Khamis, 5 Ogos 2010

Penakluk Kota Unggu


Judul buku : Penakluk Kota Unggu
Penulis : Kusyi Hirdan
Penerbit : PTS Fortuna (2010)
Harga : RM14.00 (Semenanjung) / RM16.00 (Sabah dan Sarawak)
Sumber : PBAKL 2010
Tarikh baca : 27 Julai - 4 Ogos 2010

Saya seringkali kabur apabila membaca buku sains fiksyen. Pengalaman semasa membaca buku Galaksi Muhsinin berulang lagi. Tetapi kali ini saya membaca dengan kadar perlahan bagi memahami cerita :) Hanya apabila berada di tengah-tengah plot baru saya memahaminya. Mungkin kerana latar cerita yang saya rasakan asing menyebabkan saya lambat menangkap cerita ini.


Seperti kata Kak Najibah yang keliru dengan perkataan Unggu, saya juga telah terlupa mengapa perkataan 'unggu' digunakan dan bukannya 'ungu'. Saya pernah terbaca di laman sesawang PTS tetapi telah terlupa entri yang mana satu.


Kota Unggu wujud di zaman serba canggih dan moden malah manusia seperti kita ini dipanggil manusia purba atau Zaman Tamadun Baru. Segala-galanya hampir sempurna di sana kecuali beberapa perkara pelik yang berlaku di dunia mereka. Setiap perempuan yang melahirkan anak akan mati sejurus selepas melahirkan anak. Mengapakah hal ini terjadi?


Tiada penjelasan tentang perkara itu. Malangnya ia telah diterima sebagai kebiasaan oleh semua penduduk Kota Unggu kecuali seorang. Surima, seorang saintis negara berusaha keras melakukan penyelidikan ke atas perkara ini. Beliau seorang genius melakukan banyak penyelidikan yang bertentangan dengan polisi kerajaan. Segala kajian dilakukan sendiri dengan bantuan Data, komputer yang diprogramkan sendiri oleh beliau.


Kerajaan Kota Unggu sebenarnya kerajaan yang mengamalkan pemerintahan yang telus dan jujur namun sejak beberapa abad kebelakangan ini pucuk pimpinan menghadapi krisis dalaman ekoran ketidakpuasan hati Amar-amar di dalam organisasi (Amar ialah gelaran bagi mereka yang memegang jawatan di dalam majlis tertinggi negara).


Keadaan bertambah buruk apabila berlaku banjir besar di Kota Unggu. Mujurlah sistem apungan mereka aktif dan dapat menyelamatkan sebahagian besar penduduk. Namun, perkara ini menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat. Bagaimana empangan yang dibina dengan segala kecanggihan boleh pecah? Belum pun surut kes empangan pecah berlaku pula kes penemuan buaya. Seumur hidup mereka tidak pernah melihat buaya. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mengenal tanah, lumpur, haiwan, dan makanan segar seperti sayur-sayuran kerana makanan mereka adalah daripada makanan sintetik dan bumi mereka telah dipasang gentian menggantikan tanah. Malah, lautan mereka juga kosong daripada ikan dan hidupan laut.


Banyak konflik yang berlaku dalam beberapa minggu ini yang melibatkan Amar Utama, Amar Impi, Mahadin (Amar Enam), Profesor Fatha, dan kejadian yang ditimbulkan oleh keturunan Saintis Melanaz. Klimaks kepada konflik ini ialah percubaan membunuh Surima dengan gas beracun menyebabkan beliau koma. Segala rahsia dan cara pengendalian Data diserahkan kepada abangnya, Narzuha. Narzuha meminta bantuan Fatha bagi membantunya meneruskan penyelidikan Surima.


Kajian Surima mendapati rahim perempuan di dunia mereka berbeza dengan rahim manusia Zaman Tamadun Baru. Apa yang mengejutkan ialah rahim perempuan di zaman mereka seolah-olah 'disalin' daripada rahim buaya! Bagaimana hal ini boleh terjadi?


Membaca buku ini membuatkan saya berfikir betapa buruknya kesan taklid. Taklid ialah mengikut sesuatu secara membabi buta. Bagaimana mungkin semua penduduk Kota Unggu boleh menerima perkara-perkara yang tidak masuk akal sebagai satu tradisi dan kebiasaan?


Hanya dengan ilmu dan pemikiran yang tajam mampu memandu kita kepada kehidupan yang lebih baik. Untuk berubah kita perlu berani mencuba dan menanggung risiko. Bukankah itu salah satu prinsip kejayaan? Tetapi jika pandai sekalipun namun tiada akhlak tetap tidak berguna juga.


Selain itu, jika terlalu banyak polisi mahupun undang-undang yang menyekat kebebasan berfikir rakyat juga boleh menyebabkan kemunduran intelek. Alangkah ruginya sekiranya sesuatu kajian baru tidak boleh dilaksanakan lantaran kepentingan politik mahupun peribadi sesetengah pemimpin.


Buku ini saya beri 3.5 *. Bukan kerana jalan ceritanya membosankan tetapi saya sahaja yang lambat memahami cerita ini :D


Tiada ulasan:

Catat Ulasan