Selasa, 29 September 2009

Catatan Hati Nik Nur Madihah



Judul buku : Catatan Hati Nik Nur Madihah

Penulis : Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal & Ummu Hani Abu Hassan

Terbitan : Hijjaz Records Publishing

Harga : RM25.90


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Peperiksaan-peperiksaan utama di negara kita semakin menghampiri. Para pelajar tentu bertungkus lumus memperbanyakkan latihan dan mengulangkaji pelajaran. Jangan lupa solat dan doa kepada Allah. Teringat saya kepada buku mengenai Nik Nur Madihah yang saya baca awal Mei lalu. Semoga kita semua dapat mengambil contoh dan teladan dari pelajar terbaik SPM 2008 ini.


......................................................


Insaf membaca kisah hidup Nik Nur Madihah. Beberapa perkara dapat saya pelajari iaitu rezeki yang berkat, usaha yang bersungguh-sungguh, kekuatan doa dan sifat tawakal yang tinggi kepada ALLAH SWT. Selain itu sifat patuh kepada ibu bapa dan menghormati guru dan rakan-rakan turut penting.Kesusahan hidup bukanlah penghalang kejayaan seseorang. Terkadang rasa malu dengan kegigihan Nik Nur Madihah yang pernah menyalin kamus bahasa Arab semata-mata kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya. Kemampuannya menjaga solat malam juga wajar dicontohi.


Saya juga kagum dengan bapa Nik Nur Madihah. Seorang yang berpandangan jauh dan mempunyai visi yang jarang dimiliki oleh orang lain. Saya begitu terkesan dengan kata-katanya : "Yang pertama, jangan bercita-cita nak jadi doktor, peguam, jurutera, dan sebagainya. Itu adalah cita-cita nak makan gaji. Tapi tanamlah azam untuk jadi orang yang cerdik, insya Allah kerja akan datang sendiri pada kita."


Semoga Nik Nur Madihah berjaya mencapai apa yang dicitanya dan sikapnya menjadi ikutan tauladan anak-anak kita di bangku sekolah. Elok juga dijadikan ikon remaja yang solehah. Tidaklah anak-anak kita terlalu mengikut budaya hedonisme yang banyak disogokkan oleh media massa dewasa ini.

Tiada ulasan:

Catat Komen