Selasa, 23 November 2010

Suu Phea


Judul buku : Suu Phea
Penulis : Abu Hassan Morad
Penerbit : AMN Publication
Harga : RM17.90 / RM19.90
Bil muka surat : 207



Tak kenal, maka tak cinta.

Perihal Myanmar yang biasa kita dengari semuanya negatif dengan keadaan huru-hara, demonstrasi di sana-sini dan keadaan yang tidak aman. Namun semuanya tersingkap di dalam buku ini.

Myanmar yang dahulunya dikenali sebagai Burma diambil namanya (nama Burma) sempena
nama kaum minoriti di situ. Sedangkan masih ada kaum majoriti iaitu Shan dan Karen. Entahlah, mungkin sudah begitu sifat penjajah (British yang memerintah Myanmar ketika itu) suka melaga-lagakan kaum. Makanya ketika British meninggalkan Myanmar, pelbagai masalah dan kelemahan turut bertampuk menjadikan rakyat negara ini sering berselisih faham antara sesama kaum.

Suu Phea ialah seorang anak muda perempuan yang pernah menuntut di UIAM dan dikaderkan bagi menjadi pemimpin di negaranya. Di Malaysia, dia rapat dengan Hanim, Putra, dan Fuad serta keluarga Hanim. Ibu Hanim dan Putra, Datin Syarifah malahan sudah mengambil Suu Phea sebagai anak angkat. Namanya sendiri dimelayukan dan dipanggil Sophia.

Putra berserta Hanim dan Fuad datang ke Myanmar atas misi kemanusiaan di bawah tajaan yayasan yang melakukan misi keamanan dan banyak membantu pembangunan pendidikan di sana. Sejak setahun meninggalkan Malaysia, Suu Phea kembali ke kampung halamannya, Tasik Inle dan melaksanakan reformasi pendidikan.

Cabaran yang dihadapinya ialah kehadiran murid yang tidak menentu, sikap malas dan degil mereka serta ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pendidikan anak-anak. Namun dia faham, ketakutan terhadap pemberontak yang kini berkuasa di kawasan itu menyebabkan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah. Sungguhpun perubahan amat perlu dilakukan tetapi tidak semua orang lagi terbuka dan sanggup menerima.

Pihak pemberontak pula beranggapan mereka melakukan penentangan ini dengan tujuan pihak junta akan sedar bahawa mereka ingin memerintah sendiri.

Dalam masa yang sama pihak yayasan dan kerajaan Malaysia membantu dalam membentuk kerajaan demokrasi di Myanmar walaupun banyak halangan yang melanda. Namun satu demi satu perancangan strategik dilakukan dan dilaksanakan sehinggalah Suu Kyi berjaya dibebaskan dari penjara dan kerajaan junta bersetuju membuat pilihanraya umum dalam masa 60 hari.

Suu Phea seperti yang telah dirancangkan, turut bertanding sebagai calon dan diakhirnya pilihanraya berjalan lancar dan dia memenangi kerusi dan dilantik menjadi timbalan menteri.

Ada lagi harapan Putra serta rakan-rakan iaitu melihat Suu Phea mendapat hidayah Allah dan menjadi saudara mereka dunia akhirat. Penantian tidak sia-sia apabila akhirnya selepas bertahun-tahun, Suu Phea akhirnya melafazkan syahadah.

Penulis menggambarkan Myanmar secara menyeluruh dan adakalanya terperinci terutama mengenai budaya, adat, dan makanan orang Myanmar. Saya seperti terbayang-bayang bandar Yangon, Tasik Inle, pasar, pemberontakan, kerajaan junta, dan banyak lagi. Ditambah lagi dengan gambar-gambar yang dilampirkan lebih membuatkan pembaca mengetahui tempat-tempat yang dikunjungi oleh mereka bertiga.


Suu Phea lambang wanita yang berhati cekal, waja diri, dan kuat keazaman. Keinginannya ingin melihat bangsa dan negaranya maju sangat kuat dan mendorongnya cergas dan aktif merancang pembaharuan dan menyumbang tenaga.




Tasik Inle, Myanmar

Benarlah, reading is a discount ticket to everywhere. Melancong dengan buku juga menyeronokkan ;)

2 ulasan:

  1. aina,

    membaca resensi aina ini membuatkan saya teringat buku Isma Aae , Laskar Cinta...alamak..belum baca lagi, janji nak ulas buku tu ;)

    BalasPadam
  2. He.. saya belum terpanggil lagi untuk baca Laskar Cinta walaupun rakan-rakan GR dah mula baca. Hehe..insya Allah saya akan baca

    BalasPadam