Jumaat, 27 November 2009

Resipi 30 Minit Chef Kamarul



Judul buku : Resipi 30 Minit Chef Kamarul
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM 25.90
Bilangan muka surat : 134
Sumber : Kedai Buku Belweel, Melaka Sentral
Tarikh baca : Oktober 2009
Terbitan tahun : 2007




Ini pertama kali saya memiliki buku resipi. Entah mengapa ketika melihatnya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April lalu saya begitu tertarik untuk memilikinya. Namun disebabkan bajet yang terhad, terpaksa ditangguhkan dahulu. Baru-baru ini saya membelinya kerana ada diskaun yang ditawarkan (hehe..).

Buku ini ditulis untuk mereka yang tidak mempunyai masa yang banyak untuk memasak. Kesemua resipi yang ada telah dipraktikkan di kampus UiTM tempat Chef Kamarul bertugas dan masa yang diperuntukkan untuk memasak resipi-resipi ini adalah selama 30 minit dan ke bawah.

Di dalam buku ini terkandung Tip Menggunakan Dapur, Rahsia Masak Ekspres, Keperluan Asas Dapur (terutama bagi pasangan yang baru berkahwin dan duduk di rumah sendiri), Pesan Ibu Saya (membantu dari segi masakan mahupun penjagaan alatan memasak), Kesucian Makanan, dan mengenalkan bahan-bahan asas masakan dan penambah perasa. Tidak lupa juga, kelainan yang ada pada buku masakan ini ialah terdapat hadis yang berkaitan pemakanan dan sunnah Nabi Muhammad Solallahu Alaihi Wasallam pada setiap resipi.

Resipi disediakan mengikut semua waktu makan; Resipi Pagi, Resipi Makan Tengah Hari, Resipi Minum Petang dan Snek, Resipi Makan Malam, dan Resipi Pemanis Mulut dan Minuman. Ada 50 buah resipi dan terdapat 10 buah resipi pada setiap waktu hidangan. Saya telah mencuba sebahagian resipi yang ada dan ternyata ianya bukan sekadar teori malah praktikal, mudah, cepat dan yang penting sedap! ;)

Contoh Pesan Ibu Saya ialah :

1) Bagi mengelakkan mata berair kerana bawang, rendamkan bawang di dalam bekas berisi air dan kupas terus bawang yang direndam tadi di dalam air ataupun simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa mengupas kulitnya. Keesokan harinya anda boleh mengupas dan memotong bawang tanpa rasa pedih pada mata.

2) Menghilangkan bau hangit makanan seperti hangit nasi dan masakan lain dengan cara memasukkan 2 atau 3 tangkai cili kering ke dalam periuk, tutup seketika. Insya Allah bau itu akan hilang secara perlahan-lahan.

3) Mudah mengopek kerang dengan cara mencampurkan sesudu minyak masak ke dalam air rebusan. Kerang akan terbuka sedikit dan memudahkan kita mengopeknya.

4) Merangupkan cucur (tidak kira cucur pisang, cucur udang dan sebagainya) dengan menambah sedikit mentega ke dalam bancuhan tepung cucur. Kacau sebati dan goreng.

"Memasak itu mudah!" ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan