Rabu, 22 Januari 2014

Buku 2 : Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu

Bismillah walhamdulillah.


Akhirnya selesai membaca buku ini. Terlebih dahulu, semoga usaha gigih penulis ini diberkati Allah. Sememangnya buku ini memang layak dikatakan "kitab" penyusuan susu ibu dari A hingga Z bagi rujukan ibu-ibu muda atau ibu yang pertama kali ingin menyusukan anak.

Susun atur perkaranya sangat baik dan membantu. Ya. Buku ini sangat tebal. Isinya terlalu banyak. Namun, saya percaya ibu-ibu yang berazam menyusukan anak memang tinggi keazamannya maka mulalah membaca buku ini ya :)

Dibahagikan kepada 3 bab besar dimulai dengan Bahagian Satu : Asas Penyusuan, Bahagian Dua : Penyusuan Susu Ibu dan Ibu Berkerjaya, dan Bahagian Tiga : Cabaran Penyusuan dan Penyelesaiannya.

Dalam bahagian satu, penulis menyentuh mengenai bayi, anatomi payudara, fisiologi penyusuan susu ibu dari segi bagaimana susu dihasilkan, refleks ejeksi susu, PSI dan teori permintaan versus bekalan, lekapan yang betuk, sentuhan kulit (sentuhan kulit ke kulit @ 3K dan Kangaroo Mother Care @ KMC).

Tidak lupa persediaan sebelum bersalin dengan membeli keperluan, penyusuan pertama, penyusuan kerap, berapa lama perlu menyusukan anak, perkembangan hisapan bayi, jenis hisapan bayi, corak penyusuan normal, carta tumbesaran, Bayi Susu Ibu vs Bayi Susu Tiruan dan menarik sekali bapa juga mampu 'menyusukan' anak. ;)

Hmm.. saya kira saya mungkin dapat mengesan mengapa anak kedua saya menghisap jari sejak saya di dalam pantang. Kemungkinan besar saya terlepas pandang tanda-tanda awalnya ingin menyusu :( Kasihannya.

Menurut penulis, tanda-tanda awal bayi memerlukan susu ialah badan bayi bergerak-gerak, bayi menggerakkan tangan ke mulut dan kadang-kadang menghisap tangan, mulut bayi terbuka dan seolah-olah menghisap sesuatu dan mulut bayi tercari-cari puting apabila disentuh. Apabila tanda-tanda ini diabaikan ibu, bayi mula gelisah dan mengeluarkan bunyi. Lama-kelamaan bayi mula menangis dengan kuat.

Turut disertakan cara melakukan "Pinch Test" iaitu satu ujian mengesan puting terbalik atau "inverted nipple". Dan baru saya tahu, susu yang keluar semasa hamil boleh diperah adalah kolostrum dan disimpan di dalam botol dan diberi kepada bayi apabila lahir nanti. Labelkan tarikh, masa dan simpan di dalam peti sejuk beku seperti biasa. Teringat dua, tiga orang rakan yang mengalaminya dan mereka membuang susu tersebut.

Ada disebutkan bahawa selepas kelahiran, bayi perlu diletakkan di dada ibu bagi membantu merangsang susu dan ikatan antara ibu dan anak. Jika bayi diberi lambat kepada ibu sedikit sebanyak ia menjejaskan penyusuan tetapi ibu boleh berusaha supaya susu banyak dan mencukupi untuk anak.

Ketika bersalin anak kedua, saya dan bayi menerima kesan sampingan ubat penahan sakit menyebabkan kami mamai dan bayi tidur sahaja selain hisapannya tidak teratur. Mungkinkah penyebab bayi saya menjadi kuning beberapa hari kemudian? Entahlah, mungkin juga bayi saya jaundis susu ibu kerana jaundisnya berlarutan sehingga sebulan. Wallahualam.

Dalam bahagian kedua ada 9 topik dibincangkan iaitu merancang mahu berjaya, berpantang, masa rehat dan belajar (bayi kerap menangis kerana tidak cukup susu?, hanya sebotol, sebulan yang intensif dan lain-lain), perlukah pam susu yang mahal (topik SANGAT menarik dengan beberapa panduan membeli pam), memerah dan menyimpan susu ibu sebelum kembali bekerja, memberi susu perahan kepada bayi, kembali bekerja, memerah susu dalam pelbagai keadaan, berurusan dengan menjaga anak dan penyusuan ibu, stres dan pemakanan.

Saya tidak dapat berkongsi sepenuhnya apa yang terkandung di dalam bab ini kerana terlalu banyak poin. Namun saya suka sekali panduan membeli pam susu dan nasihat berkaitan seperti waktu yang sesuai membeli pam dan jenis-jenis pam yang ada.

Secara umumnya ciri-ciri pam yang bagus menurut penulis :
@ pam yang dapat menyerupai cara bayi menghisap payudara ibu dan berjaya merangsang hormon prolaktin dan oksitoksin
@ jumlah kitaran hisapan dan lepasan menyamai kitaran hisapan bayi pada payudara.  Biasanya kitaran sedut-lepas berlaku 40-60 kali seminit.
@ kekuatan sedutan yang dihasilkan pam perlu sesuai untuk memerah susu.

Sememangnya jika mahu mengumpul stok susu yang banyak perlu kerap pam susu dan memenuhi konsep "demand and supply" selain emosi yang stabil dan berdoa kepada Allah.

Dalam bahagian tiga, penulis menjawab persoalan cabaran penyusuan seperti mengapa susu saya kurang, cara menghasilkan lebih banyak susu, makanan dan ubatan penggalak susu, payudara bengkak, mengapa bayi menolak payudara, puting luka, saluran susu tersumbat, bayiku kuning, puting tenggelam, penyusuan bayi pramatang, penyusuan di tempat awam dan menangani kritikan dan persekitaran negatif.

Semoga lebih ramai ibu mendapat ilmu berguna ini demi memberi susu ibu kepada anak-anak dengan cara yang lebih baik dan tenang :)

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Komen