Judul buku : Parameter Aquila
Penulis : Nuriazam Ismail
Penerbit : PTS Fortuna
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 242
Terbitan : 2009
Sumber : Beli di MPH Alamanda
Tarikh baca : 27 Disember 2009 - 2 Januari 2010
Ini kali keempat saya membaca buku jenis sains fiksyen. Dahulu, cubaan pertama, gagal (juga terbitan PTS). Kemudian saya mencuba Galaksi Muhsinin dan Transgenesis. Terkini, saya baru selesai membaca buku ini. Ternyata amat menarik minat saya!
Parameter Aquila mengisahkan sekumpulan anak-anak terbiar yang diambil oleh Tuan Goldox dan dijaga serta akhirnya diambil bekerja dengannya. Namun, mereka ini umpama keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau. Tuan Goldox seorang yang gilakan kekayaan dan kerjanya mengarahkan kumpulan-kumpulan pekerjanya mencari gali emas.
M-Force yang dianggotai oleh Normen, Edvina, Shane dan Tansa ditugaskan untuk mencari emas di dasar lautan Aquila. Laut Aquila diketahui mempunyai jurang laut yang paling dalam. Pemilihan untuk mengetuai misi tersebut dilakukan secara undian oleh Tuan Goldox sendiri. Di antara 26 buah pasukan yang ada (A-Force sehingga Z-Force), kumpulan mereka yang terpilih.
Mahu tidak mahu mereka terpaksa mengikuti latihan simulasi dan mendapat taklimat akan penggunaan submersible. Kemudian, mereka akan menjalani latihan praktikal di Laut Pyxis. Sebuah makmal khas dibina khas bagi kemudahan mereka di laut dalam itu.
Pada hari kedua mereka di sana, tugasan meronda dan menanda kawasan dilakukan oleh Edvina dan Normen. Sebelum itu, Normen dipakaikan dengan sut selam laut seperti baju angkasawan tetapi berbeza dari segi material buatannya. Sut itu dikenali sebagai Atmospheric Diving System (ADS). Terjadi satu kejadian yang tidak disangka. Ada satu makhluk berbadan manusia tetapi berekor dan muncul di hadapan Normen. Dia tergamam dan kembali ke makmal secepat mungkin tanpa menyudahkan kawasan tandaan.
Apa yang diperkatakan oleh makhluk itu? Normen tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang diejek oleh rakan-rakannya. Ternyata, ketika dia mengambil keputusan menceritakannya kepada Tansa, dia digelakkan dan tidak dipercayai.
Setelah tamat latihan di Laut Pyxis, mereka ke medan sebenar di Laut Aqulia. Entah mengapa Tuan Goldox menghantar pasukan Z-Force bagi membantu mereka. Perkara ini menimbulkan kemarahan kumpulan M-Force. Seperti yang sering berlaku, apabila ada dua ketua maka berlakulah banyak masalah. Namun, mereka sebenarnya menghadapi masalah dengan ahli kumpulan Z-Force. Z-Force yang diketuai oleh Natalya hanya mempunyai 3 ahli pasukan. Dua orang lagi ialah Brat dan Egel.
Kelakuan Brat dan Egel agak ketara ganjil. Malah mereka sering mewujudkan provokasi dan menimbulkan kemarahan Normen. Sehinggalah satu hari terjadinya pergaduhan besar antara mereka semua. Rahsia besar M-Force ketika di Laut Pyxis terbongkar. Tidak disangka oleh ahli M-Force bahawa ada antara mereka yang membocorkan rahsia.
Hal itu menyebabkan Tansa terbunuh. Ketika pergelutan berlaku, Natalya hampir diperkosa oleh ahli kumpulannya sendiri. Tetapi berjaya dielakkan. Normen mengejar Brat dan Egel sementara Shane dan Edvina cuba menyelamatkan Tansa. Rupanya Natalya juga ikut mengejar dua ahli pasukannya itu dan menyerang habis-habisan menggunakan C-Kuest. Disebabkan retakan yang teruk pada kenderaan itu, Natalya turut terkorban.
Kedua ahli pasukan yang khianat itu hilang di dalam jurang yang dalam. Pasukan M-Force merahsiakan kejadian itu dan melarikan diri. Mereka diburu oleh pihak Tuan Goldox sehingga bersembunyi di sebuah rumah penduduk tempatan.
Tanpa disangka, tuan rumah yang mereka tumpangi itu ada kaitannya dengan Tuan Goldox. Anak perempuannya juga menyerupai wanita misteri yang dijumpai oleh Normen di dasar laut dahulu. Siapakah mereka sebenarnya?
Cerita ini saya gambarkan seperti cerita luar negara dengan pelbagai kelengkapan yang canggih. Plot ceritanya juga menunjukkan suasana yang cukup maju dan moden. Ceritanya menarik walaupun saya kurang gemar adanya cerita seperti bahagian Natalya dikhianati oleh dua orang ahli pasukannya. Syabas kepada penulis!
Terima kasih kerana memberi komen yang positif. Alhamdulillah, syukur nikmat.
BalasPadamTerima kasih kerana sudi memberi komen yang kebanyakannya positif. Alhamdulillah, syukur nikmat.
BalasPadamsuke cite ni !!
BalasPadam