Khamis, 16 September 2010

11 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid

Judul buku : 11 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid

Penulis : Hafiz Firdaus Abdullah

Penerbit : Jahabersa (2006)

Harga : RM12.00

Tarikh baca : 10 -14 September 2010

Tauhid adalah perkara maha penting bagi seseorang Islam. Namun tanpa kita sedari kita banyak mencemari kemurnian tauhid itu. Penulis mengupas 11 perkara yang dirasakan banyak berlaku di dalam masyarakat Islam.

Ya, saya amat berterima kasih kepada penulis kerana menulis buku ini. Mengapa? Kerana apa yang dipandang biasa sebenarnya merupakan kesalahan besar dan tidak sepatutnya berlaku.

11 perkara itu ialah :

1) Menggelar alam ini sebagai ‘alam semula jadi’

2) Menganggap makhluk wujud melalui proses evolusi.

3) Menganggap kesatuan wujud antara Allah dan makhluk.

4) Berjumpa dengan bomoh.

5) Membaca Horoscopes.

6) Mempercayai sesuatu yang dapat membawa nasib yang baik atau buruk.

7) Menggunakan tangkal dan azimat.

8) Jampi-jampian yang tidak difahami.

9) Mengharapkan pengaruh makhluk dalam berdoa.

10) Mengubah syariat Allah.

11) Mencintai sesuatu sama atau lebih daripada Allah.

Di awal buku, penulis telah menerangkan mengapa disebut “pencemaran kemurnian tauhid”. Ini adalah berdasarkan ayat Quran dari surah an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."

Alam semula jadi

Ya, alam ini bukanlah terjadi secara semula jadi tetapi Allah yang mencipta segala-galanya. Maka penggunaan perkataan semula jadi adalah tidak tepat dan seharusnya digantikan termanya kepada alam ciptaan Allah.

Berjumpa bomoh

Dan saya akhirnya berjumpa dengan jawapan mengenai persoalan bomoh. Sebelum ini ada seorang rakan saya yang mengatakan dia berjumpa bomoh sebagai usaha untuk mengubati penyakitnya. Katanya lagi dia tidak percaya bomoh itu yang menyembuhkannya sebaliknya dia percaya Allah yang berkuasa menyembuh dan membaikkan sesuatu penyakit.

Walaupun saya berasa sedikit janggal ketika itu namun saya tiada hujah untuk diberikan kepadanya melainkan nasihat supaya tidak lagi pergi berjumpa dengan mana-mana bomoh kerana tidak diyakini cara pengubatannya. Apatah lagi jika si pengubat mendakwa dia boleh membuat pembedahan ghaib! Sungguh tidak masuk akal. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membuat pengubatan secara ghaib.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Hadis riwayat Muslim di dalam Shahihnya – hadis no 2230 (Kitab al-Salam, Bab larangan menilik nasib).

Saya petik beberapa sebab di sebalik larangan ini seperti yang disebut oleh penulis (muka surat 39-40) :

1. Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Jika ada orang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib maka dia meletakkan diri sejajar dengan Allah.

2. Apabila seseorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, bererti dia telah mengiktiraf orang itu. Sedangkan Rasulullah melarang kita bertemu dengan orang ini kecuali jika ingin menasihatinya.

3. Sekalipun pada awalnya pengunjung tidak mempercayai apa yang diperkatakan, akan tetapi dia akan mempercayainya kemudian jika khabar itu benar-benar terjadi. Ini akan mengakibatkan pengunjung akan membenarkan apa yang diperkatakan.

Melihat horoskop

Hal ini sama dengan melihat horoskop atau bintang. Asal usul horoskop ialah menggunakan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan. Sedangkan telah diketahui ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan di dalam benda-benda ini. Hanya Allah sahaja yang mempunyai kunci perbendaharaan ilmu ghaib.

Tidak terhad kepada ramalan bintang sahaja, malah mendakwa alur-alur di tangan dan gerak-geri di muka serta wajah seseorang yang dikatakan mempunyai maksud tertentu juga dikategorikan di bawah perkara ini.

Masya Allah. Semoga saya lebih berhati-hati dalam perbuatan dan perkataan selepas ini. Tauhid merupakan perkara besar dan mensyirikkan Allah merupakan dosa yang tidak terampun oleh Allah. Saya syorkan buku ini kepada anda untuk dibaca. Selamat membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan