Jumaat, 14 November 2014

Buku 69 : 50 Sup Champion Resipi Rasulullah oleh Web Sutera


Bismillahirrahmanirrahim.

Nama tuan Web Sutera mula saya kenali sekitar tahun 2008 - 2009 ketika saya mula-mula membuat blog ini dan mula aktif di laman sesawang Goodreads. Atau mungkin juga saya secara tidak sengaja berkunjung ke blog beliau semasa mencari ulasan-ulasan buku yang menarik.

Namun awalnya saya agak keliru ketika berkunjung ke blognya. Menurut pengenalan di blog, beliau menjalankan bisnes katering, tetapi mengapa ada ulasan buku? Agak bercampur-campur entrinya. Demikian telahan saya yang baru mengenali dunia blog ;)

Setelah beberapa tahun, mengetahui beliau telah menulis beberapa buah buku membuatkan saya rasa teruja kerana telah mengikuti tulisannya di blog dan Goodreads. Saya pernah membaca Berfikir Gaya Champion dan kini berpeluang membaca naskah ini yang dipinjam dari Perpustam.

50 bab di dalam ini memberi persepsi kepada saya betapa luasnya ilmu, pengalaman dan pemerhatian beliau terhadap kehidupan ini. Maklumat yang diperolehi oleh beliau melalui pembacaan digarap dan disesuaikan mengikut tema dalam sup champion.

Acap kali juga saya berhenti membaca, merenung perkongsian beliau dan akhirnya mengangguk tanpa sedar menyetujui kata-kata beliau.

Suka membaca pengalaman beliau dalam perniagaan katering, nasihat agama buat saudara semuslim, pengalaman beliau menghadapi cabaran hidup serta untaian puisi yang diselitkan hampir di semua bab.

Tidak lupa juga apabila saya ternampak lokasi tempat tinggal saya di dalam buku ini - Teluk Mas (Melaka). Wah, sehingga ke sini tuan membuat katering ya! Rasa mahu tahu juga bagaimana tuan sampai ke sini :) (*Ejaan sebenar ialah Telok Mas)

Sedikit catatan, naskah yang saya baca ini sedikit bermasalah. Muka surat 178 hingga 211 berselang-seli tidak mengikut urutan. Pening sekejap saya membacanya. Harap saya tidak lupa memaklumkan kepada Perpustam apabila memulangkan buku ini nanti.

Selain itu silap ejaan "Serinai Faqir" yang sepatutnya mengikut fahaman saya tuan penulis memaksudkan Tuan Serunai Faqir.

Moga penulis beroleh keberkatan-Nya. Amin.

1 ulasan: