Jumaat, 11 September 2009

Rooftop Rant


Judul buku : Rooftop Rant
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM 21.00
Bilangan muka surat : 538
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sudah lama buku ini terperap di rumah. Rasa sayang nak baca :D Tunggu masa sesuai untuk dibaca sebenarnya. Selepas lega sedikit dengan tugasan di kampus barulah tergerak untuk membaca buku ini.

There're times when strangers are like family,
and family are like strangers.

Kata-kata ini yang menarik saya untuk terus membaca.

Fuh.. serasa perjalanan yang panjang semasa membaca RR ini. Karya Hlovate kali ini lebih banyak pengisiannya. Saya kira dari segi ilmu, penyampaian dan mesej yang ingin disampaikan. Mungkin saya lebih memahami kerenah anak-anak remaja kini yang nampak bermasalah dan suka memberontak seperti Trisy selepas ini. Ada banyak rahsia yang tidak tersingkap. Namun, saya kagum dengan Trisy kerana masih mempunyai akal yang waras untuk tidak melakukan perkara yang pelik-pelik. Masih lagi berada di landasan yang betul.

Dalam masa yang sama, ada banyak perkara yang mengetuk minda saya. Bagaimana keadaan sesebuah institusi kekeluargaan itu tidak bertunjangkan Islam dan memberi kesan kepada anak-anak dan juga kepada keseluruhan keluarga itu juga. Takutnya apabila membayangkan sekiranya terjadi sedemikian dalam keluarga sendiri. Nauzubillah. Syukurlah sekiranya kita mempunyai keluarga yang bahagia berbanding mereka yang ada keluarga tetapi tidak merasa bahagia.

RR berkisar kepada kisah Trisy dan Jade yang secara tidak sengaja berjumpa di bumbung atas sebuah bangunan yang berdekatan dengan tempat tuisyen Trisy. Trisy yang ketika itu begitu tertekan dengan keadaan keluarga dan Jade pula mencari ketenangan sambil melukis kartun sama-sama berada di situ tanpa berbicara sepatah kata. Tetapi peristiwa Trisy pengsan di hadapan Jade disebabkan Hypoglycemic membuatkan di situlah bermulanya mereka berkawan.

Awal-awal bab banyak dimonopoli oleh dialog-dialog perbualan antara Trisy dan Jade.

Kemudian, Trisy dihantar pulang ke kampung di Johor Bahru dan bersekolah di sana. Atas alasan apa, saya kurang pasti. Sama ada saya ter'skip' bacaan atau penulis memang tidak menulis sebabnya :) Terpisahlah dua sahabat ini. Namun begitu, Trisy tidak pernah lupa untuk mengutus surat setiap bulan kepada Jade. Mereka bukanlah pasangan yang bercinta tetapi sekadar kawan rapat kerana Jade satu-satunya orang yang dapat Trisy percaya dan mungkin satu-satunya kawan yang dia ada selama ini (Trisy seorang pendiam dan agak kurang bersosial).

Jade pula semakin sibuk selepas dia bekerja di sebuah syarikat penerbitan komik atas pertolongan Trisy. Sememangnya dia seorang yang "gifted" dalam seni lukis ini kerana ideanya tidak putus-putus mengalir. Bakat + minat adalah dua perkara yang sudah cukup membuatkan seseorang itu puas dengan apa yang dilakukan. Tidak akan terasa penat walaupun kerja itu menggunung tinggi, kan?

Dalam waktu yang sama, mereka berdua mengalami anjakan paradigma yang besar dalam diri tanpa disedari. Kedua-duanya berubah ke arah yang lebih baik. Trisy, dari gaya ala-ala lelaki berubah kepada memakai tudung dan berpakaian memenuhi syariat, pandai mengaji, solat berjemaah, dan semakin rajin belajar. Hasil didikan dan jagaan datuk dan neneknya, Trisy lebih gembira dan bahagia tinggal di kampung walaupun sesekali seperti terjerut leher dengan 'Pegawai Penguatkuasa dan Disiplin' @ Pak Su Wan di rumah itu. Jade pula lebih tekun bekerja, rajin solat berjemaah dan mengaji al-Quran ekoran bercampur dengan Wak Duku and co.

Wak Duku adalah kartunis dari penerbitan lain tetapi mereka berhubung rapat selepas menjayakan satu projek bersama sedikit masa lalu. Mereka rajin membuat liqa' @ usrah dan bagi Jade itu satu refreshning bagi dirinya yang selama ini memandang skeptik akan orang yang bercakap tentang ilmu agama hanyalah ustaz ustazah dan graduan-graduan yang baru balik dari Mesir atau Negara Timur Tengah yang lain.

Saya sedikit teruja membaca buku ini. Penulis berdakwah melalui caranya yang tersendiri. Banyak ayat Quran dan hadis yang dimasukkan ke dalam cerita ini dan disesuaikan mengikut keadaan di dalam novel ini. Ianya berkesan untuk saya. Masya Allah.

Petikan-petikan dari buku Harun Yahya yang dibaca oleh Trisy juga menambah minat. Bacalah seberapa banyak pun, kita dituntut supaya belajar dan menambah ilmu. Jika tidak, masakan ayat pertama yang diwahyukan Allah menyebut "Iqra'!".

Bagaimana kesinambungan kisah mereka selepas terpisah? Adakah Jade berjaya mencapai golden dreamsnya dan berjayakah Trisy mengatasi kemelut dalam hidupnya? Bacalah buku ini. Anda akan dapat lebih dari apa yang anda ingin tahu. Dan berpegang teguhlah kepada Allah. DIA tidak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh mereka. Bersangka baiklah dengan ALLAH. Wallahualam.


To live hell or live well
You choose
May Allah bless
~Quote from RR~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan