Ahad, 30 Ogos 2009

Ikramah - Penentang Jadi Pembela


Judul buku : Ikramah Penentang Jadi Pembela
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS
Bilangan muka surat : 240
Harga : RM 22.90


~~~~~~~~~

Ikramah adalah anak kepada Abu Jahal. Beliau merupakan orang yang kuat menentang Islam sama seperti ayahnya, Abu Jahal. Abu Jahal mati dalam Perang Badar dan hal ini cukup membuatkannya berdendam dengan Rasulullah SAW. Walaupun si kembar Ibnu Arfa’ yang membunuh ayahnya tetapi Ikramah tetap mempersalahkan Rasulullah SAW kerana menganggap Rasulullah SAW yang memimpin angkatan tentera Islam ketika itu.

Ikramah melakukan penentangan sewaktu Rasulullah SAW ingin menakluki kota Mekah. Baginda ingin memasuki Kota Mekah secara aman dan telah memaklumkan kepada Abu Sufian dan Abbas mengenai perkara itu semasa mereka berdua bertemu dengan baginda sebelum baginda memasuki kota Mekah. Baginda dan tentera-tentera Islam tidak akan akan memerangi mereka yang berada di dalam rumah masing-masing, atau sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian dan yang berlindung di Masjidil haram.

Sementara Ikramah dan para pengikutnya berusaha keras menghalang kemasukan tentera-tentera Islam. Rasulullah SAW sememangnya seorang perancang perang yang sangat teliti. Baginda telah membahagikan pasukan tentera Islam secara strategik. Kumpulan pertama tentera pejalan kaki diketuai oleh Abu Ubaidah bin Jarrah akan memasuki Mekah dari arah barat melalui Jabal Hindi. Kumpulan kedua yang terdiri daripada pasukan pemanah diketuai oleh Zubair al-Awwam akan memasuki Mekah dari arah utara. Kumpulan ketiga diketuai oleh Saad bin Ubaidah akan masuk keMekah dari arah utara dan Rasulullah SAW sendiri memimpin angkatan tentera melalui daratan tanah tinggi. Manakala kumpulan Khalid al-Walid akan memasuki Mekah dari arah selatan.

Ikramah memilih untuk menghalang pergerakan Khalid al-Walid. Malangnya beliau tewas dan menyembunyikan diri bersama pengikut-pengikut setianya. Antaranya ialah Hammas, Suhail dan Shafwan. Dalam masa yang sama Rasulullah SAW berjaya menakluk Mekah dengan aman tanpa pertumpahan darah dan baginda memaafkan kesalahan semua kaum Quraisy kecuali beberapa orang iaitu Hindun binti Utbah, Wahsyi, Habbar Ibnu Aswad, Abdullah bin Abi Sarakh, dan Ikramah. Hindun dan Wahsyi telah diberi pengampunan oleh baginda selepas mereka bertemu Rasulullah SAW dan mengakui kesalahan mereka.

Ikramah mengikat perjanjian dengan Kabilah Hawazin bagi menentang pihak Islam. Dan mereka bertempur dengan pihak muslimin. Malangnya sekali lagi, dia gagal dan Ikramah membawa diri ke Yaman dengan harapan Raja Yaman sudi membantunya. Tetapi misinya juga gagal dan Ikramah menuju ke Habsyah pula. Dalam perjalanannya, kapal yang dinaikinya dilanda ribut sehingga Ikramah bernazar sekiranya selamat, dia akan pulang ke Mekah dan memohon maaf dari Rasulullah SAW. Selepas dia berdoa kepada Allah sesungguh hati, ribut terus reda dan perjalanannya selamat. Akhirnya dia kembali semula ke Mekah. Tetapi tanpa pengetahuannya, isterinya Atikah bersama seorang hamba mereka, Laila pergi mencarinya sehingga ke Yaman dan Habsyah semata-mata untuk memanggilnya pulang. Hal ini kerana Atikah berjaya meminta Rasulullah menarik balik hukuman mati ke atas Ikramah. Akhirnya keluarga Ikramah dapat bersatu semula dan Ikramah memeluk Islam di tangan Rasulullah SAW.

Selepas pengislamannya, Ikramah berubah secara total. Dia menjadi seorang yang taat kepada agama dan cintakan Rasulullah SAW melebihi segala yang ada di dunia. Dia sanggup berkorban demi menegakkan syiar Islam. Tegasnya, “Jika dahulu aku berperang untuk al-Lata dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada Allah.” Dia ingin membuktikan bahawa walaupun dia anak Abu Jahal tetapi kejahatan ayahnya tidak terjangkit sedikit pun kepadanya. Oleh sebab itu, Ikramah berjuang habis-habisan di dalam peperangan menentang musuh Islam dan semuanya dilakukan kerana Allah.

Ikramah dilantik oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq untuk mengetuai pasukan tentera menentang Nabi palsu, golongan murtad, dan mereka yang tidak mahu membayar zakat. Dia juga membantu pasukan tentera muslimin menghadapi pemberontakan di Yamamah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai, seorang kepala munafik yang turut menghasut Bani Hanifah. Musailamah al-Kazzab juga berjaya dihapuskan. Musailamah ialah seorang yang mengaku dirinya nabi dan dia bergabung dengan Jarrah, seorang wanita yang juga mendakwa dirinya nabi. Dengan penggabungan kedua-duanya, kekuatan tentera mereka semakin kuat. Jarrah akhirnya berkahwin dengan Musailamah. Akan tetapi, pihak tentera muslimin berjaya menghapuskan gerakan-gerakan sesat ini. Alhamdulillah. Ikramah akhirnya menghembuskan nafas terakhir setelah mendapat luka parah di dalam peperangan menentang Rom.

Satu kisah yang menunjukkan keimanan yang kukuh beserta semangat juang yang tinggi. Di samping itu, benarlah “iman itu tak dapat diwarisi”. Ikramah membuktikan bahawa walaupun bapanya seorang penentang kuat Islam, ianya tidak menjejaskan imannya kepada Allah dan cintanya kepada Rasul. Begitu hebatnya kesan hidayah Allah kepada orang yang dikehendaki-Nya. Semoga Allah memberkatinya..
~~~~~~~~~~~
SELAMAT BERPUASA BUAT SEMUA (",)

Tiada ulasan:

Catat Komen