(Tiada imej - saya cuba upload kemudian)
Tajuk buku : Ibn Zahr
Penulis : Muhammad Hasan Abu Dunya
Penerbit : Darulfikir Kuala Lumpur.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Buku ini saya baca di surau SK Pendidikan Khas Melaka. Setelah hampir 4 minggu praktikum di sini, barulah saya benar-benar tergerak untuk membacanya ;) Ada lebih 30 siri dalam buku ini dan saya memilih siri ke-29 sebagai buku pertama untuk saya baca. Ceritanya menarik! Jika sebelum ini Glob Dunia untuk Raja Sicily menghimpunkan banyak ilmuwan Islam di dalam satu buku, berlainan dengan siri Ilmuwan Islam Dalam Pelbagai Bidang ini yang menceritakan hanya 1 tokoh dalam 1 siri.
Penceritaan tokoh disampaikan dalam bentuk seorang datuk bercerita kepada cucu-cucunya sambil didengari juga oleh anak dan menantunya. Baik, kita lihat siapa Ibn Zahr.
Ibn Zahr atau nama sebenarnya Abdul Malik b Abu al-'Ala' Zahr bin Muhammad bin Marwan bin Zahr al-Ayyadi. Beliau digelar Abu Marwan. Istimewanya beliau, seluruh keluarganya merupakan keluarga doktor yang terdiri daripada 6 generasi! Beliau lahir dan tinggal di Isvilla, Banvilore, Sepanyol (Andalus). Lahir antara tahun 1091-1094 Masihi. Beliau meninggal dunia pada tahun 1162 Masihi bersamaan dengan 557 Hijrah.
Anak perempuan dan lelaki serta cucu perempuannya juga seorang doktor. Anak lelaki dan cucu perempuannya pakar dalam menyembuhkan pelbagai penyakit wanita dan penyakit tentang bersalin.
Ibn Zahr merupakan doktor peribadi kepada Raja Abu Muhammad Abdul Mu'min Ali daripada kerajaan al-Mulaththamin (yang akhirnya membentuk kerajaan al-Muwahhidan dan menyatukan wilayah Morocco Arab. Rajanya yang terkenal ialah Yusuf bin Tasyfin).
Saya begitu tertarik dengan kecerdasannya semasa merawat sakit baginda. Raja Abdul Mu'min ibn Sultan al-Muwahhidun diketahui sangat membenci ubat-ubatan sedangkan baginda harus memakan ubat bagi menyembuhkan penyakitnya. Ibn Zahr mengetahui yang baginda gemarkan buah anggur. Kebetulan pada masa itu musim buah anggur tiba. Maka, Ibn Zahr membancuh ubat-ubatan yang diperlukan dan disiram ke atas pokok anggur. Dan dalam masa yang singkat, dia memetik setangkai buah anggur dan menyuruh baginda memakannya. Setelah dirasakan sukatan atau dos ubat telah mencukupi, maka Ibn Zahr meminta baginda berhenti memakannya. Tersenyum saya melihat kebijaksanaan Ibn Zahr ini :)
Disebabkan beliau fokus dan menumpukan kepada bidang perubatan, beliau berjaya menemui cara penyembuhan demam iaitu dengan merendamkan diri ke dalam air dingin atau menyiram air dingin itu ke bahagian badan yang demam. Beliau juga berjaya menemui penyakit bengkak di kulit luar jantung dan anak telinga, kerongkong yang berlendir, cara mengeluarkan batu karang dari ginjal, dan membuka saluran udara. Beliau juga orang pertama yang menyingkap pembedahan organ-organ pernafasan. Karyanya banyak diterjemah ke pelbagai bahasa termasuk Latin dan Ibrani.
Mungkin kita boleh berfikir sejenak akan kata-kata Datuk Hasan (di dalam cerita ini) kepada cucu-cucunya; "Jika kita tidak tahu dan menghargai ilmuwan Islam kita dan mengingati nama dan kepakaran mereka, kita tidak berhak mencela Barat jika mereka dengan sengaja melupakan ilmuwan kita dengan sengaja dan menyebut jasa mereka".
Hm.. membuatkan saya berfikir. Banyak mana ilmuwan Islam yang saya ketahui nama, latar belakang, dan kepakaran mereka :) Anda?
Oh, memetik kata-kata ini :
BalasPadam"Jika kita tidak tahu dan menghargai ilmuwan Islam kita dan mengingati nama dan kepakaran mereka, kita tidak berhak mencela Barat jika mereka dengan sengaja melupakan ilmuwan kita dengan sengaja dan menyebut jasa mereka".
Ya Allah, saya pun banyak juga yang sudah lupa ni.
Benar.. rasa benar sudah 'tua' :D Banyak yang dibaca sudah lupa terutama bacaan berkaitan sejarah.
BalasPadam