Jumaat, 27 Ogos 2010

Ma Yan


Judul buku : Ma Yan

Penulis : Sanie B. Kuncoro

Penerbit : PTS Litera Utama

Harga : RM16.00 (Semenanjung Malaysia)

Sumber : MPH Alamanda, Putrajaya

Tarikh baca : 24 Ogos 2010

Sumber gambar : PTS


Sinopsis buku ini amat menarik. Ia diadaptasi dari kisah benar yang berlaku di wilayah terpencil di China. Sungguh mengagumkan semangat seorang anak perempuan yang begitu kental jiwanya untuk menimba ilmu. Bukan mudah melalui perjalanan sejauh 5 jam berjalan kaki untuk sampai ke sekolah. Subhanallah. Saya teringat akan Lintang di dalam Laskar Pelangi. Ya, anak-anak ini sungguh bersemangat waja.


Ma Yan adalah anak sulung dari 3 orang adik-beradik yang mana dua lagi di bawahnya ialah lelaki. Sudah menjadi tradisi di sana bahawa anak perempuan akan terpinggir dari pendidikan dan anak lelaki diberi keistimewaan dan keutamaan dalam segala hal. Namun Ma Yan tidak rela menjadi mangsa tradisi itu lalu berusaha sedaya mungkin belajar untuk mengecapi kejayaan. Dengan itu besarlah harapannya untuk merubah nasib keluarganya.


Disebabkan perjalanan jauh selama 5 jam itu memang melelahkan membuatkan mereka terpaksa menumpang traktor yang ingin ke pekan tempat sekolahnya. Walaupun bayarannya cuma 1 yuan (mungkin RM1 kita di sini), namun keluarganya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, ibu dan ayah Ma Yan berusaha keras bekerja mencari wang bagi membolehkan anak-anak mereka sekolah.


Namun kesempitan hidup akibat revolusi yang dicetuskan oleh Mao satu ketika dahulu mengakibatkan berpuluh-puluh generasi menanggung akibatnya.


Dataran yang kering-kontang, tiada air yang sampai ke penduduk dan mereka hanya menyimpan sisa-sisa ais semasa musim sejuk sebagai sumber air malah, penduduk muslim di situ semuanya terpaksa bertayamum bagi menunaikan solat. Air yang ada tidak mencukupi. Dahsyatnya keadaan ini. Tiada projek penanaman semula dirancang menyebabkan penduduk wilayah itu menderita.


Yang masih punya kudrat terpaksa berkelana ke tempat lain bagi mencari sesuap rezeki. Itu pun jika bertemu majikan yang baik dan dibayar gaji. Jika tidak dengan status pekerja haram, mereka akan pulang dengan tangan kosong kerana majikan menipu tidak mahu membayar wang.


Sungguh menyedihkan apabila membaca Ma Yan terpaksa mengikat perut selama 2 minggu semata-mata ingin membeli sebatang pen. Aduhai, sedangkan saya di sini sering sahaja kehilangan pen tanpa sengaja atau sengaja. Dan sesenang itu pen dibeli semula.


Sudah menjadi adat dalam pelajaran, Ma Yan tidak selalunya cemerlang di dalam peperiksaan sehingga dia pernah gagal dalam satu peperiksaan memasuki sekolah menengah perempuan yang dikatakan terbaik. Namun, dia tidak patah semangat dan tetap meneruskan persekolahan di sekolah biasa. Di sana dia belajar dengan tekun dan pernah menjadi juara kelas.


Satu kelebihan Ma Yan ialah dia rajin mencatat diari. Daripada diarinya inilah satu dunia dapat mengetahui kisah gadis cilik dari wilayah terpencil di China yang begitu gigih menuntut ilmu. Masih ada lagi anak perempuan yang mempunyai kesedaran bahawa pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan.


Bagaimana dunia dapat mengetahui kisahnya? Ada sekumpulan orang asing yang datang ke kampung Ma Yan untuk membuat sedikit kajian. Mereka menumpang di rumah imam kampung tersebut. Pada hari mereka bertolak pulang, ibu Ma Yan yang baru tahu mengenai mereka berkejar menahan kenderaan yang dinaiki dan memaksa mereka ke rumahnya. Lalu ibu Ma Yan menyerahkan buku catatan milik Ma Yan atas dasar yakin sekumpulan orang asing itu akan memanfaatkannya. Mereka rupanya adalah sekumpulan wartawan yang datang dari Perancis.


Sehingga kini Ma Yan masih lagi belajar di sekolah menengah. Semoga impiannya ingin memasuki universiti akan tercapai. Maklumat mengenainya boleh dicari di dalam internet.


Tiada ulasan:

Catat Komen