Isnin, 15 November 2010

^_^

Assalamualaikum,



Akhirnya yang ditunggu telah tiba :) Saya telah selamat melahirkan anak perempuan diberi nama Khaulah bt Ahmad Kamalarifin pada 24 Oktober 2010. Sehari awal dari tarikh jangkaan. Selang beberapa hari kemudian, lahir pula sepupunya, Muhamad Umar bin Muhamad Sofian pada 1 November 2010 :)



Umar + Khaulah ~hari pertama lahir



Khaulah ~ usia 3 minggu

Mohon doanya. Jazakallah ^_^

Ahad, 17 Oktober 2010

Tertangguh..

Banyak benar rasanya buku yang telah selesai dibaca namun tidak sempat dibuat ulasan. Tidak mengapalah saya hanya sentuh sedikit-sedikit sahaja :)

Antara buku yang telah selesai dibaca ialah 8 Tokoh Wanita Pencetus Turunnya Wahyu karangan Dr Abd Rahman Umayrah terbitan Mustread. Buku ini saya beli kerana tertarik dengan tajuknya. Saya tidak terfikir akan tokoh-tokoh wanita yang menjadi penyebab turunnya wahyu. Sungguh, mereka ini memiliki akhlak yang mulia serta terpuji malah Allah mendengar permintaan dan rintihan mereka berkenaan sesuatu masalah yang berkaitan dengan mereka tetapi masih belum ada hukum berkenaannya ketika itu.

Antara tokoh tersebut ialah Saidatina Aisyah r.a, Khaulah binti Tha'labah, anakanda puteri Rasulullah SAW ; Fatimah dan 5 lagi tokoh. Saidatina Aisyah dengan kisah fitnah yang melanda dirinya manakala Khaulah binti Tha'labah berkenaan hukum zihar.

Diceritakan suaminya marah kepadanya sehingga mengatakan "punggungmu seperti punggung ibuku!". Lalu suaminya keluar rumah dan apabila kembali beliau mahu bersama dengan isterinya. Tetapi dengan tegasnya Khaulah menolak "sehingga adanya ketetapan". Hal ini kerana, ayat dituturkan oleh suaminya itu adalah ucapan yang biasa digunakan ketika zaman jahiliah dahulu apabila seorang suami ingin menyeksa isterinya. Apabila terjadi perkara itu, si isteri tidak akan mendapat hak setaraf isteri tetapi statusnya tidaklah juga diceraikan. Hal inilah yang menunjukkan kezaliman kepada pihak isteri.

Khaulah mengadu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW tidak dapat memutuskan sehinggalah Allah menurunkan wahyu melalui surah al-Mujadalah ayat 1. Inilah asbabun nuzul ayat berkenaan hukum zihar diturunkan.




Novel Weil China karya Emine Syenlikoglu ini baru sahaja selesai dibaca. Masya Allah saya tidak
dapat menggambarkan betapa kejamnya komunis. Kisah benar yang diceritakan dalam bentuk novel ini bagai merobek hati dan perasaan ketika membacanya.

Kisah sedih ini bermula apabila si bapa menghantar dua orang anak lelakinya belajar di bandar. Sungguhpun bimbang dengan akidah kedua anaknya terpengaruh dengan komunis namun apakan daya, mereka perlu dihantar juga untuk belajar. Seminggu, dua minggu, sebulan berlalu tanpa ada masalah. Namun lama-kelamaan kebimbangan si bapa nampak semakin jelas apabila kedua anaknya terutama si abang mula mempersoalkan ritual agama yang selama ini dipegang kukuh oleh mereka sekeluarga.

Daripada seorang muslim, mereka berdua beransur-ansur menjadi ateis. Semuanya gara-gara komunis. Sakit sungguh hati melihat dakyah komunis itu berjaya memurtadkan mereka adik-beradik. Malah mereka berdua begitu komited dengan komunis sehingga menjawat jawatan penting.

Namun timbul jua kesedaran dalam diri si adik apabila melihat beberapa perkara yang tidak enak dirasakan. Syukurlah hidayah Allah masih lagi bersinar. Sejak itu si abang memusuhi adiknya sehinggalah berlaku musibah besar terhadap keluarga mereka. Bermulalah episod kekejaman dan sejarah hitam dalam hidup si adik. Bapa mereka dibunuh, anak buahnya yang masih bayi dicabut kepala dari badan, kakak iparnya yang gila ditembak mati, ibu dan kakaknya dipisahkan dan dihantar ke luar negara. Manakala dirinya sendiri dipenjarakan berpuluh-puluh tahun lamanya. Diseksa dengan pelbagai cara namun dia masih bernyawa sehinggalah hari dia dibebaskan... Buku ini dicadangkan kepada anda untuk membacanya. Recommended!

Rabu, 13 Oktober 2010

Stok buku


3 hari 2 malam berada di wad tanpa bahan bacaan yang cukup amatlah membosankan. Mujur juga dapat tengok newborn babies setiap hari :) Lantas hari keluar wad ajak suami ke kedai buku. Mujur dia tidak banyak membantah. Yalah, baru keluar wad patutnya balik rumah berehat :D Capai 4 buah buku yang memang ingin dibeli jadi tidaklah ambil masa lama membeli buku.



Selang beberapa hari, kebetulan ke sebuah pusat membeli-belah. Sudah alang-alang sampai, ajaklah dia ke kedai buku Popular juga. Katanya, "Dah agak dah..." ngee..minta maaf...dah namanya perempuan ;) Tapi isterinya ini lebih suka book shopping daripada membeli kain baju. Tapi kali ini buku yang dibeli agak santai dan kebudak-budakan...semua ini nak dibuat stok buku semasa bercuti nanti. Hm.. tapi agak-agaknya terbaca ke? Entahlah.



Awal Oktober lalu pembelian buku yang tidak dirancang :D



Maka, berakhirlah era saya 'berpuasa' dari membeli buku selama 2 bulan setengah (^_^).
Jom baca buku!

Sabtu, 9 Oktober 2010

Dalam Kehadiran Sofiah


Penulis : Saripah Bakar
Penerbit : PTS

Kehadiran anak istimewa dalam keluarganya tidak pernah diduga namun saya kagum kedua ibu bapa ini tabah dan sabar menghadapi kerenah anak mereka yang istimewa. Benar, hanya ibu bapa istimewa sahaja yang Allah beri anak istimewa. Buku ini digarap hasil pengalaman sebenar penulis yang mempunyai anak sulung yang istimewa.

Segala keperitan dan kepayahan menjaga dan membesarkan Sofiah ditulis secara kesinambungan di dalam buku ini. Walaupun kadang-kala saya merasakan plotnya terlalu cepat. Tetapi tidak mengapa, jerit perih yang dilalui oleh keluarga ini seakan turut sama dirasai. Saya yang kadang-kadang membaca sambil baring boleh berubah-ubah posisi kedudukan membaca kerana sama resah merasai kehidupan keluarga Sofiah.

Sofiah seorang anak Cerebral Palsy jika saya tidak silap. Oleh itu Sofiah mengalami kelewatan perkembangan dari segi fizikal terutamanya. Disebabkan keadaannya yang tidak dapat mengurus diri sendiri jadi Sofiah dihantar ke PDK (Pemulihan Dalam Komuniti). Hal ini kerana di negara kita, kanak-kanak yang bermasalah / kurang upaya yang diterima di sekolah ialah yang boleh mengurus diri sendiri sahaja.

Penulis ada menceritakan pandangan negatif pihak masyarakat terhadap anak istimewa, golongan yang mengambil kesempatan di atas keistimewaan anak-anak ini, golongan ahli politik yang 'cakap tak serupa bikin', dan lain-lain lagi. Pastinya penulis sendiri telah mengalami semua perkara tersebut.

Khamis, 16 September 2010

11 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid

Judul buku : 11 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid

Penulis : Hafiz Firdaus Abdullah

Penerbit : Jahabersa (2006)

Harga : RM12.00

Tarikh baca : 10 -14 September 2010

Tauhid adalah perkara maha penting bagi seseorang Islam. Namun tanpa kita sedari kita banyak mencemari kemurnian tauhid itu. Penulis mengupas 11 perkara yang dirasakan banyak berlaku di dalam masyarakat Islam.

Ya, saya amat berterima kasih kepada penulis kerana menulis buku ini. Mengapa? Kerana apa yang dipandang biasa sebenarnya merupakan kesalahan besar dan tidak sepatutnya berlaku.

11 perkara itu ialah :

1) Menggelar alam ini sebagai ‘alam semula jadi’

2) Menganggap makhluk wujud melalui proses evolusi.

3) Menganggap kesatuan wujud antara Allah dan makhluk.

4) Berjumpa dengan bomoh.

5) Membaca Horoscopes.

6) Mempercayai sesuatu yang dapat membawa nasib yang baik atau buruk.

7) Menggunakan tangkal dan azimat.

8) Jampi-jampian yang tidak difahami.

9) Mengharapkan pengaruh makhluk dalam berdoa.

10) Mengubah syariat Allah.

11) Mencintai sesuatu sama atau lebih daripada Allah.

Di awal buku, penulis telah menerangkan mengapa disebut “pencemaran kemurnian tauhid”. Ini adalah berdasarkan ayat Quran dari surah an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."

Alam semula jadi

Ya, alam ini bukanlah terjadi secara semula jadi tetapi Allah yang mencipta segala-galanya. Maka penggunaan perkataan semula jadi adalah tidak tepat dan seharusnya digantikan termanya kepada alam ciptaan Allah.

Berjumpa bomoh

Dan saya akhirnya berjumpa dengan jawapan mengenai persoalan bomoh. Sebelum ini ada seorang rakan saya yang mengatakan dia berjumpa bomoh sebagai usaha untuk mengubati penyakitnya. Katanya lagi dia tidak percaya bomoh itu yang menyembuhkannya sebaliknya dia percaya Allah yang berkuasa menyembuh dan membaikkan sesuatu penyakit.

Walaupun saya berasa sedikit janggal ketika itu namun saya tiada hujah untuk diberikan kepadanya melainkan nasihat supaya tidak lagi pergi berjumpa dengan mana-mana bomoh kerana tidak diyakini cara pengubatannya. Apatah lagi jika si pengubat mendakwa dia boleh membuat pembedahan ghaib! Sungguh tidak masuk akal. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membuat pengubatan secara ghaib.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Hadis riwayat Muslim di dalam Shahihnya – hadis no 2230 (Kitab al-Salam, Bab larangan menilik nasib).

Saya petik beberapa sebab di sebalik larangan ini seperti yang disebut oleh penulis (muka surat 39-40) :

1. Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Jika ada orang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib maka dia meletakkan diri sejajar dengan Allah.

2. Apabila seseorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, bererti dia telah mengiktiraf orang itu. Sedangkan Rasulullah melarang kita bertemu dengan orang ini kecuali jika ingin menasihatinya.

3. Sekalipun pada awalnya pengunjung tidak mempercayai apa yang diperkatakan, akan tetapi dia akan mempercayainya kemudian jika khabar itu benar-benar terjadi. Ini akan mengakibatkan pengunjung akan membenarkan apa yang diperkatakan.

Melihat horoskop

Hal ini sama dengan melihat horoskop atau bintang. Asal usul horoskop ialah menggunakan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan. Sedangkan telah diketahui ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan di dalam benda-benda ini. Hanya Allah sahaja yang mempunyai kunci perbendaharaan ilmu ghaib.

Tidak terhad kepada ramalan bintang sahaja, malah mendakwa alur-alur di tangan dan gerak-geri di muka serta wajah seseorang yang dikatakan mempunyai maksud tertentu juga dikategorikan di bawah perkara ini.

Masya Allah. Semoga saya lebih berhati-hati dalam perbuatan dan perkataan selepas ini. Tauhid merupakan perkara besar dan mensyirikkan Allah merupakan dosa yang tidak terampun oleh Allah. Saya syorkan buku ini kepada anda untuk dibaca. Selamat membaca.

Rabu, 15 September 2010

Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden


Judul buku : Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden

Penulis : Dr Danial Zainal Abidin

Penerbit : PTS

Sumber : Pinjam dari adik :)

Sumber gambar : Laman www.goodreads.com


Buku ini terbahagi kepada 15 bab yang dimulai dengan bab konsep perubatan Islam, Makanan Halal dan Berkhasiat, Senaman dan Kesihatan Fizikal, Menjauhi Bahaya Rokok, Menjauhi Bunyi Pencemaran, Menjauhi Bahaya Televisyen, Tidur adalah Ibadah, Seks yang Hal
al adalah Ibadah, Menangani Stres, Penemuan Saintifik pada Bahaya Babi, Penemuan Embriologi dan Quran, Penemuan Saintifik Rahsia Lalat, Berbekam Masih Relevan?, Adakah Klon Halal? Dan bab terakhir ialah Epilog.


Antara yang menarik perhatian
saya ialah bahaya rokok. Sungguhpun telah diketahui umum bahawa rokok membahayakan kesihatan namun masih ramai lagi perokok tegar enggan meninggalkan tabiat buruk ini. Mengapa ya? Sedangkan di dalam rokok terdapat 4 000 jenis bahan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Apa tidaknya, orang yang tidak merokok tetapi terbau asapnya dari perokok menghadapi risiko penyakit dua kali ganda dari perokok.


Hadith riwayat at-Tabrani ada merekodkan bahawa Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun menipunya.” Asap rokok turut membahayakan bayi di dalam kandungan. Banyak kes kelahiran bayi pramatang dikaitkan dengan ibu yang perokok ataupun ibu yang hidup bersama pasangan perokok. Sudahlah kelahirannya pra
matang, ditambah pula penyakit yang dihidapi oleh bayi itu kelak seperti kurang berat badan, sakit paru-paru dan asma.


Dalam bab yang lain banyak disentuh mengenai perkembangan bayi dan kanak-kanak. Apa yang dapat saya simpulkan ialah mengenai bahaya makanan ringan terhadap perkembangan otak dan kecerdasannya.

Jadi para ibu bapa kurangkanlah memberi makanan ringan kepada anak-anak. Biarpun hanya sebagai kudap-kudapan sahaja. Jika diajar tidak memakannya langsung pun boleh tetapi agak sukar rasanya
ya. Sebab walau bagaimana cara sekalipun anak kita tetap akan tertarik dengan makanan ringan. Biasanya melalui iklan televisyen, papan-papan iklan, rakan sebaya, atau pemberian semasa kenduri kahwin atau juga diberi oleh orang lain kepada anak kita.


Mengikut kajian usia 0 hingga 2 tahun adalah waktu pesat perkembangan otak dan minda kanak-kanak.
Oleh itu elakkan menyogok anak kita dengan televisyen bagi ‘mengawal ‘ mereka. Kadang-kala apabila ibu bapa sibuk dengan kerja, anak-anak akan diletakkan di hadapan televisyen dan dibukakan rancangan kartun dan kita akan ‘berpuas hati’ melihat anak kita duduk diam dan menumpukan perhatian terhadap kaca televisyen.


Janganlah membunuh kreativiti anak anda. Kesan televisyen lebih banyak buruk daripada manfaat. Sedangkan kartun Mickey dan Donald turut mempunyai aksi ganas. Bayangkan, bagi 28 minit tayangan kartun ini, sebanyak 82 a
ksi ganas dipaparkan.


Oh.. tidak hairanlah mengapa kanak-kanak di usia ini gemar bermain gaduh-gaduh. Rupa-rupanya ia adalah kesan daripada kartun! Kajian ini adalah hasil pemerhatian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Namun tidak dinyatakan kajian pada tahun berapa. Berikut adalah carta kajian yang dibuat oleh pihak CAP
:




Malah ADHD atau hiperaktif boleh berpunca daripada banyak menonton televisyen. Kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen menghadapi gangguan penumpuan di dalam pelajaran. Hal ini kerana imej yang dipaparkan di televisyen kerap bertukar. Misalnya 3 saat imej ini, diikuti 7 saat imej lain, 5 saat imej seterusnya dan begitulah sehingga hal ini mempengaruhi fokus anak. Semua ini tidak disedari oleh kita sebagai ibu bapa dan menganggap televisyen adalah perkara biasa dan tidak boleh kita sekat. Nampaknya dengan segala fakta ini, saya juga harus berfikir banyak kali untuk menonton televisyen :D

Selasa, 7 September 2010

Tutuplah Tubuhmu Ada yang Melihat!

Judul buku : Tutuplah Tubuhmu Ada yang Melihat!
Penulis : Bambang Q. Anees
Harga : RM14.90
Penerbit : PTS Millenia (2008)


Secara jujurnya saya sukar memahami intipati buku ini pada awal bacaan kerana bahasa Indonesianya yang terlalu ‘pekat’. Mujurlah saya mula memahaminya di tengah-tengah pembacaan. Sungguhpun Si Lalat Socrates berceloteh terlalu panjang (sehingga saya rasa hendak menghentikan terus pembacaan) tetapi banyak maklumat dan fakta yang saya dapati di celah-celah ‘bebelannya’ membuatkan saya tetap bertahan membaca sehingga ke muka surat terakhir.

Ya, saya sangat bersyukur kerana pemakaian tudung di negara kita tiada halangan atau diskriminasi dari masyarakat mahupun pemerintah. Seperti saudara-saudara muslimah kita di Perancis atau di Algeria yang terpaksa berjuang mempertahankan prinsip yang satu ini. Saya sungguh sedih membaca kisah para muslimah di Algeria yang menghadapi tentangan yang hebat dari pemerintah yang menghalang mereka memakai tudung. Malah, puncak kezaliman mereka ialah dilakukan pemerkosaan beramai-ramai dan besar-besaran ke atas para muslimah di sana.

Dengan itu harapan mereka agar maruah para muslimah ini jatuh dan terus berubah dengan tidak memakai tudung lagi. Nauzubillah.. Ya Allah, jauhkan malapetaka itu ke atas kami dan saudara-saudara muslimah kami yang lain. Amin..


Buku ini menghidangkan perspektif yang berbeza terhadap hidung, rambut, tudung dan badan serta iklan dan kesannya kepada pengguna (khususnya kaum perempuan). Saya pun tidak pernah terfikir akannya.


Tubuh badan kita sebenarnya hanyalah pinjaman dari Allah SWT dan Dia telah menciptakan sebaik-baiknya untuk kita. Namun apa yang terjadi kini ialah sebahagian besar daripada kita lebih suka mengikut dan meniru-niru gaya para artis sehinggakan mudah terpengaruh dengan iklan. Mahu kulit yang putih licin, muka yang bersih dari jerawat, bau badan yang harum, rambut hitam bersinar, tubuh langsing, hidung yang mancung dan pelbagai lagi hasrat menjadikan diri sempurna dan paling penting mahu dipuji orang. Maka sempurnalah juga “penderitaan” anda kerana terlalu mengikut kata orang.


Saya tertarik dengan huraian jenis-jenis rambut yang menjadi ikutan para remaja hari ini. Saya pernah membacanya satu masa dahulu tetapi diingatkan kembali di dalam buku ini. Saya juga terfikir adakah para remaja kini mengetahui asal-usul golongan tertentu membuat gaya rambut dan berpakaian sebegitu atau mereka hanya mengikut “trend” sahaja?.


Di Amerika Syarikat, fesyen rambut dibuat kerana mempunyai ideologi dan simbol tertentu. Antaranya ialah :


Fesyen rambut beatnik yang dipelopori oleh James Dean dan Marlon Brando menunjukkan rasa hampa dan bantahan kepada pihak pemerintah.


Pada tahun 60-an, segolongan anak muda menggelar diri mereka hippies mempunyai rambut yang dibiarkan sahaja tanpa dicat, dikerinting atau dihias, tidak memakai rambut palsu, misai dan janggut dibiar tumbuh lebat tanpa dipotong dan kaum lelaki berambut panjang. Mereka ingin kelihatan berbeza daripada ibu bapa mereka. Selain itu mereka juga berbeza dari segi pakaian. Mereka memakai rantai manik, seluar jeans, kaftan, selipar, jaket, dan mantel yang dijahit dan disulam sendiri bagi membezakan diri mereka dengan golongan yang berpakaian kemas dan bertali leher.Mereka ini membuat bantahan menentang norma-norma seksual yang melampau.

Golongan skin head pula muncul pada tahun 70-an sebagai protes terhadap golongan hippies dan gay. Mereka menggondolkan rambut, memakai jeans pudar yang digulung sehingga ke pergelangan kaki , memakai kasut askar jenis boover boots atau Dr Marten, kemeja T yang mempamerkan slogan politik atau pasukan bola sepak tertentu, memakai jaket yang menulis perkataan skins di belakangnya dan rambut bercukur pendek. Kaum perempuan juga sama kecuali rambut dinipiskan di bahagian belakang dan tepi kepala.

Kumpulan punk muncul pada tahun 1975. Ciri-ciri kumpulan ini ialah memakai seluar jeans yang koyak-koyak, mengatakan diri mereka anti fesyen, pin baju dipinkan di telinga atau pipi dan memakai aksesori lain seperti swastika (salib atau rantai anjing). Fesyen rambut ialah spike-top yang menyerupai paku berduri dan fesyen rambut Mohican (atau dipanggil Mohawk) iaitu gabungan gaya spike-top dan cukuran di bahagian belakang dan tepi bagi menghasilkan bentuk bulu-buku tinggi atau bentuk tanduk.

Warna rambut mereka juga pelbagai seperti hijau, merah, ungu dan lain-lain. Ini mengambil simbol kumpulan Red Indian yang diusir oleh pemerintah di Amerika satu masa dahulu. Dengan ini mereka juga ingin menunjukkan kepada pemerintah bahawa mereka adalah golongan yang tersingkir.

Selain golongan yang telah disebutkan terdapat juga kumpulan casual , rockers dan Teddy Boy. Aduh, pening juga saya membacanya. Jadi mengapa mahu bersusah payah mengikut mereka semua?

Jadilah diri anda yang sebenar. Jangan hipokrit. Keaslian anda akan hilang jika menurut hawa nafsu yang mahu tampil sempurna sedangkan diri anda sendiri telah sedia sempurna. Bersyukurlah dengan apa yang ada.