Rabu, 19 Mac 2014

Buku 11 : Senyumlah oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Bismillahirrahmanirrahim.

“Apakah perkara yang paling senang dibuat oleh kamu?,” tanya seorang naqibah usrah satu ketika dahulu. Ada yang menjawab “tidur”, “membaca”, “memberi salam” dan “senyum”. Rupa-rupanya perkara yang paling senang dibuat ialah meninggalkan solat. Itulah lontaran  pertanyaan oleh Imam Ghazali kepada anak-anak muridnya.

Bila difikirkan semula, sebenarnya senyum bukanlah perkara yang mudah untuk dibuat dalam semua keadaan. Apabila kita melihat seseorang senyum kepada kita, secara  automatik kita turut tersenyum. Tetapi sekiranya orang itu bermuka masam, adakah kita  secara naturalnya akan melontarkan senyuman? 

Buku nukilan Al-Fadhil Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ini mengajak pembaca berfikir dan meluaskan horizon kefahaman agama dalam semua aspek kehidupan. Islam adalah agama yang syumul. Sempurna. 

Sekiranya kita terbeban dengan masalah di dunia, ingatlah bahawa Allah tidak membebankan   hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditangani. Sekiranya ditimpa penyakit atau musibah, ingatlah pesan Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam ini : 

“Allah tidak akan menghantar penyakit melainkan diturunkan penyembuh, mereka  yang tahu, maka dia tahu, mereka yang jahil (tidak tahu), maka tidak tahulah ia.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad no 3397).

Ubati kemurungan dengan mengawal fikiran daripada melayang liar dengan melakukan KERJA. Apabila marah, haruslah diam buat beberapa ketika kerana marah itu hanya  beberapa saat. Kemudian, akan menurun darjah kemarahan. Sebaik-baiknya jagalah perkataan ketika marah kerana lidah memang tidak bertulang.

Seringkali juga ketika berbicara sesama rakan kita akan berbual banyak perkara dan  awasi TETAPI ketika berbicara mengenai seseorang kerana kebiasaannya akan datang  perkara yang tidak baik mengenai insan itu tanpa kita sedari. Allah memberi peringatan :

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji....” (Surah Al-Humazah : ayat 1)

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk pecah  belahkan orang ramai).” (Surah Surah Al-Qalam : ayat 11)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya  kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian  dari sangkaan itu adalah dosa, dam janganlah kamu mengintip atau mencari-cari  kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya  yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah  mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.  (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada  Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat ayat 12)

Ada tiga kesalahan lumrah dilakukan oleh manusia :

1) Mensia-siakan masa.
2) Bercakap mengenai perkara yang tiada kena-mengena dengan dirinya.
3) Menyibukkan diri dengan benda yang remeh-temeh.

Allahu akbar. Benar sekali! Maka, penulis mencadangkan tiga petua sebelum  memulakan hari iaitu :

1) Hari ini sahaja yang ada, maka buatlah sebaiknya.
2) Renung dan bersyukur apa yang ada.
3) Senyum dan jangan marah.

Penulis turut membongkar rahsia dan teori "air liur"nya. Air liur beracun atau air liur penawar. Bagaimanakah itu?

Sedarkah kita bahawa air liur adalah satu tindakan badan yang berlaku tanpa kita sedari. Ketika kita berjalan, bercakap, solat, mengumpat mahupun tidur, tindakan menelan air liur adlaah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekiranya kita mengucapkan kata-kata yang baik, mengaji al-Quran atau memuji Allah, makan air liur yang ditelan ialah air liur yang baik dan menjadikan kita seorang yang ceria dan positif. Tetapi sekiranya kita memburukkan orang, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika marah, air liur yang ditelan merupakan air liur beracun! Kesannya, kita menjadi seorang yang gelisah, tidak tenteram dan negatif. 

Saya teringat kajian molekul air yang dilakukan oleh Profesor Masaru Emoto dari Jepun yang membentangkan hasil dapatannya ke seluruh dunia dengan mengatakan sekiranya kita mengucapkan perkataan yang baik pada air, molekul air yang terbentuk cantik sekali. Namun, sebaliknya jika perkataan yang tidak baik diucapkan kepada air, molekul buruk akan terhasil. Subhanallah. Hebat sungguh ciptaan Allah. 

Semoga kita mendapat keampunan Allah. Senyum ;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan