Jumaat, 24 Julai 2009

Tawarikh Cinta

Tajuk : Tawarikh Cinta
Penulis : Nisah Haron
Penerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd (2008)
Bil muka surat : 265
Harga : RM 21.00
~~~~~~~~~~~~~

Ini adalah buku pertama Nisah Haron yang saya baca. Sebelum ini telah lama mengenali nama penulis ini tetapi entah mengapa tidak pernah terfikir untuk membacanya (minta maaf kerana berkata begitu. Selera pembaca sering berubah-ubah, bukan begitu?). Lantas beberapa hari yang lepas, saya ke pusat sumber institut semasa menunggu kedatangan wakil BPG yang datang membuat penyelidikan. Disebabkan saya tidak berniat untuk belajar atau membuat tugasan, saya memutuskan untuk membaca novel. Dan novel ini saya pilih kerana hendak membaca karya Nisah Haron.

Pada mulanya, kadar pembacaan saya agak perlahan kerana penulis kaya dengan perbendaharaan kata melayu yang jarang saya guna. Oleh sebab saya tidak mempunyai rujukan Kamus Dewan ketika itu, maka saya hanya dapat menulis perkataan-perkataan ini bagi dicari maknanya nanti. Saya kagum dengan penulis kerana jarang sekali buku yang saya baca menggunakan perkataan-perkataan seperti ini.

Tawarikh Cinta mengisahkan pencarian naskah asal Kitab Gemala Sakti yang menjadi lambang keunggulan dan maruah negeri Ujana Madani. Putera Mahkota iaitu Putera Jauhari Firus, adindanya Puteri Cempaka Wilis dan Wazir Syamsul Azmi berusaha keras memikirkan cara terbaik menjejaki kembali naskah asal kitab ini. Sebelum itu mereka bertiga telah bermimpi bertemu dengan pemerintah Ujana Madani yang merupakan nenda kepada Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis yang meminta mereka mencari kembali naskah asal. Setiap daripada mereka diberi ‘hint’ atau ‘clue’ yang berbeza.

Akhirnya setelah dilakukan kajian dan pencarian di dalam khutubkhanah istana, mereka akhirnya berjumpa dengan penyelesaiannya. Maka Putera Jauhari Firus bersama dua orang kesatria yang paling dipercayai pergi merentasi masa untuk mengambil seseorang dari zaman yang lain bagi membantu mereka. Ratu Hassanal Ridhwan Tempawan Kesuma berkata hanya orang yang cendekia sahaja yang mampu membaca dan mentafsir kitab ini. Hal ini membuatkan saya terfikir apa sebenarnya kandungan kitab ini? Dan mengapa kitab ini begitu penting kepada kerajaan Ujana Madani?

Kerajaan Ujana Madani dicemburui kekuatan dan kemakmurannya oleh negeri-negeri lain. Serangan demi serangan dilakukan untuk memusnahkan Ujana Madani. Serangan pertama datang dari Danawa Petala. Kitab Gemala Sakti berjaya dicuri dan Raja Tunturan yang memerintah Danawa Petala mengambil kesempatan menabur wang emas kepada rakyat dan membeli khazanah-khazanah yang ada dan dimusnahkan sehingga menjadi abu. Dikhabarkan bahawa Kitab Gemala Sakti ini pembuatannya dibuat dengan teliti dan bahan buatannya sendiri adalah daripada bahan yang istimewa dan tahan lama.

Siapakah cendekia yang amat mereka nantikan ini? Dia ialah Nadim, seorang kanak-kanak yang bakal dihukum mati oleh Raja Temasik ekoran ideanya meletakkan batang pokok pisang sebagai benteng pertahanan di tepi pantai. Hal ini kerana, sebelum itu banyak kejadian penduduk kampung yang mati akibat diserang todak.

Dalam masa yang sama, berlaku konspirasi di dalam istana sendiri secara tersembunyi yang ingin menggulingkan putera mahkota dan mengambil alih takhta pemerintahan. Keadaan ini sangat membimbangkan. Setelah Nadim berjaya diselamatkan, perancangan demi perancangan dibuat dengan teliti dan dilaksanakan satu persatu. Rupa-rupanya kitab ini berada di Temasik. Selepas cukup persiapan dibuat, mereka kembali semula ke Temasik untuk mengambil Kitab Gemala Sakti. Kali ini pemergian putera mahkota tidak diiringi oleh sesiapa kecuali Nadim.

Dalam masa yang sama, istana diserang oleh penjahat dari negara jiran. Seluruh istana dipukau dan mujurlah Puteri Cempaka Wilis tidak terkena akan pukau tersebut. Baginda puteri hampir berjaya ditawan tetapi pertolongan Allah datang kepada baginda. Akhirnya para penjahat itu berjaya ditangkap dan mereka tumpas. Manakala tengku mahkota berserta Nadim menghadapi serangan daripada tentera Majapahit (sewaktu mereka tiba ke Temasik, tentera Majapahit sedang menyerang Negara tersebut). Adakah mereka berjaya mengambil kembali kitab asal tersebut? Dan adakah mereka sempat kembali semula ke zaman Ujana Madani?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Saya puas selepas membacanya! (“,) Karya beliau yang terbaru telah pun terbit di bawah PTS iaitu Lentera Mustika. Insya Allah akan saya cari nanti (",)

2 ulasan:

  1. Salam,

    Aina, saya sudah ada Lentera Mustika, hehheh...

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam.

    Waah...bagusnya..cepat dan efisyen! ;)
    Saya kena KIV dululah. Sebab buku yang ada pun bertimbun untuk di baca. Haha.. tapi mungkin juga akan beli dalam masa yang terdekat :D

    Dah mula baca ke?

    BalasPadam