Jumaat, 2 Mei 2014

Buku 19 : Begini, Sayang! oleh Mohd Hisham

Bismillahirrahmanirrahim.

Melahirkan anak memang sakit tetapi menjaga dan mendidik anak lebih-lebih lagi menuntut pengorbanan.

Satu perkongsian yang sangat baik dari pasangan ini bersama khalayak pembaca. Buku ini mengisahkan cara pasangan ini menerapkan asas keimanan dan tauhid dalam diri anak sulung mereka, Humaira'. Dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Diari Bapa dan Diari Ibu.

Saya teringat akan seorang rakan yang selalu mengadu mengenai perihal anaknya yang kerap bertanya soalan yang memcabar minda seperti Humaira' ini :)

Saya setuju dengan pasangan ini dalam mendidik anak mencintai al - Quran dan sirah Nabi, wajarlah kita menerapkan nilai tauhid dan memberikan fakta yang sebenar dan menyampaikan mengikut tahap pemikiran mereka.

Ibu bapa perlu kreatif dalam menyampaikan maklumat serta lembut dan tegas apabila menyatakan sesuatu kebenaran. Misalnya mengapa kita perlu bersolat dan berpuasa, mengapa orang perempuan perlu menutup aurat, mengapa kita digalakkan banyak bersedekah dan membantu orang lain.

Persoalan yang lebih tinggi daripada anak seperti di mana Allah dan mengapa kita tidak boleh melihat Allah, perlulah dijawab dengan berhati-hati supaya jawapan itu dapat disampaikan dengan baik dan tidak menimbulkan kekeliruan dan masalah di kemudian hari.

Peringatan yang berulang disulami kaedah penceritaan yang diguna oleh pasangan ini dilihat medium terbaik menarik minat anak mendalami sesuatu ilmu :)

Namun bukan sehari dua kita dapat mentarbiah anak. Ia memerlukan satu jangka masa yang panjang sehingga kesedaran beragama itu benar-benar meresap di dalam diri mereka. Alangkan kita yang dewasa ini kerap kali melakukan kesalahan apatah lagi anak kecil. Maka, marah bukan solusi dalam menyelesaikan sesuatu masalah tetapi pendekatan psikologi dan kesabaran dituntut dalam soal ini.

Pesan penulis, berdoalah secara spesifik untuk anak. Bukankah doa ibu itu mustajab?

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Komen