Khamis, 17 Julai 2014

Buku 36 : Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori oleh Salleh De Ran


Bismillahirrahmanirrahim.

Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori merupakan sebuah buku travelog pengembaraan untuk remaja terbitan PTS Pro. Ini adalah buku ketiga dalam siri ini yang saya baca. Sebelum ini pernah membaca Oh London! dan Oh Tanah Suci! Ini merupakan pertama kali saya membaca buku penulis Salleh De Ran.

New Zealand dinamakan Aotearoa yang bermaksud tanah berawan putih yang panjang. Sebuah negara kepulauan yang sangat cantik dan merupakan negara empat musim.

Menarik sekali apabila kejadian empat musim ini dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Musim panas dikaitkan dengan kepanasan api neraka, musim sejuk dikaitkan dengan cengkaman kesejukan dalam neraka yang paling sejuk, musim luruh di mana petani mengumpul sisa-sisa buah boleh diandaikan kita mengumpul bekalan menuju akhirat dan musim bunga dikaitkan dengan keseronokan dan nikmat berada di syurga.

Tiga sahabat ; Ismad, Nazmie dan Fadzli melancong ke New Zealand bersama-sama pada musim sejuk. Ismad pergi atas jemputan bapa saudaranya manakala Fadzli atas tujuan menziarahi abang kandungnya yang bekerja di sana dan Nazmie menemani Fadzli.

Selain diceritakan keunikan dan keindahan bumi New Zealand, mereka turut mengenali beberapa susuk anak Melayu yang berjaya membina kerjaya di sana seperti Encik Abdul Aziz yang membina Mesra Homestay NZ, abang Fadzli yang menjadi anak Melayu pertama menubuhkan bengkel membaiki kenderaan (Canterbury Automotive & Auto Electrical Limited) dan Encik Ishak Mahyuddin membina perniagaan perkhidmatan katering dan membina Balai Islam di Christchurch atau dikenali sebagai Cristchurch Islamic Community Centre (CICC).

Tentu sekali pengalaman melalui pembacaan tidak sama dengan pengalaman pergi sendiri ke negara berkenaan namun sekurang-kurangnya gambaran awal telah diberikan dan dapat menjadi pengetahuan asas buat pembaca.

Sejarah panjang New Zealand, asal-usul kewujudan bangsa Maori, budaya penduduk pribumi di sana, iklim, tempat menarik untuk dilawati, kisah buah kiwi dan burung kiwi pasti menggamit rasa.

2 ulasan:

  1. Terima kasih kerana memberikan ulasan novel Oh New Zealand ini...

    BalasPadam
  2. Terima kasih tuan kerana berkunjung ke sini. Semoga terus berkarya dan menghasilkan yang terbaik. Barakallahufik

    BalasPadam