Sabtu, 9 Oktober 2010

Dalam Kehadiran Sofiah


Penulis : Saripah Bakar
Penerbit : PTS

Kehadiran anak istimewa dalam keluarganya tidak pernah diduga namun saya kagum kedua ibu bapa ini tabah dan sabar menghadapi kerenah anak mereka yang istimewa. Benar, hanya ibu bapa istimewa sahaja yang Allah beri anak istimewa. Buku ini digarap hasil pengalaman sebenar penulis yang mempunyai anak sulung yang istimewa.

Segala keperitan dan kepayahan menjaga dan membesarkan Sofiah ditulis secara kesinambungan di dalam buku ini. Walaupun kadang-kala saya merasakan plotnya terlalu cepat. Tetapi tidak mengapa, jerit perih yang dilalui oleh keluarga ini seakan turut sama dirasai. Saya yang kadang-kadang membaca sambil baring boleh berubah-ubah posisi kedudukan membaca kerana sama resah merasai kehidupan keluarga Sofiah.

Sofiah seorang anak Cerebral Palsy jika saya tidak silap. Oleh itu Sofiah mengalami kelewatan perkembangan dari segi fizikal terutamanya. Disebabkan keadaannya yang tidak dapat mengurus diri sendiri jadi Sofiah dihantar ke PDK (Pemulihan Dalam Komuniti). Hal ini kerana di negara kita, kanak-kanak yang bermasalah / kurang upaya yang diterima di sekolah ialah yang boleh mengurus diri sendiri sahaja.

Penulis ada menceritakan pandangan negatif pihak masyarakat terhadap anak istimewa, golongan yang mengambil kesempatan di atas keistimewaan anak-anak ini, golongan ahli politik yang 'cakap tak serupa bikin', dan lain-lain lagi. Pastinya penulis sendiri telah mengalami semua perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Komen