Rabu, 13 Februari 2013

Tekad ~ Rejab F.I

Sumber gambar : http://pts.com.my/buku/tekad/
Sumber buku : Sumbangan PTS semasa Kursus Pengkarya Guru 2012
Tarikh baca : 13 Februari 2013

Terinspirasi dari kata-kata guru mereka, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membuka langkah bagi Dali dan Siraj dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka.

Bagi mengisi cuti sekolah hujung tahun selama 7 minggu, dua sahabat baik ini merangka strategi untuk berniaga telur ayam. Satu perancangan yang teliti meskipun nampak mudah.

Bermula dengan pencarian modal (daripada kedua ibu bapa mereka), bertanyakan harga di kedai ang hanya membeli dan menjual telur di bandar, dan memulakan perancangan membeli telur di kampung-kampung berdekatan.

Semangat mereka tinggi bagi berniaga kerana matlamat mereka antara lain ingin menceburkan diri dalam bidang yang dimonopoli oleh bangsa Cina dan menggalakkan orang Melayu untuk berniaga.

Adat berniaga, sudah pasti ada halangan dan cabarannya. Tidak disangka, peniaga kecil seperti mereka ini pun ada orang mahu membuat dengki. Ada pemborong telur lain yang menggunakan taktik kotor menyekat hasrat murni dua sahabat ini. Namun, masih ada yang sudi membela dan memberi sokongan kepada mereka. Inilah semangat yang kita mahu. Saling tolong-menolong dan menyokong antara satu sama lain.

Paling penting semangat kerjasama yang ditunjukkan dan fikiran positif sangat membantu.

Cerita yang sangat bagus dibaca oleh anak-anak kita. Rupanya buku ini merupakan pengalaman penulis sendiri satu masa dahulu :)

* Gambar buku yang saya ada lain daripada gambar yang ada di PTS. Mungkin gambar buku telah dikemaskini dengan lukisan baru.

Jumaat, 8 Februari 2013

10 Tokoh Idola Muslimah ~

Sumber gambar : PTS
Sumber : http://www.stormreaders.net/ummukhaulah
Tamat baca : 5 Februari 2013

Memaparkan perjalanan hidup dan kisah yang boleh diambil iktibar daripada 10 orang muslimah terulung yang tercatat dalam sirah. Bonda Rasulullah, Aminah, Saidatina Khadijah, Aisyah, Siti Hajar, Siti Sarah, Fatimah Az-Zahra, Siti Zulaikha, Asma' bt Abu Bakar, Asiah isteri Firaun dan Siti Rahmah.

Setiap tokoh diberitakan kisah hidup diikuti dengan ulasan ringkas penulis dan seterusnya tazkirah ringkas berkisar kehidupan semasa, mengupas isu-isu tertentu dan nasihat bagi ingatan bersama.

Rabu, 6 Februari 2013

Bacaan Januari 2013

1. Ibu Kool Bapa Hebat
2. Kisah Rasul Pilihan 1
3. Saad Abu Waqas
4. Art of Deception
5. Mama, Saya Lapar
6. Holiday Activity Book
7. Saat Berharga untuk Anak Kita
8. Permainan Minda untuk Bayi : Aktiviti bersama ibu bapa
9. Cinta Tiga Rasa

10. Langsir Biji Remia

Selasa, 5 Februari 2013

GTO Guru Terhebat Olan ~ AD Mirzai

Sumber gambar : PTS
Judul buku : GTO : Guru Terhebat Olan
Penulis : AD Mirzai
Penerbit : PTS
Bil muka surat : 400
Sumber : Popular Jusco Bandaraya Melaka
Harga : RM17.90
Tarikh baca : 2-5 Februari 2013

Sekilas melihat tajuk, teringat kepada satu siri drama Jepun satu ketika dahulu yang bertajuk Great Teacher Onizuka. Saya sudah lupa jalan ceritanya. Yang pasti waktu itu filem / drama Jepun memang sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen. Sempat jugalah jadi penonton tegar. Huhu...Astaghfirullah....

Sememangnya ceritanya sangat 'klise' dengan kehidupan remaja sekolah tetapi garapan penulis sangat menarik perhatian saya. Kurang sedikt tekanan yang dialami di tempat kerja :) Kadang-kala tersenyum sendiri, kadang-kala termangu-mangu juga :)

Cikgu Olan bin Ngadiman baru sahaja ditukarkan ke Kolej Bistara dari pedalaman Sabah. Sekolah berasrama penuh ini menempatkan kelas projek yang mana para eplajarnya di ambil dari keputusan yang kurang cemerlang dalam PMR yang lalu. Kelas projek ditubuhkan oleh kementerian pelajaran bagi menangkis tanggapan umum bahawa prestasi cemerlang mereka adalah disebabkan pemilihan para pelajar.

Sejak dari mula Cikgu Olan sudah dimomokkan dengan kenakakan kelas tersebut sehingga menyebabkan semua guru trauma untuk mengajar kelas ini. Ditambah pula dengan kes berpindahnya Cikgu Razak sebelum ini secara tiba-tiba. Tidak kurang juga ada yang membenci pelajar-pelajar kelas tersebut.

Latar belakang pelajar 4 Jaya (kelas projek) ini pelbagai. Hari pertama sahaja Cikgu Olan sudah dikenakan oleh mereka. Bermulalah misi Cikgu Olan dalam mengatur strategi supaya anak didiknya ini berubah.

Yang paling saya kagum ialah kesungguhan Cikgu Olan menyerahkan harapan dan permintaannya kepada Allah lewat munajat malamnya setiap hari. Saya kira inilah kekuatan Cikgu Olan dalam mengubah pelajarnya.

Banyak sindiran halus dan kata-kata sinis menyentuh aspek sosial, politik dan kepimpinan, pendidikan yang menjadi isu semasa di negara kita serta kalimah-kalimah tazkirah yang disampaikan secara langsung dan tidak langsung melalui watak-watak pelajar Cikgu Olan :)

Jumaat, 25 Januari 2013

Cinta Tiga Rasa ~ Noraslina Jusin

Jadilah seperti pasir yang basah kerana ia boleh diumpamakan sebagai orang yang berilmu dan kemudian mengamalkannya manakala pasir yang kering umpama orang yang belajar tetapi ilmu itu tidak digunakan sebaiknya. Malahan jika digunakan untuk kesesatan, ia sangat buruk sekali.

Penulis banyak menekankan perihal peranan isteri terhadap suami dan keluarga. Kisah yang dinukilkan kebanyakannya merupakan hasil pengalaman beliau sepanjang kehidupan ini.

Terbahagi kepada tiga bahagian dan setiap satunya memberikan input yang segar buat santapan minda kita. Juga membuatkan kita bermuhasabah.

Isnin, 21 Januari 2013

Holiday Activity Book ~ Jane Bull

Saya sangat teruja ketika mendapat buku ini. Saya kira inilah pertama kali saya begitu memanfaatkan buku seperti ini :D Mungkin kerana aura Story Sack masih kuat ;)

Buku ini saya beli dari Puan Noraini Dollah (FB : Ummu Ammar, fan page beliau Bayi Bijak sudah mempunyai lebih daripada 8 000 Like. Silalah berkunjung ke sana ya). Alhamdulillah, buku ini ternyata begitu bermanfaat. Ideanya menarik dan boleh diaplikasikan. Buku ini berjaya memecah kebuntuan ibu saya (beliau seorang guru) yang mengendalikan Kelab Pelancongan dan Rekreasi.

Ada 50 aktiviti yang boleh dijalankan. Saya baru berjaya membuat 3 aktiviti iaitu :
1) Holiday Travel Book
2) Tangram
3) Travel Bingo

Ada beberapa resipi ringkas yang sesuai dijalankan bersama anak-anak atau anak murid :) Biskut dan muffin yang terhasil digunakan di dalam aktiviti.


Selepas ini boleh cuba resipi di dalam buku ini pula :) Insya Allah.

~~~~~~~~

1) Holiday Travel Book

- Fikirkan buku bentuk yang disukai seperti gambar kereta, kerang (jika bercuti di pantai), beg, gambar kapal terbang, strawberi (jika ke Cameron highlands) dan sebagainya.
- Gunting dan hiaskan mengikut kreativiti.
- Misalnya saya membuat bentuk kereta MPV, helaian pertama dan kedua saya tuliskan doa berkaitan seperti doa keluar rumah, doa naik kenderaan, doa berhenti di sesuatu tempat dan doa musafir.
- Kemudian saya lekatkan semua tiket, kupon, resit atau logo hotel di dalam helaian seterusnya.
- Gambar-gambar percutian juga dilekatkan.
- Akhir sekali catatan memori..
Siap :)

2) Tangram

- Tangram ialah permainan puzzle yang berasal dari China. Ia mempunyai 7 bentuk (2 segitiga sama kaki besar, 1 segitiga sama kaki sedang, 2 segitiga sama kaki kecil, 1 jajargenjang dan 1 persegi empat. - sumber sini)
- Ada ukuran gambar rajah di dalam buku ini. Saya salin dan gunting kain felt berdasarkan bentuk-bentuknya. Saya bina 6 set sahaja dulu.

3) Travel Bingo.

- Buat yang mudah sahaja! Lukis 9 keping gambar berkaitan pengangkutan (3x3), perbanyakkan tetapi pastikan susunan gambar berlainan.
- Jika perjalanan menggunakan kereta, kapal terbang atau kapal sekalipun bolehlah diedarkan kepada adik-beradik atau rakan kertas permainan ini. Pastikan juga pensel di bawa bersama :)
- Boleh sahaja guna gambar lain. Saya gunakan apa yang ada di rumah. Banyak gambar haiwan (lebihan latihan anak murid ;)) jadi saya lekatkan menjadi beberapa set.

Semoga ada manfaatnya.

Khamis, 17 Januari 2013

Mama, saya lapar ~ Wardina Safiyyah

Pertama, ilustrasi buku ini cantik dan menarik. Hihi...ini antara alasan mengapa saya baca buku ini. Bersaiz lebar sedikit dari kertas A4. Saya meminjam buku ini dari rakan saya, Khairun. Sebenarnya telah pinjam sejak tahun lepas, kemudian saya bersalin awal dari tarikh jangkaan bulan Oktober, sehingga kini belum pulangkan. Opss.. err...minggu depan saya mula bekerja insya ALLAH saya pulangkan.

Mengandungi 14 bab. Antaranya ialah :

Bab 1 : Nak Makan, Tak Nak Makan dan Lapar.

~ Kepentingan pemakanan seimbang penting untuk tumbesaran anak. Waktu 1 hingga 6 tahun merupakan peringkat tumbesaran yang sangat kritikal dan penting (Wardina Safiyyah, 2011). Wardina berkongsi pengalaman bagaimana menangani kerenah anak dalam pemilihan makanan, menjelaskan peranan kita sebagai ibu bapa dalam pemberian makanan anak dan diselitkan sebuah cerita seorang ibu beranak enam yang menangani tingkah laku anak yang meragam ketika makan. Hmm.. mungkin boleh aplikasikan teknik ibu ini bagi ibu bapa yang mempunyai masalah yang sama. Ibu ini akan memasukkan anak yang meragam ke dalam bilik dan tiada makanan untuk anak yang merengek. Bila tiba waktu makan, semuanya akan makan tanpa cerewet! ;)

Bab 2 : Makanan Ringan @ Junk Food

~ Tidak memperkenalkan makanan ringan kepada anak-anak! Itu cara terbaik. Makanan ringan mengandungi MSG dan  mempunyai kesan sampingan seperti menggemukkan. Oleh itu ibu bapa perlu bijak dengan memberikan alternatif lain seperti kismis, biskut, oat dan wafer. Perjelaskan juga mengapa makanan ini tidak boleh dimakan dan mengapa makanan ini boleh dimakan. Tapi, trend sekarang di taska, sekolah atau tiusyen, sekiranya ada sambutan hari jadi atau majlis untuk kanak-kanak pasti bungkusan jajan diberikan kepada anak-anak. Saya juga terfikir bagaimana menangani masalah ini ya? Kena ajar anak dari kecillah untuk jauhi jajan ini kan.

Bab 3 : Sayur oh Sayur!

~ Ramai anak yang tidak sukakan sayur kerana ibu tidak menghidangkan sayur dalam hidangan makanan mereka. Erk.. begitu ya? Terangkan kepentingan sayur dan hidangkan dalam bentuk yang kreatif dan menarik. Wardina menyenaraikan pilihan sayur mengikut warna yang boleh dijadikan contoh ibu-ibu sewaktu memilih menu sayur untuk si kecil. Boleh susun mengikut warna pelangi - ada warna hijau (brokoli, bayam, sawi, kacang panjang..sekadar menyebut beberapa jenis), merah (tomato, cili), kuning (kentang, ubi keledek, nanas), oren (lobak merah, labu), putih (lobak putih, kubis bunga, tauge) dan ungu (terung, kubis ungu)

Bab 4 : Buah-buahan

~ Terdapat panduan penyediaan hidangan buah-buahan. Antara tip bagaimana memastikan anak kita mendapat 3 hingga 5 hidangan sayur atau buah sehari yang dikongsikan pada muka surat 37 :

+ Segelas jus buah-buahan untuk sarapan.
+ Setengah cawan buah-buahan untuk snek sebelum makan tengah hari.
+ Sayuran untuk makan tengah hari dan sepotong buah.
+ Jus buah sebelum makanmalam dan sewaktu minum petang.
+ Setengah cawan sayur campur untuk makan malam.
+ Jus atau buah sebagai pencuci mulut.

Bab 5 : Sarapan Pagi

~ Kajian pihak UKM mendapati kanak-kanak Melayu paling ramai tidak mengambil saran pagi (88%), manakala kanak-kanak India mencatatkan peratusan tertinggi mengambil sarapan iaitu sebanyak 82 % diikuti kanak-kanak Cina sebanyak 78.5%. Dapatan kajian ini telah dijalankan oleh UKM dan Nestle Malaysia terhadap 12 000 pelajar sekolah rendah di Semenanjung Malaysia.

Antara saranan Wardina, terangkan kepentingan sarapan dan membawa anak ke kedai dan memeberi pilihan untuk mereka memilih sendiri jem kegemaran seperti sekaya, strawberi dan lan-lain.

Saya suka sekali apabila Wardina menyertakan contoh makanan yang baik untuk sarapan (muka surat 45) :

+ Bijirin sarapan dengan susu atau bubur oat dengan roti bakar.
+ Roti, biskut tawar dengan keju, marjerin dan jem.
+ Telur goreng hancur dengan roti bakar.
+ Kacang panggang, telur dadar dan roti bakar.
+ Bubur ayam atau ikan dengan sayuran.
+ Sup mihun, mi dan kuetiau.
+ Apam kukus.
+ Idli atau tosai dengan dal.
+ Chee Cheong Fun dengan sedikit sos.
+ Pau daging, ayam dan kacang merah.

Err... berkhasiatnya.. apa sarapan kita pagi tadi?

Bab-bab lain seperti Air oh Air, Makanan Seimbang, Makanan Tambahan, Kepentingan Kalsium, Khasiat Susu Ibu, Anakku Sakit, Perancangan pemakanan, Do's and Don'ts, dan Kenalkan makanan Pejal Semula Jadi.

Ada 20 resipi dikongsikan dalam bab terakhir untuk peringkat umur anak dari umur 6 bulan ke atas :)