..

Penulis menekankan kepentingan bersikap positif, berfikiran positif, banyak membantu orang lain, banyak memberi dan memaafkan sebagai elemen bahagia dan membahagiakan.

Sebagai contoh, orang yang panas baran selalunya orang yang tidak gembira dengan diri sendiri. Cara berhadapan dengan orang yang panas baran ini ialah dengan menganggap dia sebagai pesakit dan kita sebagai doktor. Perbetulkan diri kita dahulu, berasa belas dengannya dan cuba berkomunikasi dengan baik.

Manakala bagi orang yang pemarah pula ialah orang yang takut akan dua perkara iaitu takut kehilangan dan takut tidak dihormati. Ini berpunca daripada kebergantungannya kepada manusia dan bukan kepada Allah.

Bagaimana cara mewujudkan rasa takut kepada Allah? Pertama, ambillah masa berfikir dan merenung kekuasaan Allah, mendalami agama seperti ilmu tafsir al-Quran dan hadis dan banyak membaca, menghadiri kuliah-kuliah agama dan bermuhasabah. 


Selain itu, setiap hari selepas bangun dari tidur ucapkan dan doa yang baik-baik sebelum memulakan hari. Misalnya :

"Saya ingin lebih beriman, bertaqwa, bersyukur, berkasih sayang dan memberi yang terbaik. Saya beriman dan yakin dengan kuasa dan ketentuan Allah terhadap kehidupan saya."

Formula murah hati berasaskan kepada lima aspek ini :

1. Fizikal ; membantu orang lain hatta mengangkat barang.
2. Penuh kasih sayang
3. Kerohanian (pegangan agama) ; amar ma'ruf nahi mungkar
4. Kewangan ; membantu orang atau bersedekah
5. Ilmu ; menyebarkan ilmu

Semoga mendapat keredaan-Nya. Barakallahufik. :)

Sabtu, 30 Ogos 2014

Buku 46 : Now You Are A Mother oleh Du'aa' Ra'oof Shaheen

Bismillahirrahmanirrahim.
Sumber gambar : klik sini

Alhamdulillah selesai membaca buku ini selama beberapa hari. Buku ini saya beli setahun yang lepas ketika menghadiri sebuah konvensyen keibubapaan di Perbadanan Putrajaya. Kenangan waktu itu kerana pertama kali menghadiri program yang disediakan tempat penjagaan kanak-kanak selama ibu bapa mengikuti seminar. Dan paling menarik, saya terjumpa semula rakan serumah ketika belajar di UtEM selepas 9 tahun saya meninggalkan kampus tersebut. Subhanallah, gembira tidak terkata. Dia pula baru sahaja berkahwin dan suaminya juga orang Melaka :)

Tertarik dengan kulit hadapan buku dan ketika itu saya berniat untuk membaca buku ini apabila mengandung seterusnya. ;p waktu itu anak sulung berusia 2 tahun 8 bulan dan anak kedua berusia 8 bulan. Namun, ketika berpantang anak ketiga ini baru saya berpeluang membaca buku ini.

Alhamdulillah, sesuai dengan tajuknya. Saya rasa penulis berjaya menulis hampir kesemua perkara asas yang patut diketahui oleh seseorang ibu terutama yang pertama kali menimang cahaya mata. Memang sangat membantu dalam membuat persediaan mental dan emosi selain memperlengkapkan pengetahuan ibu bapa mengenai persediaan kelahiran, tip penjagaan semasa mengandung, melahirkan, mengetahui perkembangan anak serta tip asas menangani masalah ketika anak sakit.

Ilustrasi setiap muka surat juga cantik dan memberi aura positif ketika membaca buku ini. Cuma pembahagian bab dalam buku ini tidak begitu nampak menyebabkan secara tidak sedar menjadikan saya "tidak" boleh berhenti membaca. Haha, psikologi sahaja kan ;)

Sangat disyorkan untuk semua ibu membacanya!

Jumaat, 29 Ogos 2014

Buku 45 : Travelog Minda Tajdid : Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat oleh Dr MAZA

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu pandangan yang kritis dengan hujah dari al-Quran dan hadis. Setiap isu yang dikupas dijelaskan dengan baik tanpa ada unsur politik mahupun kritikan kepada mana-mana pihak. Idea bernas dan mencakupi segenap aspek mengikut disiplin ilmu.

* Himpunan artikel ini ditulis semasa penulis mengambil cuti sabatikal di Lampeter, UK.

Khamis, 28 Ogos 2014

Buku 44 : Kupilih Redha-Mu oleh Ruhana Zaki


Bismillahirrahmanirrahim.

Pada mulanya saya tidak mengetahui konsep buku ini kerana tidak membaca sinopsisnya :) Maklumlah, orang beri hadiah, terlebih gembira pula saya ;)

Awalnya, saya menjangka ianya sebuah travelog namun helai demi helai yang dibaca menafikan tanggapan awal saya tadi. Penulis berkongsi kisah motivasi islamik yang merangkumi peranan kita semua dalam sebuah kehidupan. Sebagai seorang suami, isteri, ibu bapa, anak, pelajar dan tidak lupa sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, boleh saya katakan tazkirah ringkas. Semasa membacanya seolah-olah saya rasakan seperti berbual-bual dengan penulis. Isu yang dilontarkan memang sering berlegar dalam masyarakat namun pendekatan jawapan yang diberi menepati objektif dan mesej yang ditujukan itu kena pada tempatnya.

Terima kasih ustazah. Banyak ilmu berharga dapat saya kutip dari buku setebal 340 muka surat ini. Terkesan dengan bab-bab di dalam bahagian Melakar Keluarga Sakinah dan Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat. Dalam Melakar Keluarga Sakinah, pelbagai aspek dan sisi dalam keluarga disentuh seperti faktor sekufu, suami sepenuh masa, saling hormat-menghormati dan perihal doa ("Abang Doa Apa Untuk Saya?").

Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat adalah berkenaan pelajar.Jangan rasa menyesal andai tidak dapat enjoy ketika zaman belajar. Bukankah elok menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Tertunai tanggungjawab dan amanah kita sebagai pelajar dan anak. Mendapat pahala lagi atas kesungguhan belajar.

Jumaat, 22 Ogos 2014

Buku 43 : Dalam Dekapan Ukhuwah oleh Salim A. Fillah


Bismillahirrahmanirrahim.

Naskah indah.

Padat dengan kisah sirah Nabi dan para sahabat, motivasi diri, ilmu semasa daripada tokoh-tokoh seperti Dale Carnegie dan Stephen Covey (sekadar menyebut beberapa nama) dan untaian puisi.

Masya Allah.

Saya tidak pandai mengulas karya ini. Ini karya ketiga beliau yang saya baca selepas jatuh hati dengan garapan dan mesej yang disampaikan melalui buku Saksikan Bahwa Aku Seorang Muslim(dan hingga kini masih diulang baca) dan Agar Bidadari Cemburu Padamu (tetapi saya membaca edisi terjemahan terbitan PTS dengan tajuk Biar Bidadari Mencemburui Dirimu).

Intinya ukhwah namun mesejnya melangkaui pengetahuan seluas alam. Tertarik dengan simbolik gambar di kulit hadapan buku. Gambar bakul berisi buah yang digambarkan beberapa orang berpegangan tangan. Apa kaitan antara orang dengan buah?

Jika ingin mendapat sahabat yang baik, jadilah kita sendiri sahabat yang baik terlebih dahulu.

Semoga Allah memberkati.

Selasa, 19 Ogos 2014

Hilang

Bismillah.

Petang ini lihat blog. Gambar di blog ini kebanyakannya hilang. Oh?!


.
.
.
.

Malas nak fikir. Baca buku lebih baik @_@

Wassalam.

Buku 42 : Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari oleh Mohd Hisham Mohd Sharif & Hasifah Zainuddin

Bismillahirrahmanirrahim.



Keputusan untuk berkahwin merupakan keputusan besar yang perlu dibuat dalam hidup ini.

Bagaimana membina rumah tangga yang bahagia? Siapakah calon pasangan kita, sempurnakah dia, cukupkah kewangan, bersediakah memikul tanggungjawab, mampukah menangani dugaan berumahtangga? Senarainya terlalu banyak untuk difikirkan.

Patutlah ketika menerima ucapan tahniah sempena perkahwinan, pesanan popular ialah "Banyakkan bersabar..".

Berkahwin memang seronok, indah namun ianya disertai dengan tanggungjawab. Bertanggungjawab ke atas isteri, rumah, anak-anak, menjaga hubungan dengan ibu bapa dan mertua, ipar-duai dan segalanya.

Namun, tidaklah sampai menghalang orang yang hendak berkahwin. Jangan takut. Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya sebaliknya kitalah yang menzalimi diri sendiri. Takut tiada duit? Kahwinlah. Allah akan berikan rezeki. Jika mahu tunggu segalanya sempurna, sampai ke tualah kita tidak akan berkahwin ;)

Penulis menyentuh segala serba-serbi pra dan pasca perkahwinan dengan baik sekali. Masya Allah. Ia menjadikan saya mengenang kembali saat sebelum nikah dan asam garam yang dilalui selepas pernikahan itu. Kini, usia perkahwinan yang menginjak ke lima tahun masih lagi belum sempurna. Namun ia semakin mematangkan kami menghadapi cabaran rumahtangga.

Benar. Bercinta sebelum nikah banyak "ditampali" dengan penyamaran, sebab itu disyariatkan bernikah kerana banyak hikmah di situ.

Situasi-situasi yang dikongsi oleh penulis banyak memberi pengajaran dan memberi ruang berfikir kepada para pembaca. Sungguh, penulis bijak mengadun kata dalam memberi nasihat, teguran dan motivasi. Semoga Allah memberkati.