Khamis, 11 Jun 2009

Abu Ubaidah Penakluk Parsi

Tajuk : Abu Ubaidah Penakluk Parsi
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS
Harga : RM 27.90
Tarikh baca : 4-10 Jun 2009



Resensi :
Baru saya tahu inilah sahabat Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam yang paling jujur. Malah, Rasulullah Solallhu ‘Alaihi Wasallam sendiri mengatakan di dalam hadith bahawa “Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku ialah Abu Ubaidah al-Jarrah”. Subhanallah, hebatnya insan bernama Abu Ubaidah ini.

Nama sebenar Abu Ubaidah ialah Amir bin Abdullah al-Jarrah bin Hilal al-Fihri al-Quraisy. Beliau berasal daripada suku al-Harith bin Fihr. Dilahirkan pada tahun 582 Masihi di Mekah. Bapanya, Abdullah bin al-Jarrah begitu menentang pengislamannya sehingga memaksa Abu Ubaidah bertarung dengan ayahnya di dalam Perang Badar dan ayahnya tewas di tangan beliau.

Sepanjang pembacaan saya, saya dapati Abu Ubaidah sememangnya seorang yang sangat berani, peramah, pemurah, penyabar, amanah dan dermawan. Contohnya, kebaikannya menolong membebaskan seorang budak yang mencuri ubat untuk ibunya yang sakit lalu memberi pekerjaan kepada budak itu iaitu Sumarah sebagai mengembala kambingnya untuk perniagaan. Beliau jugalah orang yang pertama sekali menyahut seruan baginda untuk berjuang dan melaksanakan arahan Baginda Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beliau datang dari keluarga yang berada, maka apabila berita pengislamannya diketahui oleh ahli keluarga, Abu Ubaidah dihalau dari rumah dengan hanya sehelai sepinggang. Tetapi itu semua tidak menjadi penghalang kepada Abu Ubaidah untuk meninggalkan Islam malah beliau mampu berdikari dan memulakan perniagaannya sendiri. Beliau juga seorang yang penyabar dan seringkali memujuk Saidina Umar al-Khattab yang agak keras terutama ketika Saidina Umar al-Khattab terkilan apabila Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wassalam membebaskan tawanan-tawanan Perang Badar.

Saya kagum dengan kehebatan Abu Ubaidah dan tentera-tentera Islam pada masa itu kerana mereka tidak kenal penat lelah dan terus berjuang demi menegakkan agama Islam. Satu-persatu kota yang dikuasai Rom dapat ditakluk oleh tentera-tentera Islam. Seperti mana yang diketahui kerajaan Rom merupakan kuasa besar yang sangat sukar ditewaskan. Sementelahan lagi mereka mempunyai alat senjata yang banyak dan mencukupi. Meskipun selepas kewafatan Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam, semangat mereka tidak luntur malah semakin membara untuk menegakkan kebenaran.

Antara peperangan yang disertai oleh Abu Ubaidah ialah memimpin pasukan tentera Islam menuju ke Hims pada tahun 12 Hijrah. Tahun berikutnya beliau memimpin pasukan tentera Islam ke Yarmuk dan di sana beliau menggantikan Khalid bin Walid sebagai ketua pemimpin tentera Islam. Arahan ini dikeluarkan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab sebagai khalifah kedua selepas kewafatan khalifah pertama, Saidina Abu Bakar.


14 H - Memimpin tentera Islam dalam peperangan Fihl, menakluk Kota Hims, Antakiah, memimpin tentera Islam dalam Perang Kinnasrin, menakluk Benteng Aleppo, menakluk Kota Antakiah dan Syam.

15 H - Menakluk kota Hims

16 H - Menakluk Baitulmuqaddis. Sebelum beliau berjaya memasuki kawasan Baitulmuqaddis, ketua paderi di situ meminta untuk bertemu dengannya tetapi paderi berkenaan tidak mengucapkan sepatah kata pun kepada Abu Ubaidah. Akhirnya diketahui bahawa hanya Khalifah Umar al-Khattab yang dapat membuka pintu kota tersebut seperti mana yang diyakini oleh paderi tersebut di dalam kitab agama mereka.

Sebenarnya kisah Abu Ubaidah banyak juga berkisar kepada kehidupan Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam kerana beliau sempat bertemu dengan Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam sehingga kewafatan baginda. Beliau juga menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Abu Ubaidah meninggal dunia pada tahun 640 Masihi bersamaan 18 Hijrah di Syam akibat penyakit taun. Sebelum itu berlaku kebuluran di Semenanjung Arab pada 17 Hijrah. Saidina Umar al-Khattab memaksa Abu Ubaidah pulang kerana dibimbangi beliau dijangkiti wabak taun tetapi ditolak dengan cara baik oleh Abu Ubaidah.

Saya terjumpa sebuah kisah yang saya selalu lupa dan kisah ini ada dirakamkan di dalam buku ini. Kisahnya mengenai seorang sahabat yang bernama Umair yang bertanya kepada Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam, apakah benar sesiapa yang mati syahid dalam peperangan akan mendapat balasan syurga?. Baginda menjawab “Benar”. Umair bertanya lagi gambaran mengenai syurga. Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam turut membenarkan bahawa syurga itu seluas langit dan bumi. Maka dengan semangat Umair mengatakan yang beliau ingin masuk syurga. Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam memberi jaminan kepada Umair beliau salah seorang yang akan memasuki syurga. Tiba-tiba dia berasa lapar dan memakan beberapa biji kurma tetapi tidak sempat dihabiskannya kerana teringat bahawa beliau inginkan syahid.

Ada lagi kisah yang menarik perhatian saya. Iaitu kata-kata Abu Ubaidah kepada seorang pemuda di Kota Baisan yang ingin memeluk agama Islam. Beliau menawarkan diri untuk mengajar pemuda berkenaan tentang agama Islam pada bila-bila masa. Pemuda itu sangat terharu dan mengucapkan terima kasih. Berkata Abu Ubaidah,
“…..Saya ibarat petani, menyemai benih di tanah gersang. Sekiranya benih itu bagus, letak di mana sahaja, ia tetap tumbuh. Tugas saya memastikan ia memberi hasil yang baik dan tidak busuk.”

Aha, something to ponder here.. kata-kata ini membuatkan saya berfikir banyak.. Tugas saya sebagai guru (bakal guru insya ALLAH) nanti seperti inilah juga, kan? <> Atau tugas sebagai ibu kepada anak-anak, peranan seorang daie, seorang sahabat dan lain-lain. Semoga saya dapat menjadi “petani” yang baik!
Wallahualam.
Salam manis (",)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan