Ahad, 14 Jun 2009

Mikhail



Tajuk : Mikhail

Penulis : Ramlee Awang Murshid

Penerbit : Alaf 21

Harga : RM 19.90

Tarikh baca : 12-13 Jun 2009

~~~~~~~~~~~~~~

Mikhail adalah seorang pembunuh yang kejam yang dilatih oleh Uncle Dick untuk membunuh mereka yang pernah membunuh ahli keluarganya. Dan dia merupakan satu-satunya waris keluarga Tuan Sadon yang tinggal setelah ahli keluarga yang lain ditembak mati oleh rakan-rakan perniagaan ayahnya.

Setidak-tidaknya, itulah yang diketahui oleh Mikhail sejak bertahun-tahun lamanya. Rupanya kebenaran adalah sebaliknya!. Bermula dari abangnya, Tahir yang gian menagih dadah sehingga sanggup menjual adik sendiri kepada Tuan Sadon. Dialah Mahmud Fadzil atau Mikhail 496 yang hilang 16 tahun lalu dan disahkan kematiannya beberapa tahun selepas itu kerana dia tidak ditemui. Semuanya angkara abangnya Tahir yang begitu terdesak untuk melangsaikan hutang dengan Tuan Sadon. Sebagai cagarannya, adiknya dijual untuk kepentingan diri sendiri.

Mahmud @ kini dinamakan Mikhail di”brainwash” supaya membalas dendam terhadap sasaran yang tunjukkan oleh Uncle Dick. Rupanya Uncle Dick atau Dickens atau Tuan Sadon ini adalah antara ahli kongres Yahudi yang licik dan jahat. Tugas Mikhail ialah membunuh sasaran yang dikehendaki yang diketahuinya sebagai “musuh keluarganya” dan dia bukanlah pembunuh upahan atau bertindak membunuh sewenang-wenangnya. Dia sememangnya antara “Mikhail” terbaik yang mereka ada kerana kecekapan dan ketangkasannya. Tanpa Mikhail ketahui, sebenarnya Uncle Dick melatih banyak Mikhail dan setiap Mikahil diberi kod tersendiri.

Setelah menewaskan beberapa mangsa, Uncle Dick menugaskan Mikhail untuk membunuh Dato’ Halim dan dua anaknya iaitu Zetty dan Raihana, dan Dato’ Bakri. Oh, siapa sangka, sekeras-keras Mikhail yang hampir tidak punya perasaan, tiba-tiba boleh jatuh hati dengan Reina Raihana, anak Dato’ Halim.. Hmm.. bagaimana ya, pembunuh jatuh hati dengan sasaran?

Setiap kali pembunuhan berlaku, ada satu “killer signature” yang ditinggalkan oleh Mikhail iaitu wang $1 USD. (Di belakang buku ini, ada dicatatkan mengenai $1 USD ini dengan serba ringkas tetapi padat). Dalam masa yang sama, Mikhail seolah-olah menghadapi satu penyakit paranormal. Retina matanya tidak boleh terkena sinaran matahari atau cahaya yang terang. Apabila hal ini berlaku, dia akan tercampak ke satu dimensi lain dan perkara ini amat merisaukan dirinya.

Riena Raihanalah yang cuba membantu menyelesaikan kekusutan yang dihadapinya. Bersama kakaknya, Inspektor Zetty Erlina, mereka membawa Mikhail sehingga ke utara tanah air untuk menjejaki gambaran yang terdapat dalam fikiran Mikhail. Akhirnya mereka bertemu dengan jawapannya. Tahir, ialah abang kepada Mikhail dan dia telah insaf dan bertaubat atas kesalahan yang dilakukannya pada masa lampau dan kini dia mengusahakan tanah bendang peninggalan arwah kedua ibu bapanya. Dia sangat terkejut melihat kemunculan Mahmud @ Mikhail dan dialah yang menceritakan segala-galanya.

Pada masa yang sama, di Kuala Lumpur berlaku beberapa lagi kes pembunuhan kejam dan memaksa Inspektor Zetty pulang ke ibu kota. Kali ini dengan membawa Mikhail. Mikhail menyerah diri secara rela kepada pihak berkuasa. Akan tetapi, kes ini tidak selesai di sini sahaja. Berlaku beberapa kejadian yang kompleks sehingga kepada pertemuan beberapa Mikhail, adanya gunting dalam lipatan di dalam pasukan Inspektor Zetty, penculikan keluarga Zetty, Raihana yang hampir dihantar ke pakar psikiatari kerana dikatakan berdelusi, dan pertemuan dengan Aroha di Ladang Anggur di Cromwell, England.. 29 Februari, tarikh keramat bagi Mikhail, Raihana, dan lain-lain.. :)

Saya puas membacanya. Seperti melihat satu wayang pembunuhan ngeri yang terancang dan strategik. Buku ini mengajak pembaca berfikir dan terlibat sekali di dalam aksi-aksi lakonan watak-wataknya. Jom baca buku! :)

Tiada ulasan:

Catat Komen