Isnin, 12 Julai 2010

Terasing


Sumber gambar : Blog Hilal Asyraf (http://ms.langitilahi.com/terasing-telah-terbit/)

Judul buku : Terasing

Penulis : Hilal Asyraf

Penerbit ; Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM 20.00

Bilangan muka surat : 313


Persahabatan Saifullah dan Zaman sangat akrab sehingga terasa kemanisan ukhwahnya. Namun persahabatan yang suci ini akhirnya berubah menjadi dendam membara Zaman hanya kerana Saifullah 'merampas' sesuatu yang menjadi kesayangannya. Begitu rapuh pegangan Zaman sedangkan sebelum ini dialah insan hebat di sekolah yang alim dan baik budi pekerti.

Kecewa cintanya dirampas, Zaman terjerumus ke dalam jenayah berat. Homurodama. Sebuah kumpulan yakuza yang berpangkalan di Jepun menjadi keluarganya kini.

Kepulangannya ke Malaysia disambut rasa syukur dan gembira oleh Saifullah dan rakan-rakan yang lain. Manakan tidak, mereka telah lama terputus hubungan lantaran Zaman yang menyepikan diri selepas beberapa tahun berada di perantauan. Meskipun sedikit terkejut dengan perubahan pakaian Zaman, Saifullah tetap bersangka baik apabila melihat Zaman masih mesra seperti dahulu.

Siapa sangka, tanpa disedari Saifullah serta keluarga terancam disebabkan barang berharga milik kumpulan ini berada pada mereka. Bagaimana ianya boleh terjadi? Dan kepulangan Zaman ke Malaysia bukanlah kerana ingin mempertautkan ukhwah kembali sebaliknya ingin mendapatkan semula cip tersebut. Perasaan belas tiada lagi dalam hati Zaman sehingga dia sanggup membunuh sahabat baiknya itu. Namun, disebabkan janji seorang sahabat suatu tika dahulu membuatkan Saifullah tetap mencuba menasihati dan menarik keluar Zaman dari lembah hitam tersebut. Adakah usaha Saifullah berjaya?

Penulis menulis genre thriller yang diselitkan unsur Islam dan dakwah. Sifat seorang sahabat yang ditonjolkan oleh Saifullah memberi kesan sedikit sebanyak dan saya juga terfikir akan beberapa perkara melalui buku ini. Sungguhpun buku ini belum boleh dikatakan sempurna tetapi saya memuji penghasilan karya thriller yang berteraskan islamik. Semoga akan lahir lebih ramai penulis seperti ini :)

2 ulasan:

  1. salam,
    Sehingga kini masih tidak sempat2 membaca karya Hilal Asyraf.

    BalasPadam
  2. Tak mengapa. Insya Allah ada masa nanti tu. Cuba baca VT dahulu :)

    BalasPadam