Jumaat, 7 September 2012

Nama Atas Kertas ~ Nasron Sira Rahim


 Sumber gambar : rinntis.blogspot.com

Misteri. Pembunuhan kejam itu yang asalnya dilihat seperti tiada motif akhirnya membawa kepada penemuan-penemuan besar. Lebih menghairankan modus operandi yang digunakan sama seperti yang berlaku pada tahun 1987 yang lalu. Mangsa ditikam terus pada leher sehingga tembus ke belakang. Jika pembunuh pada ketika itu berusia 20-an bermakna kini beliau sudah menginjak ke 40-an. Tetapi mengapa begitu lama beliau ‘berehat’?

Tetapi kali ini pembunuh seolah-olah ingin bermain dengan pihak polis. Gumpalan puzzle berplastik yang ditemui dalam mulut mangsa menimbulkan spekulasi. Rupa-rupanya ia adalah klu kepada kesalahan yang dilakukan oleh si mangsa. Huruf-huruf puzzle yang disusun adakalanya tidak lengkap dan ada ketikanya berulang. Rima huruf pada puzzle itu apabila disusun akhirnya menemukan pihak polis kepada jawapannya!

Pelik. Mangsa pertama seorang lelaki bujang yang dikenali ramai sebagai seorang yang baik dan peramah. Mangsa kedua ialah seorang imam yang dihormati oleh penduduk sekitar. Mangsa ketiga pula seorang ahli perniagaan Cina yang merupakan seorang ketua keluarga yang penyayang dan mempunyai rangkaian bisnes yang luas. Mangsa keempat pula seorang perempuan. Namun daripada kesemua puzzle yang ditemui menunjukkan masing-masing mempunyai kesalahan mengikut enakmen dan seksyen tertentu.

Setelah dipastikan hanya mangsa ketiga sahaja disahkan oleh polis merupakan seorang penjenayah iaitu pengedar dadah yang begitu dikehendaki polis. Namun disebabkan kekurangan bukti, penjenayah terbabit tidak dapat diambil tindakan.

Inspektor Faiz dan pasukan berusaha keras menyiasat kes ini. Atas inisiatif Faiz sendiri ke rumah mangsa pertama membawanya kepada sejumlah cakera padat yang rupanya mengandungi rakaman perbuatan jelik mangsa pertama selama ini. Lebih dari 19 orang gadis ditiduri dan anehnya perlakuannya sendiri dirakamkan. Akhirnya Faiz bertemu dengan satu rakaman yang membawa kepada penyelesaian kes!

Dalam masa yang sama, pembunuh isteri Faiz dijumpai semula! Kejutan tidak berakhir di situ, rakan sejawatnya Inspektor Hanim pula diculik oleh pembunuh berkenaan. Kali ini sangat mencabar polis. Mereka terpaksa menyelesaikan banyak puzzle sebelum menjumpai Hanim yang ditanam hidup-hidup di dalam sebuah kubur di Pedu, Kedah.

Banyak info baru yang diperoleh melalui buku ini. Baru saya tahu cara ahli forensik menganggar waktu kematian mangsa. Berdasarkan kajian sains,, suhu badan manusia akan berkurang sekitar satu perpuluhan lima darjah celcius bagi setiap satu jam selepas meninggal dunia sehingga suhu badannya sama dengan suhu persekitaran.

Otot manusia akan mengendur dalam masa 3 jam selepas kematian. Dari tempoh tiga ke tiga puluh enam jam otot jasad menjadi kejang dan keras. Selepas waktu itu, otot akan kembali mengendur semula. (m/s 49)

Pembunuh bersiri pula ialah seorang yang didefinisikan sebagai individu yang telah membunuh tiga atau lebih mangsa dalam tempoh lebih 30 hari dengan ada tempoh selang cooling off atau tempoh mendiamkan diri antara semua pembunuhan yang dilakukan. (m/s 134)

2 ulasan:

  1. Produk Jemari Seni selalunya tidak mengecewakan. Hehe, walaupun saya belum membaca hampir ke semua buku2 keluar JS, tetapi saya dapat merasakannya sebegitu. Betul atau tidak Aina?

    Terima kasih untuk ilmu baru. 1.5 darjah celcius utk sejam..:)

    Bagaimana Aina membahagikan masa ye :) tertanya2 kerana buku saya untuk tahun ini belum lagi mencapai 50 :)

    BalasPadam
  2. Keluaran Jemari Seni pun tidaklah semua Aina baca, pilih penulis juga. Hee.. Sinopsis cerita memang memainkan peranan utama :)

    Welma, minat membaca saya pun ada turun naik. Hehe.. Biasanya saya membaca waktu menyusukan anak ;)

    BalasPadam