Sabtu, 11 Julai 2009

31 Koleksi Kisah Tokoh - Glob Dunia untuk Raja Sicily


Tajuk : Glob Dunia untuk Raja Sicily

Penulis : Luqman Ghazzi

Penerbit : PTS Islamika

Muka surat : 182

Tarikh baca : 7 - 10 Julai 2009


Subhanallah! Saya sangat teruja membaca buku ini. Saya sangat kagum dengan kesungguhan para ilmuwan ini menuntut ilmu dan mendalami pelbagai bidang dan lapangan ilmu. Meskipun buku ini ditulis untuk kanak-kanak dan remaja tetapi saya rasa buku ini sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.


Kisah hidup kesemua 31 tokoh ilmuwan ini hampir sama. Sepanjang pembacaan saya, saya dapati boleh dikatakan kesemua mereka akan mempelajari al-Quran dan dapat menghafaz al-Quran dalam usia yang begitu muda iaitu sekitar umur 10 tahun. Masya Allah, saya yang telah hidup selama 25 tahun ini pun masih terkial-kial untuk menghafaz. Astaghfirullah.. Bersih sungguh hati mereka. Apabila mereka telah dapat menguasai al-Quran, maka lebih mudahlah mereka untuk menguasai ilmu-ilmu yang lain.


Selain itu, bidang yang ‘wajib’ dipelajari oleh mereka ialah bahasa Arab. Sebahagian besar tokoh ini juga mahir dalam bahasa Yunani, Parsi dan lain-lain. Bidang matematik juga merupakan antara ilmu asas yang dikuasai oleh mereka.


Kadang-kadang saya berfikir bagaimanakah bentuk pendidikan pada masa dahulu sehingga masyarakat ketika itu mampu menghasilkan berpuluh-puluh malah mungkin ratusan ilmuwan yang berkualiti tinggi. Sumbangan mereka kepada umat sangat bermakna dan mendahului zaman. Malahan, kitab-kitab yang ditulis oleh sebahagian besar oleh mereka telah menjadi rujukan di seluruh dunia (dan barat terutamanya) selama berabad-abad. Saya juga melihat ibu bapa dan keluarga mereka juga sangat supportive akan minat mereka.


Tokoh-tokoh yang terdapat di dalam buku ini ialah :


1) Al-Biruni Ilmuwan Tamadun India

2) Al-Dinawari Kaji Tumbuhan

3) Al-Dumairi Menjadi Ilmuwan Agama

4) Al-Farabi meminati muzik

5) Glob Dunia untuk Raja Sicily

6) Al-Jahiz Kaji Ilmu Biologi

7) Al-Jazari Mencipta Sistem Robotik

8) Al-Khalil Mencipta Sistem Tanda Baca

9) Al-Khawarizmi Menguasai Matematik

10)Al-Khazin Menemui Daya Tarikan Bumi

11) Al-Majriti Mengkaji Merkuri

12) Al-Razi menjadi Doktor Perubatan

13) Al-Zahrawi Menjadi Pakar Bedah

14) Cheng Ho Pergi Belayar

15) Daud al-Antaki Menjadi Doktor

16) Al-Firnas Terbang di Udara

17) Ibnu Al-Awwam Meminati Pertanian

18) Ibnu Al-Baitar Kaji Flora dan Fauna

19) Ibnu Al-Haitsam Kaji Teori Optik

20) Ibnu al-Masudi Kaji Geografi Islam

21) Ibnu al-Syatir Mencipta Jam Gergasi

22) Ibnu al-Wazzan Singa Afrika

23) Ibnu Batuttah Pergi Mengembara

24) Ibnu Khaldun kaji Ilmu Sosiologi

25) Ibnu Majid Singa Laut

26) Ibnu Nafis Mengkaji Sistem Darah

27) Ibnu Sina Mengubati Pesakit

28) Ibnu Taqiyyuddin Mencipta Alat

29) Ibnu Yunus Mengkaji Angkasa

30) Jabir bin Hayyan Mengkaji Ilmu Kimia

31) Umar al-Khayyam Membina Balai Cerap


Saya tertarik dengan kata-kata Musa bin Isa, bapa kepada al-Dumari, "Walaupun kamu terpaksa menolong ayah. Namun, kamu boleh mencari ilmu daripada buku-buku di dalam bilik bacaan ayah. Ilmuwan zaman dahulu menjahit, bertukang, dan sebagainya kerana tidak mahu bergantung kepada golongan pemerintah.."


Bapanya memujuk beliau kerana tahu akan minat anaknya mempelajari ilmu. Akan tetapi kesempitan hidup yang dialami menjadi penghalang kepada pembelajaran anaknya. Musa bekerja sebagai tukang jahit dan kedai dan rumahnya berdekatan dengan Universiti al-Azhar. Al-Dumairi amat meminati Sheikh al-Subki yang mahir di dalam bidang fekah, hadis dan tafsir. Pada satu hari, Sheikh Subki mengunjungi kedai mereka untuk menempah baju. Beliau terpandang al-Dumairi dan menyuruh Musa menghantar al-Dumairi belajar dengannya pada setiap malam. Sudah tentu perkara ini amat menggembirakan hati al-Dumairi.


Al-Dumairi menjadi pelajar paling cemerlang dan menghasilkan beberapa buah kitab dalam bidang bahasa, agama dan sastera. Antara bukunya yang terkenal ialah "Hayatul Hayawanul Kubra" bermaksud Kehidupan Haiwan Unggul.


Buku ini amat sesuai dihadiahkan kepada kanak-kanak dan remaja kerana ceritanya diolah dengan menarik dan tidak membosankan.


Wallahualam.


Salam manis (",)

AdH


Tiada ulasan:

Catat Komen