Ahad, 21 September 2014

Buku 55 : Nikmatnya Sakit Bersalin oleh Isyah Radhiah Idris

Sumber gambar : Web Galeri Ilmu
Bismillahirrahmanirrahim.

Travelog KISAH BENAR
Terubat sakitku dengan kelahiran sembilan permata hati

Dua baris ayat ini begitu menarik saya untuk menatap buku ini. "Subhanallah, sembilan anak!" Ayat di bawahnya - Nikmatnya Sakit Bersalin. Saya sudah membayangkan betapa besarnya jiwa ibu ini mengandung dan melahirkan anak-anaknya. Melihat tajuknya sahaja sudah tahu! ^_^ Bila dilihat nama penulis, oh, isteri Che Amran vokalis Raihan rupanya. Teringat bukunya sebelum ini Anakku Brain Tumor (tapi saya belum pernah membacanya. Selepas ini insya Allah).

Buku setebal 478 muka surat ini menghimpunkan 10 bab meliputi pengalaman bersalin normal , anak anugerah dan rezeki dari Allah, mengandung sembilan bulan, tip bersalin normal (aha!), menikmati detik-detik bersalin normal,penyusuan dan pengurusan bayi, berpantang 40 hari, doa untuk diamalkan, anak..anugerah atau ujian? dan Nikmat Sakit Bersalin.

Membaca pengalamannya bersalin normal untuk kesemua anak memberi saya satu kesimpulan. Ibu ini memang seorang yang positif dan sentiasa bermotivasi melakukan yang terbaik dalam mencari redha Allah dan rasul-Nya. Sedangkan ketika kontraksi bersalin masih boleh tersenyum dan seboleh mungkin menyembunyikan kesakitan yang dialami. Beliau juga amat menitikberatkan kebergantungan kepada Allah dalam memudahkan proses bersalin seperti berdoa, menunaikan amalan fardhu dan sunat, banyak membaca al-Quran dan menghafaznya. Paling penting yakin bahawa Allah akan makbulkan permintaan dan mudahkan urusan kerana Allah pernah berfirman yang bermaksud "Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku." Subhanallah.

Paling saya kagum ketika kelahiran pertama beliau mampu mempraktikkan teknik bersalin yang betul sehingga sekali teran sahaja. Allah..teringat pertama kali bersalin normal, kesakitan yang saya tanggung hampir 16 jam menyebabkan saya terlupa semua teknik bersalin yang pernah dipelajari atau dibaca. Hee..

Bagi saya buku ini sesuai dibaca oleh para ibu yang pertama kali akan menyambut cahaya mata sebagai persediaan bersalin. Penulis seorang yang positif jadi saya kira pembaca pun tidak akan terasa begitu tertekan apabila membayangkan situasi bersalin kali pertama. Insya Allah anda juga akan bersemangat seperti Puan Isyah ini! Banyak sisi positif yang dapat diambil selain ilmu yang dicurahkan melalui nukilannya ini. 

Namun begitu, banyak juga ayat berulang dari pengalaman bersalin kali kedua sehingga anak kesembilan. di bab-bab akhir juga terdapat pengulangan ayat. Tapi saya abaikan dan 'skip' perenggan yang berulang itu :)

Semoga bermanfaat. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan