Bismillahirrahmanirrahim.
Bertahun-tahun buku ini termasuk dalam "wishlist" tapi saya tidak pernah serius mencarinya. Baru tahun ini tergerak membelinya dari seorang pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia. Harga cuma RM9.
Membaca sinopsis dan melihat kulit buku amat menyenangkan. Hakikatnya agak mencabar menghabiskan bacaan buku ini. Masalah utama saya ialah bahasa. Saya banyak tidak faham kosa kata bahasa Indonesia yang digunakan. Maka, hanya menebak maknanya melalui ayat atau perenggan berkenaan 😅
Totto Chan digambarkan sebagai anak yang sangat aktif dan banyak bertanya. Dia pernah dikeluarkan dari sekolah kerana guru kelasnya tidak tahan dengan perangainya. Tapi, nama pun budak-budak, kan? Kasihan, darjah 1 sudah kena pindah sekolah.
Berpindah ke sebuah sekolah lain yang sangat menyeronokkan bagi Totto Chan. Menariknya, dia ke sekolah dengan menaiki keretapi seorang diri. Hebat. Saya membayangkan anak kecil riang berjalan setiap hari pergi dan balik sekolah dengan penuh semangat.
Di sekolah barunya, guru besar sangat meraikan fitrah kanak-kanak. Mereka mempunyai jadual belajar yang fleksibel dan mengikut minat murid.
Semua diwajibkan membawa bekal makanan dari rumah dengan konsep "sesuatu dari laut dan dari pergunungan". Mudah. Maknanya makanan seimbang yang mengandungi protein, vitamin, lemak dan sebagainya.
Ada hari mereka dibenarkan bersiar-siar di luar kelas bersama guru-guru, berolahraga, berkhemah dan pergi musafir di kepulauan.
Namun ada satu hal yang saya kurang setuju. Di sekolahnya, ada acara bermain air dalam kolam sekolah. Guru besar membenarkan anak-anak ini mandi tanpa pakaian. Dalam Islam, aurat membataskan perkara sebegini. Lebih besar mudarat berbanding manfaatnya. Menurut guru besar itu dia mahu setiap anak-anak ini merasakan mereka sama sahaja tiada beza darjat. Kerana ada dalam kalangan murid ini yang kurang upaya fizikal.
Entahlah.
Pada akhir cerita baru saya tahu ini adalah kisah benar penulis yang dirakamkan kembali dalam bentuk karya. Patutlah setiap cerita adakala tiada kesinambungan. Setiap bab bagaikan episod dalam kehidupan Totto Chan ketika kecil ☺
Apa yang saya perhatikan, Totto Chan tumbuh menjadi anak yang cerdas kerana ibu bapanya yang sentiasa positif dan mendidiknya menjadi berani dan aktif. Ibu bapanya sering menyokong dengan memberitahu perkara yang betul. Di pihak sekolah pula, persekitaran yang positif merangsang Totto Chan belajar dengan lebih aktif dan tanpa tekanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan