Sabtu, 8 Februari 2014

Buku 6 : Sadako and The Thousand Paper Cranes by Eleanor Coerr

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini mengisahkan kisah benar yang berlaku kepada seorang kanak-kanak yang menghidap leukimia pasca pengeboman di Hiroshima pada awal tahun 1940-an.

Seorang kanak-kanak perempuan  bernama Sadako, lahir dan membesar sebagai anak yang cerdas, ceria dan mempunyai kelebihan dalam olahraga. Diceritakan kehidupannya dalam keluarga Jepun yang bahagia dan berpegang kuat kepada budaya masyarakat. Setiap hari mereka berdoa agar dijauhkan daripada penyakit leukimia (kerana majoriti rakyat Jepun meninggal kerana penyakit ini kesan bom atom di Hiroshima).

Ya, siapa sangka, takdir tuhan menetapkan sesuatu itu pasti terjadi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sadako jatuh pengsan ketika menjalani latihan olahraga di sekolahnya. Dibawa ke hospital oleh bapanya dan doktor mengesahkan beliau menghidap leukimia. Sedih sekali.

Namun saya memuji rakan baiknya kerana memberikan semangat dengan cara yang unik.

Mengikut kepercayaan orang Jepun, jika seseorang membuat 1000 keping lipatan burung jenjang (origami), maka tuhan akan memberikan keajaiban dan kesihatan. Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat kepada Sadako untuk menerima keadaan dirinya dan berharap agar dia dapat sembuh.

Saya terfikir berapa lama masa diambil bagi menyiapkan 1000 keping burung jenjang? Mungkin boleh cuba selepas ini. Hihi..

Sadako hanya mampu menyiapkan 644 keping dan beliau pergi untuk selama-lamanya. Kisahnya menjadi inspirasi kepada semua rakyat Jepun dan rakan-rakan sekelasnya menyelesaikan baki 356 keping lagi dan dikebumikan (kesemua 1000 keping) bersama Sadako.

Atas inisiatif mereka juga, surat-surat Sadako dibukukan dan disebar ke serata Jepun. Malahan origami burung Jenjang dikenali di seluruh dunia sebagai lambang keamanan.

+++++

Pertama kali saya mengenal origami burung Jenjang ketika berada di sekolah menengah apabila melihat adik membawa pulang dari sekolah. Namun, serius saya katakan saya sangat lemah dalam mengingat langkah demi langkah membuatnya. Rasanya menganyam ketupat lebih mudah bagi saya. Huhu.

Terdapat langkah-langkah membuat lipatan burung Jenjang di bahagian akhir buku. Boleh cuba nanti. Insya Allah :)

* Buku ini adalah sumbangan Scholastic untuk sekolah saya sempena Kem Membaca 1 Malaysia yang kami sertai tahun lalu. Sebenarnya belum diproses. Nama pun cikgu perpustakaan saya baca dahulu ;)

Tiada ulasan:

Catat Komen