Isnin, 14 November 2016

Buku November

Bismillahirrahmanirrahim.


Buku 69 - 74. Sekarang dalam cuti bersalin.  Baca sedikit-sedikit. . .

Sekarang banyak jualan murah buku sama ada secara offline mahupun online. Ada jualan gudang Karangkraf sehingga 27 November 2016, tidak lama lagi MICF pada awal Disember dan Big Bad Wolf Sale akhir tahun ini.

MICF ~ Malaysian Islamic Children Fair pernah kami jejaki tahun lalu. Walaupun bermula dengan kejadian anak ketiga jatuh tergolek di hadapan pintu MICF (rasa nak gugur jantung umminya sebab bibirnya berdarah) tetapi anak-anak melalui pengalaman yang menyeronokkan.

Nampaknya tahun ini tak dapat ke MICF 2016 kerana saya masih dalam fasa berpantang. Tak mengapa, lain kali insya Allah.


Totto-Chan Gadis Cilik Di Jendela

Bismillahirrahmanirrahim.

Bertahun-tahun buku ini termasuk dalam "wishlist" tapi saya tidak pernah serius mencarinya. Baru tahun ini tergerak membelinya dari seorang pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia. Harga cuma RM9.

Membaca sinopsis dan melihat kulit buku amat menyenangkan. Hakikatnya agak mencabar menghabiskan bacaan buku ini. Masalah utama saya ialah bahasa. Saya banyak tidak faham kosa kata bahasa Indonesia yang digunakan. Maka, hanya menebak maknanya melalui ayat atau perenggan berkenaan 😅

Totto Chan digambarkan sebagai anak yang sangat aktif dan banyak bertanya. Dia pernah dikeluarkan dari sekolah kerana guru kelasnya tidak tahan dengan perangainya. Tapi, nama pun budak-budak, kan? Kasihan, darjah 1 sudah kena pindah sekolah.

Berpindah ke sebuah sekolah lain yang sangat menyeronokkan bagi Totto Chan. Menariknya, dia ke sekolah dengan menaiki keretapi seorang diri. Hebat. Saya membayangkan anak kecil riang berjalan setiap hari pergi dan balik sekolah dengan penuh semangat.

Di sekolah barunya, guru besar sangat meraikan fitrah kanak-kanak. Mereka mempunyai jadual belajar yang fleksibel dan mengikut minat murid.

Semua diwajibkan membawa bekal makanan dari rumah dengan konsep "sesuatu dari laut dan dari pergunungan". Mudah. Maknanya makanan seimbang yang mengandungi protein, vitamin, lemak dan sebagainya.

Ada hari mereka dibenarkan bersiar-siar di luar kelas bersama guru-guru, berolahraga, berkhemah dan pergi musafir di kepulauan.

Namun  ada satu hal yang saya kurang setuju. Di sekolahnya, ada acara bermain air dalam kolam sekolah. Guru besar membenarkan anak-anak ini mandi tanpa pakaian. Dalam Islam, aurat membataskan perkara sebegini. Lebih besar mudarat berbanding manfaatnya. Menurut guru besar itu dia mahu setiap anak-anak ini merasakan mereka sama sahaja tiada beza darjat. Kerana ada dalam kalangan murid ini yang kurang upaya fizikal.

Entahlah.

Pada akhir cerita baru saya tahu ini adalah kisah benar penulis yang dirakamkan kembali dalam bentuk karya. Patutlah setiap cerita adakala tiada kesinambungan. Setiap bab bagaikan episod dalam kehidupan Totto Chan ketika kecil ☺

Apa yang saya perhatikan, Totto Chan tumbuh menjadi anak yang cerdas kerana ibu bapanya yang sentiasa positif dan mendidiknya menjadi berani dan aktif. Ibu bapanya sering menyokong dengan memberitahu perkara yang betul. Di pihak sekolah pula, persekitaran yang positif merangsang Totto Chan belajar dengan lebih aktif dan tanpa tekanan.

Ahad, 10 April 2016

Bacaan April Bahagian 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Sehingga hari ini baru empat buah buku dibaca.

The Kite Runner - novel grafik.

Sumber gambar : Goodreads


Saya beli di Big Bad Wolf Sale di Melaka baru-baru ini. Sengaja beli sebab versi novelnya tidak dapat saya khatamkan. Malah, buku itu juga sudah dijual beberapa tahun lepas ;) Err... tak tahu mahu komen bagaimana. Walau pun saya agak terganggu dengan adegan Hassan dibuli oleh tiga orang remaja yang diketuai oleh Aseef. Sangatlah jahat! :(

Wanita Solehah oleh Hikmatul Islam.

Sumber gambar : MPHOnline


Comel sahaja buku ini. Tulisannya bukan berwarna hitam. Lain dari yang lain :) Tulisannya berwarna biru muda dan sesekali warna merah jambu. Sebenarnya tahu akan kewujudan buku ini melalui instagram beberapa waktu dahulu dan rezeki berjumpa buku ini di perpustakaan awam negeri awal bulan Mac.

Cara bagaimana menjadi wanita solehah. Diselangi kata hikmah, sirah, catatan kisah benar dan untaian puisi. Teringat Bonda Nor pula tatkala membaca buku ini :)

Bila Emak Berdrama oleh Salwa Saleh

Sumber gambar : deenprints


Ahha... sejak ekonomi kurang baik ini, saya sudah mula mencatu buku apa yang mahu dibeli dan buku apa yang boleh dipinjam sahaja. Jimat ^_^ Namun, buku ini termasuk dalam kategori "boleh beli". Ternyata berbaloi! Terima kasih Pn Salwa atas buku yang informatif ini!

Saya mengenali Pn Salwa melalui blognya semasa saya melahirkan anak sulung beberapa tahun lepas. Selalu singgah ke blognya. Sementelahan lagi beliau menjual Shaklee. Maka beberapa waktu juga merujuk kepada info yang ditulis olehnya.

Buku ini menceritakan pengalaman dan tip keibubapaan yang boleh diikuti. Terhibur dengan ilustrasi kartun yang menghiasi ruang-ruang antara bab :)

Damai - Tiga Ceritera oleh Saidatul Saffa, Noor Suraya dan Syud

Sumber gambar : Goodreads


Himpunan tiga novel mini dalam sebuah buku. Haih.. dalam novel semua nampak manis. Alahai... nama pun fiksyen kan ;) Kisah seorang pelajar sarjana yang membuat tesis di Turki dan bertemu jodoh dengan orang sana. Kisah seorang cucu yang baik dan mewarisi kepandaian memasak dari seorang toknya juga mengalami konflik perasaan namun berakhir dengan kisah yang manis. Dan kisah ketiga, kisah jatuh cinta dalam diam dari zaman matrikulasi membawa kepada alam pekerjaan.

Oh, semuanya tidak mudah. Bacalah buku ini ya :)


Ok... *pandang kiri kanan* buku apa nak baca selepas ni... >_<


Ahad, 13 Mac 2016

Bacaan Februari

Bismillahirrahmanirrahim.




Apabila bersemangat bukan main lagi tahap membaca. Tapi apabila hilang semangat, sebuah buku pun sangat sukar dibaca ^_^;

Untuk bulan Februari, inilah sahaja buku yang dapat dibaca.


1. DIY 360 Mengurus Wang

Sememangnya menjadi kegemaran kami suami isteri membaca buku kewangan. Sunguhpun belum kaya tetapi pengurusan kewangan sangat penting dalam hidup. Inilah satu kemahiran yang tidak saya perolehi selama ini. Namun dengan sedikit wang yang ada, kami berusaha menimba ilmu. 

Buku ini praktikal dan paling penting mudah difahami :)

2. Tales Of Mothers

Buku ini saya beli dari Iman Shoppe. Kulit bukunya cantik dan unik bagi saya.

Nafas bagai terhenti-henti tatkala membaca cetusan hati ibu-ibu hebat ini. Subhanallah, bukan kecil ujian yang ditanggung. Semoga mereka berjaya menghadapinya dengan sabar. Tulisan Dr Putri Afzan Maria yang banyak membicarakan pendidikan awal kanak-kanak menyuntik semangat mahu belajar lebih dalam akan subjek ini insya Allah.

3. Bumi oleh Tere Liye

Buku ini saya beli selepas meneliti laman web Goodreads akan ulasan-ulasannya. Kebetulan waktu itu mahu pesan melalui Cik Natasha (instagram : @bibilotach). 

Buku ini sangat menarik. Lain daripada karya Tere Liye yang sebelum ini. Fantasi fiksyen - ala-ala Harry Potter.

4. Melahirkan anak pencinta al-Quran

Buku wajib baca!

Harus diulang selalu supaya tip ini tidak lupa diaplikasi. Semoga penulis diberkati Allah. Panduan yang jelas, bahasa yang mudah dan adakalanya dalam santai terkena batang hidung! ;)

5. Pelangi

Novel ini menjadi satu "escapisme" buat saya kerana ketika itu saya agak serabut dengan jadual kerja yang sibuk. Buku ini agak "ringan" dan mudah dibaca oleh saya. Himpunan karya dari 3 orang penulis - Syud, Hlovate dan Kak Noor Suraya. Suka karya Syud. Pertama kali baca. Yang lagi dua orang ini memang sudah kenal sejak karya pertama mereka lagi :)

6. Bicara Ini Demi Ilahi

Sudah beberapa kali ulang baca tetapi baru ini ditamatkan bacaannya. Setiap kata-katanya penuh berisi hikmah. Tidak ada satu pun yang tidak memberi makna. Allahu akbar.. membaca buku ini menjadikan saya berhati-hati sebelum berkata Insya Allah. Malu dengan allahyarham yang begitu komited dengan akhlak yang baik dan teguhnya menyampaikan mesej dakwah sepanjang hidup.

7. Menjadi Ulul Albab

Subhanallah. Sangat suka buku ini. Dr Danial sejak dahulu memang konsisten dengan penulisannya berkisar al-Quran dan sains. Ia menjadikan saya lebih faham dan jelas akan maksud ayat Quran yang dibincangkan dan tidak lupa juga membuatkan saya terkenang zaman persekolahan semasa belajar Sains.

Mengapalah saya tidak tahu adanya ayat Al-Quran yang menerangkan fenomena yang berlaku dalam sains sejak dari awal lagi? Allah...

8. Bulan oleh Tere Liye

Buku ini sambungan daripada buku Bumi. Juga novel fiksyen :)

9. 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur

Sangat disyorkan membaca buku ini! Sangatlah banyak cerita yang berlegar dalam masyarakat kita yang rupa-rupanya adalah hadis palsu. Astaghfirullah...antaranya makan garam sebelum makan, isteri pertama mendapat payung emas, kisah tsalabah yang tidak membayar zakat dan lain-lain :(

10. Hikmah Surah Al-Kahfi oleh A. Razak Mutalib

Buku kecil ini saya kira inspirasi daripada buku-buku kecil yang diberi secara percuma atau boleh dibeli di Mekah. Mungkinlah :) Penulis buku ini juga dahulu merupakan pelajar di sana satu masa dahulu.

Menarik sekali konsepnya. Disertakan surah al-Kahfi dipermulaan bab diikuti tafsir dan akhir sekali ada zikir pagi petang. Lengkap.

11. Bicara Ini Untuk Murabbi

Suka dengan gaya penulisan di dalam ini. Senada. Himpunan pelbagai cerita dari sudut pandang orang sekeliling Allahyarham.

12. Seperti Mencintaimu...Ain

Novel Kak Su.. seperti pernah baca.. Rupanya kombinasi cerita Keranamu Ain dan disambung sedikit lagi. :)

13. Aku, Dia & Rezeki

Buku ini pernah popular beberapa ketika (kini juga popular) namun ketika itu saya tidak berkesempatan membelinya. Menariknya, dalam promosi buku ini sebelum ini disebutkan - penjual dadih yang menulis buku. Wah, sememangnya Abang Long ini sudah dikenali di laman sosial. 

Boleh ambil contoh ni..sebab Abang Long menulis perkara yang baik-baik yang berlaku di sekelilingnya. Ambil perhatian dan catat.
Insya Allah :)

14. 80 Aktiviti Kanak-kanak 0 - 3 tahun

Ralit melihat senarai aktiviti di dalam buku ini. Tidak semestinya kita perlu sediakan bahan yang banyak kos. Kebanyakannya tidak perlu dibeli. Hanya memerlukan keinginan dan kesungguhan ibu bapa sahaja untuk beraktiviti dengan anak. Cuma kadang-kadang saya pun tiada idea mahu buat apa :)

Selasa ini (15 Mac) insya Allah akan menghadiri program Dr Mahani ini.

15. Meniti ke Syurgaku

Travelog seorang penghidap penyakit mental. Ia seperti diari atau catatan jurnal penulis. Dari awal sehingga akhir saya rasa lebih kepada monolog diri.. Semoga penulis cepat sembuh dari penyakitnya. amin..

~~~~

Tidak pasti bacaan Mac bagaimana kerana sehingga saat entri ini ditaip, saya belum menamatkan sebuah buku pun :')



Isnin, 8 Februari 2016

Sabtu, 16 Januari 2016

My TBR books

Bismillahirrahmanirrahim.

Masa.

Moga saya dapat tamatkan bacaan buku-buku ini tahun ini 😂

Jumaat, 15 Januari 2016

Bacaan Januari Part 1

Bismillahirrahmanirrahim.


6 buah buku sudah dibaca setakat ini :

1. Komik Tazkirah Tok Guru.
2. Koleksi Cerpen Berguru Pada Binatang - Edisi Murid.
3. 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi.
4. Amelia - serial anak-anak mamak.
5. Diari Mat Despatch #5 Naluri Ayah.
6. #Henshin From Jahiliah To Jannah.