Selasa, 7 September 2010

Tutuplah Tubuhmu Ada yang Melihat!

Judul buku : Tutuplah Tubuhmu Ada yang Melihat!
Penulis : Bambang Q. Anees
Harga : RM14.90
Penerbit : PTS Millenia (2008)


Secara jujurnya saya sukar memahami intipati buku ini pada awal bacaan kerana bahasa Indonesianya yang terlalu ‘pekat’. Mujurlah saya mula memahaminya di tengah-tengah pembacaan. Sungguhpun Si Lalat Socrates berceloteh terlalu panjang (sehingga saya rasa hendak menghentikan terus pembacaan) tetapi banyak maklumat dan fakta yang saya dapati di celah-celah ‘bebelannya’ membuatkan saya tetap bertahan membaca sehingga ke muka surat terakhir.

Ya, saya sangat bersyukur kerana pemakaian tudung di negara kita tiada halangan atau diskriminasi dari masyarakat mahupun pemerintah. Seperti saudara-saudara muslimah kita di Perancis atau di Algeria yang terpaksa berjuang mempertahankan prinsip yang satu ini. Saya sungguh sedih membaca kisah para muslimah di Algeria yang menghadapi tentangan yang hebat dari pemerintah yang menghalang mereka memakai tudung. Malah, puncak kezaliman mereka ialah dilakukan pemerkosaan beramai-ramai dan besar-besaran ke atas para muslimah di sana.

Dengan itu harapan mereka agar maruah para muslimah ini jatuh dan terus berubah dengan tidak memakai tudung lagi. Nauzubillah.. Ya Allah, jauhkan malapetaka itu ke atas kami dan saudara-saudara muslimah kami yang lain. Amin..


Buku ini menghidangkan perspektif yang berbeza terhadap hidung, rambut, tudung dan badan serta iklan dan kesannya kepada pengguna (khususnya kaum perempuan). Saya pun tidak pernah terfikir akannya.


Tubuh badan kita sebenarnya hanyalah pinjaman dari Allah SWT dan Dia telah menciptakan sebaik-baiknya untuk kita. Namun apa yang terjadi kini ialah sebahagian besar daripada kita lebih suka mengikut dan meniru-niru gaya para artis sehinggakan mudah terpengaruh dengan iklan. Mahu kulit yang putih licin, muka yang bersih dari jerawat, bau badan yang harum, rambut hitam bersinar, tubuh langsing, hidung yang mancung dan pelbagai lagi hasrat menjadikan diri sempurna dan paling penting mahu dipuji orang. Maka sempurnalah juga “penderitaan” anda kerana terlalu mengikut kata orang.


Saya tertarik dengan huraian jenis-jenis rambut yang menjadi ikutan para remaja hari ini. Saya pernah membacanya satu masa dahulu tetapi diingatkan kembali di dalam buku ini. Saya juga terfikir adakah para remaja kini mengetahui asal-usul golongan tertentu membuat gaya rambut dan berpakaian sebegitu atau mereka hanya mengikut “trend” sahaja?.


Di Amerika Syarikat, fesyen rambut dibuat kerana mempunyai ideologi dan simbol tertentu. Antaranya ialah :


Fesyen rambut beatnik yang dipelopori oleh James Dean dan Marlon Brando menunjukkan rasa hampa dan bantahan kepada pihak pemerintah.


Pada tahun 60-an, segolongan anak muda menggelar diri mereka hippies mempunyai rambut yang dibiarkan sahaja tanpa dicat, dikerinting atau dihias, tidak memakai rambut palsu, misai dan janggut dibiar tumbuh lebat tanpa dipotong dan kaum lelaki berambut panjang. Mereka ingin kelihatan berbeza daripada ibu bapa mereka. Selain itu mereka juga berbeza dari segi pakaian. Mereka memakai rantai manik, seluar jeans, kaftan, selipar, jaket, dan mantel yang dijahit dan disulam sendiri bagi membezakan diri mereka dengan golongan yang berpakaian kemas dan bertali leher.Mereka ini membuat bantahan menentang norma-norma seksual yang melampau.

Golongan skin head pula muncul pada tahun 70-an sebagai protes terhadap golongan hippies dan gay. Mereka menggondolkan rambut, memakai jeans pudar yang digulung sehingga ke pergelangan kaki , memakai kasut askar jenis boover boots atau Dr Marten, kemeja T yang mempamerkan slogan politik atau pasukan bola sepak tertentu, memakai jaket yang menulis perkataan skins di belakangnya dan rambut bercukur pendek. Kaum perempuan juga sama kecuali rambut dinipiskan di bahagian belakang dan tepi kepala.

Kumpulan punk muncul pada tahun 1975. Ciri-ciri kumpulan ini ialah memakai seluar jeans yang koyak-koyak, mengatakan diri mereka anti fesyen, pin baju dipinkan di telinga atau pipi dan memakai aksesori lain seperti swastika (salib atau rantai anjing). Fesyen rambut ialah spike-top yang menyerupai paku berduri dan fesyen rambut Mohican (atau dipanggil Mohawk) iaitu gabungan gaya spike-top dan cukuran di bahagian belakang dan tepi bagi menghasilkan bentuk bulu-buku tinggi atau bentuk tanduk.

Warna rambut mereka juga pelbagai seperti hijau, merah, ungu dan lain-lain. Ini mengambil simbol kumpulan Red Indian yang diusir oleh pemerintah di Amerika satu masa dahulu. Dengan ini mereka juga ingin menunjukkan kepada pemerintah bahawa mereka adalah golongan yang tersingkir.

Selain golongan yang telah disebutkan terdapat juga kumpulan casual , rockers dan Teddy Boy. Aduh, pening juga saya membacanya. Jadi mengapa mahu bersusah payah mengikut mereka semua?

Jadilah diri anda yang sebenar. Jangan hipokrit. Keaslian anda akan hilang jika menurut hawa nafsu yang mahu tampil sempurna sedangkan diri anda sendiri telah sedia sempurna. Bersyukurlah dengan apa yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan