Ahad, 13 Mac 2016

Bacaan Februari

Bismillahirrahmanirrahim.




Apabila bersemangat bukan main lagi tahap membaca. Tapi apabila hilang semangat, sebuah buku pun sangat sukar dibaca ^_^;

Untuk bulan Februari, inilah sahaja buku yang dapat dibaca.


1. DIY 360 Mengurus Wang

Sememangnya menjadi kegemaran kami suami isteri membaca buku kewangan. Sunguhpun belum kaya tetapi pengurusan kewangan sangat penting dalam hidup. Inilah satu kemahiran yang tidak saya perolehi selama ini. Namun dengan sedikit wang yang ada, kami berusaha menimba ilmu. 

Buku ini praktikal dan paling penting mudah difahami :)

2. Tales Of Mothers

Buku ini saya beli dari Iman Shoppe. Kulit bukunya cantik dan unik bagi saya.

Nafas bagai terhenti-henti tatkala membaca cetusan hati ibu-ibu hebat ini. Subhanallah, bukan kecil ujian yang ditanggung. Semoga mereka berjaya menghadapinya dengan sabar. Tulisan Dr Putri Afzan Maria yang banyak membicarakan pendidikan awal kanak-kanak menyuntik semangat mahu belajar lebih dalam akan subjek ini insya Allah.

3. Bumi oleh Tere Liye

Buku ini saya beli selepas meneliti laman web Goodreads akan ulasan-ulasannya. Kebetulan waktu itu mahu pesan melalui Cik Natasha (instagram : @bibilotach). 

Buku ini sangat menarik. Lain daripada karya Tere Liye yang sebelum ini. Fantasi fiksyen - ala-ala Harry Potter.

4. Melahirkan anak pencinta al-Quran

Buku wajib baca!

Harus diulang selalu supaya tip ini tidak lupa diaplikasi. Semoga penulis diberkati Allah. Panduan yang jelas, bahasa yang mudah dan adakalanya dalam santai terkena batang hidung! ;)

5. Pelangi

Novel ini menjadi satu "escapisme" buat saya kerana ketika itu saya agak serabut dengan jadual kerja yang sibuk. Buku ini agak "ringan" dan mudah dibaca oleh saya. Himpunan karya dari 3 orang penulis - Syud, Hlovate dan Kak Noor Suraya. Suka karya Syud. Pertama kali baca. Yang lagi dua orang ini memang sudah kenal sejak karya pertama mereka lagi :)

6. Bicara Ini Demi Ilahi

Sudah beberapa kali ulang baca tetapi baru ini ditamatkan bacaannya. Setiap kata-katanya penuh berisi hikmah. Tidak ada satu pun yang tidak memberi makna. Allahu akbar.. membaca buku ini menjadikan saya berhati-hati sebelum berkata Insya Allah. Malu dengan allahyarham yang begitu komited dengan akhlak yang baik dan teguhnya menyampaikan mesej dakwah sepanjang hidup.

7. Menjadi Ulul Albab

Subhanallah. Sangat suka buku ini. Dr Danial sejak dahulu memang konsisten dengan penulisannya berkisar al-Quran dan sains. Ia menjadikan saya lebih faham dan jelas akan maksud ayat Quran yang dibincangkan dan tidak lupa juga membuatkan saya terkenang zaman persekolahan semasa belajar Sains.

Mengapalah saya tidak tahu adanya ayat Al-Quran yang menerangkan fenomena yang berlaku dalam sains sejak dari awal lagi? Allah...

8. Bulan oleh Tere Liye

Buku ini sambungan daripada buku Bumi. Juga novel fiksyen :)

9. 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur

Sangat disyorkan membaca buku ini! Sangatlah banyak cerita yang berlegar dalam masyarakat kita yang rupa-rupanya adalah hadis palsu. Astaghfirullah...antaranya makan garam sebelum makan, isteri pertama mendapat payung emas, kisah tsalabah yang tidak membayar zakat dan lain-lain :(

10. Hikmah Surah Al-Kahfi oleh A. Razak Mutalib

Buku kecil ini saya kira inspirasi daripada buku-buku kecil yang diberi secara percuma atau boleh dibeli di Mekah. Mungkinlah :) Penulis buku ini juga dahulu merupakan pelajar di sana satu masa dahulu.

Menarik sekali konsepnya. Disertakan surah al-Kahfi dipermulaan bab diikuti tafsir dan akhir sekali ada zikir pagi petang. Lengkap.

11. Bicara Ini Untuk Murabbi

Suka dengan gaya penulisan di dalam ini. Senada. Himpunan pelbagai cerita dari sudut pandang orang sekeliling Allahyarham.

12. Seperti Mencintaimu...Ain

Novel Kak Su.. seperti pernah baca.. Rupanya kombinasi cerita Keranamu Ain dan disambung sedikit lagi. :)

13. Aku, Dia & Rezeki

Buku ini pernah popular beberapa ketika (kini juga popular) namun ketika itu saya tidak berkesempatan membelinya. Menariknya, dalam promosi buku ini sebelum ini disebutkan - penjual dadih yang menulis buku. Wah, sememangnya Abang Long ini sudah dikenali di laman sosial. 

Boleh ambil contoh ni..sebab Abang Long menulis perkara yang baik-baik yang berlaku di sekelilingnya. Ambil perhatian dan catat.
Insya Allah :)

14. 80 Aktiviti Kanak-kanak 0 - 3 tahun

Ralit melihat senarai aktiviti di dalam buku ini. Tidak semestinya kita perlu sediakan bahan yang banyak kos. Kebanyakannya tidak perlu dibeli. Hanya memerlukan keinginan dan kesungguhan ibu bapa sahaja untuk beraktiviti dengan anak. Cuma kadang-kadang saya pun tiada idea mahu buat apa :)

Selasa ini (15 Mac) insya Allah akan menghadiri program Dr Mahani ini.

15. Meniti ke Syurgaku

Travelog seorang penghidap penyakit mental. Ia seperti diari atau catatan jurnal penulis. Dari awal sehingga akhir saya rasa lebih kepada monolog diri.. Semoga penulis cepat sembuh dari penyakitnya. amin..

~~~~

Tidak pasti bacaan Mac bagaimana kerana sehingga saat entri ini ditaip, saya belum menamatkan sebuah buku pun :')



Tiada ulasan:

Catat Komen