Ahad, 1 Jun 2014

Buku 22 : The Miraculous Journey of Edward Tulane

Bismillahirrahmanirrahim.

Kulit hadapan buku nampak klasik. Berwarna kuning keemasan dan ada seekor arnab berjalan menuju ke pintu rumah agam.

Novel kanak-kanak ini bertemakan kasih sayang. Kita tidak akan disayangi sekiranya kita juga tidak menyayangi. Teringatkan kisah di mana Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mencium cucunya, Hassan lalu berkata sahabat yang melihat (Aqra'), "Aku mempunyai sepuluh anak tetapi tidak seorang pun pernah aku cium. " Maka Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berkata, "Orang yang tidak menyayangi tidak akan disayangi."

Edward Tulane ialah sebuah patung mainan yang diperbuat daripada material yang bermutu tinggi dilengkapi pakaian yang cantik dan dikelilingi alat permainan mahal serta dimiliki oleh seorang gadis kecil yang tinggal bersama keluarga mewah di Egypt Street bernama Abilene Tulane.

Dia dilayan dengan baik sekali meskipun dia hanya sebuah patung mainan. Edward menganggap dirinya hebat dan kurang mempedulikan lain-lain hal termasuklah tuannya.

Pada satu masa, ketika sambutan hari lahir Abilene kesebelas, ibu bapanya membawanya belayar menaiki kapal mewah dan bermulalah kisah hidup Edward yang begitu panjang dalam episod mengenali erti dan perasaan kasih sayang.

Di atas kapal mewah itu, ada beberapa orang budak lelaki yang nakal mengusik Abilene. Tanpa kawalan, Edward tercampak ke dalam lautan biru yang luas dan dalam. Terdamparlah Edward beberapa lama di dalam lautan sehingga berlaku ribut. Akhirnya Edward tersangkut pada jaring nelayan laut dalam.

Suasana baru, tuan yang baru dan diberi nama yang baru. Nellie dan Lawrence memanggilnya Susanna dan tinggallah Edward bersama mereka beberapa lama. Menemani Nellie yang rajin memasak, menjadi teman Lawrence keluar bersiar-siar di waktu malam dan mendengar celoteh mereka suami isteri.

Namun, segalanya berubah apabila Lolly, anak Nellie pulang menziarahi ibu bapanya. Lolly membuang Edward di tempat buangan sampah. Hmm..saya tidak pasti mengapa Lolly bertindak demikian. Ya, Edward merasakan satu perasaan. Kasih sayang. Dia mahu kembali mendapatkan Nellie dan Lawrence!

Hampir setahun di situ, akhirnya Edward mendapat tuan baru. Seorang gelandangan yang bertemankan seekor anjing. Tuan baru ini sangat menghargai Edward dan Edward juga dapat menyesuaikan diri berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Siapa sangka, tujuh tahun lamanya Edward bersama mereka sehinggalah Edward dicampak keluar gerabak keretapi oleh seorang samseng.

Huhu..penat sungguh menjadi seorang Edward -_-

Siapa pula tuan baru Edward kali ini?

Seorang perempuan tua mengutip Edward dan dibawa pulang. Rupa - rupanya dijadikan orang-orang bagi menakutkan burung yang datang ke kebunnya.

Dalam diam, seorang budak lelaki datang "menyelamatkannya" lalu diberi kepada Sarah Ruth, adiknya yang menderita sakit. Namun, bahagia Edward tidak lama apabila Sarah Ruth meninggal dunia akibat penyakitnya. Budak lelaki itu membawanya jauh ke Memphis dan menyara hidup dengan mengadakan persembahan jalanan.

Malang menimpa sekali lagi. Edward dihentak oleh pemilik restoran tempat budak lelaki itu makan kerana dia tidak mampu membayar makanan yang di makan.

Berakhirkah hidup Edward?

Budak lelaki yang baik budi itu membawanya ke sebuah kedai alat permainan dan tuan kedai sanggup memperbaiki keadaan Edward dengan dua syarat.  Pertama, budak lelaki itu membayar upah membaiki Edward atau kedua menyerahkan Edward kepadanya. Pilihan kedua dipilih. Oh, sedihnya :(

Edward dibaiki dan diberikan tempat terbaik di dalam kedai itu. Namun, selepas bertahun-tahun hidup susah dan selalu sahaja terpisah dari tuannya, Edward menjadi kembali pesimis. Dia tidak mahu menaruh harapan lagi. Baginya tiada guna menyayangi orang lain kerana dia sudah kecewa.

Sehinggalah pada satu hari sebuah anak patung baby doll berusia 100 tahun ditempatkan di sebelahnya dan mereka berbual-bual. Baby doll itu menasihatinya supaya membuka pintu hati untuk menerima orang barulah dirinya akan disayangi. Sungguh malang sekali apabila hidup tidak disayangi. Oh, pandainya baby doll ini berkata-kata!  ^_^

Hari demi hari, bulan demi bulan, satu keajaiban berlaku.. Seorang anak gadis kecil masuk ke kedai bersama ibunya ketika hujan turun lebat di luar. Tanpa disangka, anak kecil itu berminat dengan Edward! Tambah mengejutkan, ibunya ialah Abilene! Oh.....


2 ulasan:

  1. Mana nak beli buku ni saya nak sangat second hand pun tak apa

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun pinjam dari perpustakaan awam negeri Melaka ^_^ Mungkin boleh lihat di web Kinokuniya Malaysia.

      Padam