Selasa, 25 Mac 2014

Buku 12 : The Muslim Parent's Guide To The Early Years oleh Umm Safiyyah

Bismillahirrahmanirrahim.



Tatkala membaca buku ini saya sedang berkonflik dengan diri sendiri kerana tingkah laku anak sulung yang berusia 3 tahun 5 bulan agak membimbangkan. Oh, sabarlah diri. Muhasabah diri semula dan anak pun semakin ok. Pheww... Kanak-kanak di usia ini sangat perlukan perhatian dan mereka juga sangat memerhatikan apa yang kita lakukan :)

Walaupun hanya setebal 98 muka surat namun 9 bab yang dikongsi oleh penulis memang relevan dengan keperluan ibu bapa yang ingin membentuk keluarga muslim. Sebahagiannya memang telah dipraktikkan oleh kami sekeluarga dan bahagian tersebut menjadi 'refreshments'.

9 bab ini merangkumi topik :

The role of parents
Creating an islamic home
Creating a child friendly home
Raising healthy children
How to deal with a disruptive children
Intellectual development and play
Child development
Planning your day and activities
Observing your child

The role of parents membawa ibu bapa supaya memahami keperluan dan minat anak serta membuat peraturan rumah berdasarkan kepada islam. Dalam masa yang sama tumpukan kepada tingkah laku positif anak dan kurangkan "highlight" tingkah laku negatif mereka dengan memberikan pujian yang bersesuaian. Menunjukkan kasih sayang dan contoh teladan supaya mereka mengikut perkara yang baik-baik sahaja.

Creating an islamic home menunjukkan do and don't yang sesuai dilaksanakan di rumah seperti solat, membaca al-quran, mengelakkan gambar atau patung di dalam rumah dan mengaplikasikan etika Islam yang lain.

Creating a child friendly home. Salah satunya menyediakan persekitaran rumah yang selamat dan bersih untuk anak-anak. Sebolehnya bilik tidur dan bermain anak-anak diasingkan supaya wujud satu sempadan dan membolehkan anak-anak membezakan serta mengurus bilik dengan baik.

Raising healthy children bukan sekadar menumpukan kepada makanan dan aktiviti fizikal. Rupanya ia lebih jauh menumpukan kepada sunnah-sunnah baginda sollallahu alaihi wasallam yang lain seperti mandi, merapikan rambut dan menjaga kebersihan gigi. Satu peringatan untuk saya di sini. Perkara ini selalu kita buat tetapi kadang-kala tidak peka ia adalah satu sunnah. Allahu akbar.

How to deal with a disruptive children memberi panduan menangani anak bermasalah tingkah laku. Hal ini sebahagian daripada perkara normal dalam tumbesaran anak namun harus diingatkan ia bergantung kepada bagaimana kita menangani masalah ini pada kali pertama. Antara panduan yang diberi ialah memanggil anak dengan menyebut nama penuhnya, meluangkan masa bersama anak,"time-out" dan menggunakan carta ganjaran.

Namun bagi "time-out" saya kira perlu ubahsuai mengikut keperluan kerana mengikut kursus teknik mendorong anak gaya nabi yang pernah saya ikuti, panel membentangkan hasil kajian "time-out" yang lebih memberi kesan negatif berbanding positif. Wallahualam.

Intellectual development and play memberi maklumat berkenaan perkembangan sensori anak dan cadangan aktiviti yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Kadang-kadang aktiviti itu nampak tidak bermakna tetapi sebenarnya membantu dalam perkembangan intelektual anak. Misalnya bermain lampu suluh dengan bayi (kerana bayi sangat tertarik kepada cahaya) atau bermain sudu dan mangkuk plastik di dapur. Ia sebenarnya memberi peluang kepada bayi meneroka dunia di sekeliling mereka. Subhanallah.

Child development memberi panduan membina kemahiran tertentu sebagai asas perkembangan anak seperti bahasa, penyelesaian masalah (matematik), ,pengetahuan am (berkaitan ICT), kreativiti, pembangunan fizikal dan sosial. Tidak lupa pembangunan islamik untuk anak-anak ini.

Suka sekali dengan panduan 'membina kurikulum' untuk anak-anak di rumah dalam Planning Your Day and Activities. Penulis berkongsi idea dan cara pelaksanaan, jenis aktiviti dan sistem fail yang boleh dibuat serta laporan aktiviti anak. Saya lihat seperti RPI (Rancangan Pengajaran Individu) yang dibuat untuk anak murid istimewa dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) :)

Insya Allah akan diaplikasikan satu-persatu mengikut kesesuaian.

Bertepatan dengan cuti sekolah, aktiviti untuk anak perlu dikemas kini lagi, saya juga sudah lama tidak menggunakan "busy bag" untuk aktiviti anak-anak. Masa untuk menambah aktiviti dan monitor hafalan anak-anak. Wallahualam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan