Isnin, 8 Februari 2010

Remaja Mulia


Sumber gambar : Di sini
Judul buku : Remaja Mulia
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd (2010)
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 132
Sumber : (Beli di) Masjid Jamek Kajang
Tarikh baca : 31 Januari 2010

Buku ini adalah di bawah kategori Novel Awal Remaja. Nampak sahaja nipis tetapi tebal dengan hikmah dan pengajaran. Subhanallah. Saya amat mengesyorkan para ibu bapa dan guru-guru yang ingin menggalakkan anak-anak membaca supaya membaca buku ini.

Ceritanya diolah menarik dan pembaca akan mendapati penulis pandai menyusun cerita dan nasihat disampaikan secara langsung dan tersirat.

Remaja mulia mengisahkan tentang Irfan Hakimi yang sedari kecil sering diuji oleh Allah tetapi dia merupakan seorang anak yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa, sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh.

Dia sudah kematian ibu sejak dia dilahirkan. Maka Irfan Hakimi tinggal bersama dengan ayahnya, Pak Mahmud. Pak Mahmud bertugas sebagai Imam 1 di kampung mereka. Kerjanya bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dua beranak.

Pada satu hari, selepas selesai mengerjakan kebun sayur, Irfan Hakimi dan ayahnya bersiap-siap untuk pulang. Irfan mengambil sayur-sayuran untuk dibuat lauk pada hari itu ketika terdengar sesuatu bunyi dibelakangnya. Rupa-rupanya ayahnya jatuh. Siapa sangka Pak Mahmud dipatuk ular tedung yang berbisa.

Irfan Hakimi berasa sangat sedih dan tidak tahu sama ada ingin mencari pertolongan ataupun berada di sisi ayahnya yang kelihatan hampir menemui ajal. Kebun mereka itu jauh sedikit dari tempat orang ramai. Kata-kata terakhir ayahnya disemat di dalam hati. "Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…" Subhanallah.

Saya perhatikan Pak Mahmud memanggil anaknya dengan nama penuh. Bukankah elok begitu? J Irfan Hakimi dididik oleh ayahnya sejak kecil lagi akan ketauhidan kepada Allah. Maka anak ini mencerap semua ilmu dan nasihat dari ayahnya lalu menjadikannya seorang yang sangat yakin dengan Allah. Memang beginilah cara yang sepatutnya kita didik anak-anak kita dari kecil.

Kesusahan hidup yang dialaminya tidak begitu dirasai kerana kebergantungannya kepada Allah menjadikan dia seorang yang sabar dan tenang. Malah tingkah laku Irfan Hakimi ini banyak mempengaruhi orang di sekelilingnya.

Selepas kematian ayahnya, dia tinggal bersama Haji Makruf, Imam 2 di kampung itu. Hidupnya diuji dengan kelakuan nakal 3 sekawan ; Hafiz, Jaafar, dan Toriq yang sering menghina dan menabur fitnah ke atas dirinya. Dua cubaan fitnah yang pernah dilakukan ialah menghilangkan buku Irfan Hakimi dan mengambil duit derma kilat yang dipungut oleh Irfan Hakimi serta memasukkan batu ke dalam tabung tersebut.

Irfan Hakimi juga banyak belajar dari Haji Makruf terutama ketika dia mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan semasa percubaan UPSR. Saya terkesan dengan nasihat Haji Makruf kepada Irfan Hakimi. "Irfan, dalam soal usaha, cukup itu tidak dikira dengan angka." (m.s 77) "Kita perlu yakin yang Allah akan bantu kita. Tapi kita tidak boleh menganggap bahawa persediaan kita itulah membuatkan kita berjaya…" "Sebab kamu rasa kamu sudah cukup meminta kepada Allah. Kamu tidak boleh rasa begitu. Dengan Allah, kita tidak boleh rasa cukup. Kita kena terus meminta, meminta, dan meminta. Itu tanda kerendahan hati kita kepada-Nya."(m.s 81)

Tiada ulasan:

Catat Komen