Selasa, 31 Disember 2013

Penutup Tirai 2013

Alhamdulillah.

Berakhir tahun 2013M dan bakal bermula hari yang baru di tahun baru 2014M. Mungkinkah mampu bertemu esok? Wallahualam.


Jumaat, 6 Disember 2013

Guru Jutawan Akhirat

Bismillah walhamdulillah.

Buku kali ini bertajuk Guru Jutawan Akhirat terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor terbitan 2011.

Suami saya memperolehinya secara percuma ketika mengikuti kursus anjuran KPM.

Tajuknya bagaikan magnet menarik saya membaca dari mula sehingga tamat.

Subhanallah. Masya Allah. Susunan katanya sangat baik. Setiap bab sangat menyentuh hati dan bagaikan tersusun baik dan ada kesinambungan dari awal sehingga akhir.

Ianya bagaikan nasihat atau tazkirah dari sahabat untuk sahabat. Bahasanya lembut dan berlaku sehari-hari dalam kerjaya seorang guru.







Buku yang sangat baik untuk para guru. Bertindak sebagai penasihat dan memotivasi guru dalam menghadapi cabaran dalam kerjaya.

Firman Allah yang disertakan di setiap permulaan bab mampu memberi peringatan terbaik. Jazakumullah khairan buat semua panel penulis.







Khamis, 28 November 2013

Projek Fesyen Ain Maisarah

Ain Maisarah membuat transformasi gaya dan fesyen merangkumi tudung, pakaian dan aksesori. Menerangkan konsep menutup aurat di dalam Islam.

Mengisahkan Nur Haness yang begitu meminati Ain Maisarah dan sentiasa melayari blognya setiap hari.

Kebetulan sekolahnya mengadakan hari kesenian Islam dan semua pelajar perlu berubah dari negatif kepada positif. Satu perkara yang sukar bagi Nur Haness kerana ibunya tidak membenarkannya bertudung.

Ada sisi positif dalam cerita ini. Bagaimana seseorang yang terkenal berpengaruh dalam kehidupan seseorang peminatnya. Hihi. Jika positif contohnya maka yang mengikutinya juga akan positif. Begitu juga sebaliknya.

Kedua, bukan mudah membuat perubahan diri dalam masa yang singkat. Tambahan lagi apabila ibu bapa menghalang niat untuk berhijrah kepada yang lebih baik. Lihat bagaimana si anak menghadapi situasi itu.

Ketiga, sangat buruk apabila seseorang itu sangat obses dengan fesyen. Apatah lagi jika jauh menyimpang dari syariat. Jadi, janganlah jadi hamba fesyen ya.

Wallahualam

Rabu, 27 November 2013

Balut buku ^_^



Bismillah walhamdulillah.

Sudah lama tidak balut buku. Akhirnya berjaya juga mengambil masa untuk duduk dengan tekun dan gigih membalut buku-buku di atas ^_^

Saya dengar ada juga kedai buku yang mengambil khidmat membalut buku dengan caj 50 sen sebuah. Menarik! Saya pun mahu buat begitulah. Ada yang mahu? Hehe..

Hanya 4 buku sudah berjaya dihabiskan bacaan. Kini saya sedang membaca buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu. Saya sangat menggalakkan para suami juga harus membaca buku ini. Sekiranya kaum bapa ini mempunyai ilmu mengenai penyusuan alangkah bahagianya isteri anda. Dapatlah mereka menyusukan anak tanpa stres.

Oh, belum habis baca jadi belum dapat ulas sepenuhnya.

Barakallahufik :)

Sabtu, 23 November 2013

Mudahnya Mengemas Rumah

Bismillah walhamdulillah.

- Penulis mendapat inspirasi menulis daripada ibunya dan maklum balas pembaca melalui blognya iaitu mengemasrumah.blogspot.com
- Mudah dan praktikal.
- Banyak petua dan teknik membersih dan mengemas diberi. Paling disukai apabila adanya petua menghilangkan dakwat pada baju
- Nampaknya cuka merupakan salah satu agen pembersih paling berkesan kerana kerap disebut oleh penulis
- Hampir semua langkah demi langkah ditunjukkan bersama gambar. Lebih memudahkan pembaca mengikuti dan mengaplikasikan apa yang diajar
- Bermula dengan kekemasan di bilik tidur sehinggalah pencucian bilik air. Antara lain ialah mengemas ruangan dapur, ruang tamu, membersihkan dinding, sawang dan halaman rumah.






Selasa, 19 November 2013

Aku Mahu Superbibik ~ Ain Maisarah

Seperti ada dua kisah di dalam satu buku. Dan tidak nampak ada hubungan di antara keduanya melainkan isu yang sama iaitu kisah pembantu rumah atau bibik.

Seorang mahukan bibik ketiga kerana tidak mahu kalah dengan rakan baik yang mempunyai tiga orang bibik. Seorang lagi mahu menggantikan bibik lama yang dipecat kerana menipu. Proses mencari bibik dilakukan seperti memilih pemenang dalam program realiti TV.

Walau apa pun pekerjaan seseorang itu kita wajar menghormatinya apatah lagi jika usianya lebih tua daripada kita.


Ahad, 17 November 2013

10 Bersaudara Bintang Al-Quran ~ Izzatul Jannah dan Irfan Hidayatullah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah.

Anak merupakan anugerah istimewa yang Allah berikan kepada umat manusia. 

Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala  yang besar." (Surah al-Anfal ayat 28)

Semakin banyak membaca semakin banyak yang ingin dibaca. Sungguhpun bahan bacaan perihal keibubapaan semakin banyak di pasaran namun kisah setiap satu pasangan itu berbeza antara satu sama lain. Besarnya rahmat Allah yang memberi ilmu dan ilham kepada penulis-penulis ini.




Ya, kali ini saya membaca mengenai sepasang suami isteri yang berjaya mendidik kesemua anaknya menjadi penghafal Al-Quran. Anaknya bukan seorang, dua orang atau empat orang tetapi sepuluh orang. Masya Allah! Luar biasa sekali.

Namun jelas sekali, pasangan Mas Tamim dan Ibu Wiwi ini telah sepakat mempunyai visi dan misi yang sama. Maka mereka bergerak memajukan perancangan mereka sehingga lahirnya permata-permata Hafiz dan Hafizah Quran dalam rumah mereka.


Bagaimana ia bermula?

Ia bermula semenjak mereka belum berkahwin lagi. Kedua pasangan ini datang dari keluarga yang utuh kepada pegangan agama.

Ada lima tanggungjawab kita terhadap al-Quran :
1. Membaca
2. Mempelajari maknanya
3. Menghafal
4. Mengamalkannya
5. Mendakwahkannya

Sejarah generasi awal tertulis ramai ulama yang telah khatam dan menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Sedangkan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam turut mengutamakan para sahabat yang menghafal al-Quran.

Allah sudah memberi jaminan kemudahan : "Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?." (Surah Al-Qamar ayat 17).

Secara ringkasnya Al-Quran mengandungi :

◇ 114 surah
◇ 6236 atau 6666 ayat (perbezaan pendapat sama ada bismillah di awal surah dikira atau tidak)
◇ Dua jenis ayat ; makkiyah dan madaniyah
◇ Surah terpanjang : Al- Baqarah
◇ Surah terpendek ; Al-Asr, An-Nashr dan Al-Kautsar

Antara usaha pasangan ini dalam melahirkan anak-anak penghafal Al-Quran ialah menetapkan beberapa peraturan utama iaitu :
1. Tiada televisyen di rumah
2. Tiada gambar syubhah yang menyebabkan malaikat tidak masuk ke rumah
3. Tiada lagu yang lagha
4. Ucapkan kata-kata yang baik sahaja

Tatatertib urusan di rumah dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal turut diajar kepada semua ahli keluarga termasuklah prinsip asas, makan minum, adab menerima tetamu, ketentuan tanggungjawab, pakaian, peraturan menggunakan elektrik dan sebagainya.

Agak menarik perhatian apabila Mas Tamim mengaplikasikan cara ini dalam mendidik anak. 

6 tahun pertama (0-6) : Memberi motivasi kepada anak-anak untuk menghafal.

6 tahun kedua (7-12) : Teknik disiplin dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk anak menghafal.

6 tahun berikutnya (13-18) : Mengikut perkembangan kecenderungan ilmu anak-anak.

Bagi Ibu Wiwi pula beliau sentiasa membaca al-Quran dekat dengan anaknya, dan menyediakan bekalan anak ke sekolah. Seawal jam 3 pagi sudah bangun untuk solat malam dan seterusnya menyediakan makanan untuk ahli keluarga seramai 12 orang. Masya Allah.

Turut dilampirkan biodata kesemua anak mereka meliputi umur boleh membaca al-Quran dan mula menghafalnya. Kesemuanya boleh membaca al-Quran ketika usia 5 tahun dan kebanyakannya mula menghafal al-Quran sejak usia 5 dan 6 tahun. Paling mengagumkan putera kelapan telah selesai menghafal semasa di sekolah dasar (saya kira mungkin sekolah rendah jika di Malaysia).

Masya Allah tabarakallah. Moga mereka membesar menjadi penolong agama Allah. 

Ahad, 10 November 2013

Wow, Coklat Fondu Mia!

Bismillah walhamdulillah.




Mmm...sedapnya coklat fondu!

Agak teruja semasa dan selepas membaca novel remaja ini. Saya memang mengikuti blog Pn Mazny dan tidak sangka tulisan kali ini ialah hasil bersama anaknya.

Wow, Coklat Fondu Mia! mengisahkan geng 6 Zuhal yang ingin mengumpul dana bagi merealisasikan hasrat mereka membuat rombongan kelas ke Melaka hujung tahun nanti. Mereka akan menyertai jualan hari Sukan yang bakal diadakan.

Mia dan Geng The 4 On berusaha keras memikirkan idea terbaik dan Mia mencadangkan supaya mereka menjual coklat fondu. Idea tercetus dek kelazatan coklat fondu yang Mia rasai bersama sepupunya sebelum ini di Shah Alam.

Untungnya Mia, ibu saudaranya sangat bermurah hati membelikan barang membuat coklat fondu dan memberi sedikit sebanyak panduan merancang kewangan untuk berniaga.

Ada satu perkara lagi. Mia dan Penolong Ketua Pengawas (Shasha) adalah musuh ketat. Ditambah lagi dengan kejadian tertumpahnya kuah mee kri ke atas rambut Shasha membuatkan api dendam membara. Shasha dan rakan-rakannya pula  digelar MES (Miss Everything Perfect).

Satu demi satu cabaran dihadapi. Sehingga sampai ke satu tahap, Mia berasa kecewa, putus asa dan menjadi pemarah. Ya, berniaga pastilah mempunyai pesaing, cabaran dan halangan tertentu yang sebenarnya menguji kita untuk lebih kreatif, bijak mencari penyelesaian dan sentiasa positif.

Adakah Mia dan Shasha tetap bermusuhan sehingga ke akhirnya? Berjayakah mereka menganjurkan lawatan ke Melaka?

Oh ya, di setiap bab, ada info mengenai adab jual beli Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam.

Di ruangan lampiran, ada resipi tersedia untuk pembaca. Nyum..nyum...sedapnya.. bilalah mahu cuba ya? ^^




Di Mana Bumi Dipijak ~ Abu Hasan Morad

Bismillah walhamdulillah.

Sebuah buku travelog lagi selesai dibaca. Subhanallah, terpesona dengan susunan bahasa Cikgu Abu Hasan ini membuatkan saya tetap mencuri waktu membaca sehingga ke akhir muka.

Asalnya, saya hanya melihat seorang rakan membaca ketika Kem Membaca 1 Malaysia dalam program bacaan serentak selama 2013 saat. Saya belek-buka-baca sinopsis. Nampak menarik. Saya meminta izin untuk meminjam sebentar dengan niat akan dipulangkan sebelum tamat waktu persekolahan. Oh, tanpa sedar saya membawanya pulang ke rumah! Sekali lagi saya minta izin dari tuan punya buku :)

Saya kagum dengan penulis. Sudah sekian waktu mengikuti tulisannya di dalam Majalah ANIS iaitu sejak saya dibangku sekolah. Namun sejujurnya pada waktu itu tulisan beliau bukanlah pilihan utama saya kerana saya lebih gemar kepada sesuatu yang bersifat mudah dihadam. Maklumlah masih di bangku sekolah dan belum begitu matang dan memahami falsafah yang ingin disampaikan.

Seiring dengan peningkatan usia, saya mula menggemari tulisan beliau dan mengikuti catatan pengembaraannya. Subhanallah. Semangatnya kental dan jiwanya juga kuat kesan tarbiah dan pengalaman hidup yang luas.

Buku ini menghimpunkan catatannya dari mata kasar hasil pengembaraannya ke serata benua meliputi Eropah, Timur Tengah, China, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali. Semuanya menghimpunkan tentang sosio budaya masyarakat serta amalan umat Islam setempat secara permukaan. Adakalanya saya seakan dapat merasai keindahan alam yang diciptakan Allah melalui tulisan beliau, ada ketika turut berfikir dan muhasabah diri andai berada di dalam situasi kesukaran masyarakat Islam di luar sana dan ada waktunya terasa bangga dengan kesungguhan dan kejayaan umat Islam di luar sana menjaga dan menyebarkan syariat Islam.

Namun begitu, saya berasa tidak puas tatkala catatan yang ditulis tidak disertakan gambar yang berkaitan. Seolah-olah memutuskan 'connection' di antara tulisan dengan gambar yang melatari setiap muka surat buku. Selain itu, saya kira terdapat sedikit kesilapan pada muka surat 111 di mana perenggan itu tertutup oleh gambar Masjid Zayed Abu Dhabi.



Semoga penulis mampu menghasilkan lagi tulisan bermutu mengenai pengembaraannya yang mampu memberi manfaat kepada semua. Insya Allah. Barakallahufik:)

Sabtu, 2 November 2013

Kawanku Panda ~ Husna Adnan

Bismillah walhamdulillah.

Kawanku Panda berkisar sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada seorang ayah yang sangat alergi kepada benda berbulu, ibu yang penyayang dan gemar berpantun, anak lelaki bernama Johan yang biasa-biasa sahaja dan seorang anak perempuan kecil bernama Yaya.

Haiwan peliharaan di rumah biasanya kucing, hamster atau arnab tetapi jika Panda, itu memang sesuatu yang luar biasa! ^^ Ala-ala Madagascar pula.

Johan terjumpa Panda ketika bersiar-siar di tepi pantai lalu dibawa pulang dan dipelihara secara sembunyi. Agak menghairankan apabila haiwan berbulu ini boleh muat di dalam beg sandangnya.

Kisah ini tidak terlalu kompleks namun ada juga cabaran, halangan dan konflik yang dialami oleh Johan. Kelakar juga apabila ada sa
habat baiknya berbangsa India yang dalam usaha memperbaiki bahasa Melayu sehingga banyak perkataan yang tersalah sebut.

Akhirnya rahsia itu pecah juga. Namun mujur ibu bapa Johan dapat menerimanya kerana Johan banyak berubah ke arah kebaikan seperti rajin belajar, kemas dan boleh mengurus diri sendiri dengan baik. Selepas cubaan menculik Panda, mereka membuat keputusan menghantar semula Panda ke tempat asal.

Saya kira ini antara buku PTS yang jarang saya jumpa kesalahan ejaan. Tahniah ^^

Tahniah juga kepada Pn Husna. Kawanku Panda memang comel :)

Khamis, 31 Oktober 2013

Diari Seorang Diplomat : Hikmah yang Tersirat ~ Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd

Subhanallah tabarakallah.

Menelusuri catatan kehidupan penulis dan keluarga di bumi Pakistan banyak memberi ilmu dan membuka mata tentang amalan beragama dan sosio budaya masyarakat di sana.

"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri." Pepatah Melayu ini benar dirasai oleh penulis lantaran keadaan di Pakistan berbeza dengan di Malaysia.

Pada ketika beliau ditugaskan ke sana, tragedi pengeboman masih rancak berlaku saban hari. Sungguh pun tinggal sementara di hotel mewah dengan kawalan ketat seperti kubu oleh pihak tentera tetapi perasaan tidak selesa memaksa mereka mencari sebuah rumah sewa yang selesa untuk diduduki oleh keluarga kecil mereka.

Sedikit demi sedikit bumi Pakistan dikenali dan dimesrai. Bermula catatan beliau mengenai bakal tuan rumah yang tidak bertolak-ansur, jiran yang pemarah, mengenali budaya masyarakat tempatan dengan menghadiri majlis perkahwinan, bersiar-siar dan seribu satu macam lagi.

Catatan penulis mengenai Muslim di Pakistan membuka mata saya bahawa sangat buruk akibat apabila begitu taksub dengan sesuatu yang dipegang sebagai adat dan budaya, guru mahupun apabila menganggap apa yang dilakukan adalah betul semata sedangkan jelas sekali ia bertentangan dengan moral ataupun menghina kesucian Islam.

Beberapa contoh sudah memadai bagi kita memahami perkara ini. Biarpun mereka melihat sendiri isteri penulis memakai tudung dan menjaga aurat, soalan yang sama sering ditanya oleh orang di Pakistan.  "Adakah kamu Muslim?." Apabila ditanya oleh penulis mengapa menyoal begitu sedangkan isterinya memakai tudung dan menutup rambut. Lelaki Pakistan itu menjawab kerana pakaian yang dipakai tidak menunjukkan pakaian Muslim. "Ini baru pakaian Muslim (sambil menunjuk bajunya shalwar kamiz)."

Kedua, berlaku kematian melibatkan dua beradik lelaki yang dituduh mencuri. Tanpa siasatan dan tanpa saksi sekumpulan orang memukul dengan kayu sehingga dua beradik ini mati dan digantung dikhalayak  ramai dengan keadaan kaki di atas dan kepala di bawah. Kejam. Di sana pembunuh untuk kes sebegini menganggap mereka hero. Pihak polis yang berada di tempat kejadian juga tidak berbuat apa-apa. Sama seperti orang ramai melihat sahaja peristiwa itu. Dikatakan salah seorang dariapada adik-beradik itu adalah hafiz al-Quran. Tambah lagi mereka berdua biasa bermain di padang di kampung tersebut. Namun apabila dituduh mencuri, hukuman terus dibuat tanpa merujuk kepada sesiapa.

Dua sifat yang mendatangkan keburukan iaitu jahil dan taksub. Allahuakbar.

Ketiga, saya sangat sedih apabila muslim di sana mengaku dirinya orang Islam tetapi meneguk arak seperti orang yang begitu kehausan. Entah bagaimana fahaman mereka. Allahu Allah.

Penulis seorang yang sangat berpegang kepada tawakkal kepada Allah. Melalui kisah yang ditulis menggambarkan beliau seorang yang teguh keyakinan kepada Allah. Semoga Allah merahmatinya.

Kematian itu pasti. Ianya sangat dekat dan boleh berlaku di mana-mana. Penulis pergi tanpa melihat anak-anaknya membesar apatah lagi melihat hasil nukilannya dibukukan. Namun warkah yang ditulis untuk anakanda kedua itu sangat menyentuh hati. Ia bukan sekadar ungkapan kasih sayang seorang ayah, ia kini menjadi wasiat buat anak-anaknya.

Semoga Allah memberkatinya serta isterinya yang solehah dan moga anak-anaknya membesar menjadi anak yang solehah. Ameen...


Selasa, 29 Oktober 2013

Hari Fesyen (Young Aishah)

Bismillah walhamdulillah.

Sewaktu selesai membaca buku ini, saya terbaca di laman sosial seorang figur menyatakan orang Melayu sangat kurang membaca buku-buku yang 'berat'. Masih lagi membaca buku yang mudah dihadam. Hee.. tiba-tiba terasa pula ^^

Baik. Buku ini merupakan buku ke-12 dalam siri Young Aisyah. Buku dicetak berwarna-warni penuh dan bersaiz A4. Dalam cerita ada komik.

Saya kagum dengan penulis. Berdakwah melalui tulisan. Saya kira penulis berjaya menyampaikan konsep aurat perempuan dan lelaki kepada pembaca sasaran tanpa rasa terbeban. Seharusnya anak-anak di usia kecil harus didedahkan dengan menutup aurat supaya mereka tahu kepentingan menjaga aurat bukan sekadar suruhan Allah malah sebagai tanda ketaatan kepada-Nya.

Bermula dengan definisi aurat dan konsepnya, cara berpakaian ketika bersukan dan lain-lain yang menyentuh mengenai aurat.

Buku ini bukan sekadar cerita biasa tetapi mempunyai 'sesuatu' yang insya Allah memberi manfaat untuk pembaca.

Sangat disyorkan untuk bacaan anak-anak :)

Wallahualam.




Sumber gambar dari blog Kartunis Reja


Ahad, 20 Oktober 2013

Komik Meon lagi :)

Bismillah walhamdulillah.
Koleksi Komik Meon


Baru-baru ini meluangkan masa membaca komik M keluaran PTS. Sememangnya komik Meon menjadi pilihan kerana watak dan penceritaannya berlatar belakangkan seorang budak kampung yang tinggal di kampung, bermain permainan tradisional, bijak dan baik budi.

Anak-anak yang kecil pun mahu menumpang baca. Jadinya saya perlu membaca kuat (read aloud) sambil mengubah suai sedikit dialog mengikut tahap anak di bawah usia 3 tahun ini. (Heh, ini kali pertama bercerita dengan anak menggunakan komik M. Rasa kelakar pun ada juga ^^).

Sebelum itu, mahu perkenalkan sedikit komik ini. Mengikut pengetahuan cetek saya, komik ini ditulis dan dilukis oleh Kartunis Jas. Meon sudah mempunyai 5 siri iaitu :

Meon #1 Perang Terung Manggor
Meon #2 Perang Bola Kampung
Meon #3 Perang Bola Kampung Lagi
Meon #4 Jerat Burung
Meon #5 Menentang Kambing United

Meon #2 berkait rapat dengan Meon #3 dan Meon #5. Meon #3 tiada dalam koleksi saya. Selepas ini mahu cari.

Dalam Perang Bola Kampung, sebuah liga bola sepak akan dianjurkan di kampung mereka. Setiap pasukan bola sepak akan ditaja oleh sebuah koperasi di kampung tersebut. Misalnya Koperasi Perikanan menaja Ikan Laga City.

Ketika latihan @ pemilihan pemain dalam Jalak FC, jurulatihnya telah membuang beberapa orang pemain yang dianggapnya tidak layak bermain kerana tidak mempunyai kemahiran yang ditetapkan. Peristiwa itu dilihat oleh Meon dan geng rapatnya, Kuzi dan Din.

Meon yang baik hati ini mengeluarkan idea untuk menubuhkan pasukan bola sepak sendiri bagi membantu rakan-rakan tadi mencapai impian bermain bola sepak dalam liga belia.

Namun, persoalan timbul. Siapakah yang akan melatih mereka? Di mana mereka dapat mencari penaja? Koperasi manakah yang sanggup mengambil mereka? Dan paling utama, Meon dan rakan-rakan tidak pandai bermain bola sepak!

Sekali lagi, Meon menyelamatkan keadaan. Meon memang seorang yang genius dan bijak mencari penyelesaian :)

Dalam Menentang Kambing United, pasukan Meon tadi (bergelar Kura-kura FC) telah berlatih dengan bersungguh-sungguh di bawah jurulatihnya, Abang Selamat.  Mereka juga gembira kerana Koperasi Getah bersetuju menaja mereka. Sangat menarik apabila Meon dan rakan-rakan berlatih menggunakan buah kelapa. Saya kira lebih sukar menggunakan bola kelapa kerana bentuknya yang bukanlah benar-benar sfera.

Ketika hari pertandingan, perlawanan pembukaan di antara Kura-kura FC dan Kambing United agak sengit. Kambing United biasa bermain kasar dan teknik mereka juga berjaya memperdayakan Kura-kura FC.

Meon berjaya membaca teknik tersebut maka mereka menyusun strategi ketika separuh masa kedua. Namun yang pasti, pasukan Kura-kura FC mempunyai kapten pasukan yang sangat positif dan semua ahli mereka juga sangat bekerjasama. Dalam erti kata lain, semangat kesukanan mereka tinggi :) Inilah yang kita mahu.

Dalam Jerat Burung, Meon dan kawan-kawan berangan mahu menjadi Adiwira. Dalam bahasa Ingeris disebut Superhero :) Namun mereka tiada kelebihan luar biasa. Maka, gunakanlah kelebihan semula jadi yang ada pada mereka.

Dalam masa yang sama, kejadian menyeludup haiwan liar di kampung Meon semakin menjadi-jadi.

Tanpa sengaja mereka terserempak dengan penjenayah terbabit. Mereka sedang menjerat burung Merbah Jambul untuk dijual.

Satu lagi ilmu baru saya dapati. Burung Merbah Jambul merupakan haiwan yang dijaga spesisnya.

Dalam setiap komik Meon, penulis pasti membuat beberapa perkara :)

Pertama, helaian-helaian awal komik akan dilukiskan juga proses mencari idea. Kedua, ada komik ekstra di bahagian akhir. Ketiga, ada info mengenai sesuatu di dalam komik.

5 bintang untuk Jas! Anak-anak kecil saya suka cerita Meon ^^

Jumaat, 4 Oktober 2013

Senyumlah Hidup Ini Indah ~ Kusyi Hirdan


Bismillah walhamdulillah.

Selesai membacanya semasa dalam perjalanan mengiringi lawatan murid ke sekitar Selangor.


Menarik dan tertarik! ^^


Sebuah buku inspirasi remaja. Memuatkan pelbagai kisah seperti konsep buku Chicken Soup For The Soul. Bezanya ianya ditulis oleh penulis Melayu dan kisahnya berada di sekitar kita.

Setiap cerita mempunyai tema dan pesanan sendiri yang ingin disampaikan. Ada mengenai kecelaruan emosi dan pemberontakan si anak terhadap ayah atas kurangnya perhatian dan kasih sayang, soal bertudung atau tidak, hikmah tiada kaki, kawan tanpa sempadan (ketagihan internet), ketagih rokok (pelajar perempuan), isu remaja gemuk yang selalu diusik (baca : ejek), tomboi, anak angkat dan soal cinta. Ada beberapa buah cerita lagi.

Info yang sangat bagus bagaimana watak-watak ini mengalami masalah dan akhirnya berjumpa dengan jalan penyelesaian. Meski pahit namun saya kira ia dapat memecah sedikit kebuntuan adik-adik remaja yang membacanya.

Wallahualam.

Ahad, 29 September 2013

Apabila Mama Pakai Abaya ~ Mama Bella

Sumber gambar : PTS


Puan Zetty merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang sangat berjaya. Menjual produk jamu dan kebaya ciptaan sendiri. Mempunyai pelanggan yang ramai. Anak-anaknya juga berjaya di dalam pelajaran. Suaminya pula bertugas sebagai chef di kapal mewah.

Satu sahaja yang menyedihkan hati. Puan Zetty tidak menutup aurat. Masih berfesyen mengikut "trend" masa kini, menayangkan rambut, memakai baju ketat dan suka orang memuji dirinya yang tidak menutup aurat itu. Oh, hati anak-anaknya sangat sedih dan mereka berusaha memujuk ibu mereka memakai pakaian menutup aurat.

Pelbagai cara dibuat. Namun satu pun tidak berhasil.

Sehinggalah perniagaan ibu mereka jatuh kerana disabotaj oleh rakan baik Puan Zetty sendiri. Saat itulah anak-anak  mengharapkan ibu mereka berubah.  Namun, malang sekali perubahan itu hanya sekejap sahaja.

Ada satu perkara yang pada mulanya agak tidak logik bagi saya. Ada seorang perempuan yang datang ke butik Puan Zetty dengan membawa biskut dan abaya. Puan Zetty bersetuju menjadi rakan niaga dan mempelawa Ibu Qaseh itu tinggal di rumahnya. Hmm.. ada ya orang yang mudah percaya kepada orang yang baru dikenali sehingga sanggup mempelawa tinggal di rumah? Berani sungguh Puan Zetty. Satu kelebihan Ibu Qaseh ialah firasatnya yang tinggi dan sangat pandai memasak. Mengalahkan bibik Puan Zetty yang selalu kalut itu.

Bagaimana anak-anak dan suami Puan Zetty berjaya mengembalikannya kepada fitrah seorang muslimah agak menarik. Namun adakalanya saya seperti melihat sinetron. Aduh, lambatnya di sesetengah plot ;) Walaupun masih hairan dengan sikap mudah percaya Puan Zetty namun saya mahu bersikap adil kepada pembaca yang lain kerana ini buku pertama Mama Bella yang saya baca.

Saya suka usaha anak-anaknya yang mahukan ibu menutup aurat. Selain belajar dalam bidang fesyen dan tekstil (anak kedua) serta mereka pakaian muslimah untuk ibu mereka, anak-anak ini juga menggunakan doa sebagai senjata, bangun tahajud mendoakan ibu mereka dan berusaha menasihati dari masa ke semasa.

* Semasa membaca buku ini barulah saya membuat carian mengenai abaya. Huhu.. Sengaja ingin menambah lagi ilmu tentang pakaian ini. Terima kasih Mama Bella.

Sabtu, 28 September 2013

Buku baru ~~

Semalam singgah solat Asar di Masjid Al-Azim. Kemudian berjalan-jalan sebentar di Karnival Mahabbah IKIM Fm di hadapan masjid. Banyak gerai menjual pakaian wanita, buku-buku, agensi korporat, Bank Islam, dan lain-lain.

Saya tertarik dengan sebuah booth yang menjual buku-buku Indonesia. Wah, teruja seketika. Saya sudah lama tidak bertemu buku-buku keluaran seperti itu dan banyak buku penulis kegemaran yang dijual.

Apabila ditanya staf jualan, mereka datang dari Kelantan. Oh, patutlah. Sebab di Melaka ini tak ada buku-buku tersebut dijual.

Saya membeli buku :

1) Berkah Anak Perempuan ditulis oleh Muhammad Ali Arfaj dan Khalid Ahmad Syantut
2)  Mencari Ketenangan di Tengah Kesibukan oleh Ustaz Mohammad Fauzil Adhim (Saya sangat suka dengan bukunya Saat Berharga untuk Anak Kita)
3) Aku Takut Neraka oleh Abu Afifah Ar-Raji (Buku kanak-kanak)
4)  1 set buku bacaan kanak-kanak prasekolah untuk anak-anak saya. (Sekali imbas isi kandungannya seperti buku Allah Makes Us terbitan Saba' Islamic Media dan siri-siri Alam Si Kecil terbitan sebuah syarikat di Singapura. Cuma buku ini berkulit nipis dan kertasnya licin).

Insya Allah saya kongsikan apabila usai membaca buku-buku ini :) Doakan saya diberi kekuatan dan masa melakukannya.


Selasa, 10 September 2013

Kuasa Iqra' : Menguasai Dunia Menikmati Akhirat ~ Dr Zulkifli al-Bakri

Dua kali saya membaca buku ini. Sebuah buku nipis tetapi padat dengan ilmu. Di bahagian mukaddimah penulis menyatakan bahawa tulisan ini sebenarnya tercetus daripada ucapannya sempena sebuah majlis di USIM lalu dibukukan apabila mengambil kira ianya bermanfaat untuk dikongsikan.

Sesiapa yang ketika membeli buku, tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli benda lain, atau tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencinta ilmu. Perbelanjaannya tidak akan bermanfaat, sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku.Sepertimana seorang Arab Badwi yang lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya. Hingga ia berharap memperoleh ilmu seperti halnya orang Arab tadi mengharapkan kudanya." (Al-Jahiz, ulama dan pakar ilmu zoologi pertama dalam Islam) 

 Disebabkan ada masalah pada telefon saya ini, saya terpaksa paparkan "screen shot" yang diambil sahaja..huhu..




Oh, sila abaikan kesalahan ejaan atau cara penulisan. Nama pun catatan.. ^^

Saya tertarik dengan senarai buku yang dicadangkan oleh penulis jika kita ingin mempelajari sesuatu bidang. Dimulai dengan bacaan mudah yang dicadangkan seterusnya nama-nama kitab yang berkaitan.

Perihal mengenai perpustakaan Islam dan pwrpustakaan moden juga mengujakan. Sekiranya disertakan gambar akan lebih menarik saya kira :) Sangat kagum dengan pemimpin-pemimpin dahulu yang berlumba-lumba membina perpustakaan sendiri dan mengeluarkan dana yang besar bagi menambah perbendaharaan ilmu di khutubkhanah masing-masing. Ada diberitakan mempunyai sehingga 1 000 000 naskah buku. Masya Allah. Saya cuba membayangkan besar bangunan perpustakaannya. Nama-nama perpustakaan juga sangat menarik dan memberi makna.

Ahad, 1 September 2013

Give Me A Hug ~ Nick Vujicic


Allahu akbar.

Sehari sebelum membaca buku ini saya menerima khabar yang istimewa.

Semalam, hari Rabu sekolah saya didatangi seorang perempuan yang lengkap menutup aurat  dan berniqab. Saya sangkakan salah seorang ibu atau penjaga murid. Ternyata sangkaan saya meleset apabila melihat dia berbahasa isyarat dengan rakan-rakan guru.

Subhanallah, bekas murid di sini rupanya.

Tambah mengagumkan dia sebenarnya seorang Cina dan memeluk Islam. Subhanallah! Bagaimana seorang yang bermasalah pendengaran boleh kembali kepada fitrah?

"Dari hati," katanya. Subhanallah. Allahuakbar. Dua perkataan ini memang tidak putus diucapkan oleh saya saat mendengar ceritanya. Dia tertarik dengan Islam ketika di bangku sekolah lagi apabila melihat rakan-rakan beragama Islam. "Saya rasa sangat tenang apabila solat." Masya Allah.

Hari ini, saya membaca kisah seorang lagi insan istimewa. Nick Vujicic. Seorang yang lahir tanpa tangan dan kaki. Tetapi dia boleh menjadi insan yang berjaya dan terkehadapan dari kebanyakan kita.



Bagaimana boleh jadi begitu?

I choose to be happy. I am happy because I am always thankful. 

Subhanallah. Ya. Bersyukur dengan caranya. Kita juga diajar untuk bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang ada.  Tetapi sejauh mana kita memegang konsep itu? Tepuk dada, tanya selera ^^

Saya pasti Nick menghadapi kesukaran mengatasi masalah fizikalnya namun saya tidak begitu nampak kesusahannya kerana buku ini sangat positif! Setiap kesukaran yang dialaminya pasti diikuti dengan jalan penyelesaian yang mengagumkan.

Mungkin, ketika berasa putus asa ambil kembali buku ini dan baca. Memberi inspirasi, memberi motivasi. Namun, nyata sekali saya terasa kerdilnya sebagai hamba Allah. .. insan tiada kaki dan tangan pun dapat hidup dengan sihat dan baik maka saya sebagai umat Islam mahu mempersia-siakan nikmat yang Allah beri ini? Beliau pergi ke seluruh pelusuk dunia dan berkongsi kisah hidupnya namun saya .. apa sumbangan yang telah saya berikan kepada ummah? Allahuakbar. Saya memohon keampunan Allah..

Khamis, 29 Ogos 2013

Refresh

Bismillahirrahmanirrahim (",)

Hari ini begitu ingin ke kedai buku. Teringat hadiah untuk si kakak yang belum dibeli dan bahan rujukan untuk tugasan yang penting perlu dicari.

Menuju ke Mahkota Parade. Nama singkatannya MP. Terkenang sewaktu MP baru dibina dahulu saya agak 'gerun' mahu ke sini. Bukan kerana ada 'hantu' tetapi kawasan ini sebenarnya adalah kawasan laut atau pantai yang telah ditambak oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan.

Terletak di Jalan Melaka Raya. Berhadapan dengan Dataran Pahlawan, Melaka. Kawasan ini memang menjadi tumpuan. Lalu lintas di sini selalu sibuk.

Mulanya saya dan suami ke MPH Bookstore di 'ground floor'. Demi menjimatkan masa saya merujuk ke kaunter berkenaan buku yang saya cari. Malangnya tiada. Pelanggan di MPH belum ramai lagi. Melihat-lihat dahulu (baca : tawaf ^^) baru kami ke Kedai Buku Popular di tingkat 1.

Saya sebenarnya mencari buku bukan fiksyen atau ensiklopedia kanak-kanak mengenai masalah pendengaran. Walaupun tidak bertemu apa yang dihajati, memadailah dengan hanya sebuah buku Disney ini. Hmm... nampaknya saya perlu mencari di internet.



Oh, terjumpa buku ini. Nampak menarik!  Kulit buku nampak klasik :) Give Me A Hug. Sudah baca 75%. Buku mengenai Nick Vujicic. Seorang insan istimewa yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki. Eh, sebenarnya dia mempunyai kaki kecil di sebelah kiri yang dipanggilnya "my chicken drumsticks."


Terakhir, senang melihat si kakak ketawa riang menerima buku baru. Semoga jadi anak yang solehah ya Khaulah ^^.



Khamis, 15 Ogos 2013

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret ~ Zabidi Mohamed

Tuan Zabidi Mohamed masih dengan 'signature'nya menulis kisah benar tetapi kali ini beliau berkongsi pengalaman lucu sepanjang bertugas sebagai majistret. Sejujurnya saya tidak 'familiar' dengan pekerjaan ini berbanding peguam. Majistret lebih dikenali sebagai 'Tok Hakim' dan saya tahu tugasnya amat berat, memerlukan ketelitian dan pertimbangan sewajarnya.

Buku ini santai tetapi penulis bijak mengadun cerita bersulamkan info, pengalaman lalu dan peringatan dari Quran dan Hadith.

Mempunyai 4 kisah yang disampaikan secara episod. Dalam kisah di Penjara Pudu saya mengetahui beberapa perkara baru. Sebagai majistret mereka berpeluang melihat hukuman dijalankan secara langsung dan Tuan Zabidi bersama rakan-rakannya melihat prosedur dan pelaksanaan hukuman sebat.

"Hukuman sebat untuk 302 Penal Code (rogol)." Kata Penguasa Penjara. "Mengenal kekuatan bangsa," sambungnya lagi. Agak pelik apabila beliau mengatakan ayat itu. Kebetulan pada hari itu ada 3 orang dari bangsa melayu, india dan cina yang akan menjalani hukuman.

selama ini saya fikirkan sebatan dilakukan di punggung. Rupanya di bahagian pinggul (antara punggung dan pinggang). Aduh...bahagian kulit nipis..daya ketahanan banduan ini dalam menanggung kesakitan memang berbeza. Banduan Cina dan India menggelupur menerima 2 sebatan dan ditangguh ke tarikh lain manakala banduan melayu menahan sakit sehingga 6 sebatan langsai dijalankan. Masya Allah. Turut bersama ketika hukuman dijalankan ialah seorang doktor perubatan dari hospital yang akan memastikan tahap kecederaan dan keupayaan seseorang banduan menerima sebatan. Lagi satu hukuman dijalankan dalam keadaan tanpa seurat benang. Erk...kenapa ya begitu?

Jika di barat, keluarga banduan sanggup merasuah tukang sebat bagi menguranglan kadar sebatan tetapi di Malaysia, memang patutlah diberi elaun khas dan termaktub di dalam perundangan.

Penulis membandingbeza antara hukuman sebatan kini dengan yang dianjurkan oleh Islam :

1. Hukuman sebat bukan bertujuan mencederakan atau memalukan pesalah.
2. Aurat pesalah terpelihara.
3. Tukang sebat tidak boleh hayun rotan lebih dari paras kepala. Tidak boleh nampak putih ketiak.
4. Rotan dari pelepah tamar / ranting kayu / hujung kain.
5. Kekuatan libasan sederhana.
6. Panjang rotan tidak lebih 1.22m, tebal tidak lebih 1.25cm.
7. Sebat pesalah lelaki dalam keadaan berdiri, sebat pesalah perempuan dalam keadaan duduk.

Oh jauh beza dengan realiti sekarang...

Dalm kisah 2 pula mengenai seludup beras Siam oleh seorang makcik yang ditahan oleh kastam. Kes makcik ini ialah 'a clear cut case' namun makcik itu masih berdegil tidak mahu mengaku salah malah minta dibicarakan. Apa yang menggelikan hati jurubahasa mengeluarkan satu ayat yang amat tidak enak di pendengaran penulis yang berasal dari Melaka ini (",)

Dalam kisah ini banyak dialek kelantan yang saya pelajari. Penulis siap menyenaraikan perkataan Kelantan lengkap dengan 'tatabahasa'nya di muka surat 81 hingga 84. Sudah seperti kamus pula rasanya.

Saya teringat semasa di kampus dulu saya memang ramai rakan dari Kelantan tetapi masih dapat difahami. Mungkin ada 2, 3 patah perkataan yang tidak difahami tetapi itu berlaku semasa mereka berbual sesama mereka. Antara perkataan yang baru saya tahu ialah gedebe = samseng, igak = dapat, blawok = tipu, lembek = tilam dan peleting = straw.

Kisah 3 ini meskipun lucu tetapi saya turut muhasabah diri. Seorang pensyarah yang sudah pasti memiliki ketinggian ilmu pun agak jumud fikirannya inikan pula saya. Allahuakbar. Moga Allah jauhkan saya dari kefahaman yang menyimpang.

Kisah ini berlaku pada saat perhimpunan jemaah tabligh sedunia yang pertama diadakan di Terengganu. Kemalangan jalan raya mengakibatkan 3 maut. Mana tidaknya sebuah vanmempunyai 18 orang penumpang. Namun apa yang dikesali ialah sikap pemandu itu yang tidak merasa bersalah dan ego.

"Apa jua musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan oleh  apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa." (As-Syuraa : 30)

Ada satu lagi kisah tetapi saya tidak berhasrat menulisnya di sini. Apa yang pasti setiap yang berlaku memang mempunyai hikmah yang perlu diambil iktibar...meskipun santai namun menyengat...^^

Ahad, 4 Ogos 2013

Isnin, 29 Julai 2013

43 Inspirasi Mendidik Anak

Bismillah walhamdulillah.


Matang bukan pada wajah,
Tetapi pada kepimpinan menyerlah,
Matang bukan pada harta,
Tetapi pada ilmu bermakna,
Matang bukan pada suara,
Tetapi pada hujah dan bicara.


Masya Allah. Kata-kata ini begitu mendalam dan nasihatnya mudah difahami.

Anak adalah anugerah Allah. Peranan ibu bapalah yang akan mencorakkan anak-anak ini.

Saya tertarik dengan perkongsian oleh sepasang suami isteri ini dalam mendidik anak mengenal Allah dan mempelajari Islam. Humayra, anak sulung mereka yang petah sekali. Pengalaman membesarkan anak di negara orang menjadikan penulis ibu bapa yang kreatif lantaran mahu memberikan penerangan yang baik dan dapat difahami oleh anak kecil mereka.

Ya. Pendidikan pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak adalah akidah. Awal agama mengenal Allah.

Menghadapi anak kecil perlu kesabaran, perlu memberi pemahaman yang jelas, sesuai dengan usia mereka supaya mereka tidak was-was dengan agama kelak.

Sememangnya usia sebelum memasuki sekolah adalah usia emas yang harus digunakan oleh ibu bapa dalam memberi didikan Islam kepada anak-anak.

"Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewamakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi."(hadith riwayat Bukhari dan Muslim) 


You Are The Best! Kamu Umat Terbaik ~ Dr Mohd Shafie Bin Md Amin

Baru mula membaca buku ini sedikit demi sedikit. Berkulit tebal dan mempunyai 63 bab. Kata-kata aluannya
Sumber gambar : Web rasmi Galeri Ilmu
sudah memberi makna kepada saya. Saya kongsikan :

Ada dua perkara yang amat penting ketika kita belajar iaitu :

1) Kefahaman.

Kefahaman ialah anugerah Allah dan ianya milik Allah.

2) Petunjuk.

Hanya orang yang diberi petunjuk oleh Allah sahaja mampu melaksanakan ilmunya dengan ikhlas.

Perkara no 1 membuatkan saya berfikir dan muhasabah... Ya, sememangnya kefahaman itu milik Allah namun kita juga seharusnya berusaha untuk memahami apa yang dipelajari. Tiba-tiba teringat sewaktu belajar Fizik dan Matematik Tambahan ketika di sekolah dahulu *sigh* ^_< Allahuakbar. Sememangnya manusia sangat lemah.

Ya Allah, terangkan hati anak-anakku dan anak-anak didikku menerima dan memahami ilmu-Mu yang Maha Luas. Amin....

Ahad, 21 Julai 2013

Warkah Buat Cikgu

Buku ini menggamit saya untuk membelinya. Saya mahu mengambil ibrah dari pengalaman seorang guru. Perjalanan saya sebagai seorang guru masih terlalu jauh dan saya perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu.

Penulis merupakan seorang guru cemerlang. Pernah menerajui kepimpinan sekolah-sekolah ternama sebagai Pengetua dan banyak pencapaian mengagumkan diperolehi sepanjang pentadbirannya.

Beliau berkongsi masalah-masalah yang dihadapi dan cara penyelesaiannya. Misalnya perselisihan antara guru, menangani murid nakal, isu kenaikan pangkat, krisis ibu bapa dan pihak sekolah, membina sekolah unggul dan memperkasakan guru.

Ulasan dan pengamatan beliau di sekolah-sekolah beliau berkhidmat turut dinukilkan di sini.



* Buku ini dibeli semasa Seminar Ibu Bapa Mithali Jun lalu..

Jumaat, 19 Julai 2013

Saya dan buku

Bismillah walhamdulillah.

Syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya bertemu bulan yang mulia ini sekali lagi. Ingatan buat saya agar memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya.

Kekangan masa dan kesibukan sehari-hari membuatkan tahap membaca saya begitu rendah. Namun Alhamdulillah saya masih sempat membaca satu ke dua muka surat sehari. Cuma sehingga saat ini belum ada buku yang dapat ditamatkan! ^_^

Inilah antara buku yang saya baca separuh-separuh. Tajuk yang sangat menarik masih tidak mampu membuatkan saya bertahan membaca hingga ke muka surat terakhir. Hehe..




Dalam pada itu masih ada hati lagi membeli buku baru. Dijeling-jeling sahaja buku ini kerana saya takut membaca separuh jalan lalu membuatkan saya membacanya sekali lagi dari mula kerana lupa apa yang dibaca akibat lama ditinggalkan :)


Selasa, 7 Mei 2013

Jutawan Gedik ~ Ain Maisarah

Alhamdulillah selesai menamatkan bacaan buku ini. Reaksi spontan saya : Wah, padanlah ramai benar pengikut Ain Maisarah! Ceritanya menarik dan segar. Ia membuatkan saya teruja memiliki buku Ain Maisarah yang lain. Namun suami saya pasti geleng kepala. 'Buku apalah isteriku baca ini?' Sedangkan melihat saya membaca buku ini pun dia sudah 'jeling-jeling'. Hehe... Itulah jangan menilai dari tajuk sahaja ;)

Kelab Jutawan Muda Sekolah Sri Bangsar dibimbing oleh Cikgu Putra, guru yang baru memulakan tugas di situ. Setiap pelajar secara berkumpulan akan memikirkan cara bagaimana menjana pendapatan sehingga mencapai jumlah 1 juta ringgit. Terdapat 5 kumpulan yang bersaing dan masing-masing tampil dengan idea bisnes yang hebat.

Kumpulan Irfan Khairiri membentangkan idea menjual ebook nota pelajar-pelajar cemerlang sekolah Sri Bangsar, kumpulan Maznah Hamidi bercadang menjual makanan seperti cupcake dengan nama perniagaan Yummylicious, kumpulan Wobert Wiok ingin memasarkan cicak tokek, kumpulan Amanda Krishna pula dengan idea yang unik iaitu menawarkan 'toilet training' untuk kucing-kucing peliharaan dan The Wannabes menawarkan perkhidmatan spa remaja.

Setiap minggu setiap kumpulan akan memulakan projek menjana pendapatan mereka dengan dihadiri oleh kesemua ahli kelab Jutawan Muda sebagai pemerhati. Bermula dengan Kumpulan The Wannabes melaksanakan spa remaja. Belum sampai setengah hari beroperasi mereka sudah mula kepenatan sehingga berlaku beberapa insiden.
Selepas peristiwa itulah timbul niat jahat oleh Kumpulan The Wannabes mensabotaj kumpulan lain.

Aduh, geram sungguh dengan gelagat mereka. Itulah gambaran orang yang malas mahu berusaha tetapi mahukan pendapatan yang lumayan. Tambahan lagi sikap sabotaj ini sebenarnya merugikan banyak pihak. Paling geram kumpulan ini menyalahgunakan anak yatim bagi memungut derma dalam usaha mencapai sasaran 1 juta.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Tindakan sabotaj mereka dirakam oleh 'penyiasat upahan'.

Saya suka dengan kerjasama ahli kumpulsn  yang lain kerana mereka bersemangat dan mempunyai perancangan yang teliti dan kreatif.

Akhirnya mereka memutuskan untuk mendapatkan RM1 juta melalui bayaran royalti iaitu dengan menerbitkan buku.

Pengajarannya tiada jalan mudah untuk berjaya. Hasad dengki juga tidak membantu mengembangkan perniagaan kita. Idea yang kreatif juga merupakan salah satu cara melariskan produk dan kerjaya sebagai penulis adalah cara yang paling sesuai menjana pendapatan seseorang pelajar. Pelajaran terjaga, pendapatan juga terjana :) Sams seperti saranan Ustaz Ruzain di dalam bukunya 'Tsmpil Positif Sejak Remaja terbitan PTS.

Wallahualam.

Sumber gambar dari laman sesawang PTS 

Ahad, 5 Mei 2013

Sunan Musafir ~ RAM

Sejujurnya saya sudah lama tidak membeli novel RAM. Novel terakhir yang saya beli ialah Hijab Sang Pencinta. Novel seterusnya sama ada saya pinjam dari kawan atau adik ipar. hehe..

Maka, apabila membaca Sunan Musafir saya jadi kabur. Sudah lama meninggalkan kisah Laksamana Sunan jadi saya tidak terasa sangat keterujaan mengikuti kisahnya kali ini. heee... Dapat difahami Sunan Musafir ini adalah nama gelaran bagi putera tunggal Laksana Sunan dan isterinya, Ratna mantan Ratu Sulaman.

Di dalam cerita ini dikatakan Laksana Sunan tinggal bersama anaknya, Andika di sebuah rumah kecil di dalam hutan. Ada bersama ialah Gadul, teman baik Andika sejak kecil lagi.
 Laksamana Sunan juga bergelar Kiai Kelana tidak diketahui oleh anaknya dan orang sekitar bahawa dialah lelaki duka dari Tanah Rencong yang begitu terkenal.

Rutin harian beliau masih diteruskan seperti menulis mashaf, beribadah di sepertiga malam dan tetap sahaja bersiaga setiap masa.

Berlaku beberapa peristiwa berpunca dari anaknya diserang sehingga membawa kepada peristiwa-peristiwa besar. RAM sememangnya bijak membuat cerita di dalam cerita sehingga seringkali juga menyebabkan saya terpaksa berhenti memproses data. Hehe.


Nampaknya saya perlu mencari kembali buku-buku dalam siri ini  bermula dari Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi dan Sutera Bidadari. Sunan Musafir yang terakhir dalam siri ini setakat ini.

I own a copy - gara-gara si anak menconteng novel kepunyaan adik. Saya gantikan dengan yang baru. Novel ini jadi milik sayalah.. ;-)

Sabtu, 4 Mei 2013

Misi Membaca 2013



Sengaja buka laman Goodreads malam ini. Sengaja juga ingin melihat kemajuan pembacaan saya.
Oh... sangat mengecewakan. Hee... Dari bulan Januari sehingga hari ini saya baru membaca 20 buah buku. Sungguh jauh ketinggalan dengan rakan-rakan GRMY. Tahun ini ada cadangan di kalangan ahli GRMY menubuhkan satu laman sesawang mengenai Malaysia Membaca dan tidak silap saya ianya telah dibangunkan. Cuma saya sahaja tidak mengikuti perkembangannya.

Misi 2013 saya :)



Terdapat lebih kurang 41 orang menyahut cabaran Maraton Malaysia Membaca 2013. Jangan tidak tahu, kita sebenarnya mempunyai ramai pembaca tegar dan ramai juga di dalam GR ini mampu membaca beratus-ratus buku setahun. Kagumnya saya! Kerana setakat ini saya masih belum mampu mencapai lebih dari 100 buah buku setahun. Hee... kekangan waktu dan kerja menghambat saya.. (alasan ;))

"Thread" Maraton Malaysia Membaca 2013 di dalam laman Goodreads 




Bulan Mei sudah menjengah. Saya sedang menghadam buku Serlahkan Aura Guru Super hasil tulisan Pn Khuzaimah Sulaiman, Pengetua Cemerlang yang mendapat JUSA C.

Sumber gambar : Laman sesawang PTS

Selepas ini Kembara Sastera Nisah Haron, Deadly Mist dan Rasulullah is My Doctor pula menunggu!

P/S : Tidak sabar menunggu esok. INI KALILAH!!