Ahad, 23 Ogos 2015

RakBuku2015 (42) Ahmad Ammar Engkau Miliknya



Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini menyingkap sisi keluarga arwah Ahmad Ammar terutama keperibadian ibu ayahnya serta cara pendidikan yang diberikan.

Ternyata kedua-duanya memiliki wibawa selain positif dan tetap pendirian. Tawakkal kepada Allah tinggi. Malah ia boleh dilihat pada respon Ahmad Azzam tatkala ditanya mengenai kebuntuan ibu ayah kini menangani anak bermasalah.

"Jangan ada sesaat pun kita bersangka buruk dengan Allah Taala. Mesti selalu bersangka baik. Orang boleh berubah sekelip mata. Orang bukan Islam pun boleh mendapat hidayah."

Ya, membaca buku ini membuatkan saya teringat perbualan bersama ibu mertua yang berkongsi pengalaman mendidik anak.

Ibu mertua berpesan bacalah selalu Surah Ali-Imran ayat 200 terutama ketika anak masuk tidur. Baca di telinga dan usap ubun-ubunnya. Baca dengan yakin semoga Allah memberkati.

Bermakna sebagai ibu ayah, sentiasa berdoa kepada Allah, jangan putus asa dan berusaha sebaiknya dalam mendidik anak.

Saya turut terkesan dengan sikap Pn Nor Azlina, ibu arwah Ahmad Ammar ini yang pandai menjaga diri dan hati selama tinggal bersama mertua. Bukan sebulan dua, tetapi sehingga 20 tahun. Subhanallah.

Dengan kesibukan suaminya sebagai pendakwah yang menyebabkan suaminya kerap keluar meninggalkan keluarga, Pn Nor Azlina tetap teguh menguruskan keluarga dan mampu berdikari tanpa menyusahkan suami.

Melihat kepada reaksi mereka ketika menerima berita
pemergian satu-satunya anak lelaki menimbulkan rasa kagum dan terbit rasa hormat kerana mereka nampak tenang dan sangat redha atas takdir Allah.

Bagi remaja, buku ini sangat bagus dalam memberi kesedaran dan suntikan motivasi kerana zaman ini kita sangat dahagakan ikon yang baik dan soleh.

Di kala umum obses kepada teknologi dan gajet, keluarga ini tidak mengikat anak-anak daripada jauh daripada dunia tanpa sempadan tetapi tetap menyediakannya namun Ahmad Ammar bijak menggunakannya.

Ia dapat dilihat daripada salah satu status yang dimuat naik ke laman sosialnya -

"Jika mahukan hiburan, cukuplah dengan membaca Al-Quran."

Masya Allah.

Semoga Allah memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Komen