Ahad, 13 Disember 2009

Wo Ai Ni Allah

Judul buku : Wo Ai Ni Allah
Penulis : Vanny Chrisma W.
Penerbit : PTS
Harga : RM 16.00


Kisah mengenai kekusutan yang berlaku di dalam sebuah keluarga ateis apabila si ayah berusaha mencari agama yang benar. Kekusutan itu benar-benar memberi kesan dalaman kepada anak kecil mereka bernama Amei Chan. Saya mengambil masa untuk membaca buku ini kerana sebahagian besar cerita ini menggunakan emosi.

Si ibu mempunyai watak yang tegas dan keras juga seorang ateis yang tidak mahu mempercayai adanya Tuhan dan selalu menimbulkan pergaduhan dengan suaminya tatkala melihat suaminya asyik membaca buku-buku agama. Dia merasa tertekan dan pernah satu ketika ingin membuang semua buku itu.

Si ayah kerap mengunjungi ahli-ahli agama Islam, Kristian, dan Buddha yang terdapat di kampung mereka. Amei Chan setia menemani ayahnya sementara ibunya pergi bekerja.

Akhirnya ayahnya meninggal dunia akibat diserang sekumpulan samseng bermotosikal. Sejak itu Amei dilanda kemurungan (saya rasa). Dia kerap bercakap seorang diri dan percakapannya tidak begitu difahami. Keadaannya sehingga menyebabkan ibu kandung sendiri tergamak membuang anak di kota.

Aduh, saya kira ibunya juga menjadi gila. Siapa yang mampu bertahan di kala semua orang mengatakan suami dan anaknya gila? Tambahan lagi ibu Amei seorang ateis, lebih lagi bertambah parah kerana tiada ketenangan jiwa.

Sementara Amei selepas ditinggalkan oleh ibunya, merayau-rayau di bandar sehingga bertemu dengan seorang doktor pakar jiwa. Kebetulan sekali, doktor itu sedang mencari pesakit untuk dijadikan bahan kajian. Malangnya ketika doktor itu pergi membelikan aiskrim untuk Amei, Amei ditangkap oleh pihak penguasa kerana disangka anak-anak yang mengemis. Mereka semua akan diambil data terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke rumah perlindungan.

Amei berjaya melarikan diri. Namun dia lemah kerana tidak makan dan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah rumah. Rumah doktor itu! ~_~III

Bermulalah kehidupan Amei di rumah doktor itu. Namun saya tidak begitu memahami apa yang berlaku. Mungkin saya tidak membaca bahagian ini betul-betul. Yang saya dapati Amei masih lagi berkelakuan aneh dan doktor ini tidak dapat mencari punca masalah Amei sehingga ke akhir cerita.

Ada rahsia besar di sebalik cerita ini. Namun kisah ini "happy ending". Ibu dan Amei menganut agama Islam dan mereka berdua dapat bersatu semula :)

Sabtu, 28 November 2009

Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajudku


Judul buku : Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajudku
Penulis : Desi Puspitasari
Penerbit : PTS Litera
Harga : RM 16.00
Bilangan muka surat : 168
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Aini)
Tarikh baca : 10 November 2009
Terbitan tahun : 2008


Saya tidak begitu gemar membaca cerita cinta tetapi disebabkan tertarik dengan muka depan dan tajuknya, saya meminjamnya dari rakan saya.

Cerita ini menceritakan kisah Agus, seorang anak orang kaya dan satu-satunya zuriat ibu dan bapanya. Namun, Agus begitu gemar berlumba haram dan sering ponteng kuliah. Hingga satu saat dia pernah menindik telinganya dan memakai anting-anting. Walaupun selalu memasuki lumba haram bersama rakan-rakan baiknya yang telah dikenali sejak kecil, masih ada perasaan tolong-menolong dalam dirinya. Buktinya dia membantu seorang wanita tua yang diragut dan ketika itulah dia bertemu semula dengan Airin, rakan sekelasnya.

Dalam pada itu, Agus kasihan juga dengan ibunya yang sering batuk dan tidak sihat. Dia yakin ibunya kerinduan akan ayahnya kerana bapanya sering ke luar kota menguruskan projek syarikat. Menurut cerita, ibunya seorang anak desa yang dijodohkan dengan bapanya. Oleh itu, bapanya berasa segan ingin membawa ibunya ke majlis-majlis rasmi dan korporat kerana takut ibu tidak dapat menyesuaikan diri.

Berbalik kepada Agus dan Airin. Tanpa sedar Agus jatuh cinta dengan Airin. Dewa juga menyimpan perasaan yang sama. Tetapi saya memuji sikap Airin. Dia tidak mahu mencari kekasih tetapi dia ingin mencari pasangan hidup yang boleh menjadi imam dan membawanya ke syurga. Siapakah antara Agus dan Dewa yang dapat menambat hati bapa Airin sekaligus menjadi suami kepada Airin?

Selepas peristiwa 'ditolak' oleh Airin, Agus semakin rajin belajar, menghadiri kuliah, rajin solat, dan menambah ilmu agama sedangkan Dewa begitu kecewa dan kembali ke tabiat lama iaitu meminum minuman keras bagi menenangkan hati (kononnya). Mujurlah adik Dewa begitu baik dan berusaha menasihati abangnya. Peribadi Dewa dan adiknya seperti langit dan bumi. Seorang mengabaikan suruhan agama dan seorang lagi begitu mentaati agama.

Dalam novel ini saya selalu juga saya tidak dapat membezakan mana satu 'keadaan sekarang' dan mana satu 'flashback'. Apabila sudah baca sampai ke halaman hadapan, akan saya ulang sedikit bagi memahami cerita. Keseluruhannya, dapat disimpulkan, solat yang khusyuk pasti melahirkan tingkah laku yang baik dan dapat mentaati Allah, walau sebaik mana pun seseorang itu tetap tidak akan sempurna sekiranya solatnya tidak dijaga dengan baik. Jadilah anak yang baik dan soleh dan sering mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada lagi..

Jumaat, 27 November 2009

Resipi 30 Minit Chef Kamarul



Judul buku : Resipi 30 Minit Chef Kamarul
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM 25.90
Bilangan muka surat : 134
Sumber : Kedai Buku Belweel, Melaka Sentral
Tarikh baca : Oktober 2009
Terbitan tahun : 2007




Ini pertama kali saya memiliki buku resipi. Entah mengapa ketika melihatnya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April lalu saya begitu tertarik untuk memilikinya. Namun disebabkan bajet yang terhad, terpaksa ditangguhkan dahulu. Baru-baru ini saya membelinya kerana ada diskaun yang ditawarkan (hehe..).

Buku ini ditulis untuk mereka yang tidak mempunyai masa yang banyak untuk memasak. Kesemua resipi yang ada telah dipraktikkan di kampus UiTM tempat Chef Kamarul bertugas dan masa yang diperuntukkan untuk memasak resipi-resipi ini adalah selama 30 minit dan ke bawah.

Di dalam buku ini terkandung Tip Menggunakan Dapur, Rahsia Masak Ekspres, Keperluan Asas Dapur (terutama bagi pasangan yang baru berkahwin dan duduk di rumah sendiri), Pesan Ibu Saya (membantu dari segi masakan mahupun penjagaan alatan memasak), Kesucian Makanan, dan mengenalkan bahan-bahan asas masakan dan penambah perasa. Tidak lupa juga, kelainan yang ada pada buku masakan ini ialah terdapat hadis yang berkaitan pemakanan dan sunnah Nabi Muhammad Solallahu Alaihi Wasallam pada setiap resipi.

Resipi disediakan mengikut semua waktu makan; Resipi Pagi, Resipi Makan Tengah Hari, Resipi Minum Petang dan Snek, Resipi Makan Malam, dan Resipi Pemanis Mulut dan Minuman. Ada 50 buah resipi dan terdapat 10 buah resipi pada setiap waktu hidangan. Saya telah mencuba sebahagian resipi yang ada dan ternyata ianya bukan sekadar teori malah praktikal, mudah, cepat dan yang penting sedap! ;)

Contoh Pesan Ibu Saya ialah :

1) Bagi mengelakkan mata berair kerana bawang, rendamkan bawang di dalam bekas berisi air dan kupas terus bawang yang direndam tadi di dalam air ataupun simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa mengupas kulitnya. Keesokan harinya anda boleh mengupas dan memotong bawang tanpa rasa pedih pada mata.

2) Menghilangkan bau hangit makanan seperti hangit nasi dan masakan lain dengan cara memasukkan 2 atau 3 tangkai cili kering ke dalam periuk, tutup seketika. Insya Allah bau itu akan hilang secara perlahan-lahan.

3) Mudah mengopek kerang dengan cara mencampurkan sesudu minyak masak ke dalam air rebusan. Kerang akan terbuka sedikit dan memudahkan kita mengopeknya.

4) Merangupkan cucur (tidak kira cucur pisang, cucur udang dan sebagainya) dengan menambah sedikit mentega ke dalam bancuhan tepung cucur. Kacau sebati dan goreng.

"Memasak itu mudah!" ^_^

Khamis, 26 November 2009

U-Turn Ke Jalan Lurus



Judul buku : U-Turn Ke Jalan Lurus
Penulis : Zul Ramli M. Razali
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM 22.00
Bilangan muka surat : 208
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Mai Akmar)
Tarikh baca : 4-8 November 2009
Terbitan tahun : 2009

Ceritanya penuh analogi, tauladan, dan bisa mengetuk pintu hati. Diselangi dengan hadis qudsi di setiap bahagian akhir setiap bab membuatkan diri bermuhasabah dengan penulisannya. Sungguh banyak kisah yang membuatkan minda berfikir dan mengetuk pintu hati. Tidak puas dibaca, semakin dibaca semakin memaksa diri merenung akan kelemahan dan kekuatan diri.

Buku ini mampu membangunkan jiwa dan insya Allah memberi motivasi ke arah satu anjakan paradigma di dalam diri seseorang individu. Kisah-kisah yang dibawa dapat memberi kesedaran dan membuatkan kita memahami bahawa dunia ini hanyalah salah satu stesen sebelum menuju ke destinasi yang sebenarnya. U-Turn ke Jalan Lurus - semoga kita berjaya mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat!

Petikan salah satu hadis qudsi di dalam buku ini yang begitu membuatkan saya merenung sedalam-dalamnya dan memuhasabah diri kembali………..

Berfirman Allah Taala yang bermaksud :

"Wahai anak Adam, Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhitungan tetapi dia masih mengumpulkan harta.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur tetapi masih tertawa.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi dia masih beristirehat.

Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya, tetapi dia masih tenang dengannya.

Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya tetapi jahil pada hatinya.

Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air tetapi hatinya tidak suci

Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan keaiban orang lain tetapi dia lupa terhadap dirinya sendiri.

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya tetapi dia masih boleh melakukan maksiat atau mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan mati keseorangan, akan memasuki kubur keseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia.

Ketahuilah, tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku."

[Petikan hadis qudsi, Kitab Imam al-Ghazali : al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah]

Semoga pembacaan saya selama ini dan akan datang akan lebih membuatkan saya menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah dan ikhlas melakukan sesuatu perkara.

Allahummahdini wa saddidni…
(Ya Allah, berilah petunjuk kepadaku dan istiqamahkanlah diriku)

Sabtu, 14 November 2009

Munajat Cinta 2



Judul buku : Munajat Cinta 2
Penulis : Taufiqurrahman al-Aziziy
Penerbit : PTS
Harga : RM 16.00
Bilangan muka surat : 344
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Aini)
Tarikh baca : 1-3 November 2009
Terbitan tahun : 2009


Ayda diuji dengan kematian tiga orang yang dikasihinya – sahabatnya Raudhah, bapa dan abangnya. Kesempitan hidup memaksa dia kembali ke kota untuk bekerja sebagai penjual surat khabar. Dia terpaksa meninggalkan ibu dan adiknya demi mencari pendapatan menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Sesampainya di sana, dia menyewa dengan Kak Santi dan teman-teman yang aktif dalam sebuah persatuan wanita yang begitu kuat memperjuangkan hak-hak wanita. Ayda bekerja kuat. Rutin hidupnya bermula selepas solat Subuh sehingga tengah hari. Kemudian ke perpustakaan untuk membaca atau meminjam buku, petangnya bertamu ke rumah Lis, sahabatnya dan malam melakukan urus diri.

Kepulangannya kali ini mengejutkan dirinya sendiri. Baru empat bulan meninggalkan kota, sahabatnya Lis dan Hasan telah berubah menjadi muslim dalam erti kata yang sebenar. Dari penyanyi jalanan dan buruk akhlaknya, mereka berdua berubah menjadi muslim yang taat kepada agama. Malahan, mereka berdua telah selamat bernikah! Subhanallah. Ibu Lis juga telah berubah menjadi baik. Namun, di mana Amir?

Ayda bingung apabila disampaikan kepadanya bahawa Ustaz Adib menyintainya. Bagaimana mungkin seorang ustaz mahu mengambil dirinya sebagai suri hidup sedangkan ramai lagi muslimah yang cantik lagi alim di dalam jemaah Firqotun Najihah? Dia bukan ahli jemaah. Mengikuti taklim juga dia jarang. Bukan dia tidak lupa dia pernah bertengkar dengan Ustaz Adib kerana ingin mempertahankan pendapatnya dan dia menganggap pendapatnya adalah betul.

Dalam pada itu, Ayda bertemu dengan Amir secara tidak sengaja. Kecewanya Ayda melihatkan yang Amir masih lagi seorang pemabuk. Amir sebenarnya kecewa dengan Lis dan Hasan yang dilihat telah berubah menjauhkan diri darinya setelah mendapat hidayah Allah. Namun, saya rasakan Lis dan Hasan tidak salah. Mungkin Amir yang tidak dapat menerima perubahan mendadak dua sahabatnya itu dan juga tidak dapat menerima teguran dari mereka. Lis dan Hasan nampak agak tegas dalam menegur Amir.

Lalu Ayda menjadi rapat semula dengan Amir. Lis merasa bimbang lantaran Amir juga diketahuinya menyimpan perasaan cinta kepada Ayda. Tetapi Ayda sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Amir mahupun Ustaz Adib. Dia tidak mengenal cinta, lalu bagaimana rasanya cinta? Ayda meminta nasihat kepada ibu arwah Raudhah.

Pernah sekali Ayda jatuh sakit. Namun dia berdegil untuk keluar bekerja. Jika tidak, dia tiada pendapatan. Malang nasibnya kerana dia nyaris-nyaris sahaja di rogol oleh dua orang pemuda. Puncanya ialah dia mempercayai kedua orang pemuda itu sebagai rakan Amir. Lalu Ayda memakan ubat yang diberi oleh mereka kerana menyangka Amir yang membelikannya. Kepalanya terus pusing dan pandangannya gelap. Dia masih dalam keadaan sedar tetapi tidak mampu membuka mata. Mujurlah ada orang datang menyelamatkannya. Amir. Teruk kedua pemuda itu dibelasahnya. Akan tetapi, Amir ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan mencederakan orang lain.

Rentetan dari peristiwa inilah menyebabkan Ustaz Adib menghulurkan lamaran terus melalui ibu Ayda. Setelah semuanya dipersetujui, Ayda bersiap untuk bernikah dengan Ustaz Adib. Ibu dan adik Ayda dari kampung dibawa ke kota dan pernikahan akan berlangsung pada 15 Zulhijah.

Akan tetapi surat dari Amir membuatkan dirinya gundah. Setelah difikirkan, Lis dan Santi menemani Ayda ke penjara untuk bertemu Amir dan menyampaikan berita ini. Amir tidak berkata sepatah pun.

Ayda dan Ustaz Adib selamat diijabkabulkan. Rumah tangga mereka begitu bahagia. Selepas beberapa bulan, Ayda berasa sedikit bosan. Hidupnya hanya di dalam rumah. Mengemas, mencuci pakaian, dan memasak makanan serta keperluan suami semua disediakan sebaiknya. Akan tetapi Ayda bukanlah jenis orang yang suka duduk diam. Tetapi tidaklah diberitahukan kepada suaminya perihal dia ingin keluar bekerja.

Satu hari, dua orang pemuda datang ke rumah Ayda dan memberikan suratkhabar berkenaan keadaan Amir yang hampir gila. Rupanya hal kedatangan kedua pemuda itu diketahui oleh suaminya. Berang Ustaz Adib jadinya. Namun selepas mendengar cerita Ayda dan berbincang, Ustaz Adib dengan rela ingin membawa Ayda menemui Amir di penjara dan sekiranya Amir benar-benar inginkan Ayda, maka Ustaz Adib akan melepaskan Ayda kepadanya.

Hm.. di sini saya lihat, peri pentingnya seorang isteri patuh dan taat kepada suami. Ini termasuklah menjaga maruah diri dan nama baik suami. Sekiranya suami tiada di rumah, isteri tidak boleh menerima kedatangan tetamu lelaki yang bukan mahram ke dalam rumah kerana ia boleh mengundang fitnah dan musibah.

Selain itu, sebagai seorang muslimah juga seseorang perempuan wajiblah menutup aurat, memelihara maruah diri dan memilih pekerjaan yang tidak membahayakan dirinya. Lebih elok sekiranya perempuan duduk di rumah. Akan tetapi keadaan sekarang ramai perempuan yang memilih untuk berkerja atas sebab membantu ekonomi keluarga.

Perkahwinan yang dilangsungkan mengikut syariat lebih berkat daripada terlalu mengikut adat yang banyak melanggar peraturan Allah. Seeloknya sesebuah majlis perkahwinan itu tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, hiburan yang melalaikan dan membezakan para undangan (miskin dan kaya). Wallahualam.

Rabu, 11 November 2009

VT



Judul buku : VT

Penulis : Hilal Asyraf

Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd

Harga : RM 25.00

Bilangan muka surat : 511

Sumber : MPH Mahkota Parade, Melaka

Tarikh baca : Oktober 2009

Terbitan tahun : 2009


Sukan adalah ibadah. Menarik. Tetapi bukan mudah untuk menanam konsep itu dikalangan pemain-pemain bola tampar MATRI. MATRI ialah singkatan kepada Ma'had At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah yang terletak di Perlis. Cikgu Hussam bertugas sebagai pendidik di situ sekaligus memikul tanggungjawab memajukan semula pasukan bola tampar sekolah itu yang mana semua ahlinya merupakan pelajar bermasalah di sekolah. Berat tanggungjawab itu.


Namun begitu, cabaran membentuk peribadi dan sahsiah pemain-pemain ini disambut oleh Cikgu Hussam dengan melaksanakan beberapa strategi. Memang pada mulanya kelihatan sukar sekali. Tetapi apabila kena dengan teknik dan taktik, Cikgu Hussam berjaya melenturkan ego dan amarah para pemainnya.


Bukan mudah menjadi seorang guru. Tugas guru bukan hanya mengajar tetapi menjadi pendidik jiwa. Kejayaan anak didik dalam akademik merupakan satu kebanggaan tetapi jika anak didik cemerlang di dalam akademik dan sahsiah itu lebih memberi kepuasan kepada seorang guru.


Demikianlah yang cuba dilakukan oleh Cikgu Hussam atau lebih dikenali sebagai Coach dikalangan pemain bola tampar. Najmi, Zulkarnain, Meor, Ridhwan, Abdul Qahar, Yassin, Wafiy, Omar, Farhan, Abdullah, dan Ihsan merupakan ahli pasukan bola tampar sekolah tahun lepas. Ada seorang lagi pelajar, Asyraf namanya. Tetapi disebabkan peristiwa kekalahan mereka tahun lepas, menyebabkan Asyraf benci dengan ahli kumpulannya dan terus mengasingkan diri dari kumpulan itu.


Asyraf merupakan pelajar senior di sekolah terbabit malah telah menyertai pasukan bola tampar sejak dia di tingkatan satu lagi. Dahulu dia seorang pelajar yang bijak, kemas, dan cemerlang akademik. Namun, sejak mempunyai masalah keluarga, dia berubah perangai dan suka memberontak. Dia sendiri sebenarnya mempunyai misi yang perlu dilaksanakan. Akan tetapi, dapatkah dia melunaskan janjinya dengan seseorang satu ketika dahulu?


Coach Hussam melakukan pemilihan semula. Dan kali ini, menyaksikan penambahan seorang ahli baru iaitu Malek. Malek sudah sinonim dengan gelaran 'Budak Milo'. Bertahun-tahun mencuba untuk menjadi ahli pasukan bola tampar akhirnya berjaya juga dia mencapai cita-citanya. Asyraf tidak memasuki pemilihan kali ini. Dia lebih senang melihat dari jauh.


VT adalah unik. Penulis tidak mewujudkan kisah cinta di antara lelaki dan perempuan tetapi hanya berfokuskan kepada pemain-pemain bola tampar yang keras kepala, ego, tidak beradab dengan guru, dan mempunyai masalah keluarga yang teruk dan mengganggu pelajaran. Saya kagum kerana plotnya menarik, malah lancar dan tidak terganggu dengan unsur-unsur di dalam cerita.


Permulaan cerita agak perlahan namun semakin mendebarkan dan mengujakan terutama apabila saya ingin mengetahui bagaimana Coach Hussam mampu mengubah mereka menjadi pelajar yang berakhlak mulia, berdisiplin, cemerlang dalam akademik dan hebat di dalam permainan bola tampar. Siapa sangka mereka begitu istiqamah melakukan ibadah fardu, menghadiri usrah, melazimi mathurat, menjalani latihan minda dan solat malam! Hasilnya, mereka berubah menjadi insan yang hebat tanpa disedari dan sekaligus dapat melonjakkan kecemerlangan akademik, menjadi anak yang paling baik dan menyejukkan hati ibu bapa mereka, dan cekap dalam permainan bola tampar.


Banyak taktik Coach Hussam dalam melentur ego dan membentuk stamina mereka. Persediaan terakhir sebelum memasuki MSSPs ialah meningkatkan latihan fizikal MATRI, menjelajah mencabar universiti, dan mendapat latihan daripada beberapa orang pemain kebangsaan. Siapa sangka mereka akan bertarung dengan senior-senior lagenda mereka? Aha, sudah pasti ia satu perlawanan yang menarik. Malah berita mengenai persediaan mereka ini telah tersebar luas dan membuatkan orang ramai kagum dengan kesungguhan MATRI. Malah tidak kurang juga yang merasa kerdil untuk berlawan dengan MATRI. Bukankah di dalam perang, muslihat dibenarkan? Coach Hussam bijak menggunakan psikologi di sini.


Dalam pada itu, ada seorang yang memandang penuh dendam apabila melihat MATRI kembali menyertai MSSPs setelah gagal mendapat johan tahun lalu. Insan ini pernah menggunakan taktik kotor dalam menyingkirkan jurulatih MATRI satu ketika dahulu. Dan tahun ini kembali dengan perancangan jahatnya kerana beliau gentar dengan prestasi MATRI yang meningkat begitu drastik dan juga kerana tidak mahu impiannya merangkul anugerah musnah. Dia terdesak ingin mengekalkan trademark sekolahnya dengan rekod 25-0 untuk tahun kelima berturut-turut. Rasuah sudah cuba disogokkan tetapi hampa, kini dia mengulang taktiknya dengan memasukkan racun ke dalam minuman MATRI.


Cikgu Senan, jurulatih pasukan bola tampar SSNP tidak sedar rancangan jahat ini akan memakan dirinya. Setiap kebatilan akan terhapus dengan kebenaran. Tanpa disedarinya, salah seorang anak didik pasukan bola tamparnya iaitu Kasturi telah terdengar perbualannya dengan Coach Hussam di dewan SSNP. Coach Hussam meminta Cikgu Senan bermain dengan cara yang baik dan tidak menggunakan taktik kotor kali ini. Tetapi dipandang sinis sahaja oleh Cikgu Senan.


Aril, pemain utama pasukan SSNP turut merasa bongkak dengan kejayaan yang dipegang oleh mereka iaitu rekod tanpa kalah selama 4 tahun berturut-turut. Dengan rasa angkuh inilah dia tidak dapat menahan marah apabila membelasah salah seorang ahli bola tampar MATRI bersama rakan-rakannya yang samseng. Jangan terlalu sombong, kelak akan menerima balasan.


Saya begitu menggalakkan anda membaca buku ini. Banyak yang saya pelajari dari novel berwarna oren ini. Adakalanya terharu dengan ukhwah yang ditunjukkan dan kadang kala bersemangat menjadi muslim yang baik. Ada juga unsur suspens di hujung cerita ini ;) Dan istimewanya novel ini ialah penulis menulis latar dan watak yang hampir menyerupai rakan-rakannya di dalam pasukan bola tampar MATRI dengan beberapa pengubahsuaian (saya rasa).


Cerita ini juga terasa dekat dengan saya kerana kampung halaman saya juga adalah di Perlis dan hampir dengan MATRI. Jadi, semasa membacanya 'feel' itu terasa ada kerana dapat membayangkan latar tempat yang digunakan.


Ini novel kedua yang saya baca mengenai atlit yang ingin mengangkat ketinggian Islam di dalam sukan selepas Justeru Impian di Jaring oleh Zaid Akhtar. Syabas Hilal Asyraf! Teruskan usaha anda berdakwah melalui tulisan. Memetik kata-kata Ustaz Zul Ramli M. Razali di dalam bukunya, U-Turn Ke Jalan Lurus, "Kitab ialah bicara bisu pengarangnya yang merentasi zaman dan jarak!". Semoga dengan kehadiran novel sebegini mampu memberi nilai tambah kepada generasi muda. Insya Allah.

Rabu, 4 November 2009

Selagi Masih Muda - Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Berharga

Judul buku : Selagi Masih Muda – Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna
Penulis : Dr A'idh al-Qarni
Penerbit : AQWAM Jembatan Ilmu
Harga : RM 15.80
Bilangan muka surat : 192
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Firdaus)
Tarikh baca : 28 – 30 Oktober 2009
Terbitan tahun : 2009

"Jika ingin melihat generasi akan datang, lihatlah para pemuda zaman ini".
Inilah kata-kata hikmat yang seringkali kita dengar..

Bagaimana keadaan pemuda-pemudi di zaman ini? Saya tidak menuding jari kepada orang lain, diri saya sendiri sudah cukup terkesan dengan kata-kata di atas. Ya Allah, betapa saya rasakan banyak kesalahan yang telah saya lakukan dan hanya rahmat dan keampunan dari Allah yang sangat didambakan.

Bertepatan dengan itu, saya terjumpa buku ini melalui seorang rakan saya. Jazakallah kerana meminjamkan buku ini. Sangat bertepatan dengan waktunya. Sejak akhir-akhir ini saya sering didatangi berita insan-insan yang dikenali dan disayangi kembali ke negeri yang kekal abadi. Terima kasih ya Allah kerana memberi peringatan buat hamba-Mu yang hina ini. Sungguh saya terasa kerdil dan tersentak. Seolah-olah diberi peringatan terus kepada saya. Semakin saya merasakan kekuasaan Allah yang Maha Hebat. Benarlah, "Mati adalah sebaik-baik peringatan!".

Dunia ini hanya sementara. Dunia ini hanya persinggahan sebelum kita menuju ke negeri yang kekal abadi. "Jagalah lima perkara sebelum datangnya lima perkara : Masa mudamu sebelum masa tuamu; masa sihatmu sebelum masa sakitmu; masa kayamu sebelum masa miskinmu; masa hidupmu sebelum kematianmu; dan masa luangmu sebelum masa sempitmu." (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih).

Selagi Masih Muda – Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Berharga karangan Dr A'idh al-Qarni ini mempunyai 7 bahagian ; Perhatikan Masa Mudamu, Begini Seharusnya Generasi Muda, Kembalilah Seperti Mereka Kembali, Gelorakan Semangatmu, Waspadai Rintangan-rintanganmu, Sebuah Hikmah dari Pemuda Kahfi, dan Sebaiknya Singkirkan Musik-musik Itu.

Terdapat empat unsur penting yang dilihat penyumbang terbesar kepada kelemahan para pemuda di zaman ini. Pertama ialah ketidakpercayaan kepada Tuhan (Atheisme dan kafir zindik). Dahulu kaum kafir begitu lelah dalam hal memerangi umat Islam kerana kekuatan umat Islam yang tidak dapat disangkal lagi. Tentera Islam berperang kerana Allah dan matlamatnya adalah mati syahid, mereka pula berperang kerana ingin menang. Sungguh jauh perbezaan tersebut!

Maka, golongan ini mula melancarkan perang secara senyap. Yang berjaya melemahkan umat Islam. Sedangkan Firaun sendiri sebenarnya mengetahui bahawa tiada Tuhan selain Allah. Nabi Musa Alaihissalam berkata kepada Firaun : "Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Rabb yang Memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Firaun seorang yang akan binasa." (Surah al-Isra' ayat 102).

Maka, "Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta Alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)." (Surah al-An'aam ayat 162).

Penyakit kedua yang melanda pemuda-pemudi ialah menuruti nafsu syahwat. Minuman keras, perempuan penggoda syahwat (pelacur), majalah lucah, dan nyanyian. Apabila hilang kewarasan akal akibat minuman keras, tiada apa lagi yang dapat dipercayai dari seseorang individu. Arak merupakan ibu segala maksiat namun orang tidak memandangnya sebagai suatu dosa besar.

Para penggoda syahwat (perempuan pelacur) juga merupakan agen perosak yang 'berjaya' di dalam menghancurkan muda-mudi sekarang. Dr A'idh membawa contoh pelakon dan penari perempuan di dalam filem Hindustan yang seringkali menari di khalayak ramai dan para penonton turut sama menyanyikan lagu dan beraksi mengikut pelakon / penari tersebut. Sedangkan para muslimah di Palestin turut sibuk menyertai mujahidin mempertahankan tanah air mereka. Inikan pula kita yang ikut bergelak ketawa menonton filem yang tidak menyumbang faedah kepada kita. Astaghfirullah….

Seterusnya ialah perang maknawi dan lemah semangat. Bangsa penjajah berjaya menanamkan rasa keputusasaan, lemah semangat dan perang urat saraf kepada kita. Akibatnya, kita masih tidak lagi berani mengubah apa jua tinggalan penjajah yang bertentangan dengan syariat Islam. Mengapa terjadinya hal begini?

Ibadah yang paling besar dan agung dalam memelihara waktu ialah solat lima waktu. Bahkan ilmu merupakan nadi bagi kemajuan kita. Tidak semua buku harus kita baca tetapi apa yang dibaca itu harus membuahkan hasil, bermanfaat dan berguna.

Mendidik pemuda bukanlah tugas yang mudah. Mari kita lihat contoh-contoh Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam dalam usaha mentarbiah (mendidik). Di dalam sebuah hadis, ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam. Ada yang berpendapat mengatakan lelaki ini datang dari Tsaqif. Dia mengatakan, "Wahai Rasulullah, aku ingin Islam tetapi aku tidak dapat meninggalkan zina."

Para sahabat yang ada terpancing emosi mereka. Mereka meminta pemuda itu menerangkan kenyataannya. Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam berkata, "Biarkan dia!". Baginda Solallahu Alaihi Wasallam tidak mengutuk pemuda itu malahan duduk berbincang dengannya. "Relakah kamu bila ibumu dizinai?," Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bertanya. "Tidak," jawab pemuda itu. Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bertanya lagi, "Relakah bila puterimu dizinai?". Lelaki itu menjawab, "Tidak." Baginda Solallahu Alaihi Wasallam bertanya lagi, "Relakah kamu ibu saudaramu (dari sebelah ayah) dizinai?". "Tidak," jawab pemuda itu. "Relakah kamu ibu saudaramu (dari sebelah ibu) dizinai?". "Tidak," jawab pemuda itu lagi.

Nabi Muhammad Solallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Bagaimana orang lain akan rela sedangkan kamu sendiri tidak rela akan hal itu." lelaki itu kemudiannya mempunyai semangat keislaman yang tinggi. Dia membayangkan sikap orang-orang ketika kerabat wanita mereka dizinainya, seperti sikapnya ketika kerabat wanitanya dizinai. Lalu lelaki itu berkata, "Aku bertaubat kepada Allah dari perbuatan zina."

Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Ya Allah, jagalah pendengaran, penglihatan, dan kemaluannya." (Hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya 5/256-257; At –Tabrani dalam al-Kabir (7679) dan dalam "Musnad Al-Syamiyyin (1066); disahihkan Al-Albani dalam "Al-Silsilah Al-Sahihah" nombor 370).

Subhanallah, begitu mudah bimbingan Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam!.

Lalu, bagaimanakah cara yang dapat membuatkan masa muda kita begitu berharga?

1. Memperhatikan amalan fardu

Allah berfirman, "Tidak ada usaha hamba-Ku untuk mendapatkan redha-Ku yang lebih Kucintai daripada hal-hal yang kuwajibkan kepadanya. Hamba-Ku senantiasa berusaha mendapatkan keredhaan-Ku hingga Aku mencitainya. Maka, apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dipakainya untuk mendengar…………….." (Hadis riwayat Bukhari (6502)).

Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam menumpukan kepada mendidik umat mengerjakan perkara yang wajib dahulu.

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah Solallahu 'Alaihi Wasallam tentang Islam. Lalu dijawab oleh Baginda :"Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah." Orang itu bertanya, "Kemudian apa lagi?", Baginda Solallahu 'Alaihi Wasallam menjawab, "Lima kali solat sehari semalam." Orang itu bertanya lagi, "Adakah kewajiban lain terhadapku selain itu?", Rasulullah Solallahu 'Alaihi Wasallam menjawab, " Kecuali jika kamu ingin melakukan ibadah sunah secara sukarela." (Hadith riwayat Bukhari (46) dan Muslim (11)).

Malah tercatat dalam Sahih Muslim, seorang Badwi bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, apa pendapatmu bila aku telah mengerjakan solat lima waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan, menunaikan zakat, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, apakah aku akan masuk syurga?". Nabi menjawab, "Ya."

Doa yang diajar oleh Rasulullah kepada Saidina Ali ketika Saidina Ali meminta diajarkan satu doa;

اللهم اهدني و سد د ني

"Ya Allah berilah aku petunjuk , dan istiqamahkanlah diriku." (HR An-Nasaie)

2. Menghidupkan semangat keteladanan

Pendek kata, "Walk Your Talk". Pemuda-pemudi zaman ini amat memerlukan contoh teladan yang baik. Orang lebih mudah mengikut sekiranya dapat dilihat dengan mata dan kesannya lebih terasa lagi berbanding mendengar atau bercakap.

Contoh yang dibawakan oleh penulis ialah salah seorang ulama salaf berkata, "Dulu ketika aku lemah dalam beribadah, malas beribadah, aku pun menjumpai Muhammad bin Wasi' Al-Asadi. Lalu kulihat wajahnya. Maka aku pun jadi rajin beribadah dalam beberapa minggu…."
Subhanallah, hanya dengan melihat!

Para ulama mengatakan, "Muhammad bin Wasi' itu apabila dipandang, wajahnya mengingatkan orang-orang akan Allah."

Sedangkan Nabi Solallahu Alaihi Wasallam sendiri apabila ditanya akhlaknya kepada Saidatina Aisyah, isterinya ini menjawab, "Akhlak baginda ialah al-Quran."

3. Menanam makna ukhwah

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali-Imran ayat 103).

Diantara cara yang dapat kita lakukan dalam mengukuhkan ukhwah ialah memberi salam ketika bertemu dengan saudara kita (atau dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa sama ada sengaja atau tidak) dan berwajah ceria ketika bertemu. Sudah pasti teman kita atau individu tersebut berasa senang dengan kita.

Saling nasihat-menasihatilah antara satu sama lain dan wajib menghadiri majlis dan memenuhi undangannya. Hanya ada beberapa keadaan sahaja seseorang itu tidak dapat menghadirkan diri :

(i) Memiliki halangan yang dibenarkan oleh syariat. Contohnya sakit, bermusafir, terikat waktu, atau sudah ada janji lain sebelumnya.
(ii) Memberi alasan kerana adanya bid'ah atau kemungkaran orang yang mengundang.

Di antara hak kewajiban dalam ukhwah islamiyah itu juga ialah anda mendoakan tanpa diketahui oleh orang yang kita doakan. Doa ini paling cepat dikabulkan. Jangan lupa juga menziarahi ketika sakit. 70 000 malaikat akan turut mengiringi kita apabila pergi menziarahi orang sakit.

Bacakanlah doa ketika menziarahi orang sakit :

(rujuk entri doa ketika sakit sebelum ini)

4. Menjauhi perbuatan mencela

Janganlah kita mencela orang lain sedangkan kita sendiri tidak tahu kelemahan diri kita. Sekiranya ingin menegur seseorang, janganlah sampai mencelanya di hadapan orang ramai kerana itu akan menjatuhkan maruah dirinya dan mengaibkannya. Allah berfirman,

و لو كنت فظا غليظ القلب لا نفضوا من حو لك

"Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Surah Ali Imran ayat 159).

5. Menerima perbezaan

Sekiranya terdapat perbezaan pendapat, haruslah didengari terlebih dahulu semua pendapat yang ada. Kemudian, barulah berbincang dan menyelesaikan masalah. Jika tidak, masing-masing menerima perbezaan pendapat masing-masing dan amalkanlah pendapat tersebut mengikut kesesuaian pendapatnya.

Buruk benar akibatnya sekiranya kedua-dua belah pihak bertelagah kerana ingin menegakkan pendapat masing-masing yang tidak semestinya benar.

6. Menyikapi fatwa

Kebanyakan orang berfatwa atas sebab ingin mencari nama. Sehingga ramai di kalangan kita yang baru belajar 1-2 hadis sudah mahu mengeluarkan 'fatwa' sendiri. Nyatanya, para ulama yang telah menuntut ilmu berlipat kali ganda lamanya dari kita pun masih sulit untuk mengeluarkan fatwa. Terdapat dua kesalahan dalam berfatwa iaitu :

Pertama, berfatwa tanpa ilmu.

Kedua, mengharamkan seseorang berfatwa dalam permasalahan-permasalahan yang sudah jelas seperti rukun iman dan islam. Orang ini termasuk dalam orang yang beragama kaku menurut penulis.

12 rintangan yang dialami oleh generasi muda kini


1. Lemahnya hubungan dengan Allah

Solat wajib yang diperintahkan oleh Allah kadang-kala dilakukan secara sambil lewa. Dilakukan dengan pantas, tanpa sempat memahami maksud, mengejar masa, dan tidak sempurna rukun dan bacaannya. Ramai yang mengambil mudah. Sedangkan solat adalah pencegah kepada kemungkaran namun berapa ramai yang solat tetapi tetap melakukan maksiat? Subhanallah… banyak yang perlu diperbaiki dan diperhalusi..

Sebahagian besarnya meninggalkan solat tahajud dan kurang berdoa. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :

"Dan, apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

Banyakkan juga berzikir, bertasbih dan membaca al-Quran. Amalkanlah mathurat atau Hisnul Muslim secara konsisten pagi dan petang. Semoga Allah merahmati.

2. Syirik kerana takut dan lemah tawakal.

Kita lihat kebanyakan orang merasa takut dengan manusia. Perkataan, tingkah laku, dan kecantikan rupa paras diperhatikan baik-baik agar tidak mendapat apa-apa teguran dari orang lain. Sedangkan di hadapan Allah jarang sekali begitu.

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab menyebutkan, "Di antara hal-hal yang membatalkan La ilaha illallah ialah syirik kerana rasa takut, bila rasa takut kepada selain Allah lebih besar daripada rasa takut kepada Allah."

Antara ayat-ayat Allah yang menyatakan hal ini ialah ;

"Dan hanya kepada-Ku lah kamu harus takut (tunduk)". (Al-Baqarah : 40)

"Kerana itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Ali Imran : 175)

Ya Allah, bukan sedikit rasanya saya melakukan perbuatan ini. Kadang kala hal ini dilakukan tanpa sedar. Misalnya, merapikan pakaian kerana takut dikata orang.. Astaghfirullahal azim…baru kini saya tahu..insya Allah akan lebih saya perhatikan baik-baik kelakuan saya selepas ini.

3. Tiada perhatian di dalam memahami agama.

Ramai di kalangan kita yang tidak minat membaca dan kurang membaca. Pernah seorang yahudi,Mosyi Dayyan berkata, "Arab adalah bangsa yang tidak membaca." Cuba bayangkan, Israel telah secara tidak sengaja memberitahu banyak rahsia senjata nuklearnya di wilayah Timur Tengah, rahsia pasukan berserta jumlahnya tetapi bangsa Arab tidak mengetahuinya.

Mengapa bangsa Jepun dan orang barat begitu menyuburkan minat membaca dikalangan mereka? Jika kita perhatikan, di mana-mana sahaja mereka akan membaca buku. Tidak kiralah semasa menunggu bas, di dalam bas, ketika duduk di taman, dan semasa menunggu makanan di restoran. Mengapa kita tidak?

4. Lemah cita-cita.

Kebanyakan di antara kita tidak merasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang hakiki. Semuanya menganggap beban itu sepatutnya dipikul oleh orang lain. "Maaf, saya tidak layak memegang jawatan ini kerana saya bukan dari sekolah agama." "Dia lebih layak kerana dia pandai bercakap berbanding saya." "Saya kurang ilmu agama, tidak layak untuk menegur silap kawan saya tu."

Lalu di posisi mana anda berada?

Sedarilah bahawa setiap daripada kita merupakan khalifah Allah. Setiap dari kita juga mempunyai potensi diri yang perlu kita sendiri cungkil. Ayuh kawan, bersama kita memperbaiki diri dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain!

5. Inferiority complex

Ramai di antara kita yang mendapat hidayah Allah setelah berbuat maksiat. Lalu mereka memohon taubat dan diterima oleh Allah. Namun perasaan rendah diri dan bersalah menyebabkan ramai di kalangan mereka yang menolak untuk menasihati (atau berdakwah) kepada orang lain. Tiada manusia yang sempurna dari melakukan kesilapan. Dan tiada manusia yang sempurna ibadah, quran, dan amalannya sehingga menyebabkan dia tidak mahu melakukan dakwah atau menyeru orang kepada kebaikan.

6. Tidak sabar menahan godaan.

"Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan mereka adalah orang yang meyakini ayat-ayat Kami." (Surah as-Sajadah : 24)

Saya baru sahaja mengikuti seminar mengenai dadah di kampus saya. Ketua unit pencegahan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengatakan banyak punca yang menyebabkan seseorang itu menagih. Akan tetapi, cubalah bertanya kepada penagih-penagih ini, apakah punca mereka menagih?

Sudah pasti jawapan pertama mereka ialah menyalahkan ibu bapa, kedua menyalahkan guru, ketiga menyalahkan rakan sebaya dan seterusnya namun tidak ada pun yang menyatakan punca adalah dari diri sendiri!

7. Pengaruh hiburan moden terhadap kerjaya dan kesungguhan.


Pengaruh hiburan berhasil melalaikan kita dari melakukan kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Seringkali kualiti kerja tidak sehebat mana kerana kita lalai dengan hiburan, bergaul dengan rakan yang tidak baik, dan malas.

8. Merasa gagal dan putus asa.

Sebahagian orang merasa putus asa dan gagal apabila ajakannya tidak diterima oleh orang yang didakwahi. Sehingga ada di antara mereka meninggalkan terus kegiatan dakwah. Janganlah kita berasa putus asa kerana hidayah itu milik Allah. Tugas kita hanyalah menyampaikan dan mengajak orang kea rah kebaikan. Sama ada mereka mahu mengikut atau pun tidak terpulang kepada pilihan individu. Yang penting kita telah berusaha dan terus menasihati mereka.

Sedangkan Nabi Nuh a.s sendiri berdakwah selama 950 tahun kepada kaumnya namun hanya sebilangan kecil sahaja yang menyahut seruan dakwahnya. Bapa saudara Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam juga sehingga ke akhir hayat masih berpegang kepada agamanya.

9. Optimis yang berlebihan.

Ada sebahagian orang yang persekitarannya baik, rakan bergaulnya baik, juga ahli keluarganya sehinggakan dia menganggap semua manusia adalah baik dan tidak dapat menerima senadainya mereka melakukan sedikit kesilapan. Jangan beranggapan semua orang adalah baik. Jika tidak neraka dan syurga, dosa dan pahala tidak akan wujud. Semua ini adalah untuk menguji manusia. Adakah mereka benar-benar memanfaatkan nikmat akal yang diberikan atau tidak.

10. Waktu terbuang kerana hiburan dan menangguh kerja.

Kata bijak pandai, "Barangsiapa yang menanam benih 'nanti' akan tumbuh sebuah tanaman yang bernama 'mudah-mudahan', yang memiliki buah namanya 'seandainya', yang rasanya adalah "kegagalan dan penyesalan'."

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hijr ayat 3 :

"Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka)."

Saya sendiri secara jujur selalu juga menunda-nuda kerja. Masya Allah. Perlu ditinggalkan perangai buruk yang satu ini. Tidak jarang tugasan disiapkan saat akhir. Ini semua bahana perbuatan 'nanti'. Inilah juga salah satu faktor kemunduran.

Saya begitu terkesan dengan dua hadis di bawah ini…..

نعمتا ن مغبو ن فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

"Ada dua nikmat yang kebanyakan orang tertipu kerananya; kesihatan dan masa lapang." (Hadis riwayat Bukhari).

لا تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسال عن عمره فيما افناه وعن علمه فيم فعل وعن ماله من اين اكتسبه وفيم انفقه وعن جسمه فيم ابلاه

"Pada hari kiamat, kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser, sebelum ia ditanyai: tentang umur, untuk apa dihabiskan; tentang ilmu, untuk apa ia gunakan; tentang harta, dari mana ia peroleh dan untuk apa ia belanjakan; dan tentang badannya, untuk apa ia gunakan." (Hadis riwayat At-Tirmizi).

11. Tidak tahu potensi diri.

Di dalam satu hadis sahih, Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan ia diciptakan." (Hadis riwayat Muslim).

Koreksilah diri dan perhatikan apakah bakat anda dan gunakanlah ia ke saluran yang baik.

12. Lemah hubungan antara dai (pendakwah) dan ulama.


"Allah selalu membantu seorang hamba selama hamba itu selalu membantu saudaranya." (Hadis riwayat Muslim).

Kolaborasi antara dua pihak ini mampu menjana idea yang lebih mantap dan dapat membantu perkongsian ilmu dan kepakaran yang ada bagi memantapkan usaha dakwah.


Sesungguhnya apa yang saya kongsikan di sini adalah untuk peringatan diri saya sendiri dan anda semua. Saya berdoa agar diampunkan dosa dan diberi keistiqamahan dalam membuat kebajikan dan dakwah. Tiada daya dan upaya melainkan kuasa-Mu ya Allah..ampuni dan rahmatilah kami semua….amin….


~ Four things come not back. The spoken word, the sped arrow, the past life and the neglected opportunity ~ Arabian Proverb



Wallahualam.

Aku Bukan Superstar


Judul buku : Aku Bukan Superstar
Penulis : Lily Haslina Nasir
Penerbit : PTS One
Harga : RM 17.90
Bilangan muka surat : 367
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Mai)
Tarikh baca : 22 – 23 Oktober 2009
Tahun terbit : 2009

Sempat lagi saya menghabiskan buku ini walaupun ketika itu berada di dalam study week. Minggu berikutnya saya akan menghadapi peperiksaan akhir semester 8 sekaligus peperiksaan penamat sebelum saya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Keguruan (Pendidikan Khas).

Aku Bukan Superstar mengisahkan seorang anak FELDA Sungai Mas yang polos dengan hobinya yang suka menyanyi. Pekerjaan asalnya ialah guru KAFA FELDA Sungai Mas. Namun dengan sekadar suka-suka, dia mendaftarkan diri untuk menyertai sebuah program realiti TV, Institut Fantasi. Dia disokong kuat oleh dua orang sahabat baiknya, Zul dan Rinn. Mereka berdualah yang begitu beria-ia menolong Aril sejak dari mula hinggalah Aril berjaya memasuki program realiti tersebut.

Berita mengenai Aril menghadiri uji bakat di Johor Bahru itu heboh diperkatakan di kampungnya. Guru-guru di tempat Aril mengajar tidak kurang mencemuh tindakan Aril ke program tersebut. Yalah, bagaimana seorang 'ustaz' boleh memasuki pertandingan menyanyi yang secara jelas bercampur gaul pergaulannya dan perlu 'terkinja-kinja' menari di atas pentas. Begitulah antara sindiran yang didengari oleh Aril. Pakcik Rahman juga begitu anti dengan Aril sehingga sanggup memaki hamun dan mengungkit sejarah hitam keluarga Aril. Entah mengapa dan apa yang membuatkan Pakcik Rahman begitu mendendami keluarganya tidaklah Aril ketahui. Tetapi Aril tetap bersabar.

Tanpa disangka Aril mendapat tempat memasuki Institut Fantasi. Paling memeningkan kepalanya, ibunya tidak merestui pemergiannya ke IF. Tawaran mengikuti kursus bilal juga mempunyai tarikh yang sama dengan tarikh pendaftaran IF! Wah, macam mana ni? Susah hati Aril memikirkannya. Dua orang kawan baiknya itu usah ditanyalah, sudah pasti menyokong 100% dia ke IF. Adiknya, Aisyah juga begitu gembira mendengar berita tersebut. Hanya Pak Ali, ayah Aril dan Kak Amnah sahaja yang mendiamkan diri.

Tibalah 12 Januari 2009, iaitu tarikh pendaftaran IF dan Kursus Bilal. Dengan menaiki van ayam Zul, Aril diikuti Rinn, Aisyah dan Marlia, adik Zul bertolak menuju ke destinasi. Semasa dalam perjalanan Aril tetap belum membuat keputusan akan ke mana. Aduh, pening kepala kawan-kawannya. Namun begitu, akhirnya mereka terus menuju ke Hotel Sheraton Subang.

Bermulalah kehidupan Aril sebagai pelajar IF. Bermula dengan tinggal serumah dengan rakan-rakan pelajar IF yang lain di sebuah banglo mewah yang dilengkapi dengan pelbagai keperluan dan kemudahan. Tetapi pergerakan mereka dikawal oleh kamera bernama Johnny yang berada di sudut-sudut tertentu di dalam bangunan itu. Di luar pula mereka dikawal oleh krew IF dari tujuh pagi sehingga tiga pagi bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar dan mengelak pencerobohan daripada paparazi dan mamarazi.

Sepanjang berada di IF, banyak juga tingkah laku Aril yang tidak menyenangkan seorang krew IF iaitu Nana dan tidak kurang banyak aksi melucukan. Sudahlah semasa ingin mencari rumahnya oleh krew IF bagi memberikan surat tawaran begitu payah, di hari pendaftaran juga Aril datang lambat. Pernah juga Aril mencuci bersih mekap yang telah disapu ke mukanya kerana ingin mengambil wuduk dan bersolat. Akibatnya, menyebabkan Nana hampir pengsan kerana marah dan terpaksalah Aril dimekapkan sekali lagi dengan cepat.

Aril sebenarnya telah tersingkir semasa konsert Prelude. Akan tetapi, disebabkan rating undian yang begitu tinggi di ruangan Chat TV6 dan komen-komen yang diterima IF menyebabkan Aril dipilih semula memasuki IF. Pelbagai ragam dan kerenah pelajar-pelajar dan tenaga pengajar IF yang terpaksa dihadapi oleh Aril. Aril cukup tidak suka apabila Lydia mendekatinya untuk mengajar tarian.

Hm.. seterusnya adalah sama seperti sebuah program realiti TV yang begitu popular di sebuah siaran TV berbayar yang ada di negara kita. Bezanya ialah pada kesudahan cerita ini. Seperti dijangka, Aril menjuarai pertandingan tersebut dengan hadiah yang lumayan. Namun begitu, tidak satu pun hadiah tersebut diambil untuk dirinya. Hadiah kereta mewah yang ditawarkan disedekahkan Aril ke sekolah KAFA FELDA Sungai Mas, wang sebanyak RM 30 000 pula diberikan kepada Pakcik Rahman bagi membiayai rawatan penyakit buah pinggangnya dan kontrak rakaman selama 3 tahun dihadiahkan kepada Lydia yang mendapat tempat ketiga kerana dia begitu meminati bidang nyanyian.

Bukan mudah untuk menjadi penyanyi tetapi begitu ramai yang bercita-cita besar ingin menjadi bintang. Mengapa ya? Kemewahan? Popular? Ingin membantu keluarga? Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan. Seperti dalam cerita ini, sudah jelas ibu Aril, Mak Temah tidak merestui keinginan anaknya memasuki IF akan tetapi Aril tetap pergi dan menolak tawaran kursus bilal.

Hm.. jangan kita sesekali mengingkari kata-kata ibu kita yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Walaupun Aril digambarkan sebagai seorang anak yang baik, alim, rajin bersolat malam semasa di IF tetapi perasaan Mak Temah sepanjang anaknya berada di IF tidak boleh dipandang remeh. Hatinya sentiasa resah dan mengharapkan yang anaknya tidak menjadi seorang penyanyi.

Syabas kepada penulis kerana menulis karya sebegini yang tidak berat sebelah; tidak bias kepada satu bahagian sahaja. Lily Haslina Nasir tetap memasukkan unsur-unsur keagamaan. Walaupun semasa saya membaca buku ini saya membayangkan seorang artis yang menjadi kegilaan ramai hasil produk program realiti TV tetapi ianya tidaklah menjejaskan pembacaan saya sehingga tamat kisah.


Tapi....elaklah dari menjadi seorang penyanyi.......

Ahad, 18 Oktober 2009

Emilda Catatan Seorang Perindu


Emilda Catatan Seorang Perindu
Syalina Ahmad
PTS One
RM 14.50

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Buku ini mengisahkan mengenai pencarian agama yang benar oleh seorang gadis bernama Emilda. Emilda berumur 16 tahun dan merupakan anak sulung daripada dua beradik yang lahir dalam keluarga atheis iaitu tidak mempunyai kepercayaan beragama atau tidak percaya kewujudan Tuhan.

Namun begitu, hatinya tenang sekali mendengar alunan bacaan al-Quran oleh Acik Nor, pembantu rumahnya pada waktu awal pagi. Malah sesekali terdengar laungan azan melalui televisyen membuatkan hatinya resah memikirkan hamba siapakah dia ini?

Teman lelakinya, Hafiz seorang muslim tetapi selalu sahaja melakukan perkara yang bertentangan dengan agamanya. Soalan-soalan berkenaan Islam yang diajukan oleh Emilda tidak pernah dijawab dengan elok. "I am not a scholar", "Telefon sahaja pejabat agama", "Don't ask too many questions!", "Do I look like Pak Arab to you?". Itulah antara alasan-alasan Hafiz setiap kali dia bertanyakan tentang Islam.

Hendak bertanya kepada Acik, Nor, pengetahuannya sedikit. Tidak mampu dia menjawab semua pertanyaan Emilda. Tetapi pengetahuannya yang sedikit itulah kadang-kadang dapat membantu Emilda memahami perkara asas dalam Islam. Misalnya, kepercayaan orang Islam, kewajipan yang perlu ditunaikan seperti sembahyang 5 kali sehari dan berpuasa dan makanan yang halal dan haram dimakan oleh orang Islam.

Mujur Encik Melvin dan Puan Cindy terbuka dalam pemilihan kawan Emilda. Mereka tidak kisah Emilda berkawan dengan Hafiz walaupun dia seorang muslim.

Pada suatu hari, bapa saudara angkat Emilda datang berkunjung ke Malaysia. Uncle Justin ini adalah adik angkat bapanya dan Emilda dan adiknya, Shane telah menganggap Uncle Justin seperti bapa saudara sendiri. Uncle Justin memang diketahui Emilda seorang anti-Islam. Entah apa yang dibencikan sangat tidaklah Emilda ketahui.

Sudah lama kedua ibu bapa Emilda ingin bertemu dengan Hafiz untuk lebih mengenalinya. Kebetulan pada hari itu Uncle Justin turut berada di rumah, Hafiz datang menjemput Emilda untuk keluar menonton wayang. Mahu tidak mahu Hafiz terpaksa juga masuk menemui Encik Melvin dan Puan Cindy. Gayanya resah seperti orang yang ingin cepat pergi. Akhirnya selepas perbualan ringkas, Hafiz dan Emilda meminta diri untuk keluar. Encik Melvin dan Puan Cindy agak kurang senang dengan Hafiz.

Dalam masa yang sama, sahabat baik Emilda begitu beria-ia ingin memperkenalkan Emilda dengan anak makcik kafeteria di sekolah mereka. Katanya pemuda itu nampak lebih baik daripada Hafiz. Emilda dapat berkenalan dengan anak makcik itu secara kebetulan ketika dia pulang lewat dari sekolah kerana menyiapkan tugasan. Dia ingin mengalas perut di kafeteria.

Syahir, pemuda tersebut seorang yang tenang wajahnya dan baik. Dia mempunyai sebuah kedai buku agama yang dikongsi bersama rakan. Emilda sangat gembira dan mengambil peluang untuk bertanyakan tentang agama Islam dan membeli buku-buku berkaitan Islam. Syahir menghadiahkan senaskah tafsir al-Quran kepada Emilda. Dan terasa kecilnya dunia, Syahir dan Hafiz rupa-rupanya rakan semasa di sekolah rendah dahulu.

Dalam masa yang sama, Uncle Justin terpikat pula dengan Emilda. Emilda tidak senang hati. Tambahan lagi Uncle Justin anti-Islam dan juga tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Maka, sesuaikah Uncle Justin dengannya? Peristiwa di parti rumahnya di mana Uncle Justin menghidangkan arak untuk Syahir juga tidak dilupakan. Emilda terasa dihina. Mujur Syahir memahami.

Beberapa lama kemudian, Hafiz ditimpa kemalangan jalan raya. Sudah pasti akibat mabuk. Emilda melawat Hafiz di hospital dengan menumpang Syahir dan ibunya. Sebelum pulang, dia menghadiahkan sebuah bungkusan putih.

Hati Emilda semakin tenang dan dia semakin bersedia untuk meyakini dan mempercayai agama barunya ini, agama ISLAM.

Rabu, 14 Oktober 2009

Guru Arkitek Bangsa

Judul buku : Guru Arkitek Bangsa
Penulis : Mya Marja
Penerbit : PTS
Harga : RM 24.00
Baca pada : Januari 2009

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Membaca buku ini membuatkan saya tersenyum mengenangkan kembali waktu awal-awal dahulu menjejakkan kaki ke maktab perguruan. Cerita di dalam ini memang terasa dekat dengan saya. Sementelahan, saya sudah berada di tahun akhir di institut perguruan, sedikit sebanyak pengalaman Fuad di dalam buku ini memberi saya panduan dan sedikit gambaran apabila saya mula mengajar kelak :)

Pengalaman di maktab seperti di’ragging’, minggu orientasi, aktif dengan aktiviti & persatuan di maktab, menyiapkan tugasan yang berlambak, dan lain-lain lagi tak mungkin dapat dilupakan :) Tambahan lagi menjadi ‘batch’ perintis bakal guru lepasan ijazah sarjana muda pendidikan dari institut perguruan pasti memberi seribu makna kepada diri saya. Juga menjadi ‘batch’ pertama transisi maktab perguruan dinaik taraf kepada institut perguruan menjadi satu kebanggaan :)

Novel ini berkisar pengalaman Fuad sejak dari bangku sekolah rendah hinggalah dia berkhidmat sebagai seorang guru. Fuad merasa rendah diri dan kurang yakin dengan kemampuan dirinya menjadi seorang guru. Dia sering berkata dirinya seorang yang pendiam tetapi Fuad sebenarnya mempunyai banyak kelebihan yang mungkin tidak disedarinya. Dia seorang yang sangat kreatif, seni, bersungguh-sungguh, berani, amanah dan mempunyai bakat kepimpinan.

Hal ini terserlah apabila dia memasuki maktab perguruan. Lihat sahaja aktiviti-aktiviti dan kegiatan yang disertainya di maktab. Semua ini sebenarnya menyumbang kepada kerjayanya apabila dia mengajar kelak. Selain itu, Fuad juga berbakat dalam bidang penulisan. Malah pernah memenangi pertandingan menulis esei peringkat kebangsaan dan hadiah pertandingan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia (",)

Kesungguhan Fuad wajar dicontohi. Dia kelihatan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Misalnya, dalam menyiapkan tugasan ekonomi rumah tangga seperti menjahit beg kanvas, memasak, dan membuat bahan bantu mengajar (BBM). Dia tidak memandang tugasan yang diberi pensyarah sekadar mendapatkan markah lulus atau cemerlang tetapi bahan-bahan itu kelak akan dapat digunakan ketika praktikum atau ketika mengajar nanti.

Pensyarah saya juga selalu menasihatkan perkara yang sama. Mereka berpesan supaya disediakan sebuah kotak besar yang mengandungi segala keperluan BBM supaya mudah di cari dan digunakan satu masa nanti. Boleh juga menjimatkan wang kerana bahan-bahan telah dibina sendiri. Pengalaman Fuad berhadapan dengan pelbagai ragam pensyarah juga ‘menghiburkan’. Begitulah ragam pensyarah, pelbagai. Ada yang boleh “tolerate” dengan pelajar, ada yang autokratik, dan ada yang mengambil berat.

Semasa menjalani praktikum, sememangnya guru pelatih perlu mendisiplinkan diri dari segi masa. Tetapi adakalanya kita tak dapat lari juga daripada perkara yang tidak dapat dielakkan. Seperti yang berlaku kepada Fuad apabila dia lambat sampai ke sekolah. Kedatangan pensyarah pembimbing secara mengejut untuk menilai P&Pnya adalah perkara di luar jangkaan. Malah, kejadian dia dan rakannya disaman polis juga tidak disangka. Tetapi, apa pun perkara itu seharusnya menjadi pengajaran buat dirinya juga supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan perlu menyediakan “back up plan”.

Saya kagum dengan semangat Fuad menjadi guru. Dia tetap rajin menyediakan BBM dan lembaran kerja walaupun sudah menjadi guru tetap. Fuad juga rajin menanda buku latihan murid dan seringkali membawa pulang buku-buku murid yang tidak habis ditanda. Tidak ramai guru yang boleh jadi serajin ini apabila menjadi guru tetap. Hal ini kerana, tugas guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi guru terpaksa juga membuat tugas pengkeranian, mengurus aktiviti luar, menyertai kursus dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada pengurusan masa seseorang guru (",)

Banyak sumbangan yang diberi oleh Fuad antaranya ialah membina taman matematik (walau pun dia tidak dapat menyiapkannya), menjadi ketua panitia Pendidikan Seni, menjadi Pegawai Kejohanan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, jurulatih catur pasukan sekolah, mengajar darjah 6, pemeriksa kertas soalan dan sebagainya. Fuad juga berjaya melanjutkan pelajaran secara PJJ dengan USM.

Tertarik dengan kata-kata Fuad kepada bekas anak muridnya yang juga bakal guru, Fuarudin, “Cita-cita saya dahulu sudah berkubur. Namun sekarang cita-cita besar saya adalah mahu melihat anak bangsa yang saya didik itu bakal melakar landskap dan seni bina gemilang kemakmuran negara kita.” Semoga semua guru dapat menjadi arkitek bangsa yang cemerlang!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Al-fatihah buat seorang teman sekelas yang baru pulang ke rahmatullah (Allahyarham Mohd Jafni) pada 11 Oktober 2009 yang lepas akibat kemalangan jalan raya. Semoga Allah merahmati dan mengampuninya.

Kami semua terasa kehilangan ini. Mana tidaknya kami telah sekelas sejak zaman 'foundation' pada 2004. Tambahan lagi kami hanya tinggal lebih kurang 4 minggu sahaja untuk menghabiskan program sarjana muda perguruan ini (PISMP-OUM). Namun Allah lebih sayangkannya. Semoga ada ibrah dapat diambil daripada kejadian ini.

Konvo nanti tak cukup seoranglah.....

Sabtu, 3 Oktober 2009

Di Jalan Dakwah Aku Menikah


Judul buku : Di Jalan Dakwah Aku Menikah
Penulis : Cahyadi Takariawan
Penerbit : Era Intermedia
Baca pada : September 2009
Sumber : Pinjam dari adik

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya tidak berhenti membacanya. Tulisannya menarik minat saya. Bukan itu sahaja, apa yang dituliskan memberi makna kepada saya. Seringkali juga saya berhenti untuk muhasabah diri kembali. "Di jalan dakwah aku menikah" bererti perkahwinan ini sebagai medan untuk berdakwah, mempertingkatkan diri, membina baitul muslim seterusnya meluas lebarkan dakwah kepada orang lain...Maka perlunya kepada ilmu dan melihat kepada prosesnya..

Buku ini mempunyai beberapa bahagian dan setiap satunya diperkatakan dengan jelas dan mudah difahami disertai contoh-contoh yang senang dapat kita fahami. Juga terselit kisah-kisah benar di akhir bab yang memberi ibrah kepada kita. Buku ini sesuai sekali dibaca untuk bakal pengantin baru mahupun yang belum berniat untuk bernikah. Tidak lupa juga buat ibu bapa yang bakal mengahwinkan anak.

Dalam mencari jodoh, Islam telah memberi panduan berdasarkan hadis Nabi yang menyebutkan empat kriteria iaitu harta, kecantikan, keturunan dan agama maka pilihlah yang beragama. Jika kita memilih berdasarkan harta, ianya akan habis dan kita boleh menjadi papa, jika memilih kecantikan, ianya akan pudar juga satu hari nanti, jika memilih keturunan yang mulia satu masa nanti boleh jadi kehinaan yang menimpa, dan jika memilih agama, selamatlah semuanya INSYA ALLAH.

Penulis memberi panduan bagaimana cara yang sebaiknya untuk memilih pasangan, mengatur peminangan, mengadakan walimah, cara menyesuaikan diri dengan pasangan selepas nikah, hubungan dengan keluarga pasangan dan kehidupan selepas berkahwin. Banyak tip dan panduan dapat dikutip sepanjang pembacaan saya.

Dalam bab membuat walimah, perkara-perkara yang disenaraikan bagi saya lengkap dan memenuhi syariat. Antaranya tidak membezakan lauk-pauk di kalangan hadirin seperti mengasingkan lauk orang kaya dan orang miskin, hanya menjemput orang kaya sahaja datang ke majlis perkahwinan sedangkan orang miskin diabaikan. Hmm..saya terfikir, adakah hidangan "lauk pengantin" itu juga dikira masuk dalam membezakan hidangan antara para tetamu? Selain itu, mengasingkan tempat makan lelaki dan perempuan dan mengelakkan percampuran daripada berlaku.

Semoga pembaca yang membaca buku ini ramai yang mengikut nasihat yang diberikan oleh penulis. Alangkah bagusnya jika syariat dapat ditegakkan dalam adat masyarakat yang kadang-kadang jauh tersasar dari ketetapan syariat. Panduan hidup selepas pernikahan juga banyak memberi manfaat. Sifat toleransi dan memahami antara elemen penting dalam menyusuri bahtera rumah tangga. Membaca pengalaman kisah benar yang dipaparkan membuatkan kita dapat mengambil contoh untuk diaplikasikan. Wallahualam.