Selasa, 19 Julai 2011

Putera Danish & Villa Fantasi




"Pengetahuan dapat menghilangkan ketakutan. Sekiranya kita tahu apa yang akan kita hadapi, kita tidaklah takut sangat."




Wah, saya tidak menyangka kata-kata ini begitu melekat di hati :D

Isnin, 18 Julai 2011

Jilbab Traveler






Sumber gambar : Dari sini


Jilbab Traveler ini saya beli secara atas talian dari Fajar Ilmu Baru Enterprise. Kedainya beroperasi di Jalan TAR. Dahulu semasa belajar hanya sempat 2 kali sahaja berkunjung ke sana. Kemudian melalui kenalan (Pn Welma La'anda) baru saya tahu FIB ada laman sesawang dan urusan pembelian dengan kedai ini amat memuaskan sekali.


Ya, memang benar. Sudah lebih 3 kali saya berurusan dengan mereka dan khidmat yang diberikan sangat memuaskan hati saya. Cuma kedai ini hanya menjual buku-buku dari Indonesia sahaja. Banyak sangat judul yang dijual. Jika anda berkesempatan ke kedai ini, tanyalah apa pun buku yang dicari dengan tuan kedai insya Allah beroleh jawapan. Malah dia bangun dan tunjukkan di mana buku itu terletak. Hebat.


Opss..maaf panjang sangat intro ;p


Jilbab Traveler ini mengisahkan pengalaman wanita-wanita muslim yang bertudung ke serata dunia. Saya kira mereka semua ini penulis sama seperti Asma Nadia. Ada yang menceritakan pengalaman ke Greece, Jerman, Australia, Damaskus, Amerika Syarikat, Hong Kong, Korea, Belanda dan beberapa buah negara lagi. Ada banyak tip yang diberikan jika anda ingin melancong ke luar negara. Kita juga dapat belajar sedikit sebanyak budaya dan bahasa mereka. Ada seperti kamus kecil @ glosari di akhir setiap cerita.


Buku ini menarik! Walaupun saya menghadapi masalah bahasa (banyak perkataan indonesia yang tidak saya fahami. Aduss,, siapa boleh tolong ya?). Selalunya saya hanya menebak maksudnya berdasarkan ayat. Haha...


Oh ya, lagi satu saya rasa seperti ada yang kurang dari buku ini. Kenapa ya? Oh ya, sebelum membacanya saya mengharapkan penulis menulis pengalaman mereka sebagai muslimah bertudung - apa pandangan masyarakat di situ, bagaimana proses birokrasi di lapangan terbang atau di sesebuah negara memberi kesan negatif atau positif kepada mereka ataupun bagaimana mereka solat di negara-negera tersebut. Adakah sukar atau mudah menemukan tempat solat dan mendapatkan makanan halal. Memang ada sesetengah yang menceritakannya tetapi tidaklah terlalu menyeluruh. Penulis-penulis ini banyak menumpukan kepada tempat-tempat yang dilawati. Dan kadang-kala saya rasakan seperti saya sedang membaca blog :)


Bila membaca pengalaman mereka terasa ingin juga ke tempat-tempat ini. Dari satu sudut saya merasa insaf.. kerana di sini saya masih dapat mengamalkan Islam dengan bebasnya tanpa ada banyak sekatan. Malah beruntung kerana dapat mengenakan hijab dengan betul dan baik berbanding sahabat-sahabat muslimah di negara-negara bukan Islam.


Kemudian, di sinilah lebih dirasai hikmah Allah jadikan manusia pelbagai bangsa. Kita dapat menjalin silaturahim dengan kenalan di negara tersebut. Malah kebanyakan mereka tidak pernah atau jarang mempunyai sahabat muslim. Maka di sinilah peranan kita sebagai duta Islam (err..betulkah perkataan ini?) yang membawa imej Islam dan dalam masa yang sama dapat berdakwah dengan mereka :)

Jumaat, 8 Julai 2011

Kisah di Sempadan

Ini buku lama DBP yang saya jumpa di pusat sumber sekolah. Belek-belek, macam buku penyiasatan. Jadi saya baca. Sengaja ingin menimbulkan nostalgia membaca sewaktu kecil-kecil dahulu. Dahulu banyak buku penyiasatan yang dibaca seperti Hardy Boys, 7 Penyiasat, Nancy Drew dan 5 Sekawan selain buku Sekolah Melur (saya rasa buku Malory Towers..maaf, tak ingat tajuk siri ini), buku-buku Kenari dan buku cerita rakyat.

Sebenarnya tiada apa pun mahu diulas berkenaan cerita ini. Kisah di Sempadan ini mengisahkan sekumpulan pelajar yang berjaya membongkar sindiket penyeludupan dadah dan senjata api di sempadan Malaysia-Thai. Cuma yang agak menarik perhatian saya ialah banyaknya perkataan yang saya tidak tahu maksud! Aduh >_< Nampak sangat Bahasa Melayu kurang perbendaharaan kata. Hehe...

Saya catatkan antara perkataan yang mungkin baru pertama kali saya jumpa. Saya tidak pasti perkataan ini memang "bahasa" orang Perlis atau memang perkataan standard.

bakung - sejenis parang
beretuh - melanggar
gedung - hospital
gomba - pam (Perkataan ini yang menarik untuk saya baca buku ini kerana saya terjumpa dalam sinopsis)
guri - tempayan bermulut kecil
lit-lat - meliang-liuk
terbelahak - sendawa (saya ingat terbelahak ini nak muntah)
tombak berembang - akar berembang

:)

Ahad, 3 Julai 2011

37 Kisah Kehidupan Tabi'in Siri 1




Buku ini sebenarnya bacaan ulangan saya semenjak kali pertama dibaca pada tahun 2005 dahulu. Susunan ayatnya sangat menarik dan tidak terasa membosankan apabila membacanya.




Buku ini ada dalam 2 siri. Dalam siri pertama ini penulis mengisahkan tokoh tabi'in seperti Abdul Rahman al-Ghafiqi, Abu Hanifah al-Nu'man, Abu Muslim al-Khaulaani, Al-Ahnaf bin Qais, Al-Hasan al-Basri, Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Amir bin Abdullah al-Tamimi, Amir bin Shurahabil, Ato' bin Rabah, Iyas bin Muawiyah al-Muzani, Muhammad al-Hanafiyyah, Muhammad bin Sirin, Muhammad bin Wasi' al-Azdi dan Al-Rabi' bin Khuthaim.




Abdul Rahman al-Ghafiqi dengan kepahlawanannya. Abu Hanifah pula terkenal dengan sifat dermawan, jujur dan kepintarannya dalam berhujah. Sehinggakan pernah Imam Malik mengatakan "sekiranya orang ini (Abu Hanifah) mengatakan tiang ini emas, dia akan mengeluarkan segala hujah untuk menyokong apa yang dikatakannya dan akhirnya tiang ini akan menjadi seperti apa yang dikatakannya.




Ada dalam satu peristiwa, seorang penduduk Kufah mendakwa Saidina Uthman bin Affan ialah seorang Yahudi. Maka beliau berjumpa orang itu dan mengatakan hasrat meminang anak perempuan orang tersebut untuk seorang lelaki berkedudukan, dermawan dan alim. Sudah pastilah si lelaki tadi gembira. Namun kata Imam Abu Hanifah, ada satu sahaja masalahnya. Lelaki yang ingin meminang ini ialah seorang yahudi. Tersentaklah lelaki tersebut dan marahkan Abu Hanifah. Dengan pantas lelaki itu dibidas, "Engkau tidak mahu mengahwinkan anak kamu dengan lelaki yahudi itu tetapi engkau canangkan ke seluruh manusia yang Nabi SAW kahwinkan dua puterinya dengan seorang yahudi!". Terus lelaki itu bertaubat.




Kisah Abu Muslim al-Khaulaani tidak kurang hebat. Kisahnya seperti Nabi Ibrahim alaihissalam. Beliau menentang nabi palsu iaitu al-Aswad al-Ansi. Pada satu ketika belaiu dijatuhkan hukuman oleh nabi palsu itu. Namun atas sebab-sebab tertentu al-Aswad tidak jadi menghumban Abu Muslim ke dalam api kerana ditakuti beliau selamat dan menjadikan pengikut-pengikutnya berpaling tadah. Namun, ada pendapat yang mengatakan Abu Muslim telah dicampakkan ke dalam api namun masih selamat kerana Allah memberi rahmat kepadanya dengan menyejukkan api tersebut. Subhanallah!




Ini hanyalah sedutan sebahagian kecil kisah dari buku ini. Ada banyak lagi peribadi yang mengagumkan di dalamnya dan mutiara-mutiara kata yang hebat dan menginsafkan..

Isnin, 16 Mei 2011

Tabik Cikgu



Assalamualaikum warahmatullah,


Selamat Hari Guru buat semua guru!



Ibu bapa kita juga adalah guru pertama yang mendidik kita. Jadi jangan lupa berdoa untuk kesejahteraan mereka semua.







Dapat menonton sekejap To Sir With Love di TV2 sebentar tadi. Teringat pada resensi saya awal tahun ini. Lama juga saya tidak menulis di sini. Bukan apa, saya lebih senang membuat ulasan di Goodreads :)







Buku Tabik Cikgu ini saya beli melalui online di Bookcafe (kedai buku online PTS) selepas melihat promosinya di blog KakChik.





Kisahnya mengenai cara Cikgu Mukhsin menangani kerenah pelajarnya di 2 Terbilang.


Menjadi guru kelas 2 Terbilang merupakan satu cabaran. Manakan tidak, sungguhpun mereka kelas pertama namun tingkah laku mereka tidak secantik kepandaian mereka.

Cikgu Mukhsin ada strateginya. Hari pertama Cikgu Mukhsin masuk ke kelas, murid 2 Terbilang sudah menunjukkan belang. Tapak kasut Cikgu Mukhsin terlekat kuat pada kertas di bawah meja guru.

'Trick' Cikgu Mukhsin tidak kurang hebat. Katanya ada kamera perakam telah diletak di dalam almari kelas. Dan mereka semua didenda membuat karangan mengenai nasihat yang paling berkesan pernah mereka terima dan akan dibacakan sebelum kelas bermula.

Cikgu Mukhsin menggunakan pelbagai strategi bagi menundukkan ego murid-muridnya. Lama-kelamaan perubahan tingkah laku mereka semakin baik :)


Jadi guru ni mesti selalu betulkan niat..sebab boleh jadi kurang sabar...hehe.. Macam saya. Selalu kurang sabar bila murid tak nak dengar kata. Aduh..

Niat kerana Allah. Doakan anak-anak didik supaya akhlaknya baik dan mudah menerima ilmu. Doa juga untuk diri sendiri supaya sabar dan ikhlas mengajar. Terutama kepada anak-anak istimewa :)

Selasa, 3 Mei 2011

Cerita PBAKL 2011


Sukanya Cik Khaulah berjalan-jalan.. (",)



Saya berkesempatan pergi ke pesta buku pada hari terakhir, 1 Mei 2011. Sesak dengan lautan manusia. Lelah saya dibuatnya. Bergilir-gilir dengan suami menjaga si kecil Khaulah. Kali ini kami sekeluarga sahaja bersama seorang teman saya ke pesta buku.

Tahun ini saya lebih berhati-hati dalam membuat bajet :D Senaraikan dahulu buku apa yang ingin dibeli dan berapa anggaran kosnya. Sehari sebelum ke pesta buku, saya masukkan jumlah wang ke dalam beberapa sampul mengikut booth yang akan saya pergi. Nampaknya berbaloi. Saya tidak mengambil masa yang lama dan tidak perlu bersesak-sesak sangat dengan orang ramai.

Namun dari satu segi tidak dapat merasai sangat kemeriahannya sebab saya membeli tidak menoleh kiri kanan lagi dan tidak dapat berjalan ke semua booth. Lihat sepintas lalu sahaja buku-buku yang tiada dalam senarai :)

Mari lihat kenangan yang sempat dirakamkan di PBAKL 2011 :





Booth Ana Muslim, PTS dan Jemari Seni berada dalam satu tempat. Saya rasa PTS perlu sewa 1 dewan besar seperti Karangkraf..*sigh*

Kitab idaman encik suami..

Kehadiran Adi Putra mencuri tumpuan pengunjung


Khaulah yang keletihan...kasihannya..

Tadaa... hasil tangkapan KLIBF kali ini. Banyak buku kanak-kanak..

OK, mula mengumpul untuk KLIBF 2012 pula :)
Jazakallah buat Huda. Datang dari jauh semata-mata untuk temankan ke pesta buku :)
Happy belated birthday sis!

Isnin, 28 Mac 2011

Seuntai Kasih Secebis Harapan


Telah lama buku ini saya beli. Terlupa saya di PBAKL 2007 atau 2008. Beli dari penulis ini sendiri. Kebetulan bertembung dengan beliau di booth ITNM.

Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan membeli koleksi gurindam ini. Sudah lama tidak membaca mahupun mengarang puisi, sajak, pantun mahupun gurindam.

Oh, saya rasa bersemangat pula baca gurindam ini. Boleh jadi motivasi. Paling saya suka gurindam Zero Defect. Antara isinya :

Buatlah kerja sungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Tugas diberi biar sempurna,
Tanpa salah di mana-mana.

Panjang lagi, rasa tak rajin pula nak menaip :D