Jumaat, 5 Jun 2009

Hebatnya. . .

Siapakah sahabat yang dikatakan oleh Rasulullah SAW jika ditimbang imannya melebihi iman semua umat manusia yang ada di muka bumi ini? Siapakah insan hebat ini? Bagaimanakah perwatakan dan amalannya sehinggakan Rasulullah SAW berkata sedemikian?

Sahabat yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah Abu Bakar as-Siddiq.. teman sejati Rasulullah SAW yang juga bapa mertuanya... Saya mencari-cari biografi mengenai beliau sehinggalah saya bertemu dengan buku Abu Bakar Sahabat Sejati keluaran PTS yang ditulis oleh Abdul Latip Talib. Saya kongsikan resensi buku yang tidak seberapa ini dengan anda semua. Semoga bermanfaat. .


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~





Abu bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 570H. Dua tahun setengah selepas berlakunya peristiwa tentera bergajah ingin menyerang kota Mekah. Nama sebenarnya ialah Abdul Kaabah yang bermaksud Hamba Kaabah. Nama ini diberi oleh ibunya, Salma binti Shakhar atau digelar Ummu Khair yang bermaksud “Ibu yang Baik”. Ibunya bernazar menamakannya Abdul Kaabah kerana sebelum ini semua anak lelakinya meninggal dunia ketika masih kecil. Bapanya pula bernama Usman atau dipanggil Abu Quhafah dari Bani Tamim. Beliau dipanggil Abu Bakar yang bermaksud “Bapa Unta Muda” kerana sangat suka membela anak-anak unta. Jurai keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah SAW : Abu Bakar bin Usman bin Amir bin Kaab bin Taim bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihir at Tamimi.

Sirah perjalanan hidup Abu Bakar amat berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Beliaulah sahabat sejati Nabi Muhammad, maka setiap langkah hidupnya pasti ada bersama dengan Rasulullah SAW. Abu Bakar menjadi khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW dan memerintah selama 2 tahun 3 bulan 10 hari. Beliau memilih Umar al-Khattab sebagai pembantunya, Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai orang yang dipercayai memegang perbendaharaan negara, Uthman bin Affan sebagai setiausaha dan Zaid bin Thabit sebagai jurutulis.

Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan pada Abu Bakar sehingga Rasulullah SAW sendiri mengatakan, “Orang yang paling bermurah hati dalam persahabatan dengan saya ialah Abu Bakar. Sekiranya saya hendak memilih teman kesayangan maka Abu Bakar pilihan saya. Akan tetapi persaudaraan sejati adalah persaudaraan dalam Islam. Persahabatan sejati adalah persahabatan dalam iman hingga Allah pertemukan kita di hadapan-Nya.”

Abu Bakar termasuk dalam kalangan insan-insan terpilih semasa zaman jahiliah dahulu yang tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan maksiat seperti menyembah berhala, minum arak, dan berzina. Selain beliau, orang yang tidak pernah menyembah berhala ialah Rasulullah SAW sendiri, Qas bin Saidah al-Yadi, Zaid bin Amir bin Nufail, dan Waraqah bin Naufal. Ketiga-tiga orang tua ini masih berpegang kepada agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan mereka meyakini akan datang nabi terakhir seperti yang Allah janjikan.

Abu Bakar seorang penyair Arab yang berbakat dan seorang yang sangat tahu mengenai sejarah Arab terutamanya sejarah Quraisy. Malah beliau juga seorang yang pandai mentafsir mimpi. Ada satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Allah telah memilihnya menjadi pendamping setia Muhammad Rasulullah SAW. Pada satu ketika, Abu Bakar berniaga ke Yaman. Sahabat perniagaannya, Lubabah meminta Abu Bakar menemaninya berjumpa seorang tua yang alim dan pandai dalam ilmu firasat. Selepas urusannya selesai, Lubabah keluar dan berkata yang orang tua itu ingin menemui Abu Bakar. Abu Bakar berasa hairan kerana dia tidak mempunyai urusan dengan orang tua itu dan bagaimana pula orang tua itu tahu dia berada di luar?.

Orang tua itu meminta untuk melihat perut dan paha kiri Abu Bakar. Pada mulanya Abu Bakar enggan dan orang tua itu pun memberitahu tujuannya. Mengikut kitab-kitab yang dibacanya, akan muncul seorang Nabi akhir zaman di kalangan kaum Quraisy dan Nabi itu akan dibantu oleh seorang lelaki berkulit putih, kurus, dan mempunyai tahi lalat pada perut dan mempunyai tanda pada paha kiri. Masya Allah, tanda-tanda itu memang ada pada dirinya. Orang tua itu meyakinkan Abu Bakar bahawa dialah pembantu yang dimaksudkan dalam kitab itu. “Bagaimana saya hendak mengenali Nabi itu?”, tanya Abu Bakar. “Dia mempunyai mukjizat dan mengetahui perkara-perkara ghaib”, balas orang tua itu. Sebelum Abu Bakar balik, orang tua itu berpesan kepadanya supaya membacakan beberapa rangkap syair di hadapan penduduk Mekah dan perkara itu dirahsiakan Abu Bakar daripada pengetahuan sesiapa pun.

Apabila pulang ke kota Mekah, telah banyak desas-desus yang mengatakan Muhammad telah mengaku dirinya sebagai Persuruh Allah dan menyeru orang ramai memeluk Islam. Lalu Abu Bakar menemui Nabi Muhammad dan bertanyakan tentang hal itu. Beliau terkejut lantaran Nabi Muhammad memberitahu perkara yang diberitahu oleh orang tua di Yaman itu kepada Abu Bakar. Maka semakin sahihlah kepercayaan Abu Bakar terhadap kenabian Muhammad SAW.

Abu Bakar memeluk Islam dan digelar as-Siddiq iaitu membenarkan kerana beliau sentiasa membenarkan apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW. Paling ketara apabila berlakunya peristiwa israk dan mikraj yang dialami oleh Rasulullah SAW. Setelah memeluk Islam, beliaulah orang yang paling banyak mendermakan harta di jalan Allah bagi membantu perjuangan Rasulullah SAW. Beliau juga dipilih oleh Nabi sebagai temannya berhijrah ke Madinah, membantu membebaskan orang Islam yang diseksa dan teraniaya, bersama-sama Nabi ketika pemulauan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib berlaku.

Satu ketika, Uqail bin Abu Talib datang menemui Abu Bakar dan menceritakan tiga peristiwa menakjubkan yang berlaku ketika dia berjalan-jalan dengan Nabi Muhammad SAW di kota Mekah. Pertama, mereka berhenti di satu tempat kerana Nabi ingin membuang air dan mengambil wuduk. Tetapi Nabi malu kerana kawasannya terbuka. Lalu Nabi Muhammad meminta tolong kepada Uqail supaya pergi kepada pokok itu dengan memberi salam dan beritahu akan tujuan Rasulullah. Subhanallah! Pokok-pokok itu tercabut akarnya dan segera pergi melindungi Nabi untuk membuang air dan sesudah itu, pokok itu kembali ke tempat asalnya. Kedua, mereka berdua berasa dahaga dan Nabi menyuruh Uqail sekali lagi pergi ke arah sebuah bukit dan bertanyakan sekiranya ada air, berilah kepada Nabi Muhammad dan Uqail. Dan bukit itu memberi air seperti yang diminta Nabi. Dan yang ketiga ialah seekor unta meminta perlindungan Nabi daripada tuannya yang zalim. Setelah Rasulullah SAW menegur tuannya dan tuannya sendiri mendengar kata-kata unta itu, dia terus memohon maaf dan berlaku baik kepada haiwan peliharaannya itu.

Abu Bakar juga seorang yang sangat bersemangat mengajak orang memeluk Islam. Abu Ubaidah al-Jarrah, Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah antara sahabat yang berjaya didakwah oleh Abu Bakar supaya memeluk Islam.

Saya rasa terkesan dengan satu kisah mengenai Abu Bakar di dalam novel ini. Hal ini berlaku pada satu hari di Madinah (ketika itu negara Islam Madinah telah terbentuk dan orang Islam sebelum itu telah berhijrah ke Madinah dan telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW antara Muhajirin dan Ansar. Abu Bakar menumpang di rumah Kharijah bin Zaid), seperti biasa Rasulullah dan para sahabat akan berkumpul selepas solat berjemaah di masjid. Rasulullah melontarkan pertanyaan :


1) Siapakah di antara kamu yang berpuasa hari ini?

2) Siapakah antara kamu yang sudah menziarahi orang sakit pada hari ini?

3) Siapakah antara kamu yang sudah bersedekah pada hari ini?


Tidak ada orang yang menjawab “Ya” bagi ketiga-tiga soalan ini kerana masing-masing khusyuk beribadah di masjid sahaja sepanjang hari itu dan belum lagi keluar dari masjid melakukan kebaikan seperti yang disebutkan Nabi. Tiba-tiba Abu Bakar menjawab, “Wahai Rasulullah. Saya berpuasa pada hari ini. Sebelum datang ke masjid pagi tadi, saya singgah di rumah Abdul Rahman bin Auf yang sakit. Semasa berjalan ke masjid tadi, saya terjumpa seorang peminta sedekah lalu saya berikan sekeping roti.” Rasulullah SAW sngat gembira mendengarnya dan berkata kepada Abu Bakar, “Bergembiralah kamu dengan syurga. Bergembiralah kamu dengan syurga.”


Masya Allah, hebatnya peribadi Abu Bakar. Bagaimana dengan diri saya sendiri? Anda? Adakah amalan fardu yang diwajibkan oleh Allah telah sempurna dilakukan? Berapa banyak amalan-amalan sunat telah dilakukan? Adakah saya istiqamah dalam melakukan amalan-amalan fardu dan sunat? Astaghfirullah.. jauh benar bezanya dengan Abu Bakar. Dengan kesibukannya beribadat, berniaga, berdakwah, membantu fakir miskin, dan berjuang di jalan Allah tidak menjadikannya lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Semoga kisah ini menjadi inspirasi dan semangat kepada kita dalam memperbaiki hari-hari dalam hidup ini :)

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan