Ahad, 4 September 2011

Makan Gaji tetapi Kaya

Buku ini saya beli awal tahun ini sewaktu dalam fasa menyusun kembali aliran kewangan keluarga. Namun baru hari ini saya dapat tamatkan pembacaan. Memanglah sebelum ini aliran wang keluar masuk dicatat dalam buku tetapi sewaktu saya 'bercuti' kerana berpantang melahirkan Khaulah, habis semua tidak didokumentasikan (heh, macamlah duit banyak sangat. Huhu)

Kenapa saya bekerja? Oh, itu soalan yang subjektif ye. Anda juga mempunyai sebab sendiri untuk bekerja kan? Mungkin untuk menyara hidup, keluarga, kepuasan diri, membayar hutang atau sebagai hobi.

Buku ini sedikit sebanyak memberi panduan kepada saya yang memang cetek ilmu dalam hal-hal pengurusan wang. Memang makan gaji kita tidak boleh kaya sangat tetapi kita masih boleh hidup dan dapat menjalani kehidupan dengan baik (mungkin :)).

Antara tip yang disyor oleh penulis ialah menjadi pekerja super. Apa yang dimaksudkan dengan pekerja super? Pekerja super ialah pekerja yang mempunyai cukup kelayakan dan pengalaman. Ada nilai tambah lain iaitu bersikap jujur dan taat setia. Bekerja melebihi apa yang sepatutnya juga boleh menambah keberkatan. Ha, satu lagi isu yang timbul. Kita perlu mencari rezeki yang halal lagi BERKAT. Jika ingin diulas, panjang lebar pula nanti mengenai isu berkat ini. Tentu saudara-saudari sekalian mafhum mengenai keberkatan dalam mencari rezeki kan. Mungkin saya dapat ulas di lain entri.

Dalam bekerja makan gaji, sudah pasti dilema yang dialami adalah sama. Meskipun kita akan menerima kenaikan gaji tetapi perbelanjaan juga tetap akan naik. Bagaimana sekiranya kita jatuh sakit atau kemalangan? Bagaimana mahu menampung kehidupan keluarga kita? Huhu...memang persoalan ini wajib difikirkan terutama saya yang makan gaji ini.

Bebaskan diri daripada belenggu hutang. Bak kata penulis, hutang itu ibarat racun yang mengikis kebahagiaan masa hadapan kita. Bebaskan diri dari hutang tidak perlu. Berbelanja juga tidak melebihi 70% daripada gaji.

Saya sangat tertarik dengan formula 10% dibayar kepada diri sendiri (seperti reward yourself) dan 20% lagi untuk tabungan kecemasan. Seeloknya buatkan akaun berasingan bagi setiap bahagian. Secara mudahnya mengikut kefahaman saya ialah seperti ini :

Misalnya gaji yang diterima ialah RM2000 sebulan. Maka bahagikan kepada 3 pecahan :

Akaun 1
(akaun gaji dimasukkan) : RM1400 (setelah ditolak simpanan akaun 2 & 3)

Akaun 2
(10%-reward yourself) : RM200

Akaun 3
(20%-kecemasan) : RM400


Maka perbelanjaan bulanan mestilah tidak melebihi wang di dalam akaun 1.

Duit yang ada dalam akaun 3 kita simpan sehingga menyamai 6 bulan gaji bermakna kita akan mengambil masa selama 30 bulan untuk menjadikan jumlah sebanyak RM12 000. Menurut penulis, setelah menyamai 6 bulan gaji kita tidak perlu lagi memasukkan ke dalam akaun 3 pada bulan hadapan. Tetapi pada masa yang sama akaun 2 tetap dimasukan 10% tadi. Tapi terpulanglah kepada anda. Buku ini hanya memberi cadangan dan panduan sahaja :)

Baik, jika anda ingin melabur, bolehlah digunakan akaun 2. Carilah pelaburan islamik supaya menepati syarak dan kita juga selamat dunia akhirat.

Untuk menambah simpanan, ikut formula yang 'senang' : kurangkan perbelanjaan! Namun, mana mungkin dengan situasi kini di mana harga barang semakin naik. Kuasa membeli kita sebagai pengguna semakin kecil dan kita harus bijak merancang (Hj Mahdzir Md Isa). Disarankan mencari pendapatan alternatif. Hm..berniaga? Saya rasa saya tidak pandai berniaga. Tiada skill :) Penulis ada mencadangkan hartanah sebagai pendapatan sampingan. Bagaimana caranya? Anda dapatkanlah buku ini kerana banyak lagi isi-isi yang tidak dapat saya coretkan di sini tetapi bermanfaat untuk kita insya ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan