Menelusuri catatan kehidupan penulis dan keluarga di bumi Pakistan banyak memberi ilmu dan membuka mata tentang amalan beragama dan sosio budaya masyarakat di sana.
"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri." Pepatah Melayu ini benar dirasai oleh penulis lantaran keadaan di Pakistan berbeza dengan di Malaysia.
Pada ketika beliau ditugaskan ke sana, tragedi pengeboman masih rancak berlaku saban hari. Sungguh pun tinggal sementara di hotel mewah dengan kawalan ketat seperti kubu oleh pihak tentera tetapi perasaan tidak selesa memaksa mereka mencari sebuah rumah sewa yang selesa untuk diduduki oleh keluarga kecil mereka.
Sedikit demi sedikit bumi Pakistan dikenali dan dimesrai. Bermula catatan beliau mengenai bakal tuan rumah yang tidak bertolak-ansur, jiran yang pemarah, mengenali budaya masyarakat tempatan dengan menghadiri majlis perkahwinan, bersiar-siar dan seribu satu macam lagi.
Catatan penulis mengenai Muslim di Pakistan membuka mata saya bahawa sangat buruk akibat apabila begitu taksub dengan sesuatu yang dipegang sebagai adat dan budaya, guru mahupun apabila menganggap apa yang dilakukan adalah betul semata sedangkan jelas sekali ia bertentangan dengan moral ataupun menghina kesucian Islam.
Beberapa contoh sudah memadai bagi kita memahami perkara ini. Biarpun mereka melihat sendiri isteri penulis memakai tudung dan menjaga aurat, soalan yang sama sering ditanya oleh orang di Pakistan. "Adakah kamu Muslim?." Apabila ditanya oleh penulis mengapa menyoal begitu sedangkan isterinya memakai tudung dan menutup rambut. Lelaki Pakistan itu menjawab kerana pakaian yang dipakai tidak menunjukkan pakaian Muslim. "Ini baru pakaian Muslim (sambil menunjuk bajunya shalwar kamiz)."
Kedua, berlaku kematian melibatkan dua beradik lelaki yang dituduh mencuri. Tanpa siasatan dan tanpa saksi sekumpulan orang memukul dengan kayu sehingga dua beradik ini mati dan digantung dikhalayak ramai dengan keadaan kaki di atas dan kepala di bawah. Kejam. Di sana pembunuh untuk kes sebegini menganggap mereka hero. Pihak polis yang berada di tempat kejadian juga tidak berbuat apa-apa. Sama seperti orang ramai melihat sahaja peristiwa itu. Dikatakan salah seorang dariapada adik-beradik itu adalah hafiz al-Quran. Tambah lagi mereka berdua biasa bermain di padang di kampung tersebut. Namun apabila dituduh mencuri, hukuman terus dibuat tanpa merujuk kepada sesiapa.
Dua sifat yang mendatangkan keburukan iaitu jahil dan taksub. Allahuakbar.
Ketiga, saya sangat sedih apabila muslim di sana mengaku dirinya orang Islam tetapi meneguk arak seperti orang yang begitu kehausan. Entah bagaimana fahaman mereka. Allahu Allah.
Penulis seorang yang sangat berpegang kepada tawakkal kepada Allah. Melalui kisah yang ditulis menggambarkan beliau seorang yang teguh keyakinan kepada Allah. Semoga Allah merahmatinya.
Kematian itu pasti. Ianya sangat dekat dan boleh berlaku di mana-mana. Penulis pergi tanpa melihat anak-anaknya membesar apatah lagi melihat hasil nukilannya dibukukan. Namun warkah yang ditulis untuk anakanda kedua itu sangat menyentuh hati. Ia bukan sekadar ungkapan kasih sayang seorang ayah, ia kini menjadi wasiat buat anak-anaknya.
Semoga Allah memberkatinya serta isterinya yang solehah dan moga anak-anaknya membesar menjadi anak yang solehah. Ameen...
Buku yang menarik. Sedih juga kisah tentang kisah penulis. Semoga allah menjaga anak-anak dan isterinya
BalasPadamYa Welma. Moga Allah menjaga isteri dan anak-anaknya. Sedih...
BalasPadam